Isnin, 7 Februari 2011

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Anwar: Pertikai SPRM Lambat Bertindak Terhadap Taib Mahmud

Posted: 07 Feb 2011 12:56 AM PST


KUCHING 7 FEB: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melengah-lengahkan siasatan terhadap dakwaan penyalahgunaa kuasa dan rasuah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud oleh laman web Sarawak Report.

Jelas Anwar, laporan yang disertakan dengan bukti harus segera diteliti berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan agensi itu.

"Setiap laporan kredibel harus diselidik. Ini adalah pendirian standard yang kita pegang," jelas beliau kepada media.

Menerusi laporan laman web Sarawak Report, Taib dikatakan telah memberi kontrak melalui rundingan terus kepada ahli keluarga termasuk sahabatnya bagi projek pembinaan dan penyelenggaraan jalan, jambatan dan projek-projek besar yang lain di negeri Sarawak.

Anwar yang ditemui media berkata, SPRM akan segera menyiasat sekiranya tuduhan dilemparkan kepadanya namun perkara sebaliknya berlaku apabila melibatkan pemimpin Barisan Nasional.

"Tetapi ketika tuduhan dilemparkan ke atas Perdana Menteri Najib Razak dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Rais Yatim dan juga ke atas Taib, SPRM lambat bertindak," katanya.

Anwar turut menggesa agar dua set undang-undang yang dipraktikkan di Malaysia dihapuskan bagi memperlebarkan keadilan kepada semua rakyat.

Ini berikutan jelasnya, jurang diskriminasi terhadap individu yang mempunyai kuasa dan kekayaan dibandingkan dengan rakyat biasa amat jelas selagi Umno-Barisan Nasional (BN) memegang tampuk pemerintahan negara.

Anwar juga mendakwa kerajaan Barisan Nasional akan menghalang sistem tersebut dipinda bagi menjamin kedudukan mereka selagi terus memerintah.

"(Jika) anda ingin memastikan bahawa ada keadilan dan keadilan, maka sistem harus diubah untuk kebaikan selamanya," kata beliau.

Beliau turut menyentuh krisis politik yang berlaku di Tunisia dan Mesir menyaksikan kebangkitan rakyat membantah penyalahgunaan kuasa dan rasuah selain memberi amaran ia boleh berlaku di negara Islam di Asia.

Justeru, Anwar mengingatkan agar kepimpinan BN tidak memperlekeh penduduk luar bandar yang hanya berpuas hati dengan jalan dan jambatan yang dibina oleh mereka.

"Mereka ini rakyat Malaysia dan harus diberi hak dan kuasa untuk menentukan masa depan mereka sendiri," jelas beliau.

Sehubungan itu, Anwar menasihatkan agar Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus memperkukuh hubungan kerjasama dengan Pakatan Rakyat.


Sumber: TVSNEWS

Tuduhan Terhadap Shuhaimi Berunsur Politik- Peguam

Posted: 07 Feb 2011 12:50 AM PST


SHAH ALAM 7 FEB: Peguam Amer Hamzah Arshad, menyifatkan pertuduhan yang dikenakan ke atas anak guamannya ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafie hanya berunsurkan politik semata-mata.

Dakwanya pendakwaan ini mendapat tekanan daripada pihak berkepentingan yang mahukan kes ini dibicarakan di mahkamah sedangkan jika dilihat ahli politik yang lain seperti Barisan Nasional(BN) juga pernah mengeluarkan kata-kata yang mempunyai elemen hasutan.

"Pertuduhan ini tidak perlu dibawa langsung kerana pertuduhan terhadap Shuhaimi, tidak lain tidak bukan adalah satu pertuduhan yang berunsurkan politik kerana banyak tekanan-tekanan daripada pihak tertentu yang telah menyebabkan pertuduhan dan pendakwaan di mahkamah hari ini," katanya.

Amer juga turut membantah denda yang dikenakan ke atas Shuhaimi bersifat menekan anak guamannya sedangkan hukuman denda yang diperuntukkan hanyalah RM5,000 di bawah Akta Hasutan.

"Jadi kalau ikut dari segi logik kita bandingkan denda maksimum yang boleh dikenakan mahkamah hanyalah 5,000 ringgit tetapi jumlah jaminan yang ditawarkan 20,000 ringgit, bukan ke itu satu bentuk penindasan (oppressy) jadi ini menunjukkan ada unsur pendakwaan yang berunsurkan politik," katanya lagi.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya Mohamad Hanafiah Zakaria meminta mahkamah menetapkan RM20,000 sebagai wang ikat jamin atas alasan kesalahan didakwa dilakukan adalah serius membabitkan hasutan terhadap Sultan Selangor.

Dalam pada itu, seorang lagi peguam yang mewakili Shuhaimi, N Surendran, menggesa kerajaan menghapuskan Akta Hasutan, yang kini tidak lagi relevan dalam sebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi.

"Akta hasutan tidak mempunyai tempat di dalam negara yang demokrasi dan bebas jika kerajaan setiap kali menyatakan bahawa ini negara bebas dan kerajaan menghormati proses demokrasi dan sebagainya, jika benar mansuhkan akta hasutan dengan segera, buktikan kepada rakyat bahawa kerajaan negara ini benar-benar menghormati demokrasi, kerana sekarang jelas menunjukkan kerajaan bersama peguam negara tidak menghormati demokrasi," katanya ketika ditemubual Tv Selangor.

Surendran juga menganggap dengan adanya Akta Hasutan ini telah menyekat kebebasan seseorang untuk bersuara, lebih-lebih lagi kenyataan yang berbaur menentang kerajaan.

Pagi tadi Shuhaimi didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya menyentuh kemelut pelantikan setiausaha kerajaan negeri Selangor menerusi blognya pada 30 Disember lalu.

Beliau juga didakwa mempersoalkan kuasa Sultan Selangor dalam blog pada 30 Disember tahun lalu melalui artikel berjudul "Pandangan saya berasaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959".

Bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah atas tuduhan hasutan yang didakwa ke atasnya dan mahkamah menetapkan kes itu akan disebut pada 28 Mac ini.


Sumber: TVSNEWS

Tiada ulasan: