Salam 2 all.
Teman terkejut membaca surat terbuka yang ditulis oleh seorang pemimpin akar umbi PAS Negeri Kedah mengguna nama pena Buluhmadu yang disiarkan oleh media pro-Anwar MalaysiaKini yang menegur Mahfuz Omar dalam isu syarikat Kedah Sato Sdn. Bhd.
Teman tidak mahu mengulas panjang walaupun teman tersenyum baru mengetahui bahawa Mahfuz asalnya ialah "Ketua Pegawai Eksekutif" setor Lapangan Terbang Bayan Lepas. Tapi itu bukan isunya, walaupun teman percaya sikap dan perangai seseorang itu kekadang mencerminkan latarbelakang pendidikan beliau.
Teman selalu dok bayang kepimpinan tinggi PAS sepatutnya atau sekurang-kurangnya memiliki pendidikan dan kelayakan bidang agama, macam Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, ataupun paling-paling koman mangkuk pun lepasan empat senawi Pondok Lanai pun jadilah. Kurang-kurang teman ada lah jugak sikit kelayakan syariah sebagai peguam syarie Mahkamah Tinggi Syariah, selain berkelayakan sebagai peguam sivil Mahkamah Tinggi Sivil! Tapi takdelah pulak teman berangan nak jadi pemimpin, walaupun pernah menjawat jawatan AJK Lujnah Kebajikan PAS Pusat, AJK PAS Perhubungan Wilayah Persekutuan, Yang DiPertua PAS Kawasan dan lain-lain. Tu pun bukan teman mintak, dema nak bagi yop!
Apapun, teman sentuh isu kelayakan ini kerana ada diantara mereka kalau orang lain bercakap mengenai Islam habis dimaki hamun sebagai tak layak. Macam sorang dua pak jangoat yang mempertikai Datuk Ahmad Khusrin sebagai tidak layak menjadi Pengarah JAIS kerana tiada kelayakan agama. Yang dema alip-ba-ta pun dok terketar lagi tapi beriya-iya mendabik dada sebagai pemimpin gerakan Islam walaupun hanya setakat hapal dua-tiga ayat Quran. Malah ada yang ahli akar umbi dah bakulsampahkan pun tapi terhegeh-hegeh jugak nak jadi pemimpin ikut "pintu jalan belakang!!". Apa nak buat yop, akhir zaman ni macam-macam boleh jadi. Nabi sendiri pernah bersabda yang mafhumnya "akan datang nanti suatu zaman badui padang pasir pun akan berlumba membina bangunan pencakar langit".
Tapi isu yang lebih penting yang perlu dijawab ialah apakah dakwaan saperti yang terkandung didalam surat terbuka itu betul?! Jika tidak betul, ianya adalah satu fitnah yang perlu dinafikan dengan fakta dan diambil tindakan tegas, dan bukan dengan maki hamun serta label melabel, walaupun ada diantara mereka cukup kuat bab label-melabel orang. Teman tidak akan terkejut kalau ada dikalangan penyokong totok dan kelabu asap yang akan membalas hujah penulis Buluhmadu ini dengan dilabel sebagai pencacai umno, barua BN, munafik, mungkin juga talibarut kapir. Sebab itu sahajalah level mental dema yop!
Macam dahulu terdapat beberapa pak jangoat yang melabel seorang bekas pemimpin kanan umno sebagai Al-Juburi, tetapi kini habis pemimpin itu dibontoti dan dijilati walaupun sudah terang lagi bersuluh warna sebenar pemimpin yang ditabal oleh bininya sebagai anugerah tuhan itu!
Tetapi sekiranya dakwaan yang dibuat didalam surat terbuka itu benar, ianya adalah satu kes yang serius yang perlu disiasat oleh bukan sahaja pihak berkuasa, tetapi juga oleh kepimpinan PAS. Kerana ianya mempunyai elemen-elemen khianat terhadap Kerajaan PAS Kedah pimpinan YAB Dato' Seri Ustadz Azizan Abdul Razak.
Apa pun, teman serahkan kepada kebijaksanaan dan kewibawaan para ulama', kepimpinan dan ahli akar umbi PAS untuk menentukan apa yang perlu mereka lakukan. Cuma ingatan teman Rasulullah saw pernah bersabda, "akan datang suatu zaman nanti kamu akan terkena suatu penyakit yang terkena kepada umat terdahulu, hubbud dunya, wakaro hiyatul maut - kamu terlalu sayangkan dunia dan takutkan mati". Dalam keadaan itu, ALLAH akan mencabut perasaan takut musuh kepada Islam dan mencampakkan perasaan wahan kepada umat Islam.
Hari ini kita perlu bertanya mengapakah umat Islam kini dihina dimana-mana. Walaupun kita umat yang begitu ramai (melebihi satu billion jumlahnya), walaupun kita punya segala hasil kekayaan bumi (minyak dan lain-lain), walaupun kita ada senjata nuklear (saperti Pakistan), walaupun kita antara yang mempunyai kelengkapan ketenteraan yang hebat (saperti Saudi, Kuwait dll), walaupun kita punya jumlah tentera yang hebat dan ramai (Iraq sahaja ada lebih 1 juta tentera regular), tetapi mengapa kita mudah diperkotak-katik dan ditendang-terajang macam bola lisut sahaja oleh musuh-musuh ALLAH. Jawapannya terletak kepada kita kelemahan dan kerakusan kita sendiri - kerana ALLAH tidak membantu kita. Kerana kita tidak membantu agama ALLAH.
Moga ALLAH memberikan hidayah dan petunjuk kepada kita, dan memberikan kekuatan istiqomah dan keampunan kepada kita dalam mengahrungi sa'at getir dan mencabar yang dihadapi oleh umat Islam.
Wallahua'lam & wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
30 Muharram 1432
05 Januari 2010
@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@
(
Disiarkan oleh media pro-Anwar MalaysiaKini pada 02 Januari 2010)
SURAT TERBUKA UNTUK MAHFUZ SI 'POLIGAME'
Buluhmadu
02.02.2011
Buat Saudara Mahfuz Omar, bekas pengerusi Kedah Sato Sdn Bhd dam ahli parlimen Pokok Sena yang telah lama saya kenali, dari setor Lapangan Terbang Bayan Lepas hinggalah berjaya menjadi ahli parlimen dan naib presiden PAS.
Ramai yang kagum atas perjalanan dan pencapaian karier politik saudara. Saudara bijak menempatkan diri di celah-celah ruang yang muncul dari pergerakan politik semasa, walaupun ruang dan peluang itu bukan dicipta dari cetusan idea, kerja keras atau keberanian saudara.
Saudara berjaya spin momentum politik untuk menempatkan nama, hingga saudara diberi jolokan "poligame" – politik + gambar + media.
Tak kira apa isu yang dicetuskan atau tercetus, saudara akan mencelah sebagai hero. Poligame telah melonjak karier politik saudara selama ini, tetapi saudara juga membuat kesilapan dan poligame itu akan memakan diri saudara.
Kemunculan saudara berpoligame dalam isu perletakan jawatan sebagai Pengerusi Kedah Sato Sdn Bhd yang terlibat dalam pembinaan kampus baru Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) bakal memakan diri.
Tindakan saudara itu hanya berasaskan emosi dan perspektif sempit sehingga mencemarkan maruah kerajaan negeri yang sedang dipetahankan oleh ahli dan pimpinan PAS yang lain di Kedah.
Hal ini tidak boleh diterima sebagai mempertahankan prinsip, tetapi satu tindakan bodoh yang memberi kesan buruk kepada maruah kerajaan dan parti.
Nampaknya ada kepentingan lain yang saudara 'sandarkan' pada kalimah 'prinsip' yang membuatkan saudara cuba berlagak sebagai hero membakar 'rumah tangga' saudara sendiri.
Ternyata kedangkalan ilmu dan pengalaman dalam pengurusan syarikat berprofil tinggi serta projek-projek besar membutakan mata hati saudara untuk memandang kerajaan negeri Kedah sebagai taman yang lebih besar dan lebih penting untuk dipelihara.
Keutamaan Kedah
Saudara perlu ingat bahawa ilmu dan kemahiran pengurusan syarikat tidak mungkin diperolehi melalui poligame, tetapi poligame saudara bisa menghakis kepercayaan dan memporakperandakan 'rumah tangga' saudara.
Saudara Mahfuz, izinkan saya membetulkan perspektif dan 'prinsip' yang kononnya saudara cuba pertahankan dalam isu Insaniah supaya saudara dapat belajar sesuatu yang real dalam dunia perniagaan, berbanding khayalan syok sendiri dalam politik poligame.
Saudara dilantik sebagai Pengerusi Kedah Sato Sdn Bhd (KSSB) – sebuah anak syarikat Bina Darul Aman Berhad (BDB) yang menguruskan pembinaan kampus baru Insaniah.
KSSB dilantik sebagai kontraktor utama projek itu bukan melalui tender terbuka, tetapi kerana KSSB adalah anak syarikat BDB.
Dalam isu yang saudara poligamekan kini, saudara seolah-olah gagal faham beberapa perkara pokok yang menjadi aulawiyat (keutamaan) dalam kerajaan Kedah.
Aulawiyat ini diletakkan oleh parti yang membentuk kerajaan, yang turut disertai oleh saudara sebagai timbalan peserujaya PAS Kedah.
1. Pendidikan tinggi untuk melahirkan rakyat berilmu/ berkemahiran melalui Insaniah adalah pemacu utama pembangunan Kedah kini dan di masa depan. Kedah perlukan rakyat yang terpelajar dan mampu bersaing di pasaran untuk menjamin masa depan sosio-ekonomi dan sosio-politik negeri ini.
Kedah tidak boleh bergantung kepada ahli poligame dan 'tong kosong'. Kedah perlukan rakyat dan pemimpin yang kualiti tinggi, mantap, kemas dan terarah.
Kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Ustaz Azizan Razak meletakkan pendidikan senarai teratas untuk membaiki taraf hidup rakyat. Ia boleh dicapai melalui pengukuhan institusi pendidikan seperti Insaniah, maka kampus baru untuk menampung 20,000 pelajar pada satu-satu masa dibina disamping menambah program-program baru di Insaniah.
Agenda ini didokong dan disokong oleh semua pimpinan parti yang membentuk Kerajaan sekarang, kecuali saudara yang selesa dengan poligame.
2. BDB adalah listed company yang sahamnya dipegang oleh PKNK sebanyak 54% dan selebihnya oleh pemegang saham bebas. Pengurusan BDB perlu memelihara kepentingan pemegang saham dan krebiliti syarikat dalam melaksanakan sebarang urusan yang membabitkan prestasi syarikat.
3. Pemilik projek ialah Insaniah, bukan BDB dan bukan Kedah Sato. BDB dan Kedah Sato hanyalah kontraktor dan sub-kontraktor.
4. Pembinaan kampus ini adalah 'bayi' kerajaan negeri. Kerajaan telah berjanji kepada rakyat untuk siapkan kampus baru Insaniah pada 2012 dan memulakan sesi pengajian pada 2013.
Ini janji kerajaan kepada rakyat. Dengan apa cara sekalipun, janji ini mesti ditunaikan kerana rakyat meletakkan harapan pada kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Ustaz Azizan.
5. Pembiayaan projek melalui pinjaman Bank Islam menghadapi masalah teknikal sehingga BDB terpaksa memperuntukan modal permulaan lebih RM30 juta untuk memenuhi kehendak kerajaan supaya kampus siap pada masa yang dijanjikan.
6. Kerja-kerja yang diserahkan kepada Kedah Sato sebagai sub-konttaktor (yang juga tidak melalui tender terbuka) tidak pernah ditamatkan. Hanya fasa dua dan tiga yang menelan kos RM180 juta daripada RM330 juta kos keseluruhan terlibat dengan perlantikan sub-kontraktor baru.
7. Sebagai syarikat yang bertanggungjawab, BDB berikhtiar dengan apa cara sekalipun untuk menyiapkan kehendak pelanggan yang menekankan projek tersebut perlu siap pada 2012 – hanya dua tahun dari sekarang.
Tidak hadir
Saudara patut tahu bahawa keseluruhan projek ini dibiayai oleh pinjaman dari Bank Islam yang hanya dapat menyelesaikan aspek teknikal pembiayaan projek ini pada akhir November 2010.
Oleh kerana itu, BDB terpaksa mencari sebuah syarikat alternatif yang berkemampuan untuk melaksanakan projek dengan modal sendiri dan syarikat yang berjaya memenuhi kriteria yang diperlukan ialah IJM. Mereka dilantik secara rundingan bagi menyiapkan kerja-kerja dengan pembiayaan awal mereka sendiri bernilai sekitar RM180 juta.
Selain itu, IJM juga menawarkan (in-return) kerja-kerja membekalkan bahan batuan dan pembinaan jalan kepada BDB dalam projek jambatan kedua Pulau Pinang yang mana IJM adalah kontraktornya. Ini adalah perkongsian bijak dalam dunia perniagaan.
Saudara,
BDB tidak meninggalkan kontraktor bumiputra. Banyak yang diserahkan kepada kontraktor Melayu/ bumiputra, malah IJM juga membuat komitmen untuk membuat tawaran kepada kontraktor bumiputra bagi kerja-kerja yang sesuai.
Saudara,
Langkah membuat rundingan dengan IJM tidak dibuat semberono. Ia telah diluluskan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah BDB dan Kedah Sato sendiri.
Diberitakan bahawa semua lembaga pengarah Kedah Sato yang terdiri daripada ahli-ahli dalam bidang perniagaan bersetuju kecuali saudara yang berlatar belakangkan poligame, malah saudara tidak hadir.
Muncul di gerai pulut udang
Tindakan saudara meletak jawatan atas alasan prinsip mempertahankan kaedah tender terbuka sebenarnya dibayangi faktor-faktor lain.
Kebanyakan faktor itu muncul di gerai pulut udang Stadium Darulaman tempat saudara mengutip idea dan pandangan bagi meneruskan karier politik saudara.
Saudara juga mungkin teruja dengan rayuan tauke-tauke besar ynag mengidamkan projek dalam pembinaan Insaniah.
Sepatutnya dari awal lagi saudara menentang pelantikan Kedah Sato Sdn Bhd yang juga mendapat kontrak pembinaan melalui rundingan, bukan tander terbuka.
Saudara,
Masalah saudara ialah politik poligame telah membawa saudara menghabiskan terlalu banyak masa di Kuala Lumpur berbanding Kedah. Politik sebenar saudara hanya berlegar di Pokok Sena.
Saudara tidak peduli tentang politik negeri Kedah dan PAS Kedah walaupun saudara adalah timbalan Pesuruhjaya.
Malah, saya yakin saudara tidak pernah menjelajah kompleks PAS di Batu 9 termasuk bangunan DAYA sepanjang saudara menjadi TPJ.
Bakar kelambu
Saudara juga tidak pernah melawat tapak projek di Kuala Ketil, sejak majlis pecah tanah hingga kini.
Saudara hanya hadir mesyuarat bulanan, datang lewat dan balik awal. Saudara tidak berupaya menyelami susah payah sahabat pimpinan yang lain. Malah saudara langsung tidak peduli apa yang sedang ditanggung oleh pesuruhjaya, timbalan pesuruhjaya, exco kerajaan dan wakil-wakil rakyat di Kedah.
Poligame telah mengheret saudara ke medan yang mendapat liputan wartawan, lensa kamera dan TV. Dunia glamor itu menenggelamkan fokus sebenar saudara dalam PAS.
Saudara tidak peduli lagi kesan yang bakal menimpa sahabat dan pimpinan negeri akibat poligame kegemaran saudara itu. Inilah masalah dan penyakit yang dihidapi oleh saudara tanpa disedari. Orang sedang tersenyum sumbing melihat gelagat yang terpamer dari poligame itu.
Sekian sahaja lontaran paling ikhlas buat saudara dari saya yang memerhatikan gelagat politik pemimpin-pemimpin politik sejak puluhan tahun.
Pesanan akhir saya, jangan bakar kelambu untuk menghalau nyamuk. Selamat maju jaya dalam karier politik saudara dan mencapai target saudara dalam kerier itu. Saya akan terus memerhati.
Sungai Petani Kedah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan