Jumaat, 13 Mei 2011

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Felda, Nostalgia 1980-an, Felda tunjuk wayang gambar disebelah Ceramah PAS

Posted: 11 May 2011 02:59 PM PDT

PAS Cawangan Felda Jengka 4, Maran, dipimpin oleh seorang pemimpin yang tidak asing lagi di Maran. Beliau pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Temerloh Timur dan apabila Maran menubuhkan Bahagiannya sendiri setelah Maran menubuhkan kawasan Daerah pentadbirannya berasing dari Daerah Temerloh, Haji Mahusin masih memegang beberapa jawatan didalam UMNO Bahagian Maran.

Perubahan berlaku kepada Haji Mahusin apabila beliau merapati Tuan Guru Haji Mohd Baqi yang pada waktu itu baru pulang dari Timur Tengah, seorang Ulama yang terkenal di Pahang, dan beliau telah dipilih ke pelbagai jawatan didalam PAS Negeri Pahang seperti Ketua Dewan Ulama PAS Pahang dan Pesuruhjaya PAS Pahang.

Pada waktu itulah Haji Mahusin yang berasal dari Chenor, Pahang - sekampong dengan TGHMB, menyertai PAS, dan ramailah ahli-ahli UMNO khususnya dari Chenor dan Felda Jengka 4 turut menyertai PAS.

Saya banyak kali dipanggil berceramah ke Felda Jengka 4 kerana disana terdapat Cawangan PAS yang sangat aktif.

Memandangkan bahawa Ketua Cawangan PAS itu terlalu aktif, maka, Pengurus Felda Rancangan Jengka 4 telah memanggil mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib untuk menyingkirkan Haji Mahusin.

Mengikut undang-undang Pengurus Rancangan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengambil sebarang tindakan terhadap Haji Mahusin, dan apa yang dilakukan oleh Haji Mahusin tidak ada kena mengena dengan Felda jauh sekali dengan Pengurus Rancangan.

Sebagai ahli sebuah parti politik yang berdaftar Haji Mahusin dilindungi oleh Fasal 10 Perlembagaan Malaysia dan dibawah undang-undang itu Haji Mahusin bebas mengambil bahagian didalam mana-mana parti politik yang berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan, tidak ada sesiapa, apatah lagi Pengurus Rancangan yang boleh mengambil hak Haji Mahusin untuk aktif menggerakkan PAS di rancangan Felda itu.

Saya telah dipanggil untuk berceramah dan membuat penerangan lengkap mengenai peruntukan undang-undang bersabit hak seseorang warga negara mengambil bahagian didalam kegiatan politik disamping isu-isu Felda yang menyebabkan begitu ramai berlaku penghijrahan daripada UMNO kepada PAS di Felda Jengka 4.

Memang ramai peneroka-peneroka Felda Jengka 4 hadir ke Majlis Ceramah yang diaturkan oleh PAS Cawangan Felda Jengka 4 itu, termasuk ahli-ahli UMNO, dan juga termasuk beberapa Ahli-Ahli Jawatankuasa UMNO Cawangan Jengka 4. Sdr Shahadan, AJK UMNO Cawangan Jengka 4 pun turut hadir dan menyapa saya, dan beliau menyatakan bahawa beliau tidak setuju dengan tindakan Pengurus Rancangan mahu mennyingkirkan Haji Mahusin.

Walaupun ceramah itu adalah ceramah yang dibuat didalam rumah, tetapi kehadiran melimpah keluar dan termasuk diseberang jalan setentang rumah Haji Mahusin, yang dijadikan Markas PAS Cawangan Felda Jengka 4.

Oleh kerana Pengurus Rancangan itu tidak berupaya membendung dan menghalang Ceramah itu, dan Pengurus juga tidak dapat menggunakan Polis untuk menghalang ceramah itu, kerana Ceramah itu dibuat didalam Rumah, maka Pengurus yang jahat itu membuat tayangan wayang gambar di Rumah disebelah Rumah Haji Mahusin dengan menggunakan suara yang amat kuat.

Teapi teknik kami yang menggunakan gelombang radio dan tidak kurang dari 30 buah radio yang dibawa oleh ahli-ahli PAS, maka suara dari Wayang Gambar di kawasan Rumah sebelah itu tidak menjadi halangan kepada Ceramah PAS Jengka 4, bahkan jauh lebih ramai mereka yang berada mendengar Ceramah dari menonton wayang gambar.

Inilah peranan yang dimainkan oleh Pengurus Rancangan Felda. Apakah isu Felda yang sangat ditakuti oleh Felda dan tidak mahu isu itu diterangkan kepada masyarakat Peneroka pada waktu itu akan saya terangkan setelah selesai semua siri-siri Nostalgia ini.


Tiada ulasan: