Ahad, 24 April 2011

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Fitnah 2: Mahkamah Dengar Penggulungan Hujah Peguam Bela

Posted: 24 Apr 2011 05:35 PM PDT

Dari KeadilanDaily

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dijangka akan mendengar hujah penggulungan daripada peguam bela Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam kes Fitnah II.

Pada asalnya, mahkamah menetapkan Isnin lalu (18 April) sebagai tarikh mendengar penghujahan itu.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan penangguhan tersebut dalam satu surat bertarikh 6 April.

Kes Fitnah II itu kini memasuki peringkat penggulungan hujah kedua-dua pasukan pendakwa dan peguambela selepas kesemua saksi pendakwa dipanggil memberi keterangan.

Hakim Zabidin dijangka membuat keputusan samada pendakwaraya berjaya membuktikan wujud kes prima facie sebaik sahaja kedua-dua pihak menggulung hujah mereka

Anwar menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di kondominium Desa Damansara antara jam 3.15 petang dan 4 petang 26 Jun 2008.

Pada perbicaraan 24 Mac lalu, mahkamah menolak permohonan peguam supaya ketiga barangan yang diperoleh secara tipu helah itu tidak dijadikan sebagai bahan bukti.

Barang berkenaan iaitu tuala 'good morning', berus gigi dan botol mineral yang diambil ketika Anwar ditahan di lokap.

Dalam perbicaraan sebelum ini, saksi pendakwa yang dipanggil memberi keterangan menyaksikan pelbagai kepincangan dan percanggahan keterangan antara satu sama lain.

Qazaf : Menjawab Fitnah

Posted: 24 Apr 2011 05:12 PM PDT

Dari ABIM Selangor

Buku ini menghimpunkan karya tokoh-tokoh ulama Islam semasa tentang hukum Qazaf dan bahaya Budaya Fitnah yang berleluasa sekarang. Sejak tahun 1990-an hingga ke hari ini, fitnah seakan-akan menjadi santapan masyarakat. Media arus perdana samada tv dan akhbar mahupun media baru – blog, facebook, twitter dan seumpamanya seolah-olah bersaing menyebarkan versi fitnah masing-masing.

Zaman ini seakan-akan membenarkan andaian penyair Indonesia, Rangga Warsita (dibaca Ronggo Warsito) yang memperkenalkan istilah Zaman Edan! (zaman gila), apabila fitnah dibenarkan berleluasa menyebarkan keburukan sesiap sahaja, apa lagi musuh politik masing-masing. Kebenaran sukar dipastikan, bahkan diselewengkan dengan pelbagai cara.

Qazaf atau perbuatan menuduh zina atau liwat kepada seorang berakhlak mulia, apa lagi terhadap pemimpin yang selama ini dilihat bersih amat tidak munasabah. Qazaf adalah sebahagian daripada Hukum Jinayat Islam yang amat ketat prosedurnya kerana Allah S.W.T. sendiri menetapkan di dalam al-Qur’an yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (yang menuduh itu) 80 kali sebatan. Dan janganlah kamu menerima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik’

Bagi menjelaskan hukum qazaf dalam konteks undang-undang Islam, tokoh-tokoh ulama kotemporari berganding bahu mengeluarkan fatwa dan pandangan tentang perbuatan menyebarkan fitnah di kalangan umat Islam di negara ini.

Tulisan Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Sheikh Dr. Wahbah al-Zulhayli, Sheikh Dr. Taha Jabir al-Alwani, Dr. Halim El-Muhammady, Ustaz Rivai Batubara, dan pendirian bersama ABIM-WADAH-PKPIM dihimpunkan dalam buku ini untuk tujuan tersebut. Pandangan ini bukan sahaja untuk berusaha untuk menjawab isu fitnah, tetapi juga menjelaskan fakta hukum Qazaf sebagai rujukan umat Islam.Demi kebenaran dan keadilan, umat Islam Malaysia patut membaca buku ini supaya tidak terjebak dalam dosa besar kerana menyebarkan fitnah.

Untuk mendapatkan buku ini, sila Hubungi Kami di Talian : 019363694 / 0355118994 / 0173759080

‘Najib Kembalilah Ke Pangkal Jalan’

Posted: 24 Apr 2011 02:39 AM PDT

Dari TV Selangor

Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Kerajaan Barisan Nasional supaya lebih berusaha dalam mengurus tadbir negara Malaysia daripada ghairah melakukan politik fitnah.

Menurut Anwar, kedudukan ekonomi Malaysia dilihat semakin hari semakin meruncing akibat ketidaktelusan sistem pentadbiran negara dan pemimpinya sehingga menyebabkan keyakinan pelabur asing terus berkurangan.

“Masalahnya Najib tak terjawab. Ekonomi merudum, harga barang naik, rakyat susah. Kes pembunuhan tak jawab. Dia cuba cakap pasal pornografi, lucah. Kes Anwar dengan akhlak yang sangat buruk,” kata Anwar di hadapan lebih dua ribu rakyat Manjung dan Lumut yang menghadiri ceramah beliau semalam.

Kemunculan video seks yang didakwa mirip Anwar oleh Trio Datuk T iaitu bekas Ketua Pemuda Umno Tan Sri Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Syazrel Eskay dan bekas bendahari Perkasa Datuk Syuaib Lazim yang memaparkan tayangan tersebut di Carcosa Sri Negara Mac lalu dianggap sebagai satu lagi fitnah kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh itu oleh banyak pihak.

Malah media kawalan Barisan Nasional(BN) seperti Utusan Malaysia, TV 3 dan Berita Harian yang pro UMNO semakin rancak memainkan isu tersebut seolah-olah tiada isu semasa lain yang perlu diketengahkan yang menjadi kepentingan rakyat.

Jelas Anwar, berikutan keasyikkan media kawalan Umno itu menyiarkan pelbagai laporan palsu sehingga sanggup membohongi rakyat terdapat juga segelintir pengamal media yang turut tidak mempercayai hal itu serta tidak sanggup menanggung dosa fitnah terhadap beliau.

Menurutnya, seorang pekerja kanan Radio Televisen Malaysia (RTM) pernah bertemu beliau selepas tamat sebuah program di Selangor baru-baru ini dengan menceritakan perihal ini:

“Datuk tak kenal saya, saya dari RTM dan saya hendak minta ampun kerana mereka memfitnah Datuk, saya tak sanggup tanggung dosa itu dan saya minta maaf atas segalanya.” Saya kata “Minta ampun dari Allah SWT dan saya sedia maafkan sekiranya kamu memperbetulkan setiap kenyataan yang kamu nyatakan. Saudara Zunar turut memberitahu dan menunjukkan pesanan ringkas (SMS) kepada saya bahawa kenyataan dari seorang pemberita kanan Utusan Malaysia ada mengatakan “Sudah keterlaluan dan saya tak sanggup lagi bersama dengan akhbar melayu itu dimana saya telah bertugas selama 30 tahun dan terus-menerus memfitnah Ketua Pembangkang,” kata Anwar.

Justeru, Anwar menggesa Najib dan kepimpinannya kembali ke pangkal jalan supaya rakyat terus mendapat pembelaan khususnya didalam soal kemajuan dan pentadbiran Malaysia yang saban hari semakin teruk dibandingkan dengan negara lain di rantau ini.

“Ekonomi semakin berat. Harga minyak naik. Harga barang juga naik mendadak sementara mutu pendidikan jatuh. Pelaburan kita jatuh. Kalah dengan Thailand dan Indonesia dan tahun ini kalah pula dengan Filipina,” kata Anwar

“Dulu di ASEAN, kita nombor satu dari pertumbuhan ekonomi. Nombor 1 dari pelaburan Asing. Nombor 1 dari bursa saham. Harga barang naik. Pertambahan gaji guru-guru dan pekerja tidak setimpal dengan kenaikan harga dan inflasi.Namun semua ini dipadamkan sementara rasuah diteruskan dan kes komisyen RM 500 juta kapal selam didiamkan,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: