Jumaat, 13 Mei 2011

BULETIN RAKYAT

BULETIN RAKYAT


Selepas balairaya Sg Choh Stesyen terbakar, rumah guru KAFA terbakar...

Posted: 24 Feb 2011 08:05 PM PST

SERENDAH - Seorang Guru Kelas Asas Fardhu Ain (Kafa) tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya di Kampung Seri Serendah di sini, musnah dalam kebakaran berlaku lewat petang kelmarin.

Khairul Hisyam Othman yang telah berkhidmat selama 10 tahun sebagai guru Kafa di sini, hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan rakannya kira-kira jam 6 petang.

"Saya sudah hendak pulang ke rumah sebelum rakan saya telefon mengatakan rumah terbakar.

"Saya bergegas pulang dan setibanya di rumah, jiran-jiran memenuhi perkarangan rumah namun saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana api marak terlalu pantas," katanya.

Khairul yang tinggal berseorangan berkata, segala peralatan peribadinya seperti komputer riba, fail kerja dan dokumen pengenalan diri termasuk televisyen serta perabot rumah musnah sama sekali.

Katanya, api dapat dikawal beberapa minit kemudian dengan bantuan dua jentera Bomba dan Penyelamat Rawang dan Kuala Kubu Bharu.

Dia masih belum mengetahui punca kebakaran itu, namun tidak menolak kemungkinan berpunca daripada litar pintas.

"Kebakaran kerap berlaku di kampung ini dan kebanyakannya berpunca daripada litar pintas. Justeru, saya harap pihak berwajib memantau keadaan ini terutama sistem pendawaian elektrik yang dikatakan bermasalah," katanya.

Sementara itu, jiran mangsa, Rusni Supaat ketika ditemui berkata, pada awalnya dia tidak menyedari kejadian itu kerana menyangka bunyi letupan yang didengar beberapa kali adalah mercun.

Tetapi katanya, setelah terasa bahang panas dia lantas keluar dan melihat rumah jirannya terbakar.

"Saya segera menghubungi bomba sementara jiran lain membantu memadam api menggunakan paip getah," katanya

Pegawai Daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahlan, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyalurkan bantuan sewajarnya ketika melawat mangsa semalam.

Tiada ulasan: