Sabtu, 19 Mac 2011

Haniza Talha - Landscaping New Politics

Haniza Talha - Landscaping New Politics


MiMBAR dapat reaksi positif rakyat

Posted: 18 Mar 2011 09:38 PM PDT

SHAH ALAM, 7 Mac – Skim Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR) yang memperuntukkan RM20 juta kepada rakyat miskin di bandar Selangor mendapat reaksi positif rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan peniaga kecil-kecilan.

Hassan Muhammad, yang ditemui Selangor Kini berkata, program MiMBAR dilihat memberi kemudahan kepada masyarakat untuk memperolehi pinjaman kewangan tanpa perlu membayar semula dengan kadar faedah yang tinggi.

Beliau yang juga peniaga kecil-kecilan memandang positif bantuan yang disalurkan kerajaan negeri malah berpendapat ia sedikit sebanyak meringankan bebanan kos perniagaan yang terpaksa ditanggung selama ini.

"Pada pendapat saya, skim ini lebih menyenangkan untuk kita kerana rakyat tidak perlu membayar faedah atau bunga yang tinggi seperti pinjaman di bank. Saya
menyokong skim ini tetapi belum bercadang untuk memohon sekarang, mungkin di masa hadapan nanti sebab saya belum ada perniagaan sendiri,"katanya.

Sementara itu, Rosni Abdullah yang juga seorang peniaga gerai turut meluahkan pendapat sama. Beliau yang berniaga lebih sepuluh tahun sentiasa mengharapkan bantuan kewangan untuk mengembangkan perniagaannya.

"Makcik sokong kalau skim ini diberikan kepada orang ramai. Macam peniaga kecil yang tak mampu nak buat pinjaman. Makcik ada juga memohon, tapi belum hantar lagi borang. Kalau dapat pinjaman ni, makcik nak beli perkakas, contohnya peti ais, mesin kisar cili. Itu sahaja, bukan ada tujuan lain. Bantuan begini
sangat bagus kerana berniaga secara kecil-kecilan berapa sangat yang kami dapat,"katanya.

Bagi Amnah Sahabudin pula, skim ini harus diuar-uarkan kepada masyarakat khususnya peniaga kecil kerana golongan seperti ini sentiasa mengharapkan bantuan kewangan daripada kerajaan.

"Kemudahan tersebut mestilah saya sokong. Saya hendak memohon, tetapi perlu tahu bagaimana cara untuk membayar semula pinjaman tersebut sama ada setiap minggu atau setiap bulan,"katanya, yang mengharapkan penjelasan rapi diberikan.

Manakala bagi Sapidah Abdul Ghani pula, skim mikrokredit ini adalah sebagai alternatif lain kepada masyarakat untuk membuat pinjaman kewangan tanpa faedah selain daripada pinjaman bank dan pinjaman haram (along).

"Saya sokong seratus peratus bila kerajaan negeri beri bantuan begini kerana ia boleh membantu peniaga kecil-kecilan membuat modal pusingan supaya tidak
membebankan peniaga. Selain itu, ia mengurangkan bebanan peniaga supaya tidak meminjam kepada along. Ia membantu peniaga bawahan seperti saya yang baru mula berniaga,"katanya lagi.

MiMBAR adalah sebuah program yang bertujuan meningkatkan pendapatan masyarakat miskin bandar negeri Selangor untuk melebihi "Paras Garis Kemiskinan (PGK)", iaitu melebihi RM1,500 bagi seisi rumah.

Pada peringkat awal, sebanyak RM20 juta telah diperuntukkan kerajaan negeri bagi memastikan agihan peluang, latihan serta kekayaan negeri dapat dikongsi semua pihak.

Program tersebut dipengerusikan Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Selangor, Rodziah Ismail.

Bagi kawasan DUN Taman Medan, borang permohonan MiMBAR boleh didapati di Pusat Khidmat Rakyat DUN Taman Medan.


Penghantaran pulang pelajar Selangor ke Mesir bermula Jumaat ini

Posted: 18 Mar 2011 09:28 PM PDT

SHAH ALAM, 9 Mac – Seramai 996 pelajar Selangor akan berangkat pulang ke Mesir mulai Jumaat ini (14 Mac) hingga Selasa depan (18 Mac).

Kepulangan mereka membabitkan lima penerbangan.

Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Hasan Ali berkata sebanyak 440 pelajar ditanggung Lembaga Zakat Selangor (LZS) sementara selebihnya ditanggung Kerajaan Negeri.

Para pelajar terbabit perlu mendaftar di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) di sini antara jam 2 dan 4 petang.

Mereka akan dbawa menaiki bas menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIa) pada jam 8 malam.

Hasan berkata, kos menghantar pulang pelajar membabitkan RM2,150 seorang. Setiap pelajar dibenar membawa bagasi sehingga 40 kg.


Tiada ulasan: