The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
Jalan perjuangan peneroka Felda semakin lurus... Posted: 27 May 2011 03:46 PM PDT Saya telah melibatkan diri dengan perjuangan peneroka-peneroka Felda sejak akhiran tahun 1960-an, pada waktu itu saya masih belajar di Universiti Malaya, dan disetiap hujung minggu saya akan mengikuti rombongan Dr Syed Husin Ali yang dijemput membuat penerangan di kawasan-kawasan rancangan Felda. Di tahun-tahun itu, Dr Syed Husin Ali, melawat rancangan-rancangan Felda di Hulu Selangor dan Perak dan tanah rancangan yang terawal di Malaysia, iaitu Felda Lembah Bilut di Bentong, Pahang. Sentiasanya saya diberikan peluang berucap memulakan gelanggang. Di kesemua rancangan-rancangan Felda itu terdapat Ranting-Ranting Parti Sosialis Rakyat Malaysia iaitu di Felda Sg Dusun (Suharto), Gedangsa, Sg Behrang dan Lembah Bilut. Sekembali saya dari London, saya meneruskan lagi perjuangan untuk membela nasib peneroka-peneroka Felda iaitu di pertengahan tahun 1970-an, dan turun ke rancangan-rancangan Felda bersama rakan-rakan lain seperti Allahyarham Satar Haji Dahan, Setiausaha Agung PSRM dan Allahyarham Sdr Razak Halifah, AJK Pusat PSRM dan lain-lain lagi. Pada awal tahun 1980-an, saya berada dijawatan Lajnah Undang-Undang PAS Pusat, dan saya memberikan tumpuan saya kepada pembelaan peneroka-peneroka Felda. Pada waktu itu saya menjuruskan perjuangan itu untuk menuntut Hakmilik Individu untuk peneroka-peneroka Felda, menolak Hakmilik secara berkongsi seramai 20 orang diatas nama Koperasi. Selain daripada isu Hakmilik Individu, saya timbulkan juga isu Jalan Pertanian yang dikenakan kepada peneroka-peneroka membayar setiap bulan walhal jalan-jalan pertanian didalam rancangan Felda itu tidaklah diperbaiki dengan sempurna. Banyak wang lebihan jalan pertanian yang terkumpul, dan saya menuntut bagi pihak peneroka-peneroka supaya wang lebihan itu dikembalikan kepada peneroka-peneroka. Isu baja yang diagihkan oleh Felda kepada peneoka-peneroka yang berkualiti rendah juga menjadi tuntutan peneroka supaya membekalkan baja yang berkualiti. Baja yang dibekalkan pada waktu itu lebih banyak mengandungi tanah daripada baja. Juga saya memfokuskan isu perwarisan yang tidak berlandas kepada Hukum Syarak dan Kanun Tanah Negara. Anak-anak peneroka Felda tidak berpeluang mewarisi tanah ladang dan kampong peneroka kecuali seorang sahaja daripadanya kerana mengikut GSA hanya seorang sahaja daripada anak-anak peneroka itu yang akan dimasukkan kedalam daftar pemilik. Berlaku juga perwarisan yang aneh seumpama apabila peneroka Felda meninggal dunia, isterinya mewarisi rancangan Felda dan kawasan kampong, dan si isteri itu berkahwin baru, dengan takdir Illahi, si isteri itu meninggal dunia, dan tanah itu diwarisi oleh suami baru, maka anak-anak peneroka asal tidak memperolehi apa-apa. Tidak kurang berlaku apabila seseorang peneroka meninggal dunia meninggalkan hanya seorang anak (pewaris) tetapi anak itu adalah seorang peneroka di rancangan Felda yang lain, maka waris itu tidak boleh menuntut tanah rancangan milik bapanya kerana seseorang peneroka itu tidak dibenarkan memiliki lebih dari satu ladang didalam rancangan Felda, maka didalam kes seumpama ini, Felda membawa masuk peneroka baru menjadi pemilik ladang dan kawasan rumah peneroka (simati). Pada tahun 1980-an itu, pendapatan peneroka-peneroka Felda amatlah kecil. Felda menyediakan kemudahan kantin dengan peneroka-peneroka boleh mengambil apa juga barang keperluan dari kedai PNF dan hutang itu ditolak semasa Hari Balance iaitu hari peneroka-peneroka menerima bayaran dari Felda, sehinggakan kebanyakan peneroka hanya menerima bayaran dari Felda didalam lingkungan RM10.00 sebulan. Saya memperjuangkan agar peneroka-peneroka Felda diberikan elaun sara hidup tidak kurang dari RM500.00 sebulan selain daripada barangan keperluan yang mereka boleh ambil di kedai PNF. Selain daripada isu-isu diatas, kedapatan pula isu-isu yang melibatkan pegangan politik peneroka-peneroka Felda itu. Peneroka-peneroka yang mulai insaf dengan politik memilih untuk menyertai PAS dan keluar dari UMNO. Ranting-ranting PAS mulai ditubuhkan di rancangan-rancangan Felda dan mereka memanggil pimpinan PAS untuk memberikan penerangan, dan tidak sedikit daripada ranting-ranting PAS itu dirasmikan oleh saya sendiri. UMNO dan Felda menganggap tindakan peneroka-peneroka itu sebagai bertentangan dengan syarat-syarat penempatan kononnya tindakan peneroka-peneroka itu memecahbelahkan masyarakat peneroka, ratusan daripada mereka telah diambil tindakan singkir dari rancangan Felda. Peneroka-peneroka yang tidak puas hati dengn pendapatan yang begitu kecil mulai menjualkan sawit atau sekerap getah mereka ke luar rancangan Felda, dan mereka yang ditangkap akan diambil tindakan oleh Felda termasuk disingkirkan dari Rancangan Felda, ribuan peneroka terlibat dan diambil tindakan singkir. Maka fokus saya pada waktu itu, selain daripada memperjuangkan nasib peneroka-peneroka dari sudut kedudukan mereka berhubung dengan tanah ladang dan rumah mereka di rancangan Felda, saya terpaksa membela peneroka-peneroka Felda yang disingkir di Mahkamah-Mahkamah. Saya kira perjuangan pada waktu itu hampir "single-handed" dan saya merasakan tekanan yang amat sangat kerana semua kes-kes pembelaan terhadap peneroka-peneroka itu saya berikan guaman percuma. Tekanan seterusnya adalah dari pihak berkuasa yang sentiasa mengintai-intai saya sehinggalah pada bulan Februari 1985 saya ditahan dibawah ISA dan diantara tuduhan palsunya ialah saya memecahbelahkan masyarakat peneroka Felda. Perjuangan sehingga 1980-an itu adalah pikulan yang berat. Dan saya menjangkakann bahawa peneroka-peneroka Felda tidak lagi akan ditekan sebegitu hebat apabila kita memasuki tahun-tahun 2000 apatah lagi di 2011. Rupa-rupanya sangkaan saya meleset. Tekanan yang dibawakan oleh Felda dan UMNO berterusan hingga ke tahun 2011. Walaupun pada peringkat awalnya peneroka-peneroka tidak terasa dengan tekanan itu, tetapi apabila mereka berhadapan dengan masalah hutang kepada Felda dengan jumlah yang begitu besar dan tidak ada kemampuan untuk menjelaskan hutang masing-masing dalam tempoh hidup mereka, maka peneroka-peneroka mulai merasa gelisah, dan mulai mencari sebab kenapa hutang mereka boleh menjangkau hingga RM100,000.00 manakala pendapatan dalam bentuk sara hidup hanyalah RM1500.00 secara gross yang juga dianggap hutang kepada Felda sedangkan kebun sawit/getah mereka boleh memberikan pendapatan tidak kurang dari RM5000.00 hingga RM10,000.00 sebulan. Mereka mulai bertanya-tanya kemanakah perginya baki pendapatan mereka itu, tentu ada orang atau badan lain sedang membuncitkan perut mereka. Peneroka-peneroka kini berhadapan dengan isu peratusan perahan KPG yang rendah sehingga kerugian mencecah RM1000.00 sebulan. Mereka juga berhadapan dengan isu buah reject yang mereka dikenakan denda dan buah reject itu tidak dikembalikan semula kepada peneroka-peneroka. Perahan KPG sehingga peneroka-peneroka mengambil tindakan saman terhadap Felda adalah diantara 17%-18% sedangkan peratusan perahan yang dibuktikan dimakmal melebihi 27% bagi buah yang normal dan 21% bagi buah-buah yang selama ini direject. Peneroka-peneroka sudah insaf dan sedang diserata-rata rancangan Felda mereka mulai menyaman Felda menuntut gantirugi. Kerugian peneroka-peneroka didalam tempoh 15 tahun boleh mencecah kepada RM100,000.00. Isu KGK (greding getah kering) yang terdapat dimakmal sehingga melebihi 60% hanya dibayar oleh Felda kepada peneroka-peneroka getah diatas kadar 45%. Setentunya peneroka-peneroka getah akan turut menyaman Felda kerana mendapat "raw deal" yang merugikan mereka. Inilah nasib peneroka-peneroka Felda. UMNO dan Felda sedang menjalankan proses ugut terhadap peneroka-peneroka, maka peneroka-peneroka dianggat tidak bersyukur, dan penindasan dan penipuan ini ingin dibiarkan tanpa pembelaan. Tidak semudah itu UMNO dan Felda mahu mengugut dan menindas peneroka-peneroka kerana mereka sudah jauh lebih celik dari tahun-tahun 1970-an dan 1980-an dan kini pejuang-pejuang dari kalangan peneroka dan anak-anak peneroka sudah tampil kehadapan. Dokongan daripada peguam-peguam yang perihatin akan mempastikan tuntutan peneroka-peneroka mendapat pembelaan sewajarnya. |
UMNO hancurkan harapan peneroka Felda Sg Buaya Posted: 26 May 2011 11:56 PM PDT Pada tahun 1994 ada seramai 363 orang dan keluarga masing-masing Peneroka Felda Sungai Buaya di Hulu Selangor. Keluasan tanah ladang yang mereka miliki adalah 3100 ekar. Dan kini jumlah itu telah kehilangan seramai 290 orang peneroka yang sudah meninggal dunia. Dan pada hari ini mereka tidak memiliki walaupun seinci tanah di bekas rancangan Felda Sg Buaya itu. Apa yang berlaku? Pada tahun 1994 itu, peneroka-peneroka Sungai Buaya telah diajak berunding untuk membangunakan kawasan rancangan mereka dengan dijanjikan setiap daripada mereka akan menerima sejumlah wang sebanyak RM1 juta. Pihak JKK Sungai Buaya dalam keghairahan mereka untuk menjadi jutawan, telah berjaya mendapatkan setiap daripada peneroka itu menandatangani Surat Perjanjian dengan sebuah Syarikat Pembangunan yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Walaupun ada segelintir yang menentang usahasama ini, namun mereka tidak dapat melakukan apa-apa untuk menghalang usahasama dengan syarikat pembangunan berkenaan. Pada tahun 2003, semua peneroka Felda Sg Buaya telah menyerahkan tanah hak milik masing-masing kepada Syarikat Murna Jaya Sdn Bhd dengan balasan untuk dibayar RM1 juta setiap orang. Dengan itu hilanglah hak peneroka-peneroka keatas tanah mereka dan mereka dibayar RM185,000.00 setiap seorang, dan berbaki lagi RM815,000.00. Syarikat Jaya Murni Sdn Bhd gagal melaksanakan pembangunan diatas tanah yang telah diserah kepada mereka, dan gagal menjelaskan baki bayaran kepada peneroka-peneroka tersebut. Ini menyebabkan peneroka-peneroka itu bukan sahaja kehilangan tanah tetapi juga kehilangan mata pencarian. Didalam Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor, pihak Barisan Nasional telah membayar sebanyak RM50,000.00 kepada peneroka-peneroka (bekas peneroka-peneroka) atau waris-waris mereka sebagai satu usaha menarik undi untuk mengundi Barisan Nasional, tetapi setelah bayaran itu dibuat, Barisan Nasional tidk melakukan apa-apa untuk membangunkan tanah tersebut dan kedudukan peneroka-peneroka masih tidak terbela. Syarikat Murna Jaya Sdn Bhd telah mengambil kesempatan menjualkan sebahagian daripada tanah yang diserahkan kepada mereka oleh peneroka-peneroka kepada sebuah syarikat iaitu Dinamis Sdn Bhd seluas 600 ekar, tetapi hasil jualan itu tidak pula dibayar kepada peneroka-peneroka. 1000 ekar telah dibina rumah, dan daripada 1600 ekar yang dimiliki oleh Murna Jaya Sdn Bhd, 1000 ekar telah diambil-alih oleh Kerajaan Negeri Selangor kerana Murna Jaya Sdn Bhd gagal menjelaskan tunggakan cukai tanah sejumlah lebihkurang RM10 juta. Murna Jaya kini masih memiliki 600 ekar. Kegagalan pembangunan kawasan ini dan kegagalan menjelaskan pampasan kepada peneroka-peneroka Felda Sg Buaya ini berlaku semasa pentadbiran Tan Sri Muhammad Mohd Taib menjadi Menteri Besar dan terus gagal semasa pentadbiran Datuk Seri Khir Toyo. Peneroka-peneroka Sg Buaya memandang kehadapan agar nasib mereka dapat dibela oleh Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor. Dan didalam lawatan YAB Menteri Besar Selangor itu ke Felda Sungai Buaya pada 1hb Julai 2011, persoalan ini akan ditimbulkan dan keadilan yang dipinta oleh peneroka-peneroka adalah agar wujud perbezaan diantara Kerajaan Negeri Selangor yang diperintah oleh Barisan Nasional dan yang diperintah oleh Pakatan Rakyat. Harapan peneroka-peneroka itu digalas oleh Menteri Besar Selangor Pakatan Rakyat. |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan