The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
Himpunan Orang Asal Kuala Krau sangat meriah dan berjaya Posted: 09 Apr 2011 06:05 AM PDT Dari jam 7.00 pagi hari ini (9.4.11) hampir 300 orang penduduk kaum Jahut dari kesemua perkampongan Orang Asal DUN Jenderak, Kuala Krau, Kg Sg Mai, Jerantut dan Kg Paya Mengkuang, Temerloh hingga jam 5.00 petang, telah berkumpul di Kg Penderas, Kuala Krau didalam program Himpunan Orang Asal Kuala Krau. Pendaftaran kehadiran mereka bermula dari jam 8.00 pagi diiringi dengan sarapan pagi. Setelah bersarapan, mereka telah beratur untuk pemeriksaan kesihatan yang disempurna oleh team dari Al-Asyifa Temerloh. Wah, cukup bagus. Hampir kesemua Orang Asal yang membuat pemeriksaan terhadap pressure "darah tinggi" dan darah "kencing manis" mendapati mereka berada didalam keadaan kesihatan yang baik. Mungkin cara permakanan Orang Asal yang lebih kepada ulam-ulaman menyebabkan kesihatan mereka didalam keadaan yang baik. Bermula dari jam 9.30 pagi, Sedr Juli dari PIKOM Negeri Selangor memberi penerangan tentang kedudukan Orang Asal Negeri Selangor. Juli memberitahu bahawa di Selangor telah ditubuhkan BBTOAS (Badan Bertindak Tanah Orang Asal Negeri Selangor) dibawah bumbung Kerajaan Negeri. Semua perkampongan Orang Asal telah dijalankan survey dari segi tanah dan kependudukan. 60 buah kampong Orang Asal telah dikenalpasti, dimana-mana kampong yang telah berjaya disukat, telah dikeluarkan geran tanah, dan penduduk Kg Gerachi dan Kg Pertak telah dikeluarkan geran tanah mereka. Kampong-kampong lain sedang menunggu untuk turut dikeluarkan geran tanah. Kerajaan Selangor bukan sahaja mengeluarkan geran tanah untuk tanah-tanah kampong, bahkan apabila kerja-kerja menyukat dapat disiapkan, tanah-tanah ladang untuk Orang Asal akan juga dikeluarkan geran tanah. Kerajaan Selangor juga merancang untuk mengisytiharkan kawasan-kawasan Rezab untuk Orang Asal bagi tanah-tanah rayau dan tanah adat. Selangor merupakan Negeri yang pertama didalam Malaysia yang mengambil tindakan yang positif untuk kepentingan Orang Asal berhubung dengan tanah mereka. Dato Fauzi Abdul Rahman yang merasmikan Himpunan Orang Asal Kuala Krau itu melahirkan rasa bangganya kerana Orang Asal Kuala Krau telah menunjukkan sikap terbuka dan sanggup hadir didalam program yang dianjurkan oleh Parti Keadilan Rakyat. Pengerusi PKR Negeri Pahang itu menyatakan bahawa dengan sikap yang ditunjukkan oleh Orang Asal Kuala Krau itu beliau yakin DUN Jenderak dimana Orang Asal mempunyai jumlah undi yang agak besar boleh dimenangi oleh calon Parti Keadilan Rakyat. Dato Fauzi menerangkan bahawa Kerajaan Negeri dibawah pemerintahan Pakatan Rakyat akan mempastikan hasil dari hutan boleh meningkat hingga beratus juta ringgit setahun, dan sejumlah dari pendapatan itu akan digunakan untuk membantu rakyat miskin dari segi permakanan dan dengan itu orang susah tidak perlu lagi membeli beras dan tepung dan sebaliknya akan dibiayai oleh Kerajaan yang berjaya meningkatkan pendapatan dari wang perbalakan. Hari ini adalah hari yang sangat hektik bagi Dato Fauzi, kerana selepas sahaja beliau merasmikan Himpunan Orang Asal itu, beliau telah meninggalkan Majlis untuk menghadiri satu Majlis lain yang dianjurkan oleh Parti Keadilan Rakyat Cabang Rompin, dan selepas di Rompin beliau terpaksa pula ke Indra Mahkota untuk Majlis yang dianjurkan oleh PKR Indera Mahkota. Sekiranya semua pemimpin PKR Pahang sanggup memikul tugas seperti Dato Fauzi Abdul Rahman, tidak ada sebab Pakatan Rakyat tidak boleh mengambil alih pemerintahan Negeri Pahang didalam PRY-13 nanti. Sehingga waktu makan tengah hari, ruang telah diisi oleh Sdr Rebin Birham, Setiausaha Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR Pusat, kemudiannya diteruskan oleh Bob Manolan, Timbalan Pengerusi Biro Masyarakat Orang Asal, Haji Suhaimi Said, Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal, dan Sdr Juli, Pengerusi Biro Orang Asal Negeri Johor. Majlis berhenti rehat untuk makan tengah hari dan solat dan disambung semula pada jam 2.00 petang, bilamana Majlis Forum Rakyat-cum-Dialog diaadakan. Ahli-ahli Panel terdiri daripada Sdr Ilam, Timbalan Pengerusi BBTOAS Negeri Selangor, Sdr Juli dari PIKOM Selangor, Batin Berat dari Banting Selangor, Sdr Bob Manolan, Sdr Ismail Leh, Pengerusi JKK Kg Bukit Gong, Pekan, Sdr Ahmad Abu, Ketua PKR Ranting Kg Beredut, Sdr Yusri Ahon, Pengerusi Biro Masyarakat Orang Asal PKR Pahang dan Sdr Ramli Lugan, Naib Ketua PKR Cabang Kuala Krau. Forum itu dipengerusikan oleh Sdr Rebin Birham. Forum itu menjadi benar-benar hidup apabila berlaku penglibatan dari para hadirin dengan soalan-soalan yang sangat relevan dengan isu semasa. Sesetengah daripada soalan itu berupa kritikan tajam kepada Kerajaan UMNO/BN dan kepada Batin-Batin yang menjadi mata dan telinga UMNO/BN dan mengenepikan masyarakat Orang Asal. Dan juga soalan-s0alan lucu seperti: Boleh tak kita basuh batin-batin ini supaya mereka memihak kepada perjuangan Orang Asal dan tidak membodek UMNO/BN dan Jabatan Kemajuan Orang Asal (Jakoa). Salah seorang daripada peserta iaitu seorang Ketua Wanita UMNO Cawangan memberikan title baru kepada Haji Suhaimi Said sebagai Tok Batin Malaysia kerana usaha dari Haji Suhaimi yang tidak jemu-jemu memperjuangkan hak dan kepentingan Orang Asal. Beliau menjemput Haji Suhaimi ke kampongnya dan bersedia mengadakan perjumpaan penduduk-penduduk kampong dan bersedia pula keluar dari UMNO untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat. Beliau membuktikan kesediaannya menyertai Parti Keadilan Rakyat dengan terus mengisi Borang Permohonan Menjadi Anggota. Suaminya, yang juga ahli UMNO dan JKK kampong juga turut mengisi borang menjadi anggota PKR. Mereka suami isteri akan menjemput pimpinan PKR dari Biro Masyarakat Orang Asal ke kampongnya untuk merasmikan penubuhan PKR di kampong mereka. Dan sebelum berpisah mereka telah masing-masing mengambil 30 borang anggota untuk tujuan membawa masuk ahli-ahli UMNO ditempat mereka untuk penubuhan 2 buah ranting satu di Paya Besar dan satu lagi di Chini. Haji Suhaimi Said menyatakan bahawa perjuangan Orang Asal yang paling besar ialah untuk mempertahankan tanah mereka; dan perjuangan PKR untuk Orang Asal adalah untuk mendapatkan geran tanah bagi tanah kampong mereka, dan begitu juga tanah ladang mereka. Disamping itu PKR perihatin terhadap kehendak Orang Asal agar tanah rayau dan tanah adat mereka direzabkan supaya tidak diceroboh oleh mana-mana pihak. Majlis yang besar maknanya kepada Orang Asal itu diakhiri dengan perasmian penutupnya Oleh Sdr Ahmad Nizam Hamid, Timbalan Pengerusi PKR Pahang dan disudahi dengan 3 laungan REFORMASI. |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan