Anwar Ibrahim |
- Segera Bawa Pulang Rakyat Malaysia
- Tunai Amanah Rakyat Elak krisis Tunisia, Mesir
- Komitmen PR Tingkatkan Kualiti Massa WP
Segera Bawa Pulang Rakyat Malaysia Posted: 30 Jan 2011 07:50 PM PST Ketegangan di Mesir jelasnya tidak akan mengendur dalam beberapa ketika ini. Protes menuntut Perubahan disertai puluhan jika tidak ratusan ribu rakyat setiap hari di beberapa kota utama negara tersebut. Keadaan semakin tidak menentu, keselamatan orang awam tidak lagi terjamin. Lebih membimbangkan adanya laporan bahawa wujudnya kumpulang samseng yang melakukan jenayah sewenang-wenangnya. Saya difahamkan rakyat Malaysia yang kini tinggal di Mesir hampir mencecah 11 ribu orang, 10,328 dari jumlah tersebut merupakan pelajar yang mendaftar dengan kedutaan Malaysia di sana. Saya khuatir kedutaan kita menghadapi kesukaran untuk mengawasi serta menjamin keselamatan para pelajar dan rakyat Malaysia. Beberapa hari ini regim Hosni Mubarak telah mengambil tindakan untuk merencat penggunaan internet terutamanya jaringan media sosial seumpama Facebook dan Twitter. Malah, perkhidmatan telefon mudah alih juga sukar diperolehi. Adalah mustahil buat kedutaan Malaysia mengawasi serta menjamin keselamatan seluruh rakyat kita di sana kerana sistem telekomunikasi sudah lumpuh dan tidak lagi berkesan. Perkembangan ini sewajarnya menyedarkan Kerajaan Malaysia bahawa mereka perlu segera merencana kepulangan rakyat kita dari Mesir. Adalah tidak munasabah membiarkan rakyat kita terdedah kepada bahaya dan tersepit di celah-celah keributan menuntut Perubahan. Saya menggesa kerajaan segera membawa pulang rakyat kita di sana. Jangan tunggu sehingga nasi menjadi bubur. ANWAR IBRAHIM |
Tunai Amanah Rakyat Elak krisis Tunisia, Mesir Posted: 30 Jan 2011 07:16 PM PST Dari Keadilan Daily Kesungguhan pemimpin dalam menunaikan amanah dari kepercayaan rakyat penting bagi mengelakkan krisis politik seperti di Tunisia dan Mesir, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. "Krisis di Tunisia dan Mesir berpunca daripada tiadanya keabsahan (legitimacy) untuk memerintah kerana pemimpin tidak diangkat dan diberi mandat secara sah oleh masyarakat," katanya. Ketua Pembangkang itu berkata demikian ketika berucap di majlis Wacana Memperkasa Fikrah Rakyat: Maqasid Syariah dan Masyarakat Majmuk di Auditorium Dewan Jubli Perak di sini, hari ini. Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty bertindak sebagai pemudah cara dalam wacana yang turut disertai Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Datuk Dr Siddiq Fadzil. Anwar berkata, keadilan sosial selaku cabang kepada prinsip utama keadilan harus diberi penekanan penting. "Kalau tidak ada keadilan sosial, seperti sistem cukai yang menindas dan memeras, kesenjangan (jurang) harta antara miskin dan kaya, itu juga dianggap melanggar prinsip pemeliharaan harta," katanya. Beliau berkata, prinsip keadilan adalah sebahagian maqasid syariat yang membawa matlamat utama pelaksanaan undang-undang Islam dalam pentadbiran negara. "Pengembangan maqasid syariat itu sendiri tidak dapat lari daripada prinsip keadilan yang membebaskan rakyat yang banyak daripada kemiskinan dan penindasan," katanya. Hadi pula berkata, sesebuah kerajaan perlu menyediakan 'makanan rohani' kepada rakyat sebagai sebahagian maqasid syariat. "Makanan kepada rohani itu merujuk kepada keperluan iman, ilmu, serta akhlak," katanya. Keperluan iman merujuk kepada kemudahan pusat pengajian serta tempat penyebaran ilmu, katanya, merujuk kepada kemudahan rumah ibadat serta kegiatan keagamaan. "Sementara keperluan akhlak pula adalah bagi memastikan rakyat mendapat kekuatan dalaman bagi menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara yang baik," katanya. Presiden Wadah, Dr Siddiq Fadzil pula menghuraikan definisi 'maqasid syariat' yang merangkumi lima rumusan utama. "Dikenali sebagai 'the higher objective of syariat', ia merujuk kepada matlamat utama syariat yang bermatlamatkan lima rumusan utama pelaksanaan hukum Islam itu sendiri. "Lima matlamat itu adalah pemeliharaan agama, pemeliharaan akal, pemeliharaan manusia, pemeliharaan keturunan, serta pemeliharaan harta," kata Dr Siddiq Menurutnya, seandai matlamat utama pelaksanaan hukum Islam dipenuhi, sesebuah negara bebas dari menjadi sebuah 'negara sampul surat' – lambangan negara yang rasuahnya berleluasa. |
Komitmen PR Tingkatkan Kualiti Massa WP Posted: 30 Jan 2011 06:42 PM PST Dari Merdeka Review Kuala Lumpur adalah pusat kebudayaan, ekonomi dan kewangan Malaysia. Ianya merupakan kawasan yang paling pesat membangun dari sudut jumlah penduduk dan ekonomi negara, dengan anggaran 1.7 juta penduduk (2010). Bandaraya ini menarik lebih sembilan juta pelancong setahun dan punya KDNK sebanyak RM77 bilion. Walaupun Kuala Lumpur telah menjadi sebahagian dari Wilayah Persekutuan lebih 37 tahun, kualiti kehidupan di Kuala Lumpur semakin teruk. Lapangan, taman-taman, dan tanah awam telah dijual kepada pemaju untuk membina tanpa mempertimbangkan warisan KL, namun prasarana awam seperti pengangkutan dan perumahan awam diabaikan. Taman-taman awam pula memerlukan penyenggaraan yang lebih baik. Tahap jenayah meningkat dan memaksa rukun tetangga dan persatuan-persatuan penduduk mengupah syarikat pengawal keselamatan swasta dan menubuhkan komuniti-komuniti berpagar, dengan kos yang ditanggung sendiri oleh rakyat. Malah taraf latihan para pengawal keselamatan ini tidak terselia. Upah permulaan purata bagi seorang graduan di KL hanyalah RM1,600, yang turun dari RM1,800 sepuluh tahun lalu. Peningkatan gaji tahunan cumalah 4.7%, antara terendah di dunia. Pada masa yang sama, harga rumah-rumah sekitar Kuala Lumpur telah meningkat ke purata RM500,000 dan hal ini menyusahkan anak-anak muda yang baru berkahwin untuk memiliki rumah. Walaupun golongan miskin tegar kononnya telah tiada, namun golongan miskin masih wujud di kota malah semakin meningkat sejak 1998. Ketidaksamaan adalah masalah yang serius – koefisien Gini bagi Malaysia adalah 0.461 pada 2009 – dan menjadi faktor mendorong peningkatan masalah penyakit sosial. Sudah pasti tahap ketidaksamaan yang tinggi bukan sahaja melembapkan ekonomi Kuala Lumpur, malah juga Malaysia amnya. Dengan itu, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Wilayah Persekutuan mengakui kewujudan masalah-masalah ini dan akan bertungkus-lumus untuk menyelesaikannya dengan rancangan reformasi 100-hari kami, walaupun butiran terperinci serta statistik dalam Wilayah Persekutuan tidak diperolehi daripada kerajaan pusat. Tentunya rancangan reformasi ini akan disesuaikan mengikut maklumat yang jitu dan terperinci. Apabila Pakatan Rakyat berjaya mengambilalih Kerajaan Pusat, Pakatan Rakyat Wilayah Persekutuan berjanji untuk: 1. Menjalankan inisiatif baru untuk mengkaji semula dan memperbaiki bangunan-bangunan Pusat Perumahan Rakyat (PPR), yang mampu mengubah kehidupan golongan berpendapatan rendah serta membina komuniti-komuniti baru yang sihat dan teguh. 2. Melaksanakan cadangan-cadangan transit yang akan mengintegrasikan sistem pengangkutan awam, dan pada masa yang sama mempertingkatkan prasarana awam seperti menambahbaik jalan-jalan raya serta tempat-tempat letak kereta agar mampu menjana sebuah persekitaran sosial dan perniagaan yang mampan. 3. Melaksanakan inisiatif sedia ada Kerajaan Pusat ke seluruh Wilayah Persekutuan, di mana kita akan membina pusat-pusat pengajian di Zon-zon Bandaraya langsung melahirkan Budaya Pembelajaran Cemerlang. 4. Melaksanakan jaringan CCTV menyeluruh lagi berkesan, kukuh dan diintegrasikan dengan badan-badan yang berkenaan seperti hospital, polis, pengawalan trafik dan sebagainya, serta melahirkan unit polis sokongan bagi menangani peningkatan kadar jenayah yang sebenar. 5. Mengadakan Hari Kanak-Kanak Sedunia peringkat Wilayah Persekutuan tahunan untuk mempromosi kebudayaan Malaysia, dengan tumpuan khusus kepada perpaduan komuniti dan pembangunan anak muda. 6. Memperkenal dasar-dasar yang lebih mesra perniagaan seperti badan pelesenan contohnya PEMUDAH untuk menarik minat serta memberi semangat kepada para usahawan dan pemilik perniagaan untuk memulakan perniagaan mereka di Kuala Lumpur, sementara melaksanakan langkah 7 (seperti di bawah). 7. Menubuhkan badan bertindak untuk mengkaji dan mengutarakan langkah-langkah berkesan yang akan membolehkan adanya Pilihanraya Kerajaan Tempatan di Kuala Lumpur. 8. Mengkaji dan menggubal dasar-dasar yang akan melindungi alam sekitar di Kuala Lumpur, terutamanya kawasan hutan dalam lingkungan bandaraya serta melaksanakan konsep “indeks bandaraya hijau”. Sempena Hari Wilayah 2011, inilah janji-janji kami Pakatan Rakyat Wilayah Persekutuan yang akan kami kotakan demi memastikan negara tercinta kita akan berjaya mencapai Wawasan 2020, dan menjadikan Kuala Lumpur benar-benar bandaraya yang sejahtera. *Kenyataan media bersama oleh ahli parlimen Pakatan Rakyat Wilayah Persekutuan pada 29 Januari 2011, disokong oleh: |
You are subscribed to email updates from Anwar Ibrahim To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan