Selasa, 8 Februari 2011

ANGKATAN MUDA keADILan CABANG PARIT SULONG

ANGKATAN MUDA keADILan CABANG PARIT SULONG


KETUA WANITA PKR CABAR NAJIB LETAK ROSMAH SEBAGAI CALON BN DI MERLIMAU

Posted: 07 Feb 2011 08:11 PM PST


KUALA LUMPUR : Adalah amat dikesali bila mana isteri kepada Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor yang cuba mengambil kesempatan publisiti atas misi murni menyelamat rakyat Malaysia di Mesir baru-baru ini.

"Peranan beliau dalam misi ini nampaknya sudah melebihi tugasan seorang Menteri. Saya melihat keadaan ini jelas menunjukkan bahawa Rosmah sebenarnya mahukan pengiktirafan dalam kerja kuatnya di Oman, Bahrain dan kini di Mesir," kata Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin (gambar) diatas dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Maka, katanya adalah sesuai sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) memberi peluang kepada Rosmah untuk bertanding di PRK Merlimau yang akan datang.

Tambahnya, cabaran itu juga sesuai buat BN sebagai pujukan kepada hasrat Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang telah gagal meletakkan calon wanita pada PRK Tenang lalu. Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang melihat pemilihan Rosmah amat penting bagi menyelamatkan berjuta-juta wang rakyat Malaysia daripada terus dibazirkan dalam siri jelajah dunia dan pelbagai persidangan mengarut di bawah rancangan 'Wanita Pertama' Malaysia ini.

"Andai benar PM Najib mahu buktikan perubahan, saya mencabar beliau untuk menerima cabaran ini," ujarnya.

PAKATAN SEBULAT SUARA SETUJU PAS BERTANDING DI MERLIMAU

Posted: 07 Feb 2011 06:44 AM PST




KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat sebulat suara bersetuju Pas bertanding pada Pilihan Raya Kecil Merlimau dan mengarahkan seluruh jentera bersiap sedia menghadapi PRK berkenaan.

Demikian diumum Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media pimpinan Pakatan Rakyat di ibu pejabat DAP di Jalan Yew petang tadi.

Namun, Pakatan Rakyat belum memutuskan calon yang akan bertanding pada pilihan raya kecil DUN itu.

"(Pilihan raya kecil) Merlimau, kita sudah bincang dan bersetuju sebulat suara supaya menyokong PAS sebagai wakil Pakatan Rakyat.

"Presiden PAS, Tuan Guru Hadi Awang meminta supaya seluruh jentera Pakatan Rakyat dikerahkan dan kita bersetuju," kata Anwar.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula memberitahu calon yang akan bertanding akan ditentukan berdasarkan cadangan PAS peringkat negeri Melaka.

"Kita baru buat keputusan di peringkat Pakatan Rakyat. Calon itu nanti kita dapat maklumat daripada negeri," kata Hadi.

Mengulas lanjut, Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali berkata mesyuarat memilih calon akan diadakan pada 13 Februari nanti.

"Senarai pendek calon mungkin 13 Februari. Insya Allah kita akan mesyuarat 13 Februari, tapi calon perlu disahkan Pakatan Rakyat dahulu" kata Mustafa.

Pilihan raya Dewan Undangan Negeri Merlimau bakal diadakan selepas Adunnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan meninggal dunia di Hospital Pakar Putra, Melaka, akibat serangan jantung Januari lalu.

Mohammad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme Tompang pada pilihan raya umum 2008.

Kekosongan kerusi berkenaan menyaksikan satu lagi pilihan raya kecil bakal diadakan iaitu yang ke-15 selepas PRK Tenang, Johor 30 Januari lalu.

PAS sebelum ini sememangnya dijangka bertanding kerusi Merlimau kerana secara tradisinya kerusi tersebut ditandingi parti itu. Daripada 14 pilihan raya kecil sebelum ini, PAS bertanding di tujuh tempat dan menang empat daripadanya.

Tiada ulasan: