The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah |
Peneroka-Peneroka Jengka 22 dibayar kembali CESS atau ditambah dengan hutang yang baru? Posted: 08 Mar 2011 04:37 PM PST Pada 27hb Februari 2011, Dato Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia, telah berkunjung ke Felda Jengka 22 dan telah membuat pengumuman yang diterima dengan gembira oleh peneroka-peneroka Felda disana. Dato Najib menjanjikan bahawa Kerajaan/Felda akan mengembalikan semula wang cess kepada peneroka-peneroka Felda Jengka 22 dan peneroka-peneroka hendaklah membuat salah satu daripada tiga pilihan. Pilihan pertama: Peneroka-peneroka boleh memilih untuk menerima bayaran sebanyak RM13,000.00 dengan syarat peneroka-peneroka membayar kembali dalam bentuk BK (Bayaran Kembali) sebanyak RM650.00 setiap bulan kepada Felda; Pilihan kedua: Peneroka-peneroka boleh memilih untuk menerima bayaran sebanyak RM6000.00 dengan syarat peneroka-peneroka membayar kembali kepada Felda dalam bentuk BK (Bayaran Kembali) sebanyak RM550.00 setiap bulan; Pilihan ketiga: Peneroka-peneroka boleh memilih tidak mahu menerima bayaran (samada RM13,000.00 atau RM6000.00) dengan syarat peneroka-peneroka membayar kembali kepada Felda dalam bentuk BK (Bayaran Kembali) sebanyak RM400.00 setiap bulan. Semasa didalam kesibukan kempen Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri Kerdau (PRK DUN Kerdau), kakitangan Felda telah mengunjungi semua penduduk Felda Jengka 22 untuk mendapatkan persetujuan masing-masing samada mahu memilih pilihan pertama atau pilihan kedua dan pilihan ketiga. Majoriti daripada peneroka-peneroka memilih untuk menerima bayaran kembali cess ini dengan pilihan pertama iaitu sebanyak RM13,000.00. Pada 7hb Mac 2011, Felda telah menunaikan bayaran itu dengan mengeluarkan cek kepada semua peneroka-peneroka yang bersetuju menerima bayaran tersebut. Pihak UMNO/BN dan Felda telah mendabik dada mengatakan bahawa janji Perdana Menteri untuk menjelaskan RM13,000.00 kepada peneroka-peneroka telah ditunaikan. Apakah bayaran RM13,000.00 ini bayaran pengembalian wang cess kepada peneroka-peneroka tidak dijelaskan oleh Kerajaan/Felda. Wang cess adalah sebahagian dari wang yang dipotong dari setiap harga komoditi bertujuan untuk tanaman semula kepada pekebun-pekebun kecil getah yang mahu menanam semula. Wang yang terkumpul adalah suatu jumlah mengikut keluasan tanah getah masing-masing dan untuk tanah getah seluas 10 ekar seperti yang diperuntukkan kepada peneroka-peneroka getah adalah sejumlah RM18,000.00. Pada Pilihanraya Umum 2008, Kerajaan UMNO/BN melalui Felda telah membayar kepada peneroka-peneroka sebanyak RM5000.00, dan berbaki lagi sebanyak RM13,000.00. Maka RM13,000.00 itu dikeluarkan untuk peneroka-peneroka Felda Jengka 22 yang berhadapan dengan Pilihanraya Kecil DUN Kerdau. Tetapi adakah benar RM13,000.00 itu adalah bayaran dari wang cess. Wang cess adalah dikeluarkan oleh Risda untuk tujuan tanam semula (dari getah ke getah atau dari getah ke kelapa sawit) dan bayaran itu dibuat secara berperingkat-peringkat semasa tanam semula dijalankan; keadaan itu berlaku kepada pekebun-pekebun kecil diluar rancangan Felda dan kepada peneroka-peneroka Felda yang menanam sendiri. Apabila seseorang peneroka Felda menanam semula melalui Felda, maka wang cess itu dibayar kepada Felda untuk tujuan tanam semula, dan tidak ada lagi wang cess yang perlu dikembalikan kepada peneroka-peneroka, dan wang cess itu ditolak untuk kos tanam semula. Oleh hal yang demikian itu, adakah bayaran sejumlah RM13,000.00 ini sebagai pengembalian wang cess kepada peneroka-peneroka atau RM13,000.00 itu sebagai tambahan pinjaman yang didahulukan oleh Felda kepada peneroka-peneroka dan dikategorikan sebagai "tambahan hutang". Persoalan ini telah dikemukakan kepada pihak tertentu di Kementerian berkenaan, dan pihak itu menyatakan bahawa beliau tidak ada jawapan kepada persoalan ini, kerana ini adalah tindakan politik. Jika wang RM13,000.00 itu sebagai wang cess yang dikembalikan kepada peneroka-peneroka, kenapa pula peneroka-peneroka kena membayar kembali kepada Felda untuk BK sebanyak RM650.00 setiap bulan? Hanya hutang dibayar kembali kepada Felda, dan pengembalian wang cess, apa ada keperluan untuk dibayar kembali? Ini bererti wang RM13,000.00 itu akan dimasukkan kedalam hutang setiap peneroka Felda. Peneroka-peneroka Felda Jengka 22 sehingga bulan Mac 2011 telah berhutang dengan Felda sebanyak RM72,000.00 (dan jumlah itu sedang bertambah) dan dengan bayaran RM13,000.00 ini maka hutang peneroka-peneroka Jengka 22 akan bertambah menjadi RM85,000.00. Peneroka-peneroka Jengka 22 kena membayar BK mereka setiap bulan sebanyak RM650.00 berbanding dengan bayaran BK mereka sekarang sebanyak RM250.00. Didalam tempoh 15 tahun akan datang, peneroka-peneroka Felda Jengka 22 kena membayar sebanyak RM111,000.00 dan ditambah dengan hutang sehingga bulan Mac 2011 sebanyak RM72,000.00, maka hutang peneroka-peneroka Felda Jengka 22 adalah sebanyak RM183,000.00. Mampukah peneroka-peneroka yang sejumlah besarnya sudah mencapai umur 60 tahun dan keatas itu menjelaskan hutang mereka didalam tempoh hayat mereka? Jerat atau perangkap BN/UMNO dan Felda ini bukan sahaja kepada mereka yang menerima bayaran RM13,000.00 itu tetapi juga kepada mereka yang tidak mahu menerima bayaran RM13,000.00 atau RM6000.00 iaitu sebanyak RM400.00 sebulan. Mereka yang tidak mahu menerima pun menanggung beban bayaran RM400.00 setiap bulan berjumlah RM72,000.00 (RM400.00 x 12 bulan x 15 tahun). Peneroka-peneroka yang tidak mahu menerima RM13,000.00 itu terdiri daripada peneroka-peneroka yang tidak menanam semula melalui Felda (tanam sendiri) atau peneroka-peneroka yang mengambil alih pengurusan ladang masing-masing dari Felda untuk mengelakkan hutang mereka bertambah. Tetapi mereka juga tidak terkecuali dan melalui sekim UMNO/BN dan Felda ini, mereka juga akan dikenakan hutang baru sebanyak RM72,000.00. Perbuatan UMNO/BN dan Felda ini adalah helah mereka untuk mencari dana untuk Felda yang kini sudah amat berkurangan kerana wang Felda sudah dibazirkan oleh pimpinan UMNO/BN untuk perbelanjaan-perbelanjaan yang tidak ada kena mengena dengan pembangunan peneroka-peneroka Felda! |
You are subscribed to email updates from The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan