The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
- Jawatankuasa Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR Negeri Sembilan
- Mansuhkan Felda Plantation! Beri Ladang dan Rumah Kepada Generasi Baru Felda
- Nostalgia 3 - Ceramah-Ceramah PAS dihalang
- Tidak semua orang Asal tolak geran tanah
Jawatankuasa Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR Negeri Sembilan Posted: 07 May 2011 06:45 PM PDT Pengerusi Karip Mohd Salleh Timbalan Pengerusi Salam Yusof Timbalan Pengerusi Orang Asal Romani Mohamad Setiausaha Haji Baharudin Arif Bendahari Sharifudin Husin Ketua Penerangan Othman Sentul Ketua Unit Guaman T.Kumar Ketua Wanita Kamariah bt Othman Seramai 20 orang Ahli-Ahli Jawatankuasa mewakili rancangan-rancangan Felda di Negeri Sembilan turut dipilih didalam Mesyuarat Biro yang diadakan di Pejabat PKR Serting yang dirasmikan oleh YB Dato Kamarul Baharin Abas, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Sembilan. Hadir sama dalam Majlis tersebut adalah Sdr Hj Suhaimi Said yang turut membentangkan kertas kerja mengenai Group Settlement Act 1960 dan Sdr Rebin Birham, Setiausaha Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR Pusat. |
Mansuhkan Felda Plantation! Beri Ladang dan Rumah Kepada Generasi Baru Felda Posted: 07 May 2011 06:27 PM PDT Fakta 1: Peneroka Asal - 112,635 orang menghuni di 317 Tanah Rancangan diseluruh Negara. Kesaeluruhan warga Felda termasuk generasi baru sudah meningkat melebihi 1 juta orang dan hampir 800,000 orang darinya adalah Generasi Baru. Fakta 2: Jumlah terbesar daripada Generasi Baru tidak mempunyai pekerjaan tetap dengan pendapatan yang kecil. Fakta 3: Jumlah terbesar daripada Generasi Baru tinggal bersama ibu-bapa mereka tanpa rumah sendiri. Fakta 4: Sejak 1990, Felda mewujudkan Felda Plantation sebagai Estet Felda tanpa mengambil Peneroka baru. Seluas 380,180 hekar (840,000 ekar) tanah kerajaan-kerajaan negeri digunakan oleh Felda untuk Felda Plantation bercanggah dengan GSA dan ucapan Allahyarham Tun Haji Abdul Razak Hussain di Parlimen pada 27.4.1960; dan jika ladang-ladang Felda Plantation ini diukur dan dipecah-pecahkan kepada lot-lot berukuran 5 ekar, seramai 160,000 peneroka-peneroka baru dari kalangan generasi baru dapat diambil, dan mengurangkan sebahagian besar masalah anak-anak peneroka yang tidak bertanah. Dan inilah peluang kepada anak-anak peneroka untuk memiliki ladang sendiri dan tidak lagi bergantung kepada ladang milik ibu bapa mereka. Fakta 5: Perwarisan mengikut GSA hanyalah untuk satu nama dan pindaan pada tahun 2002 membenarkan 2 nama, maka anak-anak peneroka yang selebihnya didalam sesuatu keluarga peneroka itu tidak akan mendapat bahagiannya keatas tanah ibu-bapa mereka. Fakta 6: Pakatan Rakyat didalam Buku Jingganya menawarkan untuk memansuhkan Felda Plantation dalam tempoh 100 hari PR mengambil-alih Putrajaya dan ladang-ladang Felda Plantation itu akan ditawarkan kepada peneroka-peneroka baru dari Generasi ke-2 dan ke-3. Fakta 7: Tanah yang luas di Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak boleh digunakan untuk menampong peneroka-peneroka baru dari kalangan mereka yang layak termasuklah keperluan untuk orang Asal dan kaum-kaum bukan Melayu juga. Fakta 8: Untuk persediaan perlaksanaan tawaran itu, Parti Keadilan Rakyat Cabang Kuala Krau menyediakan borang-borang permohonan untuk menjadi peneroka baru apabila Pakatan Rakyat memenangi Putrajaya dan memansuhkan Felda Plantation dalam tempoh 100 hari PR berkuasa. Borang-borang boleh diambil dari Pejabat PKR Cabang Kuala Krau, No. 37 Jalan Besar, Kuala Krau dan sila hubungi 0199882115. |
Nostalgia 3 - Ceramah-Ceramah PAS dihalang Posted: 07 May 2011 05:08 PM PDT Pada tahun 80-an itu mula-mula menunjukkan kebangkitan para peneroka Felda menuntut hak mereka. Walaupun mereka mahu berunding dengan Felda mengenai masalah yang menimpa mereka, peneroka-peneroka ini dicop sebagai pembangkang, tidak bersyukur dan dianggap menentang Kerajaan. Sehingga 1984 seramai 3,605 peneroka-peneroka Felda telah disingkirkan dari Rancangan-Rancangan Felda diseluruh Negara semasa Rais Yatim menjadi Menteri yang bertanggungjawab. Penyingkiran yang dilakukan itu tidak berpandu kepada peruntukan undang-undang GSA, tetapi diatas keserakahan nafsu pimpinan UMNO semata-mata. Seseorang peneroka yang mempunyai pandangan kritikal terhadap kerajaan sudah dianggap melanggar peraturan dan diatas sebab itu semata-mata mereka dikeluarkan dari rancangan Felda kerana burukkan kerajaan. Mereka campakkan undang-undang GSA yang menyatakan bahawa peneroka-peneroka yang berdaftar sebagai penduduk adalah pemilik in expectation of title dan kuasa untuk menyingkirkan mereka tidak terletak ditangan Felda tetapi kepada "Collector" di pejabat-pejabat tanah sebagai badan sah mewakili Kerajaan Negeri. Tindakan-tindakan dari peneroka-peneroka Felda bagi menyatakan perasaan mereka dengan mengadakan ceramah-ceramah kelompok didalam rumah dihalang oleh Felda, JKKR dan cawangan-cawangan UMNO di rancangan-rancangan itu. Didalam tahun 1984 saya telah dijemput hampir setiap minggu ke rancangan Felda untuk memberikan penerangan dan diantara tempat-tempat saya dihalang memberikan penerangan adalah di Felda Palong 8, Felda Jengka 4, Felda Jengka 23 dan Felda Jengka 15. Halangan yang didatangkan oleh Pengurus-Pengurus Felda temasuklah memberi amaran kepada peneroka-peneroka yang menjadi tuan-tuan rumah untuk Majlis-Majlis Penerangan itu bahawa mereka menghadapi tindakan singkir dari Rancangan Felda. Ada peneroka yang berani dan ada yang kurang berani. Peneroka-peneroka yang berani dan sanggup menghadapi risiko meneruskan juga ceramah-ceramah di rumah mereka dan ada diantara mereka yang selepas majlis-majlis itu menerima notis didalam Borang B iaitu untuk memberi sebab kenapa mereka tidak boleh disingkirkan dari rancangan Felda. Selaku peguam juga, saya memberikan khidmat guaman percuma kepada mereka dan membawa kes-kes mereka ke Mahkamah Tinggi dan akhirnya mereka dikembalikan semula menjadi peneroka-peneroka Felda. Tetapi cubalah kita bayangkan bahawa mempunyai pandangan kritikal dan mempunyai pandangan yang berbeza dengan UMNO sudah cukup untuk dijadikan alasan peneroka-peneroka ini dipecat dari Rancangan Felda, suatu kezaliman diluar batasan kemanusiaan. Nama saya sudah menjadi "top" pada waktu itu sebagai seorang manusia yang tidak dikehendaki berada didalam kawasan rancangan Felda. Maklumat-maklumat yang saya perolehi bahawa kehadiran saya didalam rancangan-rancangan Felda adalah menjadi risiko keselamatan, dan saya menerima amaran-amaran bahawa saya akan ditangkap/tahan jika saya tidak memberhentikan kegiatan menubuhkan cawangan-cawangan PAS di rancangan-rancangan Felda dan jika saya meneruskan aktiviti memberikan penerangan kepada peneroka-peneroka. Sesungguhnya ramai dari peneroka-peneroka Felda menyertai PAS setelah mereka menghadiri majlis-majlis penerangan itu. Setelah hampir 30 tahun, dan kini apabila saya pergi ke rancangan-rancangan Felda baik di Negeri Pahang, Negeri Sembilan atau pun Johor, ada-ada saja golongan yang sudah lanjut usia menceritakan peristiwa-peristiwa yang berlaku di rancangan Felda mereka semasa saya hadir memberikan majlis penerangan atau semasa saya merasmikan penubuhan cawangan-cawangan PAS di rancangan-rancangan mereka. Apakah isunya yang saya terangkan kepada peneroka-peneroka Felda didalam majlis-majlis penerangan itu? Akan saya paparkan dihalaman blog ini setelah selesai saya menceritakan nostalgia-nostalgia tahun-tahun 80-an itu. |
Tidak semua orang Asal tolak geran tanah Posted: 07 May 2011 04:46 PM PDT Setelah pandangan Sdr Yusri Ahon dipaparkan didalam blog ini, ramai diantara pejuang-pejuang Orang Asal menalipon dan berbincang dengan saya mengenai pandangan mereka terhadap isu tanah yang mereka hadapi. Sdr Romani Mohamad dari Bukit Rok, Bera yang kini menetap di Bahau, Negeri Sembilan memberitahu saya bahawa Orang Asal sangat perlu kepada geran tanah khususnya keatas tanah kampong dimana mereka telah dirikan rumah untuk mereka dan keluarga, dan mereka juga sangat perlu kepada geran tanah keatas tanah yang mereka sudah jayakan samada dengan tanaman getah atau tanaman sawit. Kami telah jayakan tanah-tanah itu tetapi walaupun berpuluh tahun kami menjayakan tanah-tanah itu, kami tetap tidak diberikan hak keatas tanah itu, kata Romani. Ramai juga diantara Orang Asal yang menghubungi saya menyatakan bahawa Kerajaan BN meminggirkan orang Asal berhubung isu tanah. Mereka bertanya kenapa tanah mereka tidak diberikan geran seperti tanah yang dimiliki oleh kaum-kaum lain, oleh jiran-jiran mereka diperkampongan Orang Melayu? Orang Asal berpendapat bahawa jika Kerajaan boleh menempatkan begitu ramai Orang Melayu didalam Rancangan Felda dengan setiap seorang boleh memiliki dan akhirnya mendapat geran tanah keatas tanah ladang seluas 10 ekar dan tanah kampong seluas 1/4 ekar, kenapa Orang Asal tidak diberikan kemudahan yang sama? Mereka kesal kerana banyak dari kawasan-kawasan yang diambil untuk Rancangan-Rancangan Felda melibatkan kawasan-kawasan rayau dan tanah-tanah adat mereka, tetapi mereka tidak diberikan sebarang keutamaan untuk mendiami tanah-tanah itu apabila dimajukan menjadi rancangan-rancangan Felda. Mereka juga kesal kerana banyak dari kawasan-kawasan yang dulunya digazetkan sebagai Rezab Orang Asal kini sudah ditarik balik dan kawasan-kawasan itu tiba-tiba menjadi tanah kerajaan negeri dan diluluskan pula kepada orang-orang kaya memilikinya; dan ada pula tanah yang ditarik balik gazet itu diwartakan pula sebagai Rezab Perhilitan, dan dikawasan-kawasan Rezab Perhilitan itu dilarang samasekali Orang Asal memasukinya walaupun disana terdapat paya dan kebun getah mereka tempat mereka mencari rezeki. Pandangan yang dibawakan oleh Yusri Ahon bahawa Orang Asal tidak mahukan geran tetapi mahukan tanah mereka di Wartakan adalah berhubung dengan tanah-tanah yang dahulunya dikenali kawasan rayau dan tanah-tanah adat. Kebanyakan Orang Asal mahukan tanah-tanah itu diwartakan dan dilarang kepada pihak lain dari mencerobohnya. Tetapi amalan Kerajaan Malaysia pada hari ini tidak lagi mewartakan tanah seumpama itu dan tanah-tanah yang semasa Inggeris dahulu sudah direzabkan sebagai Rezab Orang Asal telah ditarik balik oleh kebanyakan Kerajaan-Kerajaan Negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional. Maka sumber yang lebih menghampiri dengan kehendak Orang Asal adalah mereka mahukan tanah kampong dan tanah ladang mereka diberikan geran dan disamping itu mereka mahukan supaya tanah-tanah yang menjadi kawasan rayau dan tanah adat mereka diwartakan sebagai Tanah Rezab Orang Asal dan mereka menyandarkan harapan mereka kepada Pakatan Rakyat untuk memperjuangkan hak mereka. |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan