The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
Felda mulai akur dengan tuntutan peneroka... Posted: 22 May 2011 08:21 PM PDT Apabila Biro Masyarakat Peneroka Felda dan Orang Asal menjalankan kempen diseluruh Negara untuk mempromosikan Buku Jingga yang berhubung dengan pemansuhan Felda Plantation dan kempen penyerahan Borang untuk menjadi Peneroka Baru Felda khususnya untuk Generasi ke-2 dan Generasi ke-3, anak-anak muda dari kalangan keluarga UMNO memandang sepi kononnya hingga kucing bertanduk kempen ini tak akan berjaya kerana Barisan Nasional akan terus memerintah Negara dan Pakatan Rakyat tidak akan berjaya memansuhkan Felda Plantation, dan anak-anak peneroka tidak akan berjaya menjadi Peneroka Baru Felda. Mari kita perhatikan pandangan sempit anak-anak muda dari keluarga UMNO di rancangan-rancangan Felda ini. Pertamanya, mereka tidak mempunyai keinginan untuk mendapatkan tanah sebagai peneroka baru apabila Felda Plantation dimansuhkan dan ladang-ladang seluas lebihkurang 800,000 ekar akan disukat mengikut keperluan untuk dibahagi-bahagikan kepada anak-anak peneroka yang layak menjadi peneroka-peneroka baru Felda. Keduanya, mereka mempunyai pemikiran yang sempit dan pendek kerana tidak mampu berfikir secara objektif bahawa manusia ini berubah-ubah mengikut perkembangan dan keperluan yang dituntut. Anak-anak muda khususnya anak-anak muda didalam rancangan Felda yang kini menganggur atau separuh-menganggur dan menggantung hidup mereka kepada belas ikhsan orang tua masing-masing juga inginkan perubahan. Mereka tidak mampu untuk mendapatkan kerja yang baik di luar rancangan Felda kerana tahap pendidikan mereka tidaklah setinggi mana, dan mereka juga tidak mempunyai apa-apa kemahiran untuk mendapat pekerjaan yang memerlukan kemahiran. Luang dan Peluang untuk berniaga juga tidak ada kepada mereka. Yang ada luang untuk mereka hanyalah membantu diladang-ladang kepunyaan ibu bapa mereka, dengan pendapatan yang tak sebanyak mana. Mereka masih dan terpaksa tinggal bersama-sama ibu bapa mereka, dan sesetengah mereka sudah pun berkahwin dan mempunyai anak dan kesemuanya tinggal bersama-sama ibu bapa mereka. Adik-beradik mereka pun ramai juga dan kesemuanya, samada yang belum dan yang sudah berkahwin, tinggal bersama ibu-bapa dibawah satu bumbung. Ditakdirkanlah ibu-bapa mereka meninggal dunia, maka dibawa Akta GSA hanya seorang sahaja daripada mereka boleh memiliki/mewarisi harta (ladang dan rumah) ibu-bapa mereka. Semasa ibu-bapa masih ada, mereka boleh secara berkongsi tinggal di rumah ibu-bapa mereka, tetapi apabila ibu-bapa sudah meninggal dunia, mungkinkah mereka adik-beradik dengan keluarga masing-masing tinggal dalam satu rumah? Inilah persoalan yang mesti diselesaikan segera. UMNO, melalui Timbalan Menterinya yang juga Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan mengatakan bahawa Kerajaan UMNO/Barisan Nasional tidak akan membubarkan Felda Plantation; dan justeru kerana itu anak-anak peneroka yang menganggur atau separuh menganggur yang berjumlah beratus ribu orang itu tidak akan dapat ditempatkan sebagai peneroka-peneroka baru. UMNO, sejak 1990, telah membuat dasar baru bahawa Kerajaan dibawah pentadbiran mereka tidak akan membuka rancangan-rancangan Felda baru untuk menempatkan peneroka-peneroka. Maka dibawah pemerintahan UMNO, pintu untuk menjadi peneroka-peneroka Felda baru dari kalangan anak-anak peneroka sudah tertutup rapat. Melalui dasar yang dibawakan oleh Pakatan Rakyat seperti yang dinyatakan didalam Buku Jingga, Pakatan Rakyat akan memansuhkan Felda Plantation dan 800,000 ekar tanah dibawah Felda Plantation itu akan diagih-agihkan kepada peneroka-peneroka baru khususnya dari kalangan anak-anak peneroka Felda. Inilah harapan untuk anak-anak peneroka memiliki tanah dan keluar dari kepungan kemiskinan dan pengangguran. UMNO kini sudah mennjadi Pembangkang didalam Rancangan-Rancangan Felda. Apabila peneroka-peneroka yang sedar mula mengambil tindakan saman terhadap Felda berhubung dengan peratusan perahan KPG, UMNO mula membantah. Mereka buat demo. Mereka setuju dengan peratusan perahan antara 17%-19% dan menolak perahan hingga 27% dan mereka bersetuju supaya mereka rugi hingga RM1000.00 setiap bulan. Orang-orang UMNO juga menentang apabila peneroka-peneroka menyaman Felda untuk mendapatkan kembali dana tanam semula. Orang-orang UMNO turut menentang apabila PR melancarkan gerakan memansuhkan Felda Plantation dan mereka tidak mahu anak-anak mereka mendapatkan tanah ladang sebagai peneroka baru. Bagaimana pun Felda mulai akur dengan keberkesanan tindakan dari peneroka-peneroka Felda. Di kawasan Felda Jengka, Felda mulai menaikkan peratusan perahan KPG dari 17% kepada 21% hasil daripada kempen yang dijalankan oleh peneroka-peneroka mahu menyaman Felda kerana kerugian berpuluh tahun disebabkan peratusan kpg yang diberikan adalah sangat kecil. Walaupun Felda mulai akur dengan tuntutan peneroka,, tetapi Felda masih enggan berunding untuk membayarkan gantirugi berjumlah tidak kurang dari RM50,000.00 kepada setiap peneroka kerana peratusan kpg yang rendah yang sudah melebihi 15 tahun, dan juga kerana tandan-tandan reject yang apabila dibawa ke makmal masih menunjukkan peratusan perahan tidak kurang dari 21%. Sekonyong-konyongnya Felda Wilayah telah memanggil penneroka-peneroka ke pejabat untuk diberikan wang dana tanam semula yang selama ini dinafikan kepada mereka. Semua ini adalah gejala ekoran tuntutan daripada peneroka-peneroka Felda. Hasil daripada perjuangan peneroka yang berani ini, semua peneroka-peneroka Felda yang selama ini memperolehi peratusan perahan yang rendah memperolehi peratusan yang tinggi, dan mereka yang belum dibayar dana tanam semula memperolehi hak mereka. Namun begitu peneroka-peneroka yang terdiri daripada ahli-ahli UMNO masih lagi bebal dan tidak mahu mengakui kejayaan itu. Walaupun begitu terdapat juga ahli-ahli UMNO yang sudah mulai sedar dan mereka turut menyertai peneroka-peneroka yang sedar untuk menuntut peratusan perahan yang lebih tinggi dan gantirugi yang selama ini mereka telah tertipu. Kepada mereka yang tidak menyertai saman peneroka-peneroka itu, mereka berjaya juga mendapatkan perahan dengan peratusan yang lebih tinggi dari dahulu, tetapi apabila peneroka-peneroka yang menyaman Felda memperolehi gantirugi, maka peneroka-peneroka UMNO itu akan kempunan daripada gantirugi itu. Buah reject adalah satu lagi kategori saman yang akan dikemukan oleh peneroka-peneroka di Felda Jengka. Telah diperkirakan bahawa kerugian buah reject ini membawa kerugian tidak kurang dari RM50,000.00 bagi setiap seorang peneroka, dan peguam-peguam telah memasukkan kategori buah reject ini kedalam Penyata Tuntutan didalam saman yang sedang diproses untuk dikemukakan kepada Felda. Maka setiap peneroka akan menyaman Felda tidak kurang daripada RM100,000.00 setiap orang. Masa masih belum terlewat untuk Felda mengadakan rundingan dengan peneroka-peneroka dan dibawah rundingan ada kemungkinan peneroka-peneroka boleh menerima pampasan yang sedikit kurang dari jumlah yang dituntut. Bola sudah ditendang ke gol Felda, terserah kepada Felda untuk menendang kembali! |
Nostaqia 1980-an, dan Melayu mudah takut... Posted: 22 May 2011 03:58 PM PDT "Saya bukan tak sokong perjuangan ini, saya tahu jika perjuangan ini berjaya, saya dan peneroka-peneroka lain juga akan mendapat faedahnya" adalah percakapan umum dari kalangan peneroka-peneroka Felda di tahun-tahun 1980-an apabila satu perjuangan besar untuk menuntut supaya setiap peneroka Felda dianugerahkan geran secara individu untuk ladang dan kawasan kampong mereka. Dan majoriti daripada mereka menyatakan, "Buatlah apa yang patut, saya menyokong dari belakang." Rata-rata inilah pandangan bagi mereka yang mengambil sikap positif terhadap perjuangan itu. Mereka takut, apa yang mereka takutkan? Mereka takut disingkirkan dari rancangan Felda, mereka takut kepada tekanan yang didatangkan oleh JKKR, mereka takut kepada Ketua Blok, mereka takut kepada Pengurus Rancangan, mereka takut anak-anak mereka tidak mendapat bantuan pelajaran, mereka takut walau pun didalam lubuk hati mereka, apa yang diperjuangkan itu adalah untuk kepentingan mereka. Perasaan takut ini adalah dari kalangan mereka yang positif menyambut perjuangan. Di sebelah sana pula, iaitu disebelah mereka yang dipelopori oleh UMNO, mereka bukan sahaja takut, bahkan mereka menjadi agen pengugut. UMNO diperingkat cawangan-cawangan merupakan agen penentang perjuangan untuk peneroka. Apabila mereka dihadapkan kepada persoalan samada mereka mahukan geran bagi tanah mereka secara individu, mereka rata-rata menjawab, "Nak buat apa dengan geran tanah secara individu, bukan boleh buat makan, kalau Kerajaan sudah tetapkan geran tanah secara berkongsi seramai 20 orang atas nama koperasi, maka itulah yang terbaik." Memang sukar untuk memberikan kefahaman kepada peneroka-peneroka supaya mereka menerima geran tanah secara individu dan tidak dimiliki secara beramai-ramai. UMNO dan Felda mempromosikan bahawa pegangan geran secara berkongsi beramai-ramai adalah yang terbaik buat mereka, dan mereka menolak supaya geran tanah diberikan secara individu. Majlis-majlis penerangan didalam rancangan-rancangan Felda di seluruh Negara pada waktu itu banyak yang gagal kerana tekanan dan ugutan daripada Felda, JKKR, Ketua Blok dan cawangan UMNO. Disamping itu pula, pemimpin UMNO diantaranya Dr Mahathir Mohamed menyifatkan peneroka-peneroka yang berjuang untuk mendapatkan geran tanah secara bersendirian ini sebagai tidak mengenang budi, dan akhbar-akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian, tidak sudah-sudah menentang perjuangan ini dengan isu menakut-nakutkan peneroka Felda. Namun begitu segelintir daripada peneroka-peneroka ini sanggup juga kehadapan dan menjadi wira didalam perjuangan itu, ada diantara mereka yang tersingkir, dan ada diantara mereka diambil tindakan keras oleh Felda, namun tetap ada peneroka-peneroka yang berani walaupun golongan mereka itu kecil. Merekalah sebenar-benarnya wira peneroka-peneroka Felda, mereka sanggup duduk dihadapan, mereka sanggup menganjurkan majlis-majlis penerangan, mereka sanggup dipulaukan oleh JKKR, Blok, UMNO dan Felda. Akhirnya perjuangan yang dipelopori oleh golongan yang kecil ini berjaya apabila En Ghafar Baba, Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Timbalan Perdana Menteri mengumumkan bahawa bagi mereka yang telah menjelaskan hutang mereka kepada Felda akan dianugerahkan geran secara individu. Anihnya, cawangan-cawangan UMNO di rancangan-rancangan Felda yang tidak pernah menyokong perjuangan untuk mendapatkan geran secara individu, mengalu-alukan pengumuman dari Ghafar Baba dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan seolah-olah merekalah yang mempelopori perjuangan itu, itulah muka tak malu UMNO dan sikap hipokrit mereka! Satu "hurdle" (halangan) telah dapat diatasi dengan kemenangan bagi pihak peneroka berhubung dengan isu hak milik individu terhadap geran tanah mereka. Namun begitu bukanlah semudah itu Felda mahu melepaskan geran secara milik individu ini, dan sehingga hari ini puluhan ribu daripada peneroka-peneroka yang sudah menjelaskan BK dan sudah menjelaskan CAC masih belum menerima geran-geran tanah mereka. Felda masih mahu mengongkong peneroka-peneroka Felda dan perjuangan peneroka dibidang ini iaitu memperolehi geran secara individu masih belum berakhir! |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan