Rabu, 1 Jun 2011

Anak Muda Kampung Nak Senang

Anak Muda Kampung Nak Senang


Apabila Orang Jabatan Agama MEROKOK?

Posted: 01 Jun 2011 02:36 AM PDT




Majoriti petugas dan kakitangan Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam dan Pejabat Agama Islam Daerah di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan merokok secara terbuka tanpa segan silu? Biar betul ! Pengarah JHEAINS dan Pengerusi MAINS apa komen anda dalam isu ini?

Baca kisahnya pada blog berikut http://atriza.blogspot.com/2011/06/apabila-orang-jabatan-agama-merokok.html

Wujud percubaan tutup kes kematian Ahmad Sarbani

Posted: 01 Jun 2011 12:32 AM PDT



1 Jun 2011. KEADILAN merasakan seolah-olah wujud percubaan oleh pihak tertentu untuk menutup kes kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor, allahyarham Ahmad Sarbaini. Ini kerana selepas hampir 2 bulan, tiada sebarang dakwaan dibuat terhadap mana-mana pihak, sedangkan kes itu melibatkan pegawai tinggi kerajaan.

Justeru KEADILAN menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bagi mendesak pihak polis melakukan siasatan segera.

Hadir menyerahkan memorandum berkenaan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua dan N Surendran serta Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

N Surendran berkata, sehingga kini polis gagal menyiasat insiden kematian itu, meskipun laporan polis dibuat isteri Allahyarham.

Manakala penyiasat dari SPRM sendiri mendedahkan bahawa kakitangan dalamannya terlibat dalam insiden kematian itu.

"Bahkan laporan polis telah dibuat oleh balu mangsa, Maziah Manaf pada 2 Mei lalu bahawa pegawai penyiasat dari SPRM membuat pengakuan bahawa 'orangnya' terlibat dalam kematian tersebut.

"Selepas hampir 2 bulan masih tiada tindakan atau tangkapan oleh polis. Keadaan ini seperti pengulangan kes yang berlaku kepada mendiang Teo Beng Hock. Besar kemungkinan ada 'foul play' dalam kematian ini," kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran.

Dalam memorandum tuntutan yang diserahkan kepada Ketua Polis Negara hari ini, KEADILAN menuntut tindakan mengikut undang-undang dan prosedur jenayah dilakukan ke atas anggota SPRM yang bertanggungjawab.

Kandungan memorandum itu menuntut siasatan segera ke atas laporan polis yang dibuat balu mangsa dan perkembangannya dimaklumkan segera kepada keluarga Ahmad Sarbani dan rakyat Malaysia.

"Ketua Polis Negara dituntut memberi akujanji bahawa kesemua kes berprofil tinggi yang disiasat secara adil, cepat dan telus walaupun melibatkan agensi kerajaan lain," jelas kenyataan tersebut yang dipetik.

Seorang lagi Naib Presiden KEADILAN Tian Chua menegaskan, pihak berkuasa seperti tidak berperikemanusiaan apabila memandang ringan kes ini dengan melengah-lengahkan prosedur siasatan.

"Sedangkan dalam kes melibatkan ahli politik pembangkang, polis kelihatan ada tanggungjawab sosial. Mereka secara konsisten akan memaklumkan kepada media setiap perkembangan, tetapi tidak bagi kes ini. Walhal, kes ini lebih serius," katanya kepada Keadilandaily ketika ditemui i perkarangan Balai Polis Bukit Aman.

Sementara itu, Nurul Izzah Anwar mendakwa kelewatan kes ini adalah bukti bahawa pihak berkuasa melakukan penyiasatan terpilih.
"Tidak ada petanda yang jelas dalam perkembangan siasatan. Persepsi masyarakat bahawa setiap aduan adalah serius. Untuk hal seperti ini perlu diberikan keutamaan," katanya.

Izzah menuntut kerjasama pihak media menyebarluas tuntutan keluarga Sarbani seperti terkandung dalam laporannya kepada seluruh rakyat Malaysia bagi menuntut jawapan dan siasatan terbuka punca kematiannya.

Dalam pada itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin menegaskan, polis perlu menangani kes ini sebagai kes jenayah, dan bukannya politik.

"Ini adalah isu kematian seorang pegawai kerajaan yang merupakan aset dan telah berkhidmat kepada negara. Apatah lagi, siasatan dilakukan terhadap Sarbani oleh SPRM merupakan usaha kerajaan untuk membasmi rasuah ke peringkat akar umbi," katanya.

Justeru, beliau menyeru kepada ahli Parlimen untuk membangkitkan perkara tersebut dalam sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang bakal berlangsung bulan ini.

Terdahulu sebelum itu, memorandum 3 muka surat diserahkan kepada Ketua Polis Negara melalui pegawainya, ASP Rajvinder Kaur.

Sumber : http://www.keadilandaily.com/?p=14493

Cuci Kenderaan di Muktamar PAS Jun 2011 Taman Melewar

Posted: 31 May 2011 08:32 PM PDT



Perhatian kepada peserta, perwakilan, pemerhati dan orang ramai yang menghadiri Muktamar Tahunan PAS kali ke 57 di Taman Melewar, Gombak, Selangor pada 3 hingga 5 Jun 2011. Unit Amal Negeri Sembilan akan menawarkan perkhidmatan mencuci kenderaan pada kadar yang berpatutan.

Perkhidmatan on-call disediakan. Sila hubungi 013-2124086 , 017-4680125.

Perkhidmatan ini adalah bertujuan untuk menjana Dana Tabung Aktiviti Unit Amal Negeri Sembilan.

Maklumat lanjut di http://unitamaln9.blogspot.com/

Allahyarham Fadzil Noor oleh Liew Chin Tong

Posted: 31 May 2011 07:10 PM PDT



Allahyarham Fadzil Noor dan keterbukaan politik Islam.


Artikel ini ditulis oleh Liew Chin Tong yang merupakan Setiausaha Antarabangsa DAP dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, disiarkan di laman web Roketkini.com

1 JUN 2011 : Dekad rerfomasi menampilkan ramai wira; selain protagonisnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang tidak kurang penting peranannya lebih sedekad yang lalu adalah Allahyarham Datuk Fadzil Noor, Presiden PAS.

Pada 2 September 1998, negara terkejut dan keliru. Menyusuri tahun-tahun 1990-an dengan igauan memalukan seperti seorang menteri besar membawa wang tunai sebegitu banyak ke Australia, seorang menteri dituduh mencabul perempuan di bawah umur, dan tentunya pemecatan, pembataian, pemenjaraan tanpa bicara, penghadapan ke mahkamah dan pemenjaraan Anwar.

Dalam keadaan negara terkejut dan keliru melihat seorang bakal perdana menteri dihina sebegitu rupa oleh pucuk pimpinan negara, ramai yang bersimpati dengan Anwar termasuk Fadzil yang terkenal dengan geralan Ustaz Fadzil.

Fadzil dan Anwar mempunyai tali persahabatan panjang sejak hari-hari Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) sekitar tahun 1970-an sehingga nama anak perempuan sulung Anwar, iaitu Nurul Izzah, diberikan oleh pemimpin PAS itu.

Namun hubungan sedemikian tidak dikongsi oleh banyak pihak dalam PAS. Mereka masih tidak puas hati dengan penglibatan Anwar dalam UMNO sejak awal 1980-an. Mereka melihat tidak ada keperluan untuk tampil mempertahankan Anwar.

Tidak dapat dinafikan, selama tempoh 16 tahun Anwar berada dalam kerajaan Barisan Nasional, beliau menjadi musuh politik PAS. Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil Anwar pada 1982 sebagai jawapan beliau ke atas agenda kebangkitan Islam yang dibawa oleh PAS.

Pada hari sejarah hitam Anwar dipecat dari semua jawatan dalam kerajaan atas tuduhan rasuah, salah guna kuasa, liwat dan kaki perempuan, Fadzil menjadi satu-satunya pemimpin PAS yang berani mengambil tindakan yang betul.

Beliau menziarahi Anwar, pada masa itu masih di kediaman rasmi kerajaan, untuk memberi sokongan moral. Fadzil tidak memaklumkan rakan-rakan PAS mengenai pertemuannya itu. Beliau menutup telefon bimbitnya dan tiada siapa yang boleh menjejakinya pada malam itu. Para pemimpin PAS hanya mengetahui perkara itu menerusi akhbar keesokan harinya. Beberapa hari selepas itu, menurut Subky Latif dalam catatannya, semasa mesyuarat jawatankuasa pusat parti, Fadzil disoal "seolah-olah berdepan dengan tribunal."

Fadzil mengambil risiko politik dan peribadi yang besar dengan membawa dirinya dan PAS untuk bersama dengan Anwar. Malah, ia tidak terhenti di situ sahaja. Fadzil bertindak menubuhkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak) – badan yang menjadi jambatan di antara parti-parti politik dan NGO; dan satu daripada dua perintis kepada Barisan Alternatif bersama Gagasan Demokrasi Rakyat – tanpa kelulusan jawatankuasa pusat PAS.

Kedua-dua gagasan itu ditubuhkan pada 27 September 1998, seminggu selepas Anwar ditahan. Walau pun Anwar adalah simbol reformasi, Fadzil adalah tokoh yang melaksanakan idealisme reformasi itu dengan menyediakan pentas untuk rakyat menyuarakan sokongan.

Kesannya, walau pun dibantah oleh sebahagian besar pemimpin PAS, mereka gagal menyekat kesan pengaruh Anwar terhadap parti itu. Usaha Fadzil ternyata melangkaui fahaman dan pendirian kebanyakan pemimpin PAS ketika itu. Tindakan berani Fadzil ternyata berjaya dan berbaloi.

Rakyat khususnya orang Melayu marah dengan tindakan zalim Mahathir terhadap Anwar. Ada yang keluar UMNO untuk mencari platform politik baru. Anak-anak muda Melayu yang belum pernah berparti pula turut melihat PAS sebagai alternatif.

PAS menggandakan keahliannya pada akhir 1998. Antara tahun kelahirannya pada 1951 hingga akhir 1980-an, PAS yang mempunyai 300,000 ahli, telah meningkat kepada 450,000 pada Oktober 1998. Pada 1999, PAS mempunyai 1 juta keahlian.

Lidah rasmi parti, Harakah, meningkatkan edaran daripada zaman pra-reformasi sebanyak 72,000 naskhah sewaktu pilihan raya kecil Arau pada Julai 1998 kepada 380,000 naskhah pada tahun 1999, menyumbang pendapatan besar kepada tabung parti.

Perubahan-perubahan ini akhirnya menyumbang kepada prestasi luar jangkaan parti pada pilihan raya umum 1999. PAS menawan 27 kerusi Parlimen dan 98 kerusi negeri.

Fadzil mungkin bukan pemidato yang paling karismatik dalam ceramah-ceramahnya. Namun beliau adalah seorang tokoh strategi di samping pengasas pakatan yang memainkan peranan besar dalam penubuhan Barisan Alternatif.

Selepas pilihan raya 1999, Fadzil mengingatkan PAS bahawa keputusan teruja itu bukan bukti sokongan positif terhadap pendirian PAS tetapi lebih kepada undi negatif kepada UMNO.

Ketika itu juga bangkit persoalan Negara Islam. Walau pun atas nama yang sama, soal prinsip dan ciri-cirinya berbeza di antara Fadzil yang lebih bersikap inklusif dan beberapa pemimpin lain dalam parti yang lebih tertutup dalam kefahaman mereka terhadap tafsiran Negara Islam.

Malangnya, sebelum sempat isu Negara Islam diselesaikan dengan baik, Fadzil telah terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi. beliau meninggal dunia pada usia 65 tahun pada Jun 2002.

Mungkin apa yang akan berlaku jika hayatnya masih ada, isu rumit itu akan dapat dihuraikan dengan cara yang lebih teratur dan diterima ramai atas kepakaran strategi dan kesabaran Fadzil. Ia mungkin lebih telus dan kurang mengelirukan.

PAS tidak mendapat sambutan sehebat 1999 apabila bertanding dalam PRU 2004. Ia hilang banyak kerusi termasuk Terengganu yang dirampas semula oleh BN. Kerusi Parlimen PAS pada masa itu tinggal 7 manakala DUN 36.

Perginya Fadzil merupakan satu kehilangan besar dalam politik negara. Di mana masyarakat masih diikat dengan politik kaum dan agama – walau pun sudah ada tanda-tanda kematangan demokrasi di kalangan rakyat masa kini – Fadzil telah sedikit-sebanyak mendahului zamannya. – Roketkini.com

http://roketkini.com/2011/06/01/allahyarham-fadzil-noor-dan-keterbukaan-politik-islam-oleh-liew-chin-tong/

Tiada ulasan: