Khamis, 24 Februari 2011

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Selangor Sambut 3 Tahun PR Secara Sederhana

Posted: 24 Feb 2011 05:00 PM PST

Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat akan menyambut ulang tahun ketiga pentadbirannya  di Selangor pada 8 Mac 2011. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Selangor akan mengadakan majlis sambutan sederhana bagi memperingati detik bersejarah itu.

Untuk tahun ketiga ini, selain daripada terus mentadbir dengan lebih bertanggungjawab dan telus, fokus Kerajaan Negeri adalah lebih kepada memastikan implementasi dasar-dasar dan program yang telah kita rangka.

Atas sebab ini, majlis dan program sambutan akan diadakan dengan sederhana dan bersifat informasi agar rakyat peka dan tahu tentang dasar-dasar dan program kebajikan yang memberi manfaat kepada semua rakyat Selangor.

Majlis sambutan ini akan dimulakan Majlis Sambutan Tiga Tahun Pentadbiran Negeri Selangor di Stadium Melawati selama dua hari bermula 5 dan 6 Mac.

Pelbagai acara disediakan untuk orang ramai seperti pameran agensi kerajaan dan swasta, program remaja termasuk futsal,  ceramah perdana oleh tokoh-tokoh terkenal termasuk barisan pemimpin Negeri,  solat Maghrib Berjamaah dan pelancaran Buku Jingga yang mengandungi Dasar Bersama dan komitmen Pakatan Rakyat untuk membawa pembaharuan kepada negara dan rakyat.


Pada 26 Mac pula, Kerajaan Negeri akan melancarkan rangka kerja "Selangor Untuk Rakyat" yang membabitkan pameran PBT dan anak syarikat, pelancaran buku "Liku-Liku Reformasi" serta program seni seperti membaca sajak dan puisi. 

Kita juga akan menganjurkan Siri Jelajah seluruh Selangor yang melibatkan Menteri Besar, barisan Exco dan pegawai kanan kerajaan turun turun padang ke pejabat daerah untuk mendekati permasalahan rakyat.


TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
MENTERI BESAR SELANGOR

Tiada ulasan: