Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA |
- Pakatan jangan bubar Dun jika PRU tahun ini
- AmResearch: RON95 dijangka naik 20 sen bulan depan
- UMNO BN Perkuda Eskay Serang Anwar
- Bidang Kuasa Pantau Cerun Rumah Anak Yatim Di Bawah Kerajaan Pusat
- BN Cuba Daftar Rakyat Thailand Di Tumpat, Dakwa PAS
- PKR cuba tarik SAPP sertai Pakatan
- Kenapa kos loji kumbahan meningkat RM500 juta?
- DAP lancarkan portal berita Melayu Roketkini
- MP tuntut ketelusan dalam kontrak IPP
- SPR mahu sekat keputusan awal p'raya
Pakatan jangan bubar Dun jika PRU tahun ini Posted: 24 May 2011 01:45 AM PDT KUALA LUMPUR, 24 Mei: DAP akan mencadangkan kepada pucuk pimpinan Pakatan Rakyat supaya kesemua negeri Pakatan tidak membubarkan Dun masing-masing jika pilihan raya umum diadakan tahun ini. Roketkini.com melaporkan keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP di sini malam tadi. Menurut Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (gambar) pucuk pimpinan parti lebih cenderung untuk tidak membubarkan Dun bagi membolehkan pemusatan tenaga dan jentera dalam menghadapi Barisan Nasional. "Ia juga bertujuan memastikan usaha Pakatan Rakyat untuk memenangi semula Perak dapat ditumpukan sepenuhnya," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. Bagaimana pun, beliau menjelaskan, keputusan sama ada untuk sama-sama membubarkan Dun atau tidak, sekiranya PRU diadakan tahun ini, akan dibuat bersama oleh pucuk pimpinan Pakatan tidak lama lagi. Pakatan menguasai Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. Perak dimenangi secara sah oleh Pakatan dalam PRU 2008 tetapi dirampas secara haram oleh Umno dan BN setahun kemudian. Menurut Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, kajian terbaru yang dibuat oleh Pakatan negeri itu menunjukkan PAS, DAP dan PKR mampu memenangi 33 daripada 59 kerusi Dun Perak. "Dalam PRU 2008, kita menang 31 kerusi dan berjaya bentuk kerajaan. Selepas BN rampas Dun Perak, kajian yang kita buat menunjukkan jika pilihan raya negeri diadakan pada ketika itu, kita mampu menang sehingga 40 kerusi, iaitu menang dua pertiga majoriti," katanya. Beliau menambah, keadaan pada masa itu menggambarkan kemarahan para pengundi Perak berikutan taktik kotor Umno dan BN. Beliau menjelaskan, walau pun kajian terbaru menunjukkan kemungkinan pengutan kerusi berkurangan, ia adalah lebih baik daripada keputusan yang Pakatan catatkan pada 8 Mac 2008 dan terus menjamin kemenangan. Sebelum itu, Guan Eng menyatakan pucuk pimpinan DAP mengulangi pendirian bahawa parti tetap menyokong kepimpinan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak, kini dan sekiranya Pakatan kembali menguasai negeri itu. Sumber: Harakah Daily |
AmResearch: RON95 dijangka naik 20 sen bulan depan Posted: 24 May 2011 01:40 AM PDT KUALA LUMPUR 24 Mei — AmResearch menjangkakan harga petrol RON95 mengalami kenaikan 20 sen bulan depan, mencecah RM2.10 seliter, selepas kos subsidi meningkat tiga kali ganda kesan pergolakan politik di rantau Timur Tengah dan utara Afrika. Firma penyelidikan pelaburan itu menganggarkan Putrajaya kini memperuntukkan subsidi sehingga 90 sen seliter bagi petrol RON95 berbanding 30 sen seliter yang disasarkan selepas harga minyak mentah dunia naik sehingga AS$99 setong daripada AS$79 setong tahun lalu — hampir sama dengan paras AS$100 setong pada 2008. Kali terakhir harga RON95 naik ialah pada Disember lalu sebanyak lima sen kepada RM1.90 seliter. RON97 sudah naik empat kali tahun ini termasuk awal bulan ini untuk dijual RM2.90 seliter sekarang. Minggu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kenaikan harga petrol RON95 mungkin berlaku dan oleh itu, rakyat perlu bersedia untuk menghadapinya. Beliau berkata kemungkinan itu adalah memandangkan kajian mengenai rasionalisasi subsidi dijangka dibuat sekali lagi bulan depan. Sumber: Selangorkini |
UMNO BN Perkuda Eskay Serang Anwar Posted: 24 May 2011 01:35 AM PDT SHAH ALAM 24 MEI : Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul menganggap temuramah salah seorang trio 'Datuk T', Datuk Syazryl Eskay Abdullah sebagai 'kuda tunggangan' UMNO BN yang digunakan bagi tujuan memfitnah Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim. Malah menurut Johari, temuramah ekslusif Eskay yang disiarkan dalam Utusan Malaysia hari ini sebagai tidak benar dan bercanggahan dengan fakta. Johari turut menegaskan PKR akan mendedahkan kepincangan Eskay tidak lama lagi. "Kena tanya orang Kedah siapa dia Eskay yang kami kenal. Kami tahu habuan yang dia dapat mungkin dari bekas Perdana Menteri, Mahathir. Kami juga tahu cara dia berniaga, yang akan didedah dalam sedikit masa lagi. Bagi saya UMNO BN gunakan Eskay sebagai kuda tunggangan mereka," katanya. Eskay sebelum ini ditemani bekas Menteri Besar Melaka, Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari PERKASA, Shuib Lazim, mengangkat sumpah 'laknat' di Masjid Amru Al-As pada 29 April lalu kononnya beliau dan Anwar terlibat dalam skandal seks seperti mana yang didedahkan mereka 21 Mac lalu. Walaubagaimanapun, Rahim dan Shuib tidak membuat sumpah laknat. Utusan hari ini, muka surat 12, menyiarkan temuramah ekslusif mereka dengan Eskay yang digambarkan sebagai seorang yang mesra dan berakhlak mulia malah digambarkan sebagai hero. Menurut temuramah tersebut, Eskay yang menjadi Konsul Kehormat Diraja Thailand dikatakan terlibat dan bertanggungjawab dalam memeterai Peta Keamanan (Peace Road Map) melibatkan semua wakil puak pemisah di bawah naungan organisasi yang dinamakan BERSATU termasuk pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO), Gerakan Mujahiden Islam Pattani (GMP) dan Barisan Revolusi Nasional-Kongres (BRN). Namun Johari yang juga bekas Pegawai Tinggi Kerajaan Pusat menegaskan, apa yang terpapar diruangan Rencana itu tidak benar sama sekali. "Dalam hal-hal keselamatan seperti ini, kita tak gunakan konsul, Konsul general kehormat dan konsul general berbeza. (Eskay) konsul Langkawi sahaja, bukan Malaysia. Fungsi Konsul General Kehormat adalah berkaitan pelancongan, kebudayaan dan sewaktu dengan itu. "Ini bukan peranan Konsul General Terhormat. Ini peranan yang dimainkan Majlis Keselamatan Negara, Polis, Tentera dan lain-lain. Saya yakin mereka yang terlibat turun akan berdiam diri kerana perkara ini 'Top Secret' (Rahsia Sulit) Kerajaan," tambah Johari. Menurut Johari fungsi Eskay hanyalah seperti 'Pengurus Acara' atau Pemandu Pelancong semata. "Saya yakin, kalau ada Menteri-menteri atau VIP ingin ke Thailand Datuk Eskay boleh jadi 'tour guide' tapi terlibat dalam hal seperti ini...seperti saya kata, saya bekas Pegawai Tinggi kerajaan," kata Johari lagi. Justeru, Johari mencabar Eskay yang menyatakan Anwar ke Thailand dengannya secara berseorangan menjelaskan dengan terperinci tarikh kedatangan Anwar ke Thailand jika benar semua tuduhan sebelum ini. "Saya nak cabar Eskay, beritahu bila tarikh Anwar ke Thailand. Sebab dia kata Anwar pergi sendirian. Sedangkan saya tahu tujuan Anwar ke Thailand dan dengan siapa dia pergi dan apa yang dia bincangkan. Dia tak akan pergi sorang," kata Johari Sumber: TVSNEWS |
Bidang Kuasa Pantau Cerun Rumah Anak Yatim Di Bawah Kerajaan Pusat Posted: 24 May 2011 01:30 AM PDT SHAH ALAM 24 MEI : Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Ronnie Liu Tian Khiew, berkata, Kerajaan Selangor melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak mempunyai kuasa untuk memantau kawasan cerun Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa. Ronnie menjelaskan kawasan tersebut luar kawalan operasi PBT dan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan pusat menerusi Kementerian luar bandar dan wilayah. "Kita tidak mahu salahkan sesiapa, kerana rumah ini telah dibina 10 tahun dahulu dan ketika itu tiada sebarang keperluan untuk membuat permohonan kepada PBT. "Kawasan tersebut juga adalah cerun ketagori 4 yang tidak sesuai dibina sebarang bangunan dan difahamkan mereka bina rumah ini secara senyap," katanya dalam satu sidang media. Menurutnya, jumlah yang dibenarkan untuk membina rumah adalah 35 darjah sebaliknya kawasan cerun tersebut rumah anak yatim itu adalah 80 darjah. Katanya, Kerajaan Negeri berusaha untuk mengenalpasti kawasan cerun merbahaya dengan lebih awal bagi mengelak perkara tidak dingini berlaku. Oleh yang demikian menurutnya, kesemua PBT diarahkan untuk menubuhkan satu bahagian cerun dalam masa sebulan bagi memantau kesemua kawasan di Negeri Selangor. "Setakad ini hanya Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sahaja mempunyai bahagian cerun, unit ini berfungsi untuk memantau kawasan dan meluluskan projek dikawasan tersebut. "Unit cerun MPAJ ini akan membuat pemantauan setiap dua bulan dan kini terdapat 28 kawasan merbahaya telah dikenalpasti," katanya. Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga menetapkan kawasan cerun ketagori tiga tidak boleh membina sebarang bangunan melainkan mendapat kelulusan dari Jawatankuasa Perancang Bandar dan Desa. Sumber: TVSNEWS |
BN Cuba Daftar Rakyat Thailand Di Tumpat, Dakwa PAS Posted: 24 May 2011 01:25 AM PDT KUALA LUMPUR 24 MEI : Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar mengesyaki Barisan Nasional (BN) cuba mendaftarkan warga asing dipercayai dari Thailand sebagai rakyat negara ini melalui operasi "MyDaftar". Kamaruddin mendakwa operasi itu akan diadakan 28 Mei ini dan beliau bimbang ia mungkin salah satu cara bagi BN untuk mendaftarkan warga asing sebagai pengundi. Suruhanjaya Pilihan Raya semalam menafikan pihaknya mendaftar warga asing sebagai pengundi. Kata beliau, selepas warga asing itu didaftarkan sebagai warganegara ia secara automatik akan membolehkan mereka mendaftar sebagai pengundi di kawasan Tumpat. "Saya dimaklumkan mereka yang mendaftarkan sebagai warganegara akan terus mendapat kad pengenalan pada hari yang sama dan kita syaki operasi ini sedang berjalan bukan sahaja di Selangor tetapi negeri-negeri lain termasuk Kelantan. "Proses daftar sebagai warganegara satu hari siap dan ini pertama kali operasi seperti ini dijalankan di sana (Tumpat), jadi kita desak supaya operasi ini dihentikan kerana ia jelas untuk wujudkan pengundi-pengundi hantu," katanya pada sidang media di sini. Kamaruddin yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat percaya warga asing yang akan didaftarkan sebagai rakyat Malaysia dipercayai dari Thailand kerana kedudukan dekat dengan Kelantan. "Kita bersempadanan dengan negara Thailand, ramai rakyat Thailand boleh berbahasa Melayu dan beragama Islam, saya yakin urusan ini seolah-olah rasmi dan mengikut undang-undang memberikan kewarganegaraan kepada warga asing ini. "Saya yakin operasi ini akan berjalan, masih berjalan dan terus berjalan kerana operasi ini baru pertama kali berlaku dan operasi mendaftarkan kewarganegaraan siap dalam satu hari pertama kali berlaku," katanya. Sebelum ini, PKR Selangor mendakwa Umno Hulu Selangor menghantar permohonan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, meminta kelulusan menukar taraf pemastautin tetap sekitar 2,000 rakyat asing bagi membantu kemenangan BN di Hulu Selangor pada pilihan raya umum ke-13. Malah kedua-dua PKR dan Umno telah membuat laporan polis mengenai isu itu. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kelantan akan mengadakan satu program pelaksanaan operasi "MyDaftar" pada 28 Mei ini di Dewan Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubur, Tumpat. Difahamkan program itu bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri rakyat Kelantan yang masih belum mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri serta bagi yang layak memohon perkhidmatan yang disediakan termasuk pendaftaran, kelahiran, kematian dan anak angkat, pendaftaran urusan kad pengenalan, pendaftaran urusan kewarganegraan, khidmat nasihat semua urusan JPN dan khidmat naihat oleh Jabatan Imegresen Malaysia. Kata Kamaruddin, pihaknya akan memantau program itu bagi mengelakkan pendaftaran kewarganegaraan warga asing.-The Malaysian Insider |
PKR cuba tarik SAPP sertai Pakatan Posted: 24 May 2011 01:20 AM PDT PKR mengesahkan pihaknya kini sedang berusaha untuk menarik bekas parti komponen BN - Parti Maju Sabah (SAPP) - untuk menyertai Pakatan Rakyat. Bagaimanapun, menurut naib presiden PKR, Tian Chua, belum ada kata sepakat yang berjaya dicapai setakat ini. "Kami masih di peringkat rundingan," katanya tanpa menyatakan butiran terperinci usaha itu. Semalam, SAPP dilaporkan bersedia mengadakan rundingan dengan Pakatan bagi mencari jalan untuk menentang BN di Sabah pada pilihan raya umum akan datang. Parti itu telah membentuk sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan naib presiden Dullie Marie bagi mengadakan perbincangan dengan panel tiga anggota Pakatan dari parti DAP. Dalam sidang media minggguan PKR di ibu pejabatnya di Petaling Jaya hari ini, Tian menjelaskan rundingan itu bagi memudahkan mereka menghadapi "musuh bersama" dalam pilihan raya. "Ia masih berjalan. Harapnya akan berjaya dimuktamadkan sebelum pilihan raya umum," katanya anggota parlimen Batu itu. Nurul Izzah: Tidak sukar Ditanya sama ada benar SAPP akan menjadi parti seterusnya menyertai Pakatan selepas PKR, DAP, PAS dan Parti Rakyat Sarawak (SNAP), Tian menjelaskan bahawa ia masih "belum sampai ke situ". "Secara umumnya, dalam Pakatan, kita mengalukan sesiapa sahaja untuk bersama-sama perjuangan kita," katanya. SNAP yang menyertai Pakatan menjelang pilihan raya Sarawak baru-baru ini meninggalkan Pakatan setelah gagal dalam rundingan pembahagian kerusi dengan PKR di negeri itu. Sementara seorang lagi Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang turut hadir dalam sidang media itu berkata, tidak sukar untuk SAPP menyertai Pakatan memandangkan mereka pernah bekerjasama dalam pilihan raya kecil sebelum ini. SAPP meninggalkan BN menjelang ura-ura 16 September di mana Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mereka akan membentuk kerajaan baru persekutuan selepas tarikh itu. Sumber: Malaysiakini |
Kenapa kos loji kumbahan meningkat RM500 juta? Posted: 24 May 2011 01:15 AM PDT Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mendakwa berlaku peningkatan kos yang besar sebanyak RM500 juta dalam usaha menaiktaraf sebuah loji kumbahan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Katanya, beliau mendapat maklumat itu daripada sumber yang enggan didedahkan pada masa ini. "Buat masa ini, saya harap kementerian yang berkenaan dapat memberikan penjelasan," katanya. Bercakap dalam sidang media mingguan PKR di ibu pejabatnya di Petaling Jaya hari ini, Nurul Izzah berharap projek di loji rawatan kumbahan Pantai 2 itu dapat dijalankan dengan telus. Ini kerana, menurutnya lagi, ia melibatkan penggunaan sejumlah besar wang rakyat. Anak sulung Anwar itu juga mendakwa tiada usaha tender terbuka dibuat bagi kerja menaiktaraf itu. "Jika kementerian sudah pun berada di peringkat akhir menganugerahkan kerja-kerja tersebut, ini bermakna projek tersebut dibuat secara rundingan terus dengan kontraktor," katanya. Ditanya tentang kemungkinan berlakunya kenaikan kos ekoran anggaran RM500 juta itu dibuat ketika upacara pecah tanahnya dua tahun lalu, Nurul Izzah mengelak mengulasnya secara langsung. Beliau sebaliknya terus mendesak Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Komunikasi Malaysia memberikan penjelasan terlebih dahulu. Nurul Izzah melontarkan persoalan kenapa loji itu tidak dibina secara tertutup sebelum ini seperti amalan negara lain yang tidak lagi memerlukan pembaikan susulan. Beliau bagaimanapun mengalu-alukan usaha menaiktaraf itu bagi mengurangkan bau dan bahaya loji berkemaan kepada orang ramai. Sumber: Malaysiakini |
DAP lancarkan portal berita Melayu Roketkini Posted: 24 May 2011 01:10 AM PDT Dalam usahanya untuk menonjolkan imej sebagai parti untuk semua, DAP hari ini melancarkan portal berita bahasa Melayu - Roketkini. Portal yang memfokuskan kepada berita dan analisis itu khusus untuk menarik sokongan pengundi Melayu, yang selama ini dianggap anti-DAP. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang juga setiausaha agung parti itu, melancarkan portal berita itu dan mengumumkan Wan Hamidi Hamid (kanan) sebagai editornya. Lim memberitahu wartawan bahawaRoketkini akan menjadi wadah untuk menyampaikan dan membetulkan isu-isu yang dieksploitasi oleh pembangkang untuk memburukkan imej DAP. Beliau mendakwa, media BN telah berjaya memanipulasi persepsi palsu bahawa DAP anti-Melayu,. "Kita terima bahawa mereka telah berjaya...jadi kita mengambil usaha untuk memperbetulkan perspektif tersebut. "Ini adalah satu usaha untuk membuktikan bahawa perjuangan DAP adalah untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama," kata Lim Sumber: malaysiakini |
MP tuntut ketelusan dalam kontrak IPP Posted: 24 May 2011 01:05 AM PDT Gesaan supaya kerajaan membuka 'kontrak rahsia' dengan pengeluar kuasa bebas (IPP) kembali digiatkan apabila kerajaan mengumumkan untuk sedang menyemak semula subsidi gas yang diberikan kepada sektor ini. Idris yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri, memberitahuMalaysiakini minggu lalu bahawa beberapa kontrak telah tamat dan subsidi yang ditawarkan akan dikemukakan untuk dikaji semula. "Ia sedang dirunding semula. Rundingan sedang dibuat dan kami telah merumuskan sebahagian daripadanya. Dalam masa sepatutnya, kami akan membuat satu pengumuman," kata Idris. Masalah ketelusan dan penelitian merupakan antara sebab yang menyumbang kepada kontrak berat sebelah yang telah ditandatangani kerajaan dengan IPP generasi awal pada awal tahun 1990-an. Bagaimanapun, kesilapan ini nampaknya mungkin akan berulang kerana maklumat berhubung semakan semula kontrak sedia ada dan juga rundingan kontrak baru tidak didedahkan. "Semua kontrak berkaitan dengan subsidi dan kepentingan awam, terutama sekali dalam bidang kemudahan awam perlu diumumkan," kata ahli parlimen Klang Charles Santiago dari DAP. Beliau juga mencadangkan supaya Parlimen diberikan satu ruang untuk bersuara dalam proses perundingan dengan IPP. "Kerajaan sepatutnya mengemukakan satu cadangan perjanjian yang perlu diteliti oleh satu jawatankuasa terpilih parlimen. Setelah ia disokong oleh Parlimen barulah ia sepatutnya ditandatangani secara rasmi oleh kerajaan dan syarikat swasta. "Ini menyediakan dua peringkat penelitian – kerajaan dan Parlimen – untuk memastikan bahawa kontrak-kontrak sedemikian berada dalam kepentingan orang ramai," katanya ketika dihubungi. Sumber: malaysiakini |
SPR mahu sekat keputusan awal p'raya Posted: 24 May 2011 01:00 AM PDT Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mempertimbangkan tiga opsyen bagi mengelak sebarang keputusan tidak rasmi dihebahkan pada pilihan raya umum akan datang berikutan insiden yang berlaku pada pilihan raya negeri Sarawak 16 April lepas. Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tiga opsyen itu adalah sama ada menguatkuasakan larangan membawa telefon bimbit ke pusat penjumlahan undi, deklarasi bersumpah untuk tidak membuat apa-apa hebahan, atau semua undi dikira lewat walaupun pusat mengundi ditutup lebih awal. Katanya perkara tersebut akan diputuskan pada bulan depan. "Pengalaman kita di Sarawak, ada satu parti yang tidak bertanggungjawab menghebahkan keputusan, yang bukan sahaja menghebahkannya, tetapi juga membohongi rakyat dan pengundi Sarawak dengan menyatakan partinya telah memenangi pilihan raya tersebut. "Perhubungan ini dibuat adalah melalui telefon bimbit. Jadi, salah satu ialah mungkin kita nak tahan telefon bimbit atau mungkin ada deklarasi bersumpah atau mengira semua undi pada pukul 5 petang, tidak ada kira awal, walaupun pusat mengundi ditutup awal," katanya dalam satu temubual khas di pejabatnya di sini, baru-baru ini. Abdul Aziz, yang kecewa dengan insiden berkenaan, berkata kejadian itu berlaku kerana di Sarawak, terdapat tempat mengundi ditutup lebih awal dan pengiraan undi terus dilakukan. Sepatutnya setiap ejen parti mempunyai etika berhubung perkara itu dan tidak menghebahkan keputusan, katanya. Di Singapura, kata beliau bukan sahaja ejen parti tidak dibenarkan membawa telefon bimbit, tetapi larangan turut dikuatkuasakan terhadap pengundi negara berkenaan. Katanya SPR perlu mengambil tindakan berikutan sikap tidak bertanggungjawab dan tidak beretika, yang jika tidak dibendung, boleh menimbulkan keadaan huru-hara pada pilihan raya umum akan datang. "Sebelum SPR mengumumkan keputusan, pihak lain tidak boleh membuat apa-apa pengumuman. Itu tidak bertanggungjawab namanya. "Kita (SPR) jemput mereka sama-sama masuk dalam bilik mengira undi untuk menunjukkan ketelusan, tetapi nampaknya mereka menyalahgunakan kebebasan itu," katanya. Abdul Aziz berkata mereka menggunakan kemudahan itu untuk kepentingan politik. - Bernama |
You are subscribed to email updates from Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan