Khamis, 10 Februari 2011

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


RM385,000 Peralatan Dewan Orangramai / Balai Raya Selangor Hilang Bawah Umno-BN

Posted: 10 Feb 2011 01:00 AM PST

Kerajaan Negeri begitu kesal dengan tindakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)  pentadbiran UMNO / BN yang lepas yang tidak mengambil tindakan sewajarnya melindungi harta awam yang disediakan oleh Kerajaan untuk kegunaan orang ramai di dalam Dewan Orang Ramai dan Balairaya di seluruh Negeri Selangor.

Selepas Piliharaya Umum  Mac 2008, beberapa orang individu / ahli  UMNO / BN setempat yang tidak bertanggungjawab di kampung-kampung berkenaan telah melarikan beberapa peralatan dewan dengan 'pengetahuan' JKKK ketika itu tapi malangnya mereka mengambil sikap tidak peduli ekoran pertukaran pentadbiran Kerajaan Negeri. 

Antara peralatan yang dilaporkan hilang oleh kebanyakan Pejabat Daerah & Tanah di daerah masing-masing yang bertanggungjawab ke atas dewan-dewan tersebut antaranya ialah hampir kesemua kerusi plastik dewan (kira-kira 50 ke 100 unit), kerusi Banquet, Alat Penghawa Dingin, Kipas Angin Siling, Kipas Angin Dinding, Komputer, Meja Mesyuarat, Meja Lipat Plastik, P.A System, Loud Speaker Dinding, Papan Putih beroda dan lain-lain peralatan.


Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) telah mendapatkan input dari 7 buah Pejabat-Pejabat Daerah & Tanah seluruh Negeri Selangor (tidak termasuk Petaling, Sepang dan Sabak Bernam) dan melaporkan kepada Mesyuarat EXCO bahawa jumlah anggaran keseluruhan kehilangan  tersebut ialah sebanyak RM384,776.

Kehilangan ini merupakan 'tindakan jenayah' terhadap harta awam dan kerajaan Negeri bercadang untuk membuat laporan polis di setiap daerah yang terlibat dan berharap pihak Polis mengambil tindakan segera terhadap individu-individu yang tidak bertanggungjawab tersebut.


Dr Xavier Jayakumar,
EXCO Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin Negeri Selangor

"Tabung Suhaimi" Kumpul Dana Tampung Kos Guaman

Posted: 10 Feb 2011 12:50 AM PST

SHAH ALAM 10 FEB: Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor akan menubuhkan "Tabung Suhaimi" bagi memohon dana menampung kos guaman Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Muda, Suhaimi Shafie yang disabitkan dengan tuduhan mempersoal kuasa Sultan.

Ini merupakan inisiatif kerajaan itu memupuk kesedaran masyarakat Selangor bahawa terdapat usaha menjatuhkan kerajaan pilihan mereka menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Bercakap pada sidang media di pejabatnya pagi tadi, Khalid berkata pendekatan ini sekaligus memupuk sudut kesedaran politik rakyat Selangor seraya menolak dakwaan kerajaan itu menggunakan duit rakyat untuk membiayai kos peguam Suhaimi.

"Kita (PR) menentang amalan selektif atau pendakwaan terpilih. Ini menunjukkan pendakwaraya (Umno-BN) ada agenda politik. Kita mahu rakyat Selangor sedar bahawa ini serangan ke atas kerajaan pilihan mereka," ujar beliau.

Menurut Khalid, Umno-BN yang menggunakan duit kerajaan untuk membayar khidmat pendakwaraya tanpa segan silu mengamalkan pendekatan dakwaan terpilih untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat.


Tambahnya, perkara yang dilakukan oleh Suhaimi di dalam blognya tidak setanding dengan ucapan "Binatang" yang dicoretkan di atas kain rentang oleh Umno-BN Terengganu membantah keputusan Yang Dipertuan Agong, Sultann Mizan Zainal Abidin melantik Datuk Seri Ahmad Said sebagai menteri besar Terenggau menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh.

"Kesalahan Suhaimi tidak penting berbanding apa yang Umno-BN lakukan," jelas Khalid lagi.

Shuhaimi sebelum ini didakwa menghina Sultan Selangor berhubung isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru Datuk Mohamad Khusrin Munawi di dalam blognya srimuda.blogspotcom pada 30 Disember lepas.

Pejabat Pusat Khidmat Adun Seri Muda di Kota Kemuning turut disimbah cat merah dipercayai mempunyai kaitan dengan perkara tersebut.

Kerajaan Selangor kemudian berpendirian untuk bersama-sama dengan Suhaimi menghadapi tuduhan itu selain menyatakan hasrat untuk membayar kos khidmat guaman beliau.

Walaubagaimanapun tindakan tersebut mendapat tentangan daripada pelbagai pihak terutamanya Umno-BN yang menyifatkan ianya sebagai pembaziran duit rakyat.

Dalam pada itu, kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) pro-Pakatan Rakyat akan menubuhkan Gerakan Anti Pendakwaan Terpilih (GAPET) bertujuan memberi informasi kepada rakyat seluruh negara tentang kuasa pendakwaan terpilih yang dilakukan pihak Umno-BN.

GAPET akan membantu mengedarkan risalah serta menganjurkan ceramah penerangan kepada rakyat di negeri jajahan Pakatan Rakyat dalam masa terdekat.


Sumber: TVSNEWS

Tiada ulasan: