Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA |
- Kenapa Zambry takut isytihar harta
- Projek MRT : Ambil Iktibar Projek Bakun, Sime Darby
- Pelaksanaan FTA Undang Kenaikan Harga Ubat
- PRK DUN Merlimau : PAS Ingatkan Ali Rustam Jangan Angkuh
- Tanah NCR: Orang Asal dibenar cabar k'jaan S'wak
- Lagi Perbuatan Khianat, Cermin Kereta dipecah
- Demonstrasi di London desak beku aset Taib
- Taib Lawan Malaysiakini: Keputusan 17 Mac
- Yuhaizad: Buktikan kuarters sekolah milik Umno
- Demo Hindraf: Mengapa Dwi Standard?
Kenapa Zambry takut isytihar harta Posted: 28 Feb 2011 11:02 PM PST IPOH, 1 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) kesal komen yang telah diberikan oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di atas saranan mengisytiharkan harta semua Exco Kerajaan Negeri Perak. Naib ketuanya, Salman Saleh berkata, ini sepertimana langkah Kerajaan Negeri Selangor bagi memberikan peluang kepada seluruh rakyat untuk menilai sendiri kedudukan sebenar harta setiap Exco Kerajaan Negeri tersebut. Sepatutnya, kata beliau Zambry sebagai orang nombor satu menunjukkan contoh yang baik dikalangan semua Exco Kerajaan Negeri serta sebagai bukti bersihnya setiap Exco sedia ada. "Siapakah yang mentadbir kerajaan negeri sekarang? "Kenapa cuba memburukkan orang lain sedangkan perkara tersebut adalah untuk menunjukkan ketelusan kerajaan negeri," ujarnya dalam satu kenyataan di sini. Katanya, DPPN Pk kesal sikap berdalih Zambry di dalam perkara itu. Justeru, DPPN Pk mendesak agar Zambry dan semua exco mengisytiharkan harta mereka dengan segera. Menurutnya, berdasarkan maklumat terkini dikatakan seorang Exco Kerajaan Negeri sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sepatutnya Zambry berusaha membersihkan imej mereka dengan mengisytiharkan harta. "Tetapi Datuk Seri Zambry bersikap angkuh dan tidak mengambil ikhtibar langsung," ujarnya lagi. DPPN Pk, tegasnya memberikan tempoh seminggu kepada Zambry untuk mengisytiharkan harta beliau dan seluruh Exco Kerajaan Negeri. Tambahnya, jika Zambry dan Exco Kerajaan Negeri gagal mengemukakan atau mengisytihar harta untuk dinilai oleh rakyat, maka memang benarlah persepsi yang berlegar di kalangan rakyat ketika ini bahawa kepimpinan Barisan Nasional (BN) adalah di kalangan mereka yang tidak bersih. Sumber: Harakah Daily |
Projek MRT : Ambil Iktibar Projek Bakun, Sime Darby Posted: 28 Feb 2011 10:54 PM PST SHAH ALAM 1 MAC : Kerajaan Malaysia dicadang supaya tidak meningkatkan hutang negara dan hutang awam melalui projek mega yang menelan belanja besar yang tidak dapat dipastikan sumber kewangannya. Ahli parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kos projek Aliran Transit Massa (MRT) Lembah Klang yang dikatakan menelan belanja RM36 bilion mungkin meningkat sehingga 10 atau 20 peratus lagi. Dikhuatiri ujarnya, kerajaan akan menggunakan sistem bon yang akan menyebabkan defisit negara semakin melebar. "Bayangkan kalau berlaku seperti mana Bakun projek-projek seperti Sime Darby, contohnya seperti di Dubai, akan berlaku peningkatan kos dan peningkatan kos ini dengan mudahnya akan melonjakkan 10 peratus atau 20 peratus atau mungkin lebih daripada itu. Apa yang jelasnya akan lebih daripada RM36 bilion," kata Dr Dzul kepada Tv Selangor. "Tetapi kerajaan daripada sudut hutang akan tetap dibayar oleh kerajaan sendiri, maka dengam kata lain, kerajaan akan berhutang,beban kerajaan pusat dan hutang awam akan meningkat lebih daripada 52.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) itu atau pun sekaligus melebarkan defisit belanjawan,"tambah Dr Dzul. Portal The Malaysian Insider melaporkan, peningkatan kos juga mungkin berlaku jika kerajaan menggunakan bank untuk menampung dana pembinaan projek MRT itu. Penganalisis menjangkakan Bank Negara akan menaikkan kadar faedah untuk menangani kadar inflasi, dan ini akan menyebabkan kos dana meningkat, selari dengan kenaikan kadar faedah. Sebelum ini,Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga (Awer) S. Piarapakaran juga berkata, projek MRT dibangunkan menggunakan data pengangkutan lapuk dan boleh menyebabkan peningkatan kos tambahan RM403.5 juta. Menurut beliau, beban tambahan ke atas pengguna adalah ekoran ketiadaan sistem pengangkutan yang baik untuk mengangkut pengguna dari rumah ke stesen stesen MRT. Sementara itu, tambah Dr Dzul, kos RM36 bilion yang dinyatakan kerajaan hanya mengambilkira kos landasan, sedangkan kos pengambilalihan tanah dan beberapa kos sampingan lain tidak diambil kira. " Itu (juga) tidak termasuk ketirisan, kebocoran. Biasalah dalam kerajaan Umno-Barisan Nasional ini. Ketirisan dan kebocoran ini," tambahnya lagi. Sumber: TVSNEWS |
Pelaksanaan FTA Undang Kenaikan Harga Ubat Posted: 28 Feb 2011 10:51 PM PST KUALA LUMPUR 1 MAC : Kumpulan penyokong Gabungan Rakyat Membantah FTA menentang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bersama Kesatuan Eropah (EU), berkenaan kenaikan harga ubat anti HIV yang dianggap tidak munasabah. Pengarah Positive Malaysian Treatment Access and Advocacy Group, Edward Low berkata, harga ubat HIV generik tidak dapat dijual dengan harga yang lebih murah, keputusan itu dibuat selepas EU-FTA mengadakan perbincangan. "FTA akan memperkuatkan paten dan dia akan menggunakan syarat yang baru iaitu, Data Exclusivity yang menghalang syarikat untuk mengimport ubat generik dari India dan buatan Malaysia, dengan itu harga yang tinggi kerajaan tidak akan memberi subsidi atau percuma kepada pesakit." katanya. Kira-kira 50 orang telah menyertai bantahan aman tersebut yang disertai dari Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan kumpulan terbabit kemudiannya menyerahkan satu memorandum kepada pejabat EU dan berarak di sepanjang Jalan Tun Razak. Walaupun bantahan tersebut tidak dicampuri pihak polis namun seramai 10 orang pegawai polis telah diletakkan bagi mengawal keadaan di sana. Menurut risalah JERIT, harga ubat bagi pesakit HIV dijangka meningkat pada masa akan datang, perkara ini berikutan FTA mendapat perlindungan daripada Intellectual Property. Risalah tersebut menambah, bahawa harga ubat di Guatemala naik berlipat kali ganda selepas pelaksanaan FTA dan Amerika Syarikat campur tangan dalam urusan terbabit. Low berkata lebih daripada 93,000 daripada 150,000 pesakit HIV hanya bergantung kepada ubat anti-retrovirus yang murah bagi meneruskan hayat mereka. Sumber: TVSNEWS |
PRK DUN Merlimau : PAS Ingatkan Ali Rustam Jangan Angkuh Posted: 28 Feb 2011 10:49 PM PST JASIN 1 MAC : PAS mengingatkan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam agar tidak terlalu angkuh dengan kuasa sekiranya tidak mahu tewas dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau yang sedang berlangsung sekarang. Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti Islam itu tidak bermimpi untuk merampas Merlimau daripada Barisan Nasional (BN) lapor The Malaysian Insider. Sebaliknya, tegas beliau PAS benar-benar berhasrat untuk "menawan" Merlimau yang selama ini menjadi kubu kuat BN. "PAS tidak sekadar bermimpi, tetapi kita memang secara sedar benar-benar hendak menawan bukan sekadar Merlimau, bahkan negeri Melaka dan juga Malaysia. "Ini telah kita nyatakan berulang kali atas nama Pakatan Rakyat sedia ke Putrajaya bagi memperbetulkan kerosakan negara yang dilakukan oleh BN," katanya. Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mohd Ali yang menasihatkan PAS agar tidak bermimpi yang ia boleh merampas kerusi DUN Merlimau. Ini kerana, jelas Mohd Ali, PAS tidak mempunyai jasa besar di Melaka, sebaliknya hanya tahu melemparkan pelbagai tuduhan berunsur fitnah terhadap kerajaan negeri pimpinan beliau. Pilihan raya kecil DUN Merlimau menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara calon BN Roslan Ahmad, ahli jawatankuasa Umno Jasin dan calon PAS Yuhaizat Abdullah, Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin. Ini pilihan raya kecil ke-15 sejak 8 Mac 2008 dan yang pertama di Melaka. Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang juga mengingatkan pemimpin Umno termasuk Mohd Ali agar tidak terlalu angkuh dengan kuasa yang ada. "Keduanya, kita hendak ingatkan seluruh pemimpin Umno termasuk Ketua Menteri Melaka supaya tidak angkuh dengan kuasa yang ada. "Parti Hosni Mubarak memenangi pilihan raya lebih 90 peratus, tetapi tumbang dengan kebangkitan rakyat. "Begitu juga dengan kerajaan Firaun, Rom, Parsi yang pernah menjadi kuasa besar dunia juga runtuh dan Umno juga ada masa hayatnya akan berakhir," katanya. Pilihan raya kecil DUN Merlimau diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan. Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti undi 2,154. Sumber: TVSNEWS |
Tanah NCR: Orang Asal dibenar cabar k'jaan S'wak Posted: 28 Feb 2011 10:47 PM PST Sekumpulan wakil penduduk masyarakat orang Asal Sarawak berhimpun di hadapan Istana Kehakiman selepas Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan mereka untuk mencabar kuasa kerajaan negeri Sarawak yang didakwa merampas tanah mereka. Kumpulan berkenaan diketuai oleh ketua rumah panjang Uma Laguieh. Mereka turut membawa sepanduk yang antaranya tertera slogan "hak tanah adat = hak ke atas kehidupan." Turut hadir ke perhimpunan itu ialah wakil daripada Uma Balui Lebue, Uma Ukit, Uma Lesong, Uma Kulit dan Uma Bakah. Kumpulan dari suku masyarakat Kayan itu berhimpun selama beberapa minit di situ sambil bergambar. Terdahulu, mahkamah menetapkan 28 April untuk mendengar hujah dari peguam mereka berhubung permohonan itu. Hujah berkenaan adalah berhubung Perkara 5(3) dan Perkara 5(4) Kanun Tanah Negeri Sarawak yang digunakan oleh kerajaan negeri bagi mengambil tanah adat (NCR) masyarakat orang Asal Sarawak itu. Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi yang mengetuai panel tiga hakim dalam keputusannya membenarkan permohonan yang dibuat oleh dua puak orang Asal – Bato Bagi dan Jalang Paran. Kumpulan Orang Asal itu diwakili peguam Sulaiman Abdullah dan Baru Bian bagi kes yang didengar secara bersama itu. Kerajaan negeri Sarawak yang dinamakan sebagai responden dalam kes ini pula diwakili Datuk JC Fong dan Marjana Adenan. Sulaiman dalam hujahnya membangkitkan bahawa peruntukan dalam kanun tanah itu bersifat ultra vires kepada Perkara 5 dalam Perlembagaan Persekutuan. Hujah berkenaan merupakan elemen penting dalam kes ini kerana hak ke atas tanah NCR itu dianggap sebahagian kepada hak ke atas kehidupan. Tanah berkenaan kini telah ditenggelamkan oleh limpahan air akibat pembinaan empangan hidroelektrik Bakun. Sumber: Malaysiakini |
Lagi Perbuatan Khianat, Cermin Kereta dipecah Posted: 28 Feb 2011 10:44 PM PST Kempen pilihan raya kecil dewan undangan negeri Merlimau terus dicemari perbuatan khianat. Jika semalam, sebuah pentas berdekatan bilik operasi DAP yang didirikan oleh parti itu untuk satu majlis anjurannya yang dijadualkan pada 4 Mac ini dibakar, hari ini cermin belakang kereta seorang penduduk pula dipecahkan. Kereta itu diletak di hadapan bilik operasi DAP di pekan Merlimau. ADUN Ayer Keroh dari DAP Khoo Poay Tiong berkata beliau percaya kejadian berlaku sekitar jam 1 pagi hingga 5 pagi ini. Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk berkenaan yang bukan ahli DAP membuat laporan polis. Dalam kejadian semalam, permaidani pentas DAP musnah tetapi bahagian lain pentas tetap utuh kerana ia diperbuat daripda keluli. Sebuah botol kosong dengan kesan petrol juga ditemui pada tempat kejadian. Sumber: Malaysiakini |
Demonstrasi di London desak beku aset Taib Posted: 28 Feb 2011 10:43 PM PST Kira-kira 20 orang, termasuk rakyat Malaysia dan warga asing, menyertai demonstrasi 'Hentikan Rasuah Balak' di Kota London semalam untuk mendedahkan dakwaan salahguna kuasa terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Demonstrasi tersebut dianjurkan oleh NGO Bruno Manser Fund (BMF), di luar bangunan syarikat yang dikuasai oleh keluarga Taib, Ridgeford Properties Ltd, di tengah Kota London. Demonstrasi itu diketuai adik ipar bekas perdana menteri Britain, Gordon Brown - Clare Rewcastle Brown - dan rakyat asal Sarawak, Petrus John Jaban. Clare adalah pengasas lamanweb Sarawak Report yang mendedahkan dakwaan rasuah terhadap Taib dan empayar perniagaannya di peringkat global. Peter (kiri) adalah DJ Radio Free Sarawak, sebuah radio bebas bergelombang pendek yang dipancarkan dari London. Ia memfokus kepada aktivis Sarawak dan masyarakat yang mempertahankan hak ke atas tanah mereka dan menentang dakwaan salahguna kuasa oleh Taib. Peserta demonstrasi tersebut membawa poster bertulis 'stop timber corruption in Sarawak" dan"freeze Taib assets". Poster lain pula bertulis "Chief Minister of Sawarak - 30 years is enough!", "stop illegal logging on native lands" dan "respect natives' rights". Demonstrasi yang serupa yang dianjurkan oleh BMF, turut diadakan di pusat bandar Ottawa, Kanada - di luar satu lagi syarikat hartanah yang dikuasai oleh keluarga Taib - Sakto Corporation. Minggu lalu, BMF mengeluarkan senarai 49 syarikat empat benua yang didakwanya ada berkaitan dengan Taib dan keluarganya. Sumber: Malaysiakini |
Taib Lawan Malaysiakini: Keputusan 17 Mac Posted: 28 Feb 2011 10:35 PM PST Saman fitnah ketua menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud ke atas Malaysiakini akan diputuskan dalam tempoh kurang tiga minggu lagi. Setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, hakim Mahkamah Tinggi, John Louis O'Hara berkata beliau akan memberikan keputusannya berhubung permohonan Malaysiakini untuk mengketepikan saman itu pada 17 Mac ini. Taib menyaman Malaysiakini pada 2007 kerana mendakwa portal berita bebas itu yang memetik sumber daripada akhbar-akhbar Jepun memfitnahnya. Artikel berkenaan mendedahkan pihak berkuasa Jepun menahan ahli kumpulan kartel perkapalan yang mengangkut balak dari Sarawak. Ahli kartel itu didakwa membayar Regent Star, sebuah syarikat kilang kertas yang berpangkalan di Hong Kong yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan Taib dan keluarganya sebanyak RM32 juta sebagai habuan. Isu berkenaan telah dilaporkan secara meluas di beberapa pertubuhan media di Jepun dan juga tempat lain. Berdasarkan sumber itu, Malaysiakini membuat laporan susulan seminggu selepas itu dengan artikel 'RM32 mil kickbacks - tip of the iceberg'. Sumber: Malaysiakini |
Yuhaizad: Buktikan kuarters sekolah milik Umno Posted: 28 Feb 2011 10:32 PM PST Calon PAS bagi DUN Merlimau, Yuhaizad Abdullah mencabar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya membuktikan bahawa kuarters sekolah yang didiaminya bersama isterinya yang merupakan seorang guru, adalah milik Umno. Yuhaizad membuat cabaran tersebut sebagai menjawab kenyataan Muhyiddin yang menyifatkan calon PAS itu sebagai tidak mengenang budi kerana tinggal di kuarters sekolah bersama isterinya itu, tetapi bertanding sebagai calon PAs. "Saya mencabar Umno dan beliau (Muhyiddin) untuk buktikan kompleks (kuarters itu) dibina oleh Umno," katanya dalam satu sidang akhbar bersama di pusat operasi pilihan raya DAP, dekat pekan Merlimau. Katanya, jika Umno dan Muhyiddin dapat membuktikan sedemikian, beliau akan berpindah malam ini. Jika tidak, kata Yuhaizad berkata, beliau akan terus tinggal di situ bersama isterinya. Beliau bagaimanapun enggan mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa kerajaan akan mengambil tindakan terhadap keluarganya. Semalam, Muhyiddin menyuarakan rasa kecewanya terhadap Yuhaizad dan keluarganya yang tinggal di kuarters sekolah tetapi bertanding sebagai calon PAS dalam pilihan raya kecil Merlimau. Sumber: Malaysiakini |
Demo Hindraf: Mengapa Dwi Standard? Posted: 28 Feb 2011 10:29 PM PST Penangkapan beramai-ramai aktivis Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) yang cuba mengadakan perhimpunan pada hari Ahad lalu menimbulkan persoalan berhubung layanan polis terhadap demonstrasi aman di negara ini. Setiausaha, Gabungan Persatuan-persatuan India di Malaysia, G Gunaraj berkata penangkapan 108 aktivis Hindraf itu membuktikan amalan dwi standard kerana aktivis pro-kerajaan dibenarkan untuk memprotes tanpa halangan. "Saya masih ingat apabila ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin memimpin sekitar 8.000 orang untuk memprotes serangan Israel ke atas kapal MV Mavi Marimara di hadapan Kedutaan Besar Amerika Syarikat tahun lalu. "Daripada ditahan untuk disoal-siasat, Khairy diberi kawalan polis. Namun, dalam kes Hindraf, mereka memohon permit,tetapi ditolak sehari sebelum perhimpunan aman mereka itu," katanya. Gunaraj mendakwa semua aktivis berkelakuan sopan dan berhimpun secara aman tetapi jumlah polis yang dikerahkan bagi mengekang perarakan mereka adalah keterlaluan. Pengerusi, Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Liaw Kok Fah pula menyatakan rasa terkejut dengan penangkapan penasihat undang-undang Hindraf P Uthayakumar di rumahnya. "Bagaimana mungkin polis melakukan itu? Di rumah Uthayakumar? Maksud saya, polis sekurang-kurangnya perlu menunggu sehingga dia menyertai perhimpunan itu ... cekupnya di sana bersama aktivis yang lain," kata Liaw. Menurutnya, penangkapan beramai-ramai itu membuktikan bahawa kerajaan tidak menghormati hak individu dan sependapat dengan pandangan Gunaraj bahawa polis di negara ini mengamalkan dwi standard dalam melaksanakan tugas mereka. "Pada tahun 2009, penunjuk perasaan yang membawa kepala lembu melukai perasaan masyarakat Hindu. Mereka meludah dan menendang lembu itu tapi tidak ada seorangpun yang digari dan diheret ke kenderaan polis. "Adakah itu apa (pihak kuasa) anggap sebagai perhimpunan aman, berbanding dengan apa yang Hindraf lakukan pada Ahad lalu?" soalnya. Namun, dua pemimpin BN dari parti komponen MIC yang dihubungi, yakin tindakan polis menangkap mereka yang terbabit dengan perhimpunan tersebut adalah tepat. "Polis telah memberikan amaran lebih awal bagi mereka untuk tidak meneruskan perhimpunan kerana Hindraf adalah pertubuhan haram. Hindraf tidak menghormati polisi ataupun undang-undang di Malaysia. "Polis itu buta, tidak melihat warna kulit, bangsa atau agama," kata penerangan MIC, V Mogan. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T Murugiah juga setuju bahawa tindakan polis pada Ahad lalu adalah tepat dan tidak menganiaya penunjuk perasaan itu. Katanya, tindakan kumpulan itu telah mencemarkan nama baik Malaysia. Sumber: Malaysiakini |
You are subscribed to email updates from Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan