Sabtu, 26 Februari 2011

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Merlimau: PAS sandar Bob Lokman tarik pengundi Melayu

Posted: 26 Feb 2011 07:31 PM PST


JASIN, 27 Feb — PAS tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu dengan menggunakan pengaruh pelakon, pelawak dan penulis lirik Bob Lokman, yang menyertai parti Islam itu awal minggu lalu, dalam kempen kerusi Merlimau.

Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman telah menyertai PAS pada 19 Februari lalu.

Dalam ceramah pertamanya di Merlimau Pasir di sini malam tadi, ketibaan Bob Lokman disambut meriah kira-kira 500 orang.

"Hari ini menjadi sejarah apabila saya menyertai PAS selepas pada 2004 dan 2008 merupakan satu usaha yang sia-sia saya membantu Barisan Nasional (BN).

"Sebagai orang yang bertanggungjawab kepada negara saya berada di landasan benar bersama PAS," kata Bob Lokman.

Penulis lirik "Isabella" itu berkata pengundi-pengundi di Merlimau harus menolak kerajaan BN yang tidak "mengiktiraf" Islam dalam pentadbiran negara.

Beliau juga yakin PAS boleh mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil kawasan itu pada 6 Mac ini.

"Kita perlu undurkan kerajaan yang sudah lama bertapak, kerajaan yang tidak iktiraf Malaysia sebagai negara Islam," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad berkata, jika Bob Lokman boleh melakukan perubahan dengan memilih PAS mengapa tidak pengundi di Merlimau.

"Dulu beliau (Bob Lokman) sokong Umno-BN tapi sekarang boleh sokong PAS pula.

"Nanti bila tiba hari pengundian kalau nak pangkah Umno, ingatlah Bob Lokman dan pangkah PAS," katanya.

PAS meletakkan Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka Yuhaizat Abdullah sebagai calon manakala BN mempertaruhkan ahli jawatankuasa Umno Jasin Roslan Ahmad untuk mempertahankan kerusi DUN Merlimau.

Pakatan Rakyat dilihat berhadapan dengan situasi kemerosotan undi orang Melayu sejak Julai 2009 di mana pada pilihan raya kecil DUN Manek urai di Kelantan, yang pengundinya 99 peratus orang Melayu, PAS hanya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 65 undi berbanding 1,352 pada Mac 2008.

Sementara itu, calon PAS Yuhaizat Abdullah berkata pengundi di DUN Merlimau perlu membuat keputusan bijak dengan memilih seorang wakil rakyat yang boleh memperjuangkan nasib rakyat.

"Pilihan raya bukan masa untuk buat jalan raya, pilihan raya bukan masa untuk betulkan atap rumah, pilihan raya bukan masa untuk perbaiki longkang, pilihan raya juga bukan masa untuk menabur janji kosong.

"Tapi sistem untuk pilih wakil rakyat yang memahami kehendak rakyat, BN sedar betapa besar kuasa rakyat sebab itu pelbagai projek dibawa ke Merlimau," katanya.

Yuhaizat, Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin berkata beliau sentiasa bersiap sedia untuk memberikan khidmat terbaik kepada penduduk Merlimau.

"Saya merayu untuk berikan undi dan kepercayaan kepada saya di Merlimau, saya janji dan akan sentiasa bersiap sedia untuk memberikan khidmat serta memahami masalah rakyat," katanya.

Yuhaizat akan berdepan calon BN Roslan Ahmad, ahli jawatankuasa Umno Jasin.



Sumber: Malaysian Insider

Najib didesak tarik balik tuduhan liar

Posted: 26 Feb 2011 07:27 PM PST


KUALA LUMPUR, 27 Feb: Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak supaya menarik balik tuduhan liar yang dilemparkan kepada gerakan Ikhwan Muslimin dan ulama terkenal dunia, Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi.

Beliau menyatakan sebagai merujuk dalam satu laporan berita yang disiarkan dalam laman web National Review Online yang memetik ucapan yang dibuat oleh Najib di Istanbul baru-baru ini yang mendakwa bahawa parti politik Ikhwan Muslimin terlibat dengan keganasan dan sifat ekstremis.

Jelasnya, Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi yang juga Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia pula merupakan seorang tokoh ilmuan yang sangat terkenal seluruh dunia.

"Bahkan segala usaha-usaha yang dilakukan olehnya mendapat pengiktirafan serta penghormatan yang tinggi," ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Sempena majlis sambutan Ma'al Hijrah 1431/2009, Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah berkenan menyampaikan Tokoh Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada beliau atas sifat peribadi unggul dan sumbangannya yang begitu besar dalam agama serta dunia Islam seluruhnya.

Malah, katanya Dr Yusuf Al-Qardhawi selalu berkunjung ke Malaysia untuk menyampaikan ilmu serta bertemu dengan ramai individu, parti politik serta pihak-pihak tertentu.

"Ini membuktikan sifat beliau disenangi dan diiktiraf oleh kerajaan Malaysia," katanya.

Jelasnya, Ikhwan Muslimin pula merupakan sebuah gerakan Islam yang sah di Mesir malah mereka turut terlibat dan berpartisipasi secara aktif dalam beberapa siri pilihanraya di Mesir.

Tambahan lagi, mereka sering melaungkan tema "Penglibatan dan Bukan Penguasaan" di samping memelihara peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Mesir.

Walaubagaimanapun, katanya hak dan nilai demokrasi mereka sebagai rakyat dan parti politik yang sah telah dicabul sehingga mereka terpaksa berdepan dengan ancaman, ugutan serta penyelewengan kuasa yang dilakukan oleh pemerintah Mesir.

Menyentuh mengenai kebangkitan rakyat di Mesir, beliau berkata Ikhwan Muslimin berpendapat bahawa segala kerosakan dan pencerobohan yang berlaku adalah disebabkan tindakan kumpulan-kumpulan samseng yang bersengkongkol dengan pihak-pihak tertentu untuk menindas kemahuan rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok menambah, malah Ikhwan Muslimin turut memberikan penghargaan kepada seluruh tentera Mesir yang berkhidmat untuk menjaga keselamatan dan memelihara keamanan sepanjang tempoh revolusi yang berlaku.

"Ini membuktikan bahawa Ikhwan Muslimin tidak terlibat dengan sebarang bentuk provokasi dan strategi bagi melakukan keganasan dan kekacauan di Mesir," ujarnya.

Justeru, katanya kenyataan Perdana Menteri itu dilihat tidak cerdik.

"Saya berpendapat Najib harus menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf kepada gerakan Ikhwan Muslimin dan Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi segera.

"Jika tidak, beliau telah menunjukkan sikapnya sebagai seorang yang pro kuasa Barat dan takut untuk menzahirkan kebenaran," tegasnya.


Sumber: Harakah Daily

Rafidah Aziz Akan Dilantik Sebagai Pengerusi Lembaga AirAsia X

Posted: 26 Feb 2011 07:26 PM PST


KUALA LUMPUR 27 FEB : Bekas menteri Kabinet pusat Tan Sri Rafidah Aziz akan dinamakan sebagai pengerusi lembaga AirAsia X minggu ini, usaha yang dilihat dapat membantu syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh itu bagi mendapatkan lebih banyak laluan antarabangsa.

Menurut The Malaysian Insider , syarikat itu, yang turut meletakkan harapan pada ahli perniagaan dari Britain Sir Richard Branson sebagai pemegang sahamnya, tidak mengalami pertumbuhan pesat sebagaimana disasarkan oleh pengasasnya Datuk Seri Tony Fernandes selepas kejayaan perkhidmatan penerbangan jarak dekat kumpulan AirAsia.

"Lembaga telah memutuskan untuk meminta beliau menerima jawatan itu dan beliau telah pun bersetuju," kata sumber AirAsia X.

Pemegang saham penerbangan itu mengesahkan Rafidah akan menggantikan pengerusi semasa Datuk Kamaruddin Meranun, yang merupakan rakan kongsi Fernandes dalam kumpulan AirAsia, yang termasuk unit-unit di Thailand, Indonesia dan Filipina.

Rafidah, menteri perdagangan antarabangsa paling lama berkhidmat iaitu sehingga 2008, telah berjaya dalam perundingan perdagangan antarabangsa sehingga menjadikan Malaysia negara utama perdagangan di dunia.

Beliau mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Kangsar pada 2008 tetapi tidak dilantik semula sebagai anggota Kabinet meskipun telah dibersihkan daripada dakwaan meluluskan permit import kereta kepada kroninya.

Bekas ketua Wanita Umno berusia 68 tahun ini kini merupakan penaung dan penasihat Forum Malaysia-Eropah.

Difahamkan pelantikan terbaru ini akan membolehkan syarikat penerbangan tambang murah ini untuk memperoleh kelulusan cepat bagi laluan-laluan seperti ke Amerika Syarikat dan rantau Timur Tengah.

Syarikat itu baru memulakan penerbangan ke Paris-Orly bulan ini dan ke lapangan terbang Haneda di Tokyo Disember lalu dengan memiliki 11 pesawat.

Ia juga menyediakan perkhidmatan ke Darwin, Perth, Gold Coast dan Melbourne di Australia, lapangan terbang Stansted di London, lapangan terbang Khomeini Iran dan lapangan Incheon, Seoul tetapi menarik balik penerbangan ke Abu Dhabi ekoran respons dingin.

Kesemua pesawat AirAsia X menggunakan hak-hak pendaratan yang diberikan kepada kerajaan Malaysia, kebanyakannya diperoleh ketika era Rafidah sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri apabila negara mengadakan perjanjian langit terbuka.

AirAsia X bercadang untuk menyenaraikan syarikat itu pada separuh kedua tahun ini, tetapi bergantung pada keadaan pasaran dan telah menyempurnakan pengeluaran hak bernilai RM100 juta bagi mendapatkan dana dan bebas pembiayaan bagi pertumbuhan berterusan.


Sumber: TVSNEWS

'Jabatan agama ambil alih semua masjid di Kerdau'

Posted: 26 Feb 2011 07:25 PM PST

Sejurus selepas mulanya tempoh rasmi berkempen, calon PAS Hassanuddin Salim mendakwa Jabatan Agama Islam Pahang kini mengambil alih secara sementara semua 22 masjid di DUN Kerdau.

NONE
Dakwanya, tindakan itu akan memberikan kelebihan kepada lawannya Syed Ibrahim Syed Ahmad daripada BN yang mudah berkempen di rumah ibadat tersebut dan tidak memberikan peluang sama rata kepadanya.

"Kita tidak marah dia hendak kawal semua. Tetapi saya menyeru kepada kerajaan supaya memberika peluang sama rata kepada kita supaya rakyat dapat menilai (hujah masing-masing)," katanya.

Berceramah pertama kali sebagai calon yang disahkan bertanding oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam, Hassanuddin berkata, jika dibandingkan dengan calon BN yang berlatarbelakangkan pengajian Islam, beliau yang didik dalam parti Islam juga tidak kurang pengetahuan agamanya.

NONE
"Kalau setakat berkhutbah dan memberikan tazkirah itu, selepas didik dalam parti Islam (PAS), saya rasa saya juga mampu. Saya menyeru, berilah supaya rakyat dapat menilai (kedua-dua calon)," katanya di hadapan kira-kira 100 penyokong PAS dalam ceramah dan perlancaran Buku Jingga Pakatan Rakyat di DUN Kerdau.

Turut sama dalam majlis itu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan naib presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta pemimpin penting Pakatan Rakyat lain, termasuk Naib Presiden PKR Fuziah Salleh dan pengarah strategik parti itu Rafizi Ramli.

NONE
Hassanudin juga menyeru penyokong parti itu bekerja bersungguh-sungguh memenangkan wakil PAS supaya ia memberika isyarat kesediaan mereka merampas teraju pemerintahan Pahang dan negara ini daripada BN.

"Kemenangan di Kerdau ini juga penting untuk kita tunjukkan pelaksanaan dalam Buku Jingga," katanya sambil mengingatkan kebangkitan rakyat di Timur Tengah seperti di Tunisia dan Mesir.

Dalam pilihan raya kecil pada 6 Mac ini, Hassanuddin menggalas tugas berat untuk menewaskan Syed Ibrahim yang juga penasihat agama kepada menteri besar Pahang dan seorang yang berpendidikan agama daripada Universiti Al-Azhar - pusat pengajian paling berpengaruh dalam dunia Islam.


Sumber: Malaysiakini

Demo Interlok: 17, termasuk Uthayakumar ditangkap

Posted: 26 Feb 2011 07:23 PM PST

Pemimpin Parti Hak Asasi, P Uthayakumar telah ditangkap polis manakala sekatan jalan diadakan di sekitar bandaraya Kuala Lumpur bagi memastikan perarakan yang dianjurkan parti itu dan sekutunya, Hindraf bagi membantah tindakan dan pentadbiran 'rasis' oleh Umno di negara ini menemui kegagalan.

hindraf mass rally against umno and interlok 270211 4

Demonstrasi besar-besaran yang dijadualkan itu juga sebagai membantah novel 'Interlok' karya sasterawan negara, DatukAbdullah Hussain menggunakan terdapat perkataan 'paria' yang dianggap menghina masyarkat India.

Uthayakumar, yang sebelum ini telah berkali-kali ditahan sebagai pemimpin kumpulan yang diharamkan, Hindraf juga pernah merengkok selama dua tahun mengikut Akta Keselamatan Dalam Negara, (ISA). Kali ini, dia ditangkap di pangsapurinya di Pantai Hillpark pada jam 8 pagi.

"Dia digari dan dibawa ke dalam sebuah van putih," kata adik kepada Uthayakumar, - Waythamoorthy dari London menerusi satu mesej SMS kepada Malaysiakini.

hindraf mass rally against umno and interlok 270211 2
Menurut ketua penerangan HRP, S Jayathas, - Uthayakumar telah dibawa ke ibu pejabat daerah polis Pudu untuk disoal-siasat.

Adalah difahamkan perarakan itu sepatutnya bermula dari Hotel Renaissance, yang terletak kira-kira satu kilometer dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Selain Uthayakumar, 17 lagi individu yang terbabit dengan perarakan itu juga dicekup oleh polis pagi ini - tujuh di KLCC manakala 10 lagi di Hotel Renaissance.

Identiti mereka belum diketahui.

Sementara itu, jalan-jalan utam ke pusat bandaraya Kuala Lumpur sejak malam semalam telah dipantau dengan beberapa sekatan di lokasi-lokasi strategik bagi mematahkan demonstarsi yang dirancangkan itu.

hindraf mass rally against umno and interlok 270211 4
Antara tempat yang dilaporkan itu termasuk di Jalan Ampang, Jalan Kepong, Jalan Cheras, Jalan Tun Razak dan alan Duta–Lebuhraya Sungai Buluh.

Perarakan itu sepatunya bermula di KLCC tetapi rancangan mereka terpaksa ditukar kerana kehadiran jumlah polis yang agak besar pagi ini sekitar bangunan berkenaan.

Dianggarkan tidak kurang 200 anggota polis termasuk mereka yang tidak memakai pakaian seragam berada di lokasi berkenaan. Sebahagian besar mereka ditempatkan di antara Jalan Ampang - Avenue K dan bangunan berkembar Petronas.

Wartawan diberi arahan supaya tunggu di sebuah perhentian bas di KLCC, tetapi arahan itu seringkali tidak diendahkan apabila mereka mendapat tahu berlaku kekecohan di sesetengah tempat.


Sumber: Malaysiakini

PAS: Umno amal sistem dinasti

Posted: 26 Feb 2011 07:20 PM PST


PAS mendakwa BN yang diwakili Umno mengamalkan sistem dinasti iaitu turun temurun jawatan pemimpin, dari bapa turun ke anak.

Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka, Kamaruddin Sidik mendakwa, amalan itu sudah lama dipraktikkan Umno dan dibuktikan dalam pilihan raya kecil Merlimau.

"Ini telah lama berlaku dalam Umno. Dari bapa kemudiannya diserahkan kepada anak seolah-olah perlakuan dalam satu dinasti.

"Orang ramai yang saya temui pun telah menyuarakan rasa tidak puas hati dengan perkara ini," katanya hari ini.

Kamaruddin merujuk mengenai pemilihan calon BN bagi DUN Merlimau, Roslan Ahmad, iaitu anak kepada bekas ADUN Sungai Rambai, Allahyarham Datuk Ahmad Ithnin.

Pandangan berkenaan diperkukuhkan lagi apabila calon berkenaan juga adalah dan anak saudara kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin.

Kamaruddin berkata, ia berbeza dengan PAS yang meletakkan calon muda, Yuhaizad Abdullah, 38, di Merlimau kerana ia merupakan satu usaha parti itu mengetengahkan pemimpin muda.

Beliau menjelaskan, tindakan itu bertujuan untuk memberi peluang pemimpin muda seperti Yuhaizad, menimba pengalaman bertanding.

Menurutnya, walaupun muda, beliau yakin Yuhaizad mampu menggalas tanggungjawabnya sekiranya diamanahkan.

"PAS berharap pengundi di DUN Merlimau akan memberi peluang kepada beliau apabila tiba hari mengundi nanti.

"Kita telah mengemukakan calon yang terbaik, seorang calon yang kuat berdikari yang mampu memberikan yang terbaik kepada pengundi," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini pernah menjelaskan, pemilihan Roslan sebagai calon pilihan raya kecil itu dibuat berdasarkan merit.

Katanya, perhubungan dan pertalian tidak boleh diambil kira dan tidak dapat dielakkan malah yang penting adalah penilaian pucuk pimpinan terhadap beliau mengenai potensi calon itu sendiri.


Sumber: Malaysiakini

Tiada ulasan: