Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA |
- Ummi Hafilda Dan Rahim Thamby Chik Muncul Kembali: Kebetulan Atau Satu Perancangan?
- Anwar Optimis BN Bakal Tumbang Pada Pilihan Raya 16 April
- Isu Alkitab : Mufti Perak Cabar Putrajaya Batal Enakmen Halang Bukan Islam
- P'raya Sarawak: PKR Tanding 47 Kerusi
- Isu Injil belum selesai, PEMBELA akan ke mahkamah
- 'Video seks mesti ditanda eksibit parlimen'
- 'Apa kesalahan adik saya?'
- Mansor: Angin perubahaan beralih ke Sarawak
- PKR bidas tahanan ISA OKU
- Mat Sabu tawar diri tanding timbalan presiden
- Pakatan saji filem 'Hitler' di ceramah
- Polis ganggu lagi ceramah Anwar
- Kerjasama PKR- Snap runtuh tetapi masih terbuka
Ummi Hafilda Dan Rahim Thamby Chik Muncul Kembali: Kebetulan Atau Satu Perancangan? Posted: 04 Apr 2011 01:49 AM PDT Adakah kemunculan semula Ummi Hafilda Ali dan Tan Sri Rahim Thamby Chik dalam kancah politik untuk mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim berlaku secara kebetulan atau sebahagian daripada perancangan licik untuk menjatuhkan Ketua Pembangkang itu ? Selepas menyisihkan diri dari arus politik tanah air untuk lebih 10 tahun Ummi Hafilda muncul semula dalam "road show" tajaan Umno untuk mengitar sekali lagi pelbagai tuduhan terhadap Anwar. Setelah dipaksa meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka pada tahun 1994 dan gagal kembali ke persada utama Umno, kerana tuduhan merogol gadis bawah umur dan dibelit dengan dakwaan rasuah, Rahim 'mengaum" semula dengan mengibarkan video seks lucah Anwar. Kedua- duanya memberi amaran bahawa kononnya mereka mempunyai banyak pendedahan seks lain, seks yang akan terus mengaibkan Anwar. Malah, Rahim berkata Anwar tidak harus terkejut jika secara tiba- tiba lebih ramai lagi "Eskay" muncul membuat pendedahan. Ummi pun tidak mahu ketinggalan. Beliau mendakwa ada 18 video seks membabitkan Anwar. Ugutan mereka mirip kepada Senator Ezam Mohd Noor dan Datuk S.Nalakaruppan yang juga mendakwa menyimpan pelbagai bukti mengenai salah laku Anwar ketika beliau Timbalan Perdana Menteri. Apakah semua perkembangan ini hanya secara kebetulan, bahawa individu bernama Ummi Hafilda dan Rahim Thamby Chik tidak mengenali satu sama lain, malah Umno langsung tidak terlibat dalam segala fitnah dan ugutan yang dibawa oleh mereka berdua ? Bolehkah rakyat menerima bahawa Ummi dan Rahim melakukan serang hendap terhadap Anwar semata- mata sebagaimana yang didakwa mereka – untuk agama, bangsa dan negara dan bukan didorong kebencian untuk Ketua Pembangkang itu ? Dan, atau adakah imbuhan yang menanti jika misi mereka berjaya terlalu lumayan untuk ditolak? Kebetulan atau sebahagian dari perancangan? Jika kebetulan, maka adakah satu "kebetulan' juga Ummi Hafilda dan Tan Sri Rahim Thamby Chik berjumpa dengan Pengerusi Malaysia Airports Berhad Tan Sri Basir Ismail pada tahun 1998 untuk Ummi mendapatkan sebuah kontrak pengiklanan pada awal tahun 1998 ? Berikut adalah keterangan yang diberikan oleh Ummi Hafilda kepada Mahkamah Tinggi pada 23 Disember 1998 apabila beliau disoal oleh peguam Anwar ketika itu, Christopher Fernando. Fernando: Berhubung projek KLIA, adakah kamu ada berjumpa Tan Sri Basir? (Pengerusi MAB). Ummi Hafilda: Berkenaan kontrak pengiklanan itu, saya ada bertemu dengan Tan Sri Basir di pejabatnya. Fernando: Pertemuan itu diaturkan oleh Tun Daim Zainuddin dan kamu ditemani Tan Sri Rahim Thamby Chik ? Ummi Hafilda: Saya tidak bersetuju bahawa pertemuan itu diaturkan oleh Tun Daim. Fernando: Adakah kamu ditemani Tan Sri Rahim Thamby Chik? Ummi Hafilda: Saya tidak ditemani Tan Sri Rahim Thamby Chik tetapi saya telah berjumpa dengannya di pejabat Tan Sri Basir. Fernando: Apa maksud berjumpa Tan Sri Rahim di sana? Ummi Hafilda: Saya tidak pergi bersamanya, tetapi saya berjumpa dengannya di sana. Ketika ditanya apakah peranan Rahim dalam pertemuan di KLIA itu, Ummi Hafilda berkata Rahim tidak memainkan apa-apa peranan, selain bercerita hal-hal politik dengan Basir. -Berita Harian Beranjak ke 10 tahun kemudian: Rahim dan Ummi sekali lagi muncul bersama – 'secara kebetulan' untuk mengaibkan Datuk Seri Anwar. Rahim menggunakan fitnah video lucah yang dipertontonkan kepada wartawan sebelum diserah kepada polis. Manakala Ummi memakai gincu di bibir dan membetulkan tudung yang sentiasa tergelincir dari kepalanya sebelum memaki hamun Anwar dengan ayat- ayat kesat lagi fitnah. Adakah secara kebetulan ceramah- ceramah Ummi diperhebatkan, menggunakan wang ringgit dan tenaga kerja Umno manakala Rahim dilaporkan berjumpa dengan Perdana Menteri Najib Razak setelah Anwar membuat laporan polis mengenai video lucah itu. Adakah satu "kebetulan" atau disengajakan, Ketua Polis Negara menambah keaiban Anwar dengan mengesahkan video itu adalah tulen tetapi berdiam diri mengenai identiti pelakon dalam rakaman itu. Nampaknya kilang mereka-cipta fitnah seks terhadap Anwar kini beroperasi mengikut waktu kerja kedai Seven Eleven – tidak tutup malah rancak mengitarkan pembohongan dan rekayasa. Penampilan "secara kebetulan' Ummi Hafilda dan Rahim dalam melaksanakan tanggungjawab "mempertahankan maruah orang Melayu" pastinya menimbulkan hanya kecurigaan dan kesangsian berasaskan rekod lampau mereka. Persoalan yang tentunya timbul adalah kenapa dilakukan semua ini semata-mata untuk menjatuhkan Anwar? Apakah keperluan mengheret kewibawaan Umno, polis, badan kehakiman sekali lagi semata-mata untuk menjerat Anwar ? Sebagaimana yang disedari oleh Mahathir pada tahun 1998, apabila mendalangi kejatuhan Anwar ketika itu, kepemimpinan Umno sekarang yakin Anwar tidak akan luntur dalam perjuangannya untuk menamatkan pemerintahan Barisan Nasional. Justeru dua pendekatan diambil untuk menghancurkan karisma Anwar dan sekali gus melemahkan cabaran Pakatan Rakyat supaya BN kembali menang selesa pada pilihanraya umum akan datang. Satu, ialah menghumban kembali Ketua Pembangkang itu ke dalam penjara atas tuduhan liwat – seperti mana yang dilakukan di bawah pemerintahan Mahathir. Namun, Umno kali ini tidak mahu pemenjaraan Anwar mengangkat martabatnya sebagai seorang "mujahid", sebagaimana yang berlaku pada pusingan pertama. Maka, atas kesedaran itu, kilang mereka-cipta fitnah terhadap Anwar memperhebatkan pengeluaran mereka – dalam bentuk maki hamun oleh Ummi Halfilda, Mohamad Ezam dan lain- lain serta video lucah Datuk T. Segala petanda (seperti pengumuman Ketua Polis Negara mengenai "ketulenan" video lucah) menunjukkan asakan- asakan terhadap Ketua Pembangkang itu akan bertambah kuat pada hari- hari mendatang. Yang jelas kepemimpinan Umno dan aparatus mereka termasuk akhbar Utusan Malaysia dan media arus perdana yang lain akan terus mengitar dan memberi ruang utama kepada sebarang fitnah melibatkan Anwar. Ini kerana kelangsungan politik Umno bergantung kepada kejayaannya memadamkan nama Anwar Ibrahim dari persada politik tanah air dengan apa cara sekali pun. Sumber: TVSNEWS |
Anwar Optimis BN Bakal Tumbang Pada Pilihan Raya 16 April Posted: 04 Apr 2011 01:48 AM PDT SIBU 4 APRIL : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat negeri Sarawak samaasa Melayu, Cina, Iban, Kadazan, Orang Ulu, Dayak dan sebagainya bersatu hati menentang pemerintahan korup UMNO BN dinegeri itu. Anwar menegaskan perubahan tidak akan berlaku jika hanya didominasi oleh satu bangsa atau suku kaum sahaja. "Kita tidak boleh berjaya jika satu kaum sahaja berkuasa. Orang Melayu, Melanau, Cina, Iban, Kedayan, Orang Ulu semuanya mesti berkerjasama sebagai satu keluarga besar yang berkasih sayang dan saling hormat mengharmoti. Baru apa yang kita citakan akan berjaya," tambah beliau. Anwar menzahirkan keyakinannya bahawa Pakatan Rakyat mampu menawan Sarawak berikutan rakyat negeri itu sudah muak diperkotakkatikkan kerajaan UMNO BN selama lebih 50 tahun. Justeru, Anwar menyeru rakyat negeri ini agar memberikan mandat kepada gagasan Pakatan Rakyat untuk menerajui pentadbiran negeri itu. "Sarawak sudah bersedia untuk berubah. Yang boleh buat perubahan hanyalah rakyat bukannya pemimpin korup Barisan Nasional. Saya menyeru pengundi muda terutamanya supaya memahami hakikat perubahan yang bakal berlaku dan lakukan perubahan ini dengan rasa hati dan semangat demi negeri, tanah dan hak kita," tegas Anwar yang berucap dengan penuh kesungguhan. Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam anjuran Parti Keadilan Rakyat Cabang Betong malam tadi yang dihadiri lebih 300 orang. Dalam pada itu, Anwar turut mengkritik tindakan kerajaan persekutuan yang seolah- olah tidak punya pendirian yang tetap berhubung penarikan balik larangan Kitab Injil berbahasa Melayu yang diedar di negara ini. Sebelum ini kitab tersebut ditahan dan tidak dibenarkan untuk diedarkan di negara ini. "Apa nak gaduh-gaduh. Kita mesti saling hormati menghormati antara satu salam lain. Jadi orang yang baik bukannya rompak tanah orang, curi balak, ambil rasuah, Islam jenis apa ini? Kalau BN tidak boleh urus isu agama kita mesti bagi kuasa perintah ini kepada pihak yang tahu mengurusnya (Pakatan Rakyat), " jelas beliau lagi. Negara semalam sekali lagi menerima kejutan selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala mendedahkan 10 penyelesaian dicapai bersabit kontroversi Kitab tersebut. Bukan hanya membenarkan ia dicetak di negara ini sebaliknya penganut Kristian juga dibenarkan mengimport kitab Injil dalam sebarang bahasa, termasuk bahasa Melayu/Indonesia tanpa sebarang halangan. Ia begitu kontras dengan tindakan kerajaan sebelum ini yang menahan 35,000 naskah Injil berbahasa Melayu sejak 2009 di Pelabuhan Kelang. Setelah desakan demi desakan dibuat, kerajaan kemudianya akur untuk melepaskan kitab tersebut namun bersyarat nombor siri dan cop "hanya untuk penganut Kristian" harus dipamerkan pada kitab suci penganut Kristian itu. Sumber: TVSNEWS |
Isu Alkitab : Mufti Perak Cabar Putrajaya Batal Enakmen Halang Bukan Islam Posted: 04 Apr 2011 01:44 AM PDT KUALA LUMPUR, 4 April — Tan Sri Harussani Zakaria mencabar Putrajaya membatalkan undang-undang Islam sekiranya masih bertegas mahu membenarkan penggunaan kalimah "Allah" dalam kitab Injil versi Bahasa Malaysia. Mufti Perak itu menegaskan sekiranya Putrajaya membuat keputusan untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kitab Injil itu, maka secara automatik enakmen agama Islam yang tidak membenarkan agama lain menggunakan istilah eksklusif bagi agama Islam terbatal sama sekali. Dalam kenyataan yang dikeluarkan petang kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala berkata, kerajaan pusat mengumumkan 10 formula penyelesaian, antaranya kitab Injil dalam semua bahasa, termasuk Bahasa Malaysia atau Indonesia boleh diimpot ke Malaysia bagi menyelesaikan isu Alkitab. Selain itu, Putrajaya juga memutuskan Alkitab juga boleh dicetak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. "Ini adalah perkembangan baru yang seharusnya diterima dengan senang oleh kumpulan Kristian," kata Idris. Bagaimanapun, bagi menghormati komuniti Islam yang besar di Semenanjung, kitab Injil dalam Bahasa Malaysia/Indonesia mesti tertera dengan "Penerbitan Kristian" ("Christian Publication") dan tanda salib pada kulit hadapan. Demi semangat 1 Malaysia dan akuan bahawa ramai yang berhijrah antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, tidak terdapat larangan bagi mereka yang membawa kitab Injil dan bahan bacaan Kristian semasa melawati negeri-negeri tersebut. Idris berkata, "adalah harapan saya agar jalan penyelesaian yang berdasarkan 10 aspek yang telah dikemukakan diterima oleh kumpulan Kristian secara positif, adil dan munasabah." Sehubungan itu kata Harussani, mana-mana kitab suci agama lain termasuk Kristian tidak dibenarkan menggunakan kalimah Allah dan beberapa istilah lain yang eksklusif bagi agama Islam di negara ini. "Apa yang saya tegaskan pasal kalimah Allah... kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh agama lain, di Sabah dan Sarawak tidak ada enakmen ini tapi di Semenanjung ada. "Dalam enakmen agama Islam sudah kata haram di peringkat kebangsaan, atas dasar apa kita perlu benarkan? Adakah enakmen ini terbatal? Adakah undang-undang yang kita buat ini secara automatik terbatal? "Kalau kerajaan buat macam ini, batalkan sahaja enakmen agama Islam yang ada ini... saya rasa kecewa apabila kerajaan buat macam ini, undang-undang sudah kata tidak boleh kenapa kerajaan benarkan? Kalau mahu juga batalkan sahaja undang-undang yang sedia ada sekarang," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider. Di bawah Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988, selain kalimah Allah, istilah lain yang tidak boleh digunakan bagi agama lain termasuk firman Allah, ulama, hadis, ibadah, Kaabah, dan kadi. Selain itu turut dilarang ialah ilahi, wahyu, mubaligh, syariah, kiblat, haji, mufti, rasul, iman, dakwah, solat, khalifah, wali, fatwa, imam, nabi dan syeikh Sepuluh negeri kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan mempunyai undang-undang Syariah yang menghalang penggunaan kalimah Allah sama ada secara lisan ataupun bertulis bagi agama lain. Harussani antara mufti yang lantang dalam pendiriannya berkata, tindakan Putrajaya masih membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kitab Injil dalam Bahasa Malaysia itu disifatkan beliau sebagai "menghina al-Quran". "Bila kerajaan sudah buat macam ini, benarkan agama lain gunakan kalimah Allah, itu sudah menghina al-Quran. "Sebab itu saya berkeras ia tidak boleh digunakan. Apa yang saya tentang adalah pasal kalimah Allah bukan kitab Injil dalam Bahasa Malaysia," katanya. Beliau juga menegaskan buku kitab suci agama lain termasuk Kristian boleh diterjemahkan dalam Bahasa Malaysia dengan syarat tidak menggunakan istilah-istilah yang ekslusif itu. "Mengenai kitab Injil dalam Bahasa Malaysia, penganut Kristian boleh guna... tiada masalah jika mereka mahu menghormati Bahasa Malaysia. "Itu adalah bahasa kebangsaan, semua rakyat Malaysia boleh guna, jadi kena pegang betul-betul Perlembagaan Persekutuan," katanya. Sebelum ini Mufti Selangor Datuk Tamyes Abd Wahid juga menegaskan naskhah kitab Injil dalam Bahasa Malaysia yang ditahan Kementerian Dalam Negeri di Pelabuhan Klang tidak boleh dibenar untuk dilepaskan kerana ia bertentangan dengan enakmen agama Islam negeri itu. Jelas beliau, enakmen agama Islam Selangor menyebut mana-mana kitab suci agama lain termasuk Kristian tidak dibenarkan menggunakan kalimah Allah dan beberapa istilah lain yang eksklusif bagi agama Islam di negara ini. - malaysianinsider |
P'raya Sarawak: PKR Tanding 47 Kerusi Posted: 04 Apr 2011 01:40 AM PDT SIBU 4 APRIL : Parti Keadilan Rakyat akan meletakkan calon di 47 daripada 71 kerusi pada pilihanraya negeri Sarawak 16 April ini, kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pengumuman itu menyerlahkan kemungkinan kira-kira 20 kerusi akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional, PKR dan SNAP iaitu parti politik paling lama di Sarawak. Naib Presiden PKR Tian Chua semalam mengakui pihaknya semakin sukar untuk mencapai persetujuan dengan SNAP berhubung pengagihan kerusi untuk menentang BN pada pilihanraya itu. Namun, beliau berkata PKR akan memberi laluan kepada SNAP di beberapa kawasan untuk memastikan kempen pembangkang bagi menamatkan pemerintahan 30 tahun Tan Sri Abdul Taib Mahmud tidak tersasar. Anwar menjelaskan SNAP bukan ahli komponen Pakatan Rakyat di peringkat persekutuan sungguhpun kedua-dua pihak itu sebelum ini bertekad bekerjasama di peringkat negeri. Sumber: malaysiakini |
Isu Injil belum selesai, PEMBELA akan ke mahkamah Posted: 04 Apr 2011 01:39 AM PDT Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) yang merupakan gabungan persatuan Islam utama di Malaysia sedang mempertimbangkan bagi mencabar kesahihan 'Formula Idris Jala' di mahkamah kerana didakwa mencabuli undang-undang dan perlembagaan persekutuan. Ini termasuk Perkara 3, 11(4) dan Enakmen-enakmen Kawalan dan Sekatan Penyebaran Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam dan Seksyen 298, 298A Kanun Keseksaan 1936. "Oleh itu edaran Bible Bahasa Melayubukannya suatu keputusan yang boleh dibenarkan begitu sahaja atas tekanan mana-mana pihak. "Formula Idris Jala ini jelas merupakan suatu keputusan mengalah dan menunduk kepada strategi konfrontasi, manipulasi dan mendesak yang digunakan oleh kumpulan-kumpulan Kristian untuk mencapai tujuan mereka dalam isu ini. "Pendekatan formula Idris Jala ini adalah satu trend yang tidak sihat serta akan menggalakkan berulangnya pendekatan konfrontasi dan manipulasi digunakan bagi menuntut sesuatu yang hakikatnya bercanggah dengan perlembagaan, undang-undang, sejarah dan budaya negara," kata jurucakap PEMBELA, Yusri Mohamad (atas, kanan). Kabur dan tak jelas Beliau merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, Sabtu lalu yang mendedahkan penyelesaian 10 perkara berhubung kontroversi kitab Injil. Antaranya, kumpulan Kristian di negara ini, kini dibenarkan mengimport kitab Injil dalam sebarang bahasa, termasuk bahasa Melayu/Indonesia tanpa sebarang halangan. "Kitab Injil juga kini boleh dicetak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya. Bagi, kitab Injil di Sabah dan Sarawak, tiada cap mohor atau nombor siri perlu dikenakan tetapi bagi kitab seumpama itu di Semenanjung, ia mesti tertera perkataan "Penerbitan Agama Kristian" dan lambang salib dicetak di kulit depan. "Saya berharap penyelesaian 10 perkara ini akan disambut positif oleh kumpulan Kristian kerana ia adil dan berpatutan. Kita mesti mencari penyelesaian bagi menangani isu Injil dan juga masalah lain yang ditimbulkan oleh kumpulan Kristian," kata Idris. Bagaimanapun formula itu ditentang PEMBELA yang mendakwa status keputusan itu adalah kabur dan tidak jelas. "Kita diberi gambaran bahawa di pihak kerajaan, Datuk Seri Idris Jala dan Peguam Negara diberi peranan utama sedangkan isu ini juga melibatkan kepentingan Islam dan umat Islam. Suara Islam tak diwakili "Perbincangan juga hanya diadakan dengan pihak Christian Federation of Malaysia sedangkan pihak-pihak yang mewakili suara umat Islam baik di pihak kerajaan mahupun pertubuhan-pertubuhan Islam langsung tidak diambil kira. "Kami ingin bertanya adakah ini pendekatan baru yang akan diambil oleh pihak kerajaan dalam menangani isu-isu agama?" soal Yusri. Katanya penyelesaian 10 perkara itu juga langsung tidak mengambil pandangan Jawatankuasa Kerja Mempromosi Persefahaman Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKAPA) yang diwujudkan sendiri oleh kabinet. Malah menurut PEMBELA, keputusan Idris itu seolah-olah mendahului menteri yang bertanggungjawab iaitu Datuk Seri Jamil Khir dan Tan Sri Koh Tsu Koon. Kaji semula "Justeru, PEMBELA menuntut agar formula Idris Jala ini dikaji semula dan diselaraskan kembali dengan peruntukan undang-undang dan persefahaman antara agama dan kaum yang sedia ada. "Oleh kerana isu ini boleh ada kaitannya dengan kedudukan Islam dan umat Islam, pandangan wakil-wakil Islam hendaklah diambil-kira dengan saksama dalam mencari formula yang lebih tepat. "Jika tuntutan ini tidak diberi perhatian, PEMBELA mempertimbangkan untuk mencabar kesahihan formula Idris Jala ini di mahkamah," kata Yusri lagi. Sehubungan itu, PEMBELA menyeru semua pemimpin masyarakat di negara untuk kembali menghormati persefahaman tentang kedudukan Islam dan hubungan antara agama di negara ini demi memelihara kesejahteraan dan keharmonian bersama. Sumber: Malaysiakini |
'Video seks mesti ditanda eksibit parlimen' Posted: 04 Apr 2011 01:34 AM PDT Karpal Singh hari mengulangi permintaannya kepada Speaker Deawn Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi membenarkan semua ahli parlimen menonton video yang ditayangkan di hotel Carcosa Seri Negara. Namun, kali ini beliau mahu video itu ditandakan sebagai eksibit dan semua ahli parlimen dibenarkan mengundi mengikut firasat mereka. Karpal juga menekankan bahawa Anwar mesti dibenarkan hadir untuk tayangan itu meskipun bgeliau kini digantung enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan. "Saya mahu jaminan dari Pandikar bahawa... sebelum tayangannya (video itu) ia mesti ditandakan sebagai eksibit dan menjadi sebahagian daripada prosiding Dewan dan juga sebahagian daripada Hansard sebagai eksibit," kata Karpal dalam satu kenyataan. "Tanpa jaminan ini, tidak boleh diadakan tayangan yang efektif di Dewan. Pra-syarat ini tidak boleh diabaikan. "Saya tidak mahu apa yang berlaku pada 1992 berulang," katanya. Pada 1992, Karpal menyerahkan pita video seks yang dikatakan membabitkan timbalan speaker ketika itu, Datuk DP Vijandran tetapi tiada tindakan yang diambil. Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata keputusan sama ada klip video seks yang dikaitkan dengan Anwar akan ditayangkan di parlimen atau tidak, bergantung kepada pertimbangan speaker. Bagaimanapun, katanya, keputusan itu perlu diperhalusi sebaik mungkin kerana ia tertakluk kepada pertimbangan bidang kuasa undang-undang, walaupun ahli parlimen dilindungi imuniti. |
Posted: 04 Apr 2011 01:31 AM PDT Keluarga kepada Kadir Hashim hari ini menuntut supaya tahanan ISA itu segera dibebaskan atau didakwa di mahkamah. Salah seorang abangnya, Muda, 46, berkata polis juga perlu menjelaskan kesalahan yang dilakukan oleh Kadir. "Saya dimaklumkan adik saya ditahan bawah ISA, tapi saya tak puas hati sebab saya tak tahu kenapa dia ditangkap. "Kalau dia ada lakukan kesalahan, tolong bawa dia ke mahkamah. "Kalau dia ditahan tanpa apa-apa sebab bermakna pemerintahan kita cukup zalim," kata Muda dalam satu sidang media hari ini. Kadir, 42, ditahan oleh sekumpulan lebih 10 anggota polis berpakaian preman di rumah keluarganya pada petang Jumaat lalu. Muda berkata, anggota keluarganya kini masih belum mengetahui di manakah adiknya itu ditahan. Kegiatan subversif "Saya juga tidak dibenarkan masuk ke rumah ketika beliau ditahan," katanya lagi sambil mengetap bibir menahan kemarahannya. Seorang lagi abang kepada Kadir berkata, penahanan lelaki kelainan upaya itu merupakan "kebiadapan" kerajaan yang menjalankan penahanan sewenang-wenang. "Ini bukan soalpolitik, tapi kebiadapan (kerajaan)," kata Hisham, 43. Jelasnya, polis hanya menyatakan bahawa Kadir ditahan kerana terlibat dalam kegiatan subversif. "Sebab itu terlalu umum," kata Hisham lagi. Dalam sidang media sama, peguam N Surendran turut membuat panggilan kepada seorang pegawai di ibu pejabat polis Bukit Aman. Namun, pegawai itu juga enggan menjelaskan sebab penahanan berkenaan ketika ditanya Surendran. Pegawai atasan Pegawai itu sebaliknya meminta Surendran menghantar surat bagi mendapatkan penjelasan serta membuat permohonan untuk berjumpa Kadir. Perbualan telefon yang disalurkan ke pembesar suara dalam bilik sidang media itu dapat didengar oleh wartawan. Pegawai polis yang memperkenalkan dirinya sebagai ACP Normah Ishak itu juga berkata, beliau hanyalah pegawai yang bertanggungjawab menjaga Kadir. Katanya, sebab penahanan Kadir hanya dapat dijelaskan oleh pegawai atasannya. Ketika diasak untuk memberikan nama pegawai tersebut, Normah berkata peguam perlu menulis kepada Bukit Aman terlebih dahulu. Setelah beberapa kali ditanya, Normah berkata Kadir kini sedang ditahan di salah sebuah premis Bukit Aman. Ketika didesak supaya memberitahu lokasi sebenar Kadir ditahan, Normah sekadar berkata: "Saya tak boleh beritahu." Surendran ketika mengulas perkembangan itu berkata, beliau akan memfailkan notis habeas corpus sekiranya Kadir tidak dibebaskan segera. Sumber: Malaysiakini |
Mansor: Angin perubahaan beralih ke Sarawak Posted: 04 Apr 2011 01:28 AM PDT Walaupun menafikan menunjukkan minat secara langsung untuk menawan kembali Pulau Pinang, namun kenyataan Perdana Menteri bahawa sambutan masyarakat di Pulau Mutiara itu begitu memberangsangkan terhadapnya, begitu melucukan. Ini kerana kata Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman, kehadiran Datuk Seri Najib Razak seringkali disambut hambar penduduk walaupun acara sambutannya meriah. "2,000 orang yang datang tapi tumbangkan kerbau lembu 10 ekor, ayam beratus-ratus ekor... itu pun bawa budak MRSM, politeknik, penuntut USM datang denganbas. "Penduduk tempatan tak sampai banyak itu.. orang-orang yang datang ini adakah dengan kehadiran seorang perdana menteri? "Dan yang keduanya orang yang hadir itu adalah orang yang dibawa... bukan orang yang duduk di situ. Kalau begitu, ia adalah sambutan yang tidak seberapa seperti yang didakwa oleh BN," kata Mansor. Sabtu lalu, Najib dipetik Bernama sebagai berkata, beliau yakin BN dapat merampas semula Pulau Pinang ekoran sambutan baik yang diterimanya dari rakyat Pulau Pinang ketika turun ke negeri itu. Angin perubahan beralih ke Sarawak "Suasana memihak kepada perasaan inginkan perubahan dan walaupun ia di peringkat sentimen, kita mahukan sentimen itu diterjemahkan dalam bentuk sokongan," kata Najib yang dipetik laporan Bernama. Walau bagaimanapun, semalam, tanpa diduga presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon menafikan kenyataan Najib itu sambil menjelaskan pemimpin nombor satu negara itu tidak pernah mengeluarkan kenyataan seumpama itu. Katanya, Najib sendiri menafikan laporan yang dipetik dari Bernamaitu. Mansor berkata angin perubahaan yang sebenar sedang bertiup di timur, khususnya di Sarawak, di mana sokongan terhadap Pakatan semalin meningkat. Mansor, yang juga pengerusi PKR Pulau Pinang berkata partinya yakin mampu menawan sekurang-kurangnya 14 kerusi pada pilihan raya negeri itu pada 16 April ini, manakala DAP pula dipercayai boleh merebut 15 kerusi. Beliau juga menafikan bahawa rundingan agihan kerusi parti itu dengan Snap telah tumbang dan berkata " kita akan selesaikannya". "Saya jangka tambahan sokongan kepada Pakatan berbanding 2001 (pilihan raya negeri). Ketika itu, hanya segelintir yan sokong kita, ada kalanya hanya 10 orang di ceramah kita tetapi sekarang ribuan yang hadir," katanya kepada wartawan di Bayan Baru, malam semalam. Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, Pakatan Rakyat tidak ambil peduli dengan kenyataan Najib itu. Sebaliknya, Lim berkata Pakatan bertekad untuk melipatgandakan usaha membawa perubahan di negeri berkenaan. "Pulau Pinang (pimpinan) Pakatan Rakayat akan (adakan) siri pertemuan di seluruh negeri untuk memperbaiki prestasi dengan menggandakan usaha kami demi (memberi) perkhidmatan lebih baik bagi rakyat dan (menjamin) urus tadbir baik untuk berhadapan dengan tekad Datuk Seri Najib Razak mahu menawan balik Pulau Pinang dalam pilihan raya umum akan datang. "Sama ada ada perubahan angin di Pulau Pinang yang akan membolehkan BN menang balik Pulau Pinang, itu tidak penting," kata Lim dalam satu kenyataan media. Sumber: Malaysiakini |
Posted: 04 Apr 2011 01:26 AM PDT PKR hari ini membidas penahanan seorang rakyat Malaysia, Kadir Hashim mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata, jika benar Kadir yang juga anggota Pemuda PKR terbabit dengan kegiatan militan di Kemboja, beliau perlu dibawa ke muka pengadilan dan bukannya ditahan tanpa bicara. "PKR dengan tegas dan sekeras-kerasnya mengutuk penahanan tanpa bicara Saudara Kadir Hashim yang jelas membelakangi hak asasi manusia. "Justeru, penahanan ini sebenarnya hanya bermotifkan politik dan sengaja untuk menenggelamkan isu-isu panas yang berkaitan dengan pilihanraya negeri Sarawak yang semakin hampir," katanya dalam satu kenyataan. Azizah berkata, desakan rakyat supaya kerajaan memansuhkan akta zalim itu langsung tidak diendahkan kerajaan persekutuan bahkan parti pemerintah itu semakin angkuh menahan rakyat Malaysia dengan menafikan hak mereka untuk dibicarakan. Menurutnya, jika terbukti Kadir bersalah dan terlibat dengan aktiviti militan itu, banyak akta dan undang-undang yang boleh digunapakai untuk menghukum Kadir. Umpamanya, Akta Polis, Kanun Keseksaan dan banyak lagi. Azizah turut menyifatkan penahanan Kadir yang juga seorang peniaga yang digolongkan sebagai orang berlainan keupayaan (OKU) sengaja digembar gemburkan demi menenggelamkan isu- isu panas yang dibangkitkan Pakatan Rakyat. Sumber: Malaysiakini |
Mat Sabu tawar diri tanding timbalan presiden Posted: 04 Apr 2011 01:23 AM PDT Seperti diduga, bekas naib presiden PAS Mohamad Sabu secara rasmi menawarkan diri bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti yang dijadual berlangsung pada Jun ini. Katanya, antara tujuan utama beliau menawarkan diri sekali lagi untuk bertanding adalah bagi membantu presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegakkan keadilan Islam khasnya di negeri yang diperintah Pakatan Rakyat. "Saya juga mahu membantu presiden untuk memobilasi demokrasi dan kefahaman tentang demokrasi kepada rakyat supaya mereka memilihnya untuk diamalkan di Malaysia," katanya kepada Malaysiakini selepas menyampaikan ceramah di Subang Jaya malam semalam. Menurutnya, selain itu, beliau juga mahu membantu Abdul Hadi bagi memperkukuhkan Pakatan Rakyat dengan mengukuhkan kerjasama parti dengan ahli gabungan dalam Pakatan dan juga NGO. Katanya, memperkukuhkan Pakatan dapat diterjemahkan melalui melaksanakan "tindakan politik bersama-sama untuk kepentingan rakyat". Beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat berkata antara program yang beliau dapat memberikan khidmat kepada parti adalah melalui Himpunan Bersih. Mantapkan Majlis Syura Sehubungan itu, Mohamad berjanji akan cuba "mempergiatkan lagi" berfungsi sebagai timbalan presiden sekiranya dipillih menjadi orang nombor dua dalam parti itu. Selain itu, katanya, beliau juga mahu mempermantapkan Majlis Syura supaya "betul-betul berfungsi" khususnya dalam soal menjaga displin dan mempertahan dasar parti. Dalam pemilihanPAS dua tahun lalu, Mohamad tewas kepada penyandangnya Nasharuddin Mat Isa dan bekas naib presiden Datuk Husam Musa dalam persaingan tiga penjuru. Nasharuddin mendapat 480 undi, Husam (281) dan Mohamad memperolehi 261 undi. Mengulas mengenai jumlah percalonan kawasan yang diterimanya setakat ini, Mohamad berkata, beliau belum membuat tinjauan menyeluruh berhubung perkara itu. Bagaimanapun, beliau ada mendengar beberapa kawasan "memohon" kepadanya supaya bertanding jawatan tersebut pada muktamar parti yang dijadual berlangsung pada 3 hingga 5 Jun ini. "Keputusan akhir (untuk bertanding) bergantung kepada sokongan yang diterima... Ada kawan-kawan memberi galakan (untuk bertanding)," katanya. Ibu pejabat parti menetapkan semua 179 kawasan membuat pencalonan dalam mesyuarat agung tahunan masing-masing bagi memilih pucuk pimpinan parti sehingga 10 Mei ini. Setakat ini Mohamad mendapat satu pencalonan untuk bertanding bagi jawatan itu dari kawasan Kubang Kerianyang diketuai oleh exco kanan kerajaan negeri Kelantan Datuk Husam Musa. 'Saya sahaja...' Namun, Mohamad dijangka tidak menghadapi masalah apabila beberapa lagi kawasan PAS di Wilayah Persekutuan dijangka akan mencalonkan beliau - antaranya di Batu, Kepong, Bukit Bintang dan Putrajaya. Ditanya sama ada terdapat pimpin PAS lain yang akan mencabarnya merebut jawatan itu, Mohamad enggan mengulas lanjut. "Saya kira (pencalonan) saya sahaja. Dalam PAS, ada adab berkempen (bagi individu) yang menawarkan diri... Saya tidak mahu menyentuh (hal) orang lain," katanya. Ditanya sama ada beliau takut sekiranya terdapat pemimpin tertentu dalam parti mahu mencabarnya, Mohamad berkata ia adalah perkara biasa dalam permilihan parti. "Saya biasa dicabar dan mencabar. Saya biasa memegang jawatan ketua pemuda, naib presiden dan kalah merebut timbalan presiden. "Bagi saya kalah atau menang, saya tetap hadir (dalam muktamar) sebagai pejuang parti dan jamaah," tegasnya. Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, ada sumber memberitahu Malaysiakini sekurang-kurangnya 10 daripada 22 kawasan di Selangor akan mencalonkan Mohamad merebut jawatan timbalan presiden. Bagaimanapun sumber itu enggan mendedahkan kawasan mana yang bakal mencalonkan Mohamad yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Pulau Pinang. Menurut sumber itu lagi, beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat kawasan yang akan mencalonkan penyandangnya Nasharuddin dan naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (atas, kanan) untuk jawatan yang sama. Sumber: Malaysiakini |
Pakatan saji filem 'Hitler' di ceramah Posted: 04 Apr 2011 01:20 AM PDT Walaupun Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat hadir pada ceramah Pakatan Rakyat malam semalam, kerana berkempen di Sarawak, namun kira-kira 3,500 hadirin tetap hadir memenuhi ruang stadium mini bola sepak di seksyen 13 Subang Jaya. Malah, sebelum ceramah anjuran Pakatan Rakyat Kelana Jaya dimulakan pada jam 9 malam, hadirin dihiburkan dengan sedutan beberapa minit filem yang memaparkan watak Hitler yang sedang berbincang dengan menteri dan pegawainya dalam sebuah bilik ketika ambang kejatuhan mereka. Sedutan filem tanpa suara itu jelas menghiburkan hadirin yang mengikuti jalan cerita berdasarkan sarikata yang diubah suai mengikut perkembangan politik semasa tanah air. Antaranya filem itu menyentuh perbicangan situasi dan strategi pilihan raya negeri Sarawak setelah pihak lawan mendapati sokongan di beberapa kawasan di negeri itu menyebelahi Pakatan. Hitler digambarkan mahu menyebar video seks sebagai modal berkempen di negeri itu. Bagaimanapun seorang pegawai memberitahu Hitler – yang dipanggil Dato' Seri seperti dalam sari kata – berkenaan video seks yang gagal dijadikan sebagai modal berkempen pilihan raya di Sarawak. Ia berikutan video seks itu "sudah tidak boleh pakai, kantoi" dan rakyat tidak mempercayai ketulenan video tersebut serta mulai terus menyokong Anwar. Berikutan itu, dengan tangan terketar-ketar Hiltler menanggalkan cermin matanya dan mengarah semua menteri dan pegawai meninggalkan bilik mesyuarat kecuali tiga individu - berdasarkan sari kata - iaitu "Thamby Chik", "Datuk Eskay" dan "Datuk Shuib". Melepaskan kemarahan Selepas itu, Hitler melepaskan kemarahannya terhadap tiga individu tersebut dalam filem itu ekoran kegagalan rancangan video seks mereka termasuklah menggunakan filem hitam putih dan menggunakan pelakon lelaki berperut boroi. SemakanMalaysiakinimendapati filem tersebut telah dimuatnaik dalam laman Youtube dan menggunakan bahasa Jerman. Sarikatanya dalam bahasa Melayu yang diterjemahkan berdasarkan kepada lenggok bahasa badan dan dikaitkan dengan isu semasa yang berlaku di Malaysia. Tinjauan Malaysiakini mendapat ramai hadirin yang melihat sedutan tersebut terpaku dan tekun menonton sedutan filem tersebut. Malah ada dikalangan mereka yang ketawa kecil terhadap tayangan itu yang dilihat sebagai sindiran berhubung pendedahan video seks di mana ada pihak yang mendakwa lelaki yang mengadakan hubungan seks dengan pelacur adalah mirip kepada Anwar. Malah selepas tamat ceramah, penganjur turut mengulangi sedutan filem tersebut. Selepas pendedahan video seks tersebut dan penjelasan yang dibuat oleh Pakatan, dipercayai inilah pertama kali Pakatan Rakyat menayangkan video tersebut dalam ceramah mereka kepada hadirin melalui tayangan khas layar besar yang di pasang di belakang pentas. Selepas itu, bagi menarik lebih ramai hadirin memasuki padang bolah sepak, penganjur menayangkan kembali sedutan video ceramah perdana di Stadium Malawati minggu lalu yang disampaikan oleh Anwar dan ahli parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul yang menjelaskan berhubung isu video seks itu. Tinjauan Malaysiakini ketika itu, orang ramai semakin memenuhi padang bola sepak sehingga ceramah itu bermula. Ceramah Kira-kira 20 minit selepas itu, pengajur memberhentikan tayangan dan meneruskan dengan ceramah yang disampaikan oleh beberapa pimpinan Pakatan Rakyat. Antara mereka, Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, ADUN Sekinchan dari DAP Ng Suee Lim dan ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohamad Sabu. Dalam ucapannya, Nik Nazmi mendakwa segala fitnah dan adu domba kepada Pakatan Rakyat termasuk isu video seks adalah sebagai usaha BN untuk memaling fokus rakyat. Menurutnya ia disebabkan Pakatan Rakyat membawa dasar dan janji mereka seperti yang termaktub dalam Buku Jingga. "Mereka tidak membicangkan isu besar, tidak bincang isu dasar dan masa depan rakyat di negara ini," katanya yang juga ADUN Seri Setia. Menurutnya ekoran kegagalan berhubung isu seks tersebut, Nik Nazmi mendakwa BN cuba memainkan sentimen perkauman berkaitan novel interlok dan isu kitab Injil bagi menaikkan kemarahan rakyat. Bagaimanapun, katanya, BN terlupa bahawa rakyat kini semakin pandai untuk menilai perkara tersebut. Sehubungan itu, beliau mengajak hadirin yang terdiri dari pelbagai kaum melakukan perubahan sekaligus dapat menguburkan BN dan Umno. Dengan memberi contoh situasi yang berlaku di Mesir sewaktu berlakunya revolusi apabila umat Islam dan masyarakat Kristian bersatu melawan provokasi yang dilakukan oleh regim bekas presiden Hosni Mubarak. Telor Jawa Selepas itu, Ng pula berucap dengan kefasihan beliau bertutur dalam bahasa Melayu dan sesekali bercakap dalam telor Jawa yang mencuit hati penonton. Dalam ucapannya, beliau menyindir BN yang didakwanya bercita-cita mahu merampas negeri itu dari Pakatan Rakyat dengan mempersoal dari sudut mana mereka mahu berbuat demikian. "Sebelum ini (Datuk Seri) Najib kata Pakatan Rakyat nak tawan Putrajayajaya tapi tidak ada kabinet bayangan. (Sebenarnya) setiap kementerian, kita ada tiga orang calon yang menanti. "(Kalau nak rampas Selangor) saya cabar (BN) di mana calon menteri besar dan exco bayang, mana? Tak ada. Jadi apa senjata (nak rampas Selangor)," katanya. Susulan itu, beliau merayu supaya rakyat memberi mandat Pakatan untuk terus mentadbir negeri kerana kerajaan yang baru dibentuk berusia tiga tahun seperti anak kecil. "Kerajaan baru berusia tiga tahun, baru belajar... (Tapi) dah tiga tahun Umno tak sabar-sabar nak rampas," katanya. Manakala Mohamad pula berkata beliau kesal dengan politik di negara ini berhubung penayangan video seks yang mana lelaki yang dikatakan dalam video tersebut adalah mirip kepada seorang pemimpin pembangkang. "Orang bertanya kepada saya, adakah saya sudah melihat video tersebut. Saya kata, saya tak tengok, saya tak mahu tengok dan saya tak akan tengok. "Ini politik di Malaysia, saya kesal... Isu mengenai dasar negara (dan) keselamatan sudah tenggelam dengan benda lucah ini," katanya. Mohmad juga mendakwa BN kini sudah "kehilangan senjata" untuk menyerang Pakatan Rakyat untuk terus memerintah termasuklah isu pembangunan. Ini kerana, katanya, berdasarkan laporan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Indutri, rekod kemasukan pelaburan asing yang tertinggi di Malaysia dicatatkan oleh tiga negeri Pakatan iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Kedah. Sumber: Malaysiakini |
Polis ganggu lagi ceramah Anwar Posted: 04 Apr 2011 01:17 AM PDT Polis mengganggu ceramah ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi kali ketiga berturut-turut - malam ini di ceramah terbesar parti itu di Betong - yang merupakan kubu kuat Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Alfred Jabu. Majlis makan malam dan ceramah itu - yang diadakan di medan selera terbuka di Betong, sebuah pekan kecil yang terletak 70km di utara Sri Aman - bermula dengan lancar dengan pemimpin PKR tempatan, termasuk empat calon, menyampaikan ucapan kira-kira lebih sejam tanpa sebarang gangguan. Anwar tiba pada jam 9.30 malam dengan disambut oleh hampir 1,000 penduduk pelbagai kaum berserta laungan "Reformasi". Bagaimanapun, apabila Anwar bercakap kira-kira 10 minit, seorang anggota polis beruniform mendekati ketua pembangkang itu dan memintanya berhentikan berucap, menyebabkan timbul ketegangan di kalangan hadirin. Selepas rundingan ringkas, Anwar bersetuju memendekkan ucapannya. Beliau kemudian meneruskan ucapannya selama 20 minit lagi sebelum polis mengganggunya lagi. Malaysiakini difahamkan oleh pihak penganjur bahawa pihak polis telah mengeluarkan permit kepada PKR untuk mengadakan 'mesyuarat luar biasa' dan bukannya ceramah politik atas alasan tempoh kempen belum bermula. Sebelum berhenti berucap, Anwar mendakwa pihak polis tidak akan mengambil sebarang tindakan jika ceramah gagal menarik ramai hadirin. "Jika hanya ada 10 orang, polis tidak akan ganggu. Tetapi bila terdapat ramai orang seperti malam ini, mereka akan mengganggu," katanya. Menurut timbalan ketua Wanita PKR Sarawak, Cecilia Siti Una, kehadiran malam ini adalah yang terbesar dalam sejarah Betong. "Bukan mudah untuk meminta penduduk Betong menghadiri ceramah politik," katanya kepada Malaysiakini. |
Kerjasama PKR- Snap runtuh tetapi masih terbuka Posted: 04 Apr 2011 01:13 AM PDT Naib Presiden PKR Tian Chua membayangkan kerjasama Pakatan Rakyat dan Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) tidak akan mencapai penyelesaian sebagaimana yang diharapkan. "Walaupun kami berusaha dengan sedaya upaya untuk bertolak ansur, nampaknya Snap tidak sanggup bersama berjuang menghadapi BN pada pilihan raya negeri akan datang," katanya dalam satu kenyataan media hari ini. Bagaimanapun menurut beliau, PKR masih mengambil sikap terbuka terhadap parti tertua di Sarawak itu. "Walau Snap tidak bersetuju untuk memberi komitmen menentang Ketua Menteri Sarawak Abdul Taib Mahmud dan BN, pintu kerjasama masih tebuka," kata Tian. "Sebagai tanda keikhlasan, PKR akan memberi Snap beberapa kerusi di pilihan raya untuk membantunya menewaskan BN," kata beliau lagi. Snap sebelum ini menyatakan sokongannya untuk menyertai gagasan Pakatan Rakyat setelah disingkirkan oleh BN pada tahun 2004. Namun parti itu dan PKR menemui jalan buntu berhubung pengagihan kerusi untuk pilihan raya negeri meskipun rundingan telah berlarutan sekian lama. "Kami telah berharap Snap sanggup bersama kami dan menjadi sebahagian dari perjuangan kami untuk keadilan di Sarawak dan seluruh Malaysia. "Jika mereka pilih untuk meletakkan kepentingan diri dahulu, dan tidak berminat untuk bertolak ansur, kami hanya boleh berdoa yang terbaik untuk mereka," kata Tian Chua yang juga ahli parlimen Batu. Beliau juga menolak tuduhan Snap bahawa PKR kononnya 'lembap' dalam menjalankan rundingan berhubung pengagihan kerusi untuk menghadapi pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April. "Kenyataan terbaru Snap yang menuduh PKR lambat dalam berunding juga tidak benar dan bertujuan mengelirukan umum. Sebaliknya banyak surat dan mesej yang dihantar kepada pimpnan Snap dibiarkan tanpa jawapan, kata Tian Chua. Sumber: Malaysiakini |
You are subscribed to email updates from Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan