The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
- Al-Fatihah Untuk "Pak Mat"
- Menyingkap Perjuangan Yusof Sukarno dari Felda Jengka 10
- TANAM SEMULA: Bagaimana Peneroka FELDA DITINDAS!!
Posted: 05 May 2011 06:00 PM PDT Siapakah Pak Mat ini? Ia mewakili seseorang Peneroka Felda. Semasa ia menyertai Rancangan Felda, umurnya masih muda, dan mempunyai tenaga. Dan beliau adalah seorang peneroka Felda yang rajin dan kebunnya berjaya. Setelah 20 tahun beliau menjadi seorang Peneroka, beliau telah berjaya menjelaskan semua hutangnya dengan Felda, dan beliau impikan satu masa depan yang cerah dan cemerlang, kerana setelah berjaya menghabiskan hutangnya, maka beliau mempunyai hajat untuk mennunaikan Haji ke Mekah bersama isterinya. Setelah 20 tahun, Pak Mat bersetuju supaya kebunnya ditanam semula oleh Felda. Pak Mat diberikan gambaran bahawa apabila beliau menanam semula melalui Felda beliau tidak perlu buat apa-apa. Semuanya dibereskan oleh Felda. Pak Mat hanya mengambil elaun sara hidup sahaja daripada Fdelda. Peringkat awalnya elaun sara hidup itu kecil sahaja iaitu RM250.00 sebulan, kemudian dinaikkan kepada RM550.00, kemudian dinaikkan lagi kepada RM900.00 sehinggalah pokok sawitnya mengeluarkan hasil dan Pak Mat diberikan Rm1500.00 elaun sara hidup. Pak Mat tak perlu buat apa-apa. Setiap bulan dia terima elaun sara hidup sebanyak Rm1500.00 dan beliau berasa bertuah kerana tanpa buat apa-apa kerja dan menghabiskan masa di kedai-kedai kopi di rancangannya dia boleh berpendapatan RM1500.00 sebulan. Alangkah bertuahnya hidup ini yang tak perlu buat apa-apa tetapi dibayar elaun sara hidup. Pak Mat, sebagai seorang yang bertimbang-rasa, sentiasa melahirkan rasa simpatinya kepada rakan-rakannya yang menjalankan tanam sendiri bersendirian. Alangkah letihnya mereka itu, terpaksa menjalankan kerja-kerja dikebun, dan mengeluarkan buah sawit bersendiri, sedangkan Pak Mat dengan rakan-rakannya yang tanam melalui Felda boleh relax sepanjang masa. Pak Mat mula terasa terhimpit apabila wujud beberapa keperluan didalam hidupnya dan elaunnya yang RM1500 itu dibuat pula beberapa potongan dan apa yang dia terima setiap bulan bukanlah RM1500 tetapi hanya sekadar RM850. Dia berasa sangat pelik kenapa disaat harga sawit meninggi elaunnya masih juga ditakok yang sama. Pak Mat mulalah bertanya-tanya dengan rakan-rakan tanam semula bersendirian. Alangkah terkejutnya beliau bahawa ada diantara rakan-rakan itu boleh berpendapatan hingga RM15,000 sebulan ketika harga sawit meninggi dan pendapatan mereka tidak pernah jatuh dibawah RM4000 sebulan walaupun harga sawit menurun dan buah sawit melawas. Pak Mat mula resah. Dia pergi bertemu dengan Pengurus Rancangan dan menyatakan hasratnya untuk keluar dari bersama Felda dan menjalankan kerjanya bersendirian seperti rakan-rakannya yang tidak menanam melalui Felda. Pengurus Felda itu dengan wajah yang bersahaja menyatakan kepada Pak Mat bahawa Felda tidak ada halangan untuk Pak Mat buat sendiri dan tidak melalui Felda. Tetapi untuk berbuat demikian, Pak Mat kenalah membayar hutangnya dahulu kepada Felda. Tak ada masalah bagi Pak Mat untuk bayar hutangnya dengan Felda, dan dia menjangkakan bahawa hutangnnya hanyalah sedikit kerana dia tahu pengeluaran dari kebunnya adalah banyak dan pendapatan dari kebunnnya itu boleh mencapai tidak kurang dari RM6000 sebulan tapi beliau hanya dibayar elaun sara hidup sebanyak RM1500 sebulan. Amatlah memeranjatkan Pak Mat apabila dia diberikan Penyata Hutangnya sudah sudah melebihi RM85,441.68. Hampir pengsan Pak Mat melihat penyata itu. Dia cuba memberitahu Pengurus itu bahawa Felda tentu sudah tersilap, dan Pengurus itu dengan wajah tenang menyatakan tidak ada kesilapan dan diturunkan seperti berikut: RUMUSAN PENYATA HUTANG Jumlah Hutang RM55,360.75 Baki Kos Bersih (jumlah pinjaman peneroka) RM55,360.75 Jumlah faedah (6.25%/15 tahun) RM30,080.88 Jumlah Hutang keseluruhan RM85,441.63 Anggaran bayar kembali (BK) sebulann RM 474.68 PERKIRAAN BK Loan amount RM55,360.75 Loan Period 15 tahun Interest Rate 6.25% Jumlah faedah RM30,080.88 Jumlah Pinjaman RM85,441.63 Monthly instalment RM 474.68 Ini belum masuk lagi insuran ladang, bayaran jalan pertanian, bayaan keceriaan kampong, khairat kematian, dll yang ditetapkan oleh Rancangan. Tiba-tiba meleleh peluh keluar dari dahi Pak Mat. Beliau betul-betul merana. Sakit jantungnya dan darah tinggi serta kencing manisnya mula mengikis usianya. Dan pada Hari Jumaat itu sementara peneroka-peneroka lain pergi ke Masjid untuk Solat Jumaat Pak Mat menghembuskan nafasnya yang terakhir sewaktu isterinya yang sudah tua itu berada didapur menyiapkan makanan tengah hari. Al-Fatehah buat Pak Mat. Moga-moga hasratnya untuk menunaikan Haji ke Mekah itu diterima oleh Allah swt. Harimau mati meninggalkan belang, Pak Mat mati meninggalkan hutang. |
Menyingkap Perjuangan Yusof Sukarno dari Felda Jengka 10 Posted: 05 May 2011 05:30 PM PDT Nama Yusof Sukarno adalah tidak asing kepada pejuang-pejuang tanam semula bersendirian tanpa melalui Felda. Saya berpeluang bekerja bersama-sama Yusof sebaik sahaja 6 orang Peneroka Felda di Ulu Jempol Maran di awal 1980-an diambil tindakan oleh Felda apabila mereka enggan menanam semula melalui Felda. Mereka enggan menanam semula melalui Felda kerana mereka tidak mahu dibebankan dengan hutang baru. Felda telah memecat mereka dari Rancangan, dan melalui suatu tindakan Mahkamah, mereka dapat dikembalikan menjadi Peneroka Felda. 6 orang peneroka ini cuba menanam sendiri, tetapi oleh kerana tidak ada panduan maka tanaman mereka kurang berjaya. Yusof Sukarno telah mengkaji dari kegagalan ini, dan beliau telah mengemukakan suatu sistem tanam semula dimana peneroka-peneroka tidak dibebankan dengan hutang disamping itu mereka juga akan memperolehi pendapatan sehinggalah sawit yang mereka tanam mengeluarkan hasil. Kami telah bincangkan bersama sistem baru ini sebagai usaha kami untuk memberi bantuan kepada peneroka-peneroka yang mahu tanam semula secara bersendirian dengan kos yang rendah dan tidak menanggung hutang disamping masih mempunyai pendapatan dari kebun-kebun mereka. Saya namakan sistem ini Sistem Penanaman Sawit Yusof Sukarno. Yusof adalah seorang Peneroka di Felda Jengka 10. Manusianya sangat simple. Jarang sekali beliau pakai seluar tetapi memadai dengan berpakaian kain sahaja. Pandangannya luas dan mempunyai visi yang jauh untuk peneroka-peneroka. Kami berganding bahu bagi mempromosikan sistem Penanaman Sawit Yusof Sukarno ini sehinggalah pada tahun 1985 saya ditahan dibawah ISA dan Yusof dan selepas dibebaskan dari tahanan ISA saya dikenakan pula Tahanan Terhad didalam rumah di Melaka selama 2 tahun lagi dan Yusof meneruskan promosi ini. Sistem yang kami kemukakan ini adalah seperti berikut: (a) 10% dari pokok kelapa sawit tua hendaklah dibunuh (diracunkan) sementara anak-anak sawit ditanam dicelah-celah pokok yang tua. Tujuannya supaya memberi secukup cahaya untuk anak-anak sawit itu memmbesar. (b) didalam tempoh satu tahun berikutnya, antara 20% ke 30% lagi pokok sawit tua dibunuh untuk memmberi ruang kepada anak-anak sawit membesar. (c) kerja-kerja mencuci dan membaja hendaklah dijalankan untuk membesarkan anak-anak sawit itu. (d) apabila anak-anak sawit itu sudah berumur 2 tahun maka 20% lagi pokok tua dimusnahkan. (e) anak-anak sawit mula berbuah apabila cukup 3 tahun dan pada waktu itu pokok-pokok tua boleh dihapuskan kesemuanya atau hanya ditinggalkan sedikit lagi. Apakah kebaikan sistem ini? (a) Sementara anak-anak sawit membesar peneroka-peneroka masih boleh mengambil hasil dari sawit yang tua dan oleh kerana itu mereka masih mempunyai pendapatan untuk keluarga masing-masing. (b) pembajaan yang dibuat juga memberikan menfaat kepada pokok yang tua dan pokok yang baru ditanam. (c) Kos tanaman semula adalah kecil. (d) Peneroka-peneroka tidak dibebankan dengan sebarang hutang. (e) Pendapatan yang diperolehi daripada kebun masing-masing jauh lebih tinggi dari mereka yang tanam melalui Felda (boleh melebihi 2 kali atau 3 kali ganda). Yusof Sukarno sudah pun meninggalkan kita semua, tetapi jasa Allahyarham Yusof Sukarno adalah besar dan sukar dibalas. Marilah kita sama-sama mendoakan agar Roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama mereka yang soleh. |
TANAM SEMULA: Bagaimana Peneroka FELDA DITINDAS!! Posted: 05 May 2011 04:52 PM PDT * Felda enggan serah Wang Tanam Semula kepada Peneroka yang urus kebun mereka secara bersendirian sedangkan setiap peneroka telah mencarum dalam Tabung Tanam Semula. * Felda sewenangnya memotong separuh Wang Caruman Tanam Semula (RM17,000) tanpa persetujuan peneroka atas alasan peruntukan imput pertanian. * Felda tidak membayar Wang Tanam Semula sebagaimana pakej berjadual yang dipersetujui. * Felda sembunyikan maklumat mengenai insentif tanam semula yang diberi oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). * Felda tidak salurkan Bantuan Tanam Semula kepada Peneroka yang diperuntukkan oleh Risda. * Felda tidak sediakan Penyata Lengkap kos pembangunan tanam semula hingga hutang peneroka begitu tinggi dan tidak munasabah. * Hasil jualan kayu getah tua tidak disalur terus kepada peneroka, sebaliknya masuk ke akaun Felda serta dibuat pemotongan sesuka hati. * Kos tanam semula dengan Felda jauh lebih tinggi/mahal berbanding kos tanam semula oleh Sime Darby, IOI, dan sebagainya. * Felda mengambil masa yang begitu lama, sekitar 2 tahun hingga 4 tahun selepas sawit dan getah mengeluarkan hasil untuk membuat pembayaran penuh. Ia juga tiada disertakan Penyata lengkap. MAHKAMAH TINGGI KUANTAN MEMUTUSKAN PENEROKA BERHAK DAPAT BAYARAN TANAM SEMULA RM1,700 SETIAP EKAR DARI FELDA WALAUPUN MEREKA TIDAK MENANAM SEMULA LADANG MEREKA MELALUI FELDA. IA BERIKUTAN SAMAN 10 PENEROKA FELDA SUNGAI KOYAN 2 DAN 3 TERHADAP FELDA KERANA ENGGAN MEMBUAT BAYARAN ITU KEPADA MEREKA. HAKIM JUGA MENOLAK HUJAH PEGUAMBELA FELDA YANG MENYATAKANPENEROKA TIDAK BERHAK MENDAPATKAN JUMLAH ITU KERANA CARUMAN MEREKA TIDAK MENCUKUPI. (dipetik dari Risalah Felda Perihatin - Harapan Baru untuk Peneroka - yang dikeluarkan oleh Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal Parti Keadilan Rakyat) |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan