Selasa, 22 Februari 2011

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Ali Rustam Takut Kegagalan Sendiri, Kata Shamsul

Posted: 22 Feb 2011 12:45 AM PST


SHAH ALAM 22 FEB : Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dilihat berada dalam keadaan bimbang apabila isu-isu pembangunan setempat yang gagal dilaksanakannya, diulas semula oleh PAS dan Pakatan Rakyat dalam siri kempen pilihan raya Dewan Undangan Negeri Merlimau.

Kebimbangan itu menurut Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Melaka, Shamsul Iskandar Md Akin lahir setelah menyedari kempen-kempen yang didakwa "lapuk" oleh beliau akan memecahkan tembelangnya yang telah membazirkan wang rakyat.

" Pada saya Datuk Seri Ali cuba mengalihkan perhatian rakyat dengan memperkecilkan isu ini walhal ianya sebahagian daripada konsep pembangunan yang cuba ditonjolkan oleh Datuk Seri Ali termasuk pembangunan ini yang kita khuatiri akan menyebabkan masalah pembaziran, tentunya akan membebankan rakyat Melaka untuk masa yang panjang,"kata Shamsul.

Semalam Ali Rustam membidas PAS yang kononnya dikatakan membuat tuduhan tidak berasas untuk meraih perhatian pengundi.

Menurut Ali, isu pembaziran wang rakyat kerana membiayai projek mega adalah isu lapuk.

Namun menurut Shamsul, Ali perlu sedar bahawa PAS mahupun Pakatan Rakyat mempunyai pendirian yang jelas berhubung isu pembaziran dana awam ini dan Ali harus menjawabnya.

" Ianya bukan isu lapuk, yang perlu dijelaskan oleh Datuk Seri Ali ialah kenapa perkara-perkara dan projek yang dibangunkan ini tidak boleh memberikan manfaatkan yang sewajarnya kepada rakyat," jelas Shamsul kepada Tv Selangor.

Menurut Shamsul, isu-isu seperti pembinaan litar go-kart di Durian Tunggal, pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (MIA) yang dianggap sebagai `gajah putih' dan penarikan balik Eye On Malaysia atau roda gergasi oleh pemiliknya dari Belgium, memang ada asasnya.

Dalam hal ini katanya, kerajaan seharusnya membangunkan projek-projek yang memberikan manfaat kepada rakyat.

" Sebahagian wang digunakan untuk membangunkan projek-projek yang kononnya untuk menarik pelancong tetapi kemudiannya tidak boleh dimanfaatkan oleh rakyat Melaka. Ini yang menjadi persoalan atau pun isu utama yang sepatutnya dijawab oleh Datuk Seri Ali Rustam. Bukan mengkesampingkan isu ini dan mengatakan ia isu yang lama.

" Pembaziran bukan isu lama tetapi pembaziran adalah isu pokok dalam soal pengurusan negeri. Apatah lagi ini bukan melibatkan satu projek tetapi banyak projek yang telah dilaksanakan tetapi tidak memberikan manfaat kepada rakyat Melaka," tambah Shamsul lagi.


Sumber: TVSNEWS

Syed Ibrahim calon BN Kerdau

Posted: 22 Feb 2011 12:40 AM PST

BN hari ini memilih naib ketua bahagian Umno Kuala Krau Syed Ibrahim Ahmad sebagai calonnya pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau pada 6 Mac ini.

NONE
Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan lebih 4,000 penyokong BN di Dataran Sri Ketumbit, dekat Temerloh, hari ini.

Berusia 44 tahun, Syed Ibrahim adalah juga Penasihat Agama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Pemilihan anak jati tempatan berkelulusan dari Universiti Al-Azhar itu dipercayai mampu mempertahankan kerusi BN pada pilihan raya kecil ke-16 negara selepas pilihan raya umum 2008.

Muhyiddin ketika mengumumkan calon BN itu, berkata pemilihan Syed Ibrahim dibuat selepas melalui beberapa saringan di peringkat bahagian Umno dan badan perhubungan Umno negeri sebelum diputuskan pucuk pimpinan.

"Selepas melalui beberapa saringan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah memutuskan calon berkenaan dua hari lalu," kata Muhyiddin.

azlan

Kerusi DUN Kerdau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, dari BN pada 12 Februari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS, Hassanuddin Salim, dengan majoriti 1,615 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 Feb ini sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian ditetapkan pada 6 Mac.

Turut hadir pada majlis pengumuman calon BN itu Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden MIC Datuk G Palanivel, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Presiden Parti Progresif Penduduk Datuk M Kayveas serta pemimpin-pemimpin parti komponen BN dan Umno peringkat negeri Pahang.

Muhyiddin berkata semua pihak perlu akur dengan calon yang diumumkan bertanding di kerusi DUN berkenaan.

"Terimalah dengan ikhlas, terimalah calon kita dengan semangat perpaduan, kerana apa yang paling penting ialah parti Umno dan BN, dan bukannya calon," katanya.


Sumber: Malaysiakini


Liwat II: Adakah Saiful homoseksual pasif?

Posted: 22 Feb 2011 12:35 AM PST

Peguam veteran Karpal Singh hari ini sekali lagi mencuri tumpuan pada perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menyoal ahli kimia sama ada Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah homoseksual pasif.

NONE
Perbicaraan pagi ini tertumpu kepada persoalan sama ada Jabatan Kimia mematuhi piawaian antarabangsa dalam amalannya mengendalikan sampel atau bahan bukti yang diberikan oleh polis.

Namun, Karpal yang tiba kemudian untuk menyoal balas pakar DNA Dr Seah Lay Hong sekali lagi merobekkan kes pendakwaan.

Beliau mempersoalkan bagaimana beberapa profail DNA yang ditemui pada dubur Saiful tidak dicatatkan dan ingin tahu sama ada wajar untuk membuat kesimpulan bahawa mangsa adalah homoseksual pasif.

Dr Seah berkata beliau tidak boleh menjawab soalan itu dan hakim Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah tidak membenarkan soalan tersebut dikemukakan.

"Saya seorang saintis dan bidang kepakaran saya ialah menjalankan analisis terperinci ke atas sampel dan eksibit yang diserahkan kepada saya dan saya tidak dapat memperoleh hasil penemuan seperti dicadangkan oleh peguam," katanya.

Hakim kemudiannya membenarkan soalan itu apabila Karpal mengemukakan alasannya.

NONE
Menurut Karpal, profail DNA berdasarkan lebih satu penyumbang di dubur Saiful, adalah logik bagi membuat kesimpulan bahawa pengadu adalah homoseksual pasif.

Seah berkata beliau tidak akan mengatakan sama ada bersetuju ataupun membantah cadangan Karpal itu.

Pada ketika itu, Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden membantah soalan itu dan berkata ia patut diajukan kepada tiga doktor dari Hospital Kuala Lumpur yang menjalankan pemeriksaan perubatan ke atas Saiful pada 28 Jun, 2008.

Mohamed Yusof berkata Dr Seah tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan dalam borang pro-forma (borang sejarah perubatan) pesakit (Saiful), yang Karpal dalam hujahnya berkata doktor merekodkan kes itu sebagai cubaan liwat dan bukannya liwat.

Karpal juga bertanya kepada ahli kimia tersebut bagaimana DNA seseorang boleh ditemui pada dubur Saiful jika dinyatakan pada borang pro-forma ia adalah cubaan meliwat.

Karpal: Jika ini cubaan meliwat, awak tidak akan jumpa DNA orang lain di duburnya?

Seah: Tidak mustahil.

Karpal: Hasil penemuan anda pada palitan B5 (kawasan sekitar dubur Saiful) mengenai kehadiran beberapa profil DNA?

Seah: Ya

Karpal: Di sini, lebih daripada seorang penyumbang, bolehkah anda katakan yang Saiful ialah seorang homoseksual pasif?

Seah: Saya tidak dapat menjawab soalan itu, saya seorang saintis dan bukannya doktor perubatan.

Karpal: Saya tanya anda berdasarkan hasil penemuan anda pada palitan B dan apa yang direkodkan dalam laporan pro-forma sebagai cubaan liwat, sekali lagi boleh anda katakan Mohd Saiful seorang homoseksual pasif?

Seah: Saya tidak dapat berikan jawapan.

NONE

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Sementara ituBernama melaporkan berlaku pertikaman lidah antara Mohamed Yusof dan seorang lagi peguam bela SN Nair, apabila beliau memberitahu peguam bela itu supaya berhenti membuat "ulasan selari".

Pertikaman lidah itu berlaku apabila Nair bertanya kepada Dr Seah berhubung protokol Jabatan Kimia semasa membuat penandaan pada sampel.

Nair merujuk kepada dua sampel daripada 12 sampel yang diterima ahli kimia pada 30 Jun, 2008 daripada pegawai penyiasat DSP Judy Blacious Pereira.

NONE
Peguam itu berhujah Dr Seah tidak mematuhi sepenuhnya protokol jabatan sehingga tarikh pada sampel palitan B4 dan B5 direkodkan 26 Jun, 2008, sedangkan hakikatnya ia direkodkan pada 28 Jun, pada hari ketiga-tiga doktor berkenaan mengambil sampel daripada Saiful di HKL.

Nair: Saya cadangkan kepada anda, anda mungkin telah rekodkan sepertimana tertera (pada bekas plastik), satu tarikh lain pada sampel?

Seah: Ya

Nair: Berdasarkan standard antarabangsa anda, anda patut membatalkan dua
sampel ini?

Seah: Saya tidak setuju.

Nair: Jika anda mempunyai dua sampel yang dibatalkan, anda patut melihat
sampel lain dengan perasaan syak. Anda kata anda mempunyai integriti tinggi,
tidak itu mempersoalkan integriti?

Seah: Tidak. Kita patut beri faedah kesangsian.

Nair: Saya cadangkan kepada anda bahawa anda tanya tahu mengenainya sekarang
dan tidak pernah beritahu kepada pihak pendakwaan?

Seah: Tidak setuju. Ia telah dicatatkan.

Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin, Dr Seah mengesahkan pencemaran pada sampel palitan B5 (kawasan sekitar dubur Saiful) di mana disahkan kehadiran profil pengadu, lelaki Y dan seorang yang tidak dikenali.

Beliau tidak menolak kemungkinan pencemaran itu mungkin berlaku apabila kawasan (kawasan dubur) bersentuhan dengan permukaan.

Dr Seah juga menolak kemungkinan berlaku pencemaran di makmal Jabatan Kimia kerana kemungkinan itu telah dihapuskan oleh ujian profil DNA semua warga kerja di jabatan itu.

Perbicaraan disambung esok.


Sumber: Malaysiakini

Akhbar palsu: K'jaan negeri tuntut tindakan

Posted: 22 Feb 2011 12:30 AM PST

Kerajaan negeri Selangor hari ini mendesak pihak polis memperhebatkan lagi siasatan berhubung penerbitan 'Selangor Terkini' yang menggunakan lambang negeri tanpa kebenaran.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Faekah Husin berkata penerbitan tabloid itu juga dianggap satu bentuk 'penderhakaan' kerana memamparkan gambar Sultan Selangor, Sultan Sharaffudin Idris Shah pada halaman utamanya.

NONE
"Kami membuat laporan polis berhubung penerbitan itu di ibu pejabat polis Shah Alam pada 17 januari lalu tetapi sehingga hari ini tiada menerima sebarang maklumat berhubung siasatan mereka," katanya.

Menurut Faekah, semakan dengan Kementerian Dalam Negeri yang mengawal perlesenan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) menunjukkan tiada lesen yang dikeluarkan kepada penerbit akhbar berkenaan.

Kerajaan negeri juga tidak pasti jumlah penerbitan yang telah dicetak ataupun bila ia bermula.

"Kami hanya memperolehi tiga edisi dalam simpanan bermula Januari dan Februari tetapi tidak pasti kekerapan penerbitan itu," kata Faekah.

Faekah berkata kerajaan negeri selama ini sentiasa mengesyaki BN dan Umno menjadi dalang dalam menerbitkan akhbar 'Selangor Terkini'.

NONE
Katanya, perasaan curiga mereka diperkuatkan apabila penerbitan itu diedarkan pada satu majlis meraikan sambutan Maulidur Rasul di Kuang Sabtu lalu yang dianjurkan oleh ADUN Kuang, Abdul Shukor Idrus.

Akhbar berkenaan diedarkan secara percuma bersama kalender 2011 yang memaparkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Syukur sebelum ini menafikan terlibat dalam penerbitan akhbar itu.

Faekah juga mengesa polis menyiasat segera perkara ini kerana tindakan pihak yang menerbitkan akhbar ini jelas melanggar undang-undang apabila menggunakan lambang kerajaan negeri dan gambar Sultan Selangor.

Pihak kerajaan negeri juga bersedia menyediakan penyiasat persendirian bagi membantu polis menyiasat perkara ini.


Sumber: Malaysiakini

PKR: Siapa kaut 1.5 bilion saham bumiputera?

Posted: 22 Feb 2011 12:25 AM PST

PKR hari ini mendesak Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan semua penerima saham khas bumiputera berjumlah 1.5 bilion unit yang diagihkan tahun lalu.

pkr congress pc 271110 saifuddin nasution
Setiausaha agung parti itu Saifuddin Nasution berkata pengumuman itu perlu bagi membuktikan peningkatan ekuiti golongan bumiputera dalam sektor swasta sebanyak 22 peratus seperti diumumkan kerajaan.

Katanya lagi, kerajaan juga perlu mengumumkan rombakan mekanisme dan penambahbaikan kepada sistem agihan dan pemantauan saham ini.

Jelasnya, langkah itu bagi mengelakkan kehilangan saham bumiputera bernilai RM52 bilion itu tidak berulang.

Jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada saham bumiputera bernilai RM54 bilion melalui agihan sama sebelum ini.

"Mekanisme agihan inilah yang telah gagal sebelum ini sehingga mewujudkan budaya politik naungan," kata Saifuddin lagi dalam satu kenyataan.

Jelasnya, keadaan itu berlaku apabila golongan yang terlibat itu "mencari jalan mudah mendapatkan saham dengan berselindung di sebalik alasan mencapai alasan 30 peratus ekuiti bumiputera."

azlan
"Akhirnya, berpuluh-puluh bilion ringgit saham yang diagihkan kepada individu berkepentingan dijual dengan segera untuk mendapat kekayaan mudah," katanya lagi.

Tambahnya, mekanisme ini "mewujudkan golongan elit kaya Melayu yang sebenarnya menjadi kaya dengan menindas orang Melayu terbanyak."

Kenyataan beliau dibacakan oleh pengarah strategik PKR Rafizi Ramli dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini.


Sumber: Malaysiakini

Suruhanjata Diraja bawa Pornthip, Vanezis

Posted: 22 Feb 2011 12:20 AM PST

Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kematian pembantu politik Teoh Beng Hock akan mengutus surat kepada Kedutaan Thailand bagi mendapatkan bantuan pakar patologi negara itu, Dr Pornthip Rojanasunand untuk memberi keterangan.

Pengerusi suruhanjaya, Tan Sri James Foong berkata pihaknya telah menulis kepada kedua-dua Pornthip and Dr Peter Vanezis melaui surat dan juga e-mail, tetapi masih belum mendapatkan jawapan.

azlan
Katanya, setiausaha suruhanjaya itu, Saripuddin Kasim hanya berjaya menghubungi setiausaha Pornthip melaui telefon.

"Ia tidak berakhir setakat itu... Kita akan menulis kepada Kedutaan Thailand dan minta Pornthip beri keterangan," katanya sambil menambah perkara yang sama dilakukan bagi mendapatkan Vanezis.

Penyiasat persendirian

Pornthip dan Vanezis adalah pakar patologi yang dibawa memberi keteranagn pada inkues bagi menentukan punca kematian pembantu politik DAP itu.

Porrnthip mengejutkan negara apabila beliau berkata Teoh kemungkinan dicekik dan kematiannya bukan akibat jatuh dari sebuah tingkap pada tingkat 14, pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Plaza Masalam, Shah Alam.

NONE
Mayatnya dijumpai pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat 5. Koroner membuat penghakiman terbuka dengan memutuskan kematiannya bukan kerana bunuh diri ataupun dibunuh.

Foong juga mengumumkan suruhanjaya berkenaan akan melantik penyiasat persendirian menjelang esok bagi menyemak bukti-bukti yang dikemukakan.

Namun, beliau tidak menamakan identiti penyiasat persendirian itu.

SMS didedah

Mengenai perkara yang sama, Chris Leong, yaang bertindak bagi pihak Majlis Peguam memaklumkan kepada suruhanjaya itu bahawa mereka telah menghubungi polis hong Kong bagi memohon bantuan mereka sebagai penyiasat persendirian.

NONE
Mengenai data yang diperolehi dari telefon Teoh, Foong (kiri) berkata pihaknya akan mendapatkan kerjasama syarikat telekomunikasi, Digi bagi membekalkan rekod penuh termasuk panggilan dan SMS yang telah dipadamkan dari akaunnya.

Seorang jurubahasa Cina juga dibawa hari ini bagi menterjemahkan mesej yang dijumpai pada telefon Teoh.

Suruhanjaya hari ini juga dimaklumkan kandungan lebih kurang 30 khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada telefon bimbit milik Teoh tidak pernah diterjemah atau disoal balas dalam inkues sebelum ini.

Siasatan akan bersambung dengan Leong meneruskan soalannya ke atas saksi kelapan, Inspektor Mohd Zaidi Abu Hassan, yang membina laporan data yang diperolehi daripada telefon Teoh.


Sumber: Malaysiakini

PAS mahu pengarah Politeknik Merlimau disiasat

Posted: 22 Feb 2011 12:15 AM PST

PAS Jasin membuat laporan polis berhubung tindakan BN dan Umno yang didakwa menjadikan Politeknik Merlimau sebagai bilik gerakannya dengan menjalankan program untuk kempen pilihan raya kecil di DUN Merlimau.

Laporan dibuat kira-kira jam 10.30 pagi tadi oleh Yang Dipertua PAS Jasin, Mejar (B) Jasme Tompang di Balai Polis Merlimau.

Menurut Jasme, PAS membantah sekeras-kerasnya tindakan yang dianggap tidak bertamadun oleh Umno dan BN, sekali gus mahu parti itu menghentikan segera semua program yang berjalan atau akan dijalankan di situ.

Dakwanya, tindakan itu tidak adil kepada PAS dan Pakatan Rakyat yang tidak dibenarkan menggunakannya.

NONE
"Kami mahu pihak berkuasa menyiasat sekiranya wujud penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa ke atas Pengarah Politeknik Merlimau, Dr Arshad Kassim yang membenarkan program Umno dan BN diadakan di situ.

"Para pelajar juga terganggu dari segi emosi, pembelajaran, keselamatan dan sebagainya disebabkan kehadiran ramai orang yang tidak dikenali bebas keluar masuk ke dalam kawasan politeknik itu," laporan polis itu dipetik.

Turut mengiringinya ADUN Banda Hilir, Khoo Poay Tiong, Ketua Dewan Pemuda PAS Jasin, Aminuddin Jalil, Ketua Dewan Muslimat PAS Jasin, Shapiah Ahmad dan beberapa ahli jawatankuasa (AJK) PAS Jasin.

Ketika ditemui di perkarangan Balai Polis Merlimau, Jasme berkata, antara program yang dijalankan Umno dan BN adalah pelancaran jentera pilihan raya BN (24 Januari) oleh Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan program suai-kenal bapa angkat dengan AJK peti undi BN Merlimau.

"Umno dan BN juga menyalahgunakan lokasi berkenaan berikutan mengadakan majlis jamuan dan Tahun Baru Cina bersama Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 19 Februari lalu.

"Jelas penyalahgunaan berlaku apabila mereka mengadakan kursus untuk memenangi DUN Merlimau kepada petugas Umno dan BN pada 20 Februari lalu dan terbaru, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal mengadakan pertemuan dengan Pengerusi dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) negeri Melaka," katanya.

Katanya, memandangkan Politeknik itu digunakan sebagai pusat penamaan calon serta pusat penjumlahan undi pada dalam pilihan raya 6 Mac nanti, Jasme mendakwa ia memberikan kelebihan kepada BN untuk "memanipulasi serta peluang mensabotaj PAS".


Sumber: Malaysiakini

Diancam samseng, penduduk didakwa 'liar' pula

Posted: 22 Feb 2011 12:10 AM PST

Mereka dihalau daripada tanah adat (NCR) yang didakwa hak mereka, dituduh mengingkari perjanjian pembangunan yang dimeterai dan baru-baru ini 'dikunjungi' oleh kira-kira 100 'pengawal keselamatan' yang bersenjatakan parang dan bahan letupan.

NONE
Kini, penduduk Rumah Ranggong di Miri mula menggaru kepala mereka kehairanan apabila membaca laporan surat khabar yang menggambarkan mereka sebagai pihak yang bertindak liar dan menuduh mereka mencuri traktor milik sebuah pemaju swasta.

Jika itu tidak cukup, pihak polis - yang dihubungi penduduk kampung untuk mendapatkan perlindungan - dilaporkan oleh Borneo Post telah digerakkan bagi mengendurkan ketegangan di antara penduduk pribumi Iban dari Rumah Ranggong dan pengawal keselamatan syarikat swasta berkenaan.

NONE
"Kami tidak pernah merampas sebarang traktor mahupun mengancam syarikat itu," kata Changgai Dali, pengerusi keselamatan Rumah Ranggong dalam satu kenyataan akhbaar melalui pertubuhan bukan kerajaan - Borneo Resources InstituteMalaysia (Brimas).

"Ini adalah syarikat yang membawa samseng bersenjata lengkap dengan parang dan bahan letupan untuk menakut dan mengancam orang-orang rumah panjang kami," katanya.

BLD Resources telah menubuhkan sebuah syarikat kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Tanah Sarawak bagi membangunkan sebuah kawasan pertanian di kawasan Ulu Niah. Satu lagi perjanjian persefahaman atau MoU dimeterai oleh anak syarikat BLD Resources, - SLDB dan penduduk Rumah Belili dan Rumah Ranggong untuk membangunkan projek kerjasama yang dinamakan 'Konsep Baru'.

NONE
MoU itu akhirnya dibatalkan pada tahun 2008 apabila kerajaan negeri Sarawak mengakui melakukan kesilapan dengan mengkelaskan tanah tersebut di bawah NCR.

Pada tahun yang sama, BLD Resources membuat laporan polis yang mendakwa Changgai dan beberapa penduduk lain mencerobohi kawasan mereka.

Penduduk Rumah Ranggong kemudian mengemukakan tuntutan saman kerana tidak puas hati mereka dengan dakwaan BLD Resources yang mendakwa mempunyai hak pajakan sementara ke atas tanah mereka. Mereka mendakwa kerajaan negeri telah mengakui tanah tersebut sebagai NCR.

NONE
Penduduk juga melarang syarikat itu daripada memasuki tanah mereka kerana memungkiri janji membangunkan tanah tersebut.

Berikutan itu, penduduk mendakwa sekitar 100 samseng dihantar bagi mendirikan kem di sempadan tanah mereka.


Sumber: Malaysiakini

'Rampasan' tanah NCR dibentangkan di parlimen

Posted: 22 Feb 2011 12:05 AM PST

Kes dakwaan rampasan tanah oleh sebuah syarikat yang dikaitkan dengan ketua menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan ditimbulkan pada sesi baru parlimen yang akan bersidang pada 7 Mac ini.

NONE
Menurut ahli parlimen Batu, Tian Chua, beliau akan menimbulkan isu tersebut dan berhubungan dengan pemimpin dan ahli parlimen Pakatan Rakyat dari Sarawak untuk mendapatkan pandangan mereka bagi mengketengahkan isu tersebut.

"Ada kecenderungan, ahli parlimen Sarawak mendakwa mereka lebih arif mengenai hal-hal Sarawak, jadi saya akan berbincang dengan MP Pakatan dari Sarawak mengenai mereka juga menimbulkan isu berkenaan," katanya.

Tanah yang menjadi pertikaian sebagai tanah adat pribumi yang didakwa dirampas oleh Borsarmulu Sdn Bhd, yang kini membangunkannya sebagai Royal Mulu Resort di Mulu.

NONE
Sebuah laporan juga telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Pencegahan RasuahMalaysia berhubung dakwaan salah guna kuasa dan percanggahan kepentingan oleh Taib.

"Projek ini akan disebutkan secara khusus, tetapi masalah yang akan dibangkitkan bersama ... iaitu hak ke atas tanah adat, kerana ia adalah isu utama di Sarawak," kata Chua.

"Mungkin ada yang akan berhujah bahawa tahan adalah tanggungjawab kerajaan negeri tetapi perlembagaan meletakkan kerajaan persekutuan bertanggungjawab melindungi hak-hak pribumi selaras dengan Perkara 153."

Menurut Perkara 153: "Adalah menjadi tanggung jawab Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga kedudukan istimewa orang Melayudan kaum pribumi di Sabah dan Sarawak serta kepentingan yang sah kaum-kaum yang lain."

baram residents demo
Sabtu lalu, Chua telah bertemu dengan 30 wakil masyarakat pribumi dari Sarawak, termasuk mereka yang mendakwa terjejas dengan projek Royal Mulu Resort.

Kumpulan penduduk itu ke Kuala Lumpur Jumaat lalu, bagi meraih simpati dan menyebarkan berita tentang kehidupan mereka yang terjejas akibat pembinaan empangan di Baram.

Selain berdemonstrasi di Bukit Bintang dan Pasar Seni di Kuala Lumpur serta di Putrajaya, mereka juga menyebarkan risalah bagi menerangkan kepada orang ramai cerita di pihak mereka.

NONE
"Kami datang dari kawasan pedalaman ke Kuala Lumpur untuk memberitahu orang tentang masalah kami, supaya (pemimpin-pemimpin kerajaan) tidak akan dapat mendakwa bahawa segala-galanya adalah okay di Sarawak," kata perwakilan kumpulan itu, Willie Kajan.

Kumpulan ini dianggotai oleh perwakilan masyarakat Penan, Mendung, Iban, Orang Ulu dan Dayak. Perwakilan yang tertua berusia 80 tahun.

Sumber: Malaysiakini

Calon MCLM perlu sertai PKR jika mahu tanding

Posted: 22 Feb 2011 12:00 AM PST

Pengarah strategik PKR Rafizi Ramli berkata parti itu mengalu-alukan kerjasama dengan Pergerakan Masyarakat Sivil Malaysia (MCLM) pada pilihan raya akan datang.

Namun, beliau menegaskan bahawa calon MCLM itu perlu dimasukkan dalam kumpulan calon PKR, sekiranya ingin bertanding atas tiket parti berkenaan.

NONE

Bagi tujuan itu, calon berkenaan mestilah menjadi anggota PKR, tegas Rafizi (berbaju putih) pada satu sidang media hari ini.

"Tapi sebagai partipolitik dan juga sebagai usaha kita untuk pastikan perkara-perkara yang kita dituduh lemah dahulu, mana-mana calon tak kisahlah daripada MCLM, dia perlu masuk kepada dasar kita dan perjuangan kita.

"Kalau ada calon yang betul-betul layak, dia boleh masuk kumpulan calon kita untuk dipertimbangkan," tegasnya dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini.

Katanya, langkah itu bagi mengelakkan calon berkenaan menukar sokongan setelah memenangi pilihan raya seperti yang berlaku ke atas sembilan orang wakil rakyatnya sebelum ini.

Tambahnya, kerjasama itu tidak boleh dilakukan semata-mata demi mencapai tujuan sama.

"Kita memang tegas, kalau ada calon yang berkaliber, memang kena masuk parti, lalui prosesnya. Kalalu betul-betul layak dan berkaliber seperti diumumkan saya pasti mereka akan mendapat tempat.

"Tapi kita tidak boleh lalui pengalaman sama seperti ada orang kata 'saya hendak bertanding atas tiket PKR, tapi saya mahu bekerja berdasarkan nurani saya sendiri'.

"Bekerja berdasarkan nurani inilah, bila nurani itu dipengaruhi oleh RM3 (juta atau) RM4 juta, nurani dia jadi lain," katanya Rafizi lagi dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu hari ini.

Katanya lagi, masalah itulah yang dihadapi PKR seperti ini.

Beliau menyebut contoh ahli parlimen Kulim Bandar Baharu Zulkiflee Noordin yang menjadi wakil rakyat bebas setelah dipecat daripada parti itu pada Mac tahun lalu.

"Kononnya dia menimbulkan isu berdasarkan nuraninya. Sedangkan (jika) mengikut peraturan parti, ianya sangat sukar (untuk timbulkan isu).

"Kita melalui pengalaman yang menyakitkan dalam isu ini. Jadi kalau semata-mata untuk lalui pengalaman sama, saya rasa tidak pintar dan tak adil untuk parti dan juga Pakatan Rakyat," katanya lagi.


Sumber: Malaysiakini

Tiada ulasan: