Khamis, 6 Januari 2011

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Felda mengaku bahawa semua tanah didalam Rancangan Felda yang belum dikeluarkan geran sebagai "milik" Felda

Posted: 06 Jan 2011 12:38 AM PST

Felda benar-benar bongkak apabila ia mengaku semua tanah didalam Rancangan Felda yang belum diberikan geran tanah kepada Peneroka-Peneroka sebagai "milik" Felda.
Pengakuan bongkak ini telah diisytiharkan oleh Ketua Unit Undang-Undang Felda yang mengatakan bahawa selagi peneroka-peneroka tidak memiliki geran tanah didalam rancangan itu, maka semua tanah itu adalah milik Felda.
Ini adalah kenyataan yang sangat sombong yang dikeluarkan oleh Felda dan tidak berpandu kepada tujuan Felda ditubuhkan.
Tujuan Felda ditubuhkan adalah untuk memberikan tanah kepada peneroka-peneroka yang terdiri daripada petani-petani luar bandar yang tidak memiliki tanah atau memiliki tanah yang terlalu kecil keluasannya menjadikan ia pegangan yang tidak ekonomik.
Perjanjian yang diperbuat diantara Felda dan Peneroka memperuntukkan bahawa Felda akan mengesyorkan kepada Kerajaan Negeri supaya geran dikeluarkan kepada Peneroka apabila Peneroka itu telah menjelaskan hutangnya kepada Felda, dan kuasa untuk mengeluarkan geran itu adalah ditangan kerajaan-kerajaan Negeri dan bukan ditangan Felda. Kuasa Felda hanyalah untuk mengesyorkan sahaja.
Ini bererti bahawa tanah-tanah lot didalam Rancangan Felda yang diperuntukkan kepada Peneroka-Peneroka bukanlah hakmilik Felda. Sementara Peneroka belum menjelaskan hutang mereka kepada Felda, maka geran tanah bagi peneroka itu tidaklah diserahkan kepada Peneroka.
Namun, tanah adalah dibawah kuasa Kerajaan Negeri, dan Kerajaan Negeri berkuasa untuk mengeluarkan geran tanah kepada mana-mana Peneroka Felda samada Peneroka itu sudah atau pun belum menjelaskan hutang mereka.
Hutang adalah isu diantara Peneroka dan Felda dan penentuan pembayarannya boleh diselaraskan diantara kedua-dua pihak yang tidak membabitkan isu pengeluaran geran tanah.
Amat jelek bagi Felda untuk mengaku bahawa semua tanah didalam Rancangan Felda yang Penerokanya masih berhutang dengan Felda dianggap sebagai tanah yang dimiliki oleh Felda.
Jika benarlah bahawa tanah itu milik Felda, maka kenapa tidak Felda membuat pertukaran nama sahaja daripada Felda kepada Peneroka apabila Peneroka sudah selesai menjelaskan bayaran hutang?
Kenapa Kerajaan Negeri yang mengeluarkan geran "baru" kepada Peneroka itu, dan bukan pindahmilik dari Felda kepada Peneroka.
Dari segi prosedurenya, jika benar bahawa tanah itu milik Felda, maka perlulah Felda dan Peneroka menandatangani Memorandum Pindah Milik diatas Borang 14 untuk Felda memindahmilik tanah itu kepada Peneroka.
Tetapi hal ini tidak berlaku. Geran dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri dan tidak berlaku pindahmilik dari Felda kepada Peneroka.
Felda ditubuhkan bukan untuk memiliki tanah tetapi untuk sekadar menguruskan tanah bagi pihak Peneroka-Peneroka semata-mata. Namun Felda telah menyalahgunakan kuasa yang ada padanya dengan membuat beberapa Surat Perjanjian dengan Peneroka-Peneroka agar Peneroka-Peneroka tidak menjalankan aktiviti pengurusan diatas tanah mereka dan menyerahkan tanah mereka kepada Felda untuk ditanam semula (samada sawit atau getah).
Banyak dari tidak, Surat-Surat Perjanjian ini hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja iaitu Pihak Felda.
Kemudian dari itu Felda mendatangkan pula beberapa lagi Surat-Surat Perjanjian Tambahan yang isi kandungannya adalah untuk membenarkan Felda menjalankan pengurusan diatas tanah-tanah Peneroka dan menjalankan aktiviti tanam semula untuk peneroka-peneroka manakala terma-terma dan syarat-syarat didalam Perjanjian itu amatlah berat sebelah.
Kedapatan Felda telah mengingkari syarat dan terma didalam Perjanjian utama bilamana dinyatakan bahawa Felda akan mengesyorkan kepada Kerajaan Negeri supaya dikeluarkan geran tanah kepada Peneroka yang telah menjelaskan bayaran hutang mereka.
Ada disesetengah rancangan Felda peneroka-peneroka telah menjelaskan hutang mereka kepada Felda setelah melebihi 10 tahun dan kebanyakan dirancangan-rancangan Felda, Peneroka-Peneroka sudah menjelaskan hutang mereka kepada Felda melebihi 5 tahun, namun Felda masih gagal mengesyorkan kepada Kerajaan Negeri supaya geran tanah untuk peneroka-peneroka itu dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri.
Baiklah. Jika Felda mengatakan bahawa hakmilik tanah bagi peneroka-peneroka yang belum menjelaskan hutang mereka itu adalah kepunyaan Felda, maka apakah status peneroka-peneroka itu?
Adakah peneroka-peneroka itu berstatus sebagai pekerja-pekerja estet? Jika itulah status peneroka-peneroka itu, maka, dimanakah Surat Perjanjian Perkhidmatan diantara Peneroka Felda dan Felda? Dan jika mereka itu dianggap pekerja Felda, maka syarat-syarat perkhidmatan perlu menetapkan tangga gaji, hari-hari bercuti didalam setahun, bercuti kerana "sick leave", dan syarat-syarat yang mengikat Felda dan Peneroka keatas KWSP dan SOCSO.
Dan kenapa pula, peneroka-peneroka itu dikenakan hutang jika mereka hanyalah pekerja kepada Felda?
Maka janganlah Felda menjadi satu badan penindas peneroka-peneroka. Hakmilik bagi peneroka-peneroka itu hanyalah sekadar tertangguh sehingga peneroka itu menjelaskan hutang, dan kerana hakmilik tertangguh ini tidak memberikan hak kepada Felda menjadi Tuan Tanah. Dan jika Kerajaan Negeri itu bersetuju, ia boleh mengeluarkan geran tanah kepada peneroka-peneroka biarpun peneroka-peneroka itu masih berhutang dengan Felda.
Felda mempunyai niat yang tidak baik apabila ia tidak mengesyorkan kepada Kerajaan Negeri supaya dikeluarkan geran tanah kepada peneroka-peneroka yang sudah menjelaskan bayaran hutang masing-masing kepada Felda.
Niat jahat ini dapat dibaca apabila Felda memberikan syarat kepada peneroka-peneroka tersebut supaya menandatangani Perjanjian Tambahan sebelum Felda mengesyorkan kepada Kerajaan Negeri supaya geran dikeluarkan.
Perjanjian Tambahan itu mengenakan syarat yang berat sebelah memihak kepada Felda iaitu supaya peneroka-peneroka meyerahkan ladang mereka supaya ditanam semula oleh Felda dengan pengurusan ladang itu dikendalikan oleh Felda.
Walhasil dari Perjanjian Tambahan itu, peneroka-peneroka terpaksa menyerahkan ladang mereka kepada Felda untuk pengursan dan tanaman semula. Peneroka-peneroka akan diberikan saraan hidup yang bertahap sehinggalah ladang mereka boleh mengeluarkan hasil dan mereka diberi sara hidup sejumlah hanya RM1500.00 sahaja yang dikira hutang.
Maka adalah perkara lazim bagi peneroka-peneroka yang menyerahkan tanah ladang mereka untuk ditanam semula oleh Felda dan diuruskan oleh Felda akan berhutang kepada Felda dengan jumlah yang langsung tidak munasabah. Ada diantara peneroka-peneroka itu berhutang hingga RM60,000.00 setelah 6 tahun ladang mereka diuruskan oleh Felda, dan jumlah hutang itu boleh meningkat hingga melampaui RM120,000.00.
Bayangkan kepada peneroka-peneroka yang umurnya sudah melebihi 60 tahun. Dia tidak akan berkemampuan untuk menjelaskan hutang itu hinggalah mereka meninggal dunia. Maka akan mereka wariskan kepada pewaris-pewaris mereka dengan hutang hingga RM120,000.00 dan itulah permulaan hidup bagi generasi kedua yang mewarisi tanah ladang-cum-hutang yang begitu besar.
Sementara itu Felda akan memasukkan "caveate" keatas tanah itu, dan alangkah malangnya jika pewaris itu tidak mampu menjelaskan hutang masing-masing, dan tidakkah nanti tanah ladang itu akan menjadi hakmilik Felda? Alangkah malangnya nasib peneroka-peneroka Felda yang berhadapan dengan keadaan suram yang dihempapkan keatas mereka oleh Felda.

Tiada ulasan: