Sabtu, 4 Jun 2011

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Tahniah Kepada Saf Pimpinan Serta Seluruh Ahli PAS Sempena Muktamar Ke 57

Posted: 04 Jun 2011 04:08 AM PDT

Tahniah saya ucapkan kepada seluruh ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS) kerana baru sahaja menjayakan muktamar ke 57 pergerakan tersebut. Muktamar kali ini sekali lagi menyaksikan parti tersebut menolak suatu persepakatan politik yang berbaur rasuah serta penyelewengan kuasa pimpinan Umno- Barisan Nasional. Seperti pemilihan sebelumnya, ahli Pas memilih pimpinan untuk memperkasa parti tersebut demi memperkukuh Permuafakatan Pakatan Rakyat, suatu permuafakatan yang zahir dari hasrat menjamin kebajikan serta kemaslahatan seluruh rakyat Malaysia.

Pas sememangnya mempunyai sejarah yang panjang berjuang demi rakyat semenjak dari sebelum merdeka lagi. Tokoh tokohnya seumpama almarhum Dr Burhanudin al Helmy, almarhum Zulkifli Muhammad dan almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor tidak asing mengungkapkan perjuangan menegakkan keadilan dan menentang kezaliman dalam kerangka politik nasional. Saya malah terkesan dengan ucapan dasar Tuan Guru Presiden yang tegas menyatakan iltizam untuk terus mara bersama Pakatan Rakyat. Tuan Guru Abdul Hadi turut mengungkapkan betapa pentingnya Pakatan Rakyat tuntas mengungkapkan kepada rakyat rancangan seumpama yang terkandung dalam Buku Jingga.

Kini Pas yang dipimpin Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, ditunjangi pula Timbalan Presidennya yang baru Saudara Mohamad Sabu, pastinya mengorak langkah yang lebih jauh bersama Pakatan Rakyat mendepani segala tantangan serta cabaran, terutamanya berhadapan Pilihanraya Umum ke 13 yang kian hampir.

Kepada yang berjaya terpilih menggalas beban tanggungjawab, tahniah saya ucapkan. Saya percaya saf pimpinan Tuan Guru Presiden, Mohamad Sabu, Salahudin Ayob, Husam Musa, Mahfuz Omar, Nasarudin Hasan dan 18 Ahli Jawatankuasa Pusat lainnya merupakan suatu gandingan mantap yang bakal bersama memaknai Perubahan serta memastikan kemaslahatan demi negara ini.

ANWAR IBRAHIM

Tiada ulasan: