Rabu, 19 Januari 2011

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Cabaran Debat: Laporan Bernama Mengelirukan

Posted: 19 Jan 2011 08:22 AM PST

–KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA–

Saya memandang serius laporan Agensi Berita Nasional (Bernama) bahawa saya tidak mahu berbahas secara terbuka dengan Dato’ Sri Najib Razak. Laporan tersebut kononnya memetik kenyataan saya di Alor Setar seusai Majlis Wacana Maqosid Syariah di Insaniah Alor Setar petang tadi.

Saya tegaskan di sini, saya sedikit pun tidak berganjak dari kenyataan sebelumnya serta hasrat yang terkandung dalam surat rasmi berniat mempelawa YAB Perdana Menteri untuk berdebat secara terbuka demi kepentingan rakyat Malaysia seluruhnya.

Saya berharap pihak Bernama agar menarik balik serta membetulkan laporan bertarikh 19hb Januari 2011 yang berjudul “SAYA TIDAK AJAK PERDANA MENTERI BERDEBAT, HANYA BERBINCANG” – ANWAR.

ANWAR IBRAHIM

Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan Negeri Telah Dipersembah Kepada DYMM Sultan Selangor

Posted: 18 Jan 2011 10:46 PM PST

KENYATAAN AKHBAR
19 JANUARI 2011

Kerajaan Negeri menyembah ucapan terima kasih kepada DYMM Sultan Selangor kerana telah memberi perkenan untuk diadakan sidang Dewan Negeri Selangor pada 24 Januari ini bagi membentangkan cadangan pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 atau Perlembagaan Negeri.

Kami menghargai keprihatinan DYMM Sultan kepada usaha Kerajaan untuk mengembalikan kuasa Negeri dalam pelantikan tiga pegawai ex-officio iaitu: Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

Dalam perjumpaan mingguan saya dengan DYMM Sultan pagi tadi, saya telah mempersembahkan Rang Undang-Undang yang boleh mengembalikan kuasa pelantikan kepada Sultan dan Menteri Besar.

Pindaan yang kita akan cadangkan ialah Perkara 52 di Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan menggantikan Fasal (1) dengan Fasal berikut:

"Duli Yang Maha Mulia hendaklah atas cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dengan suratcara di bawah Tandatangan Baginda dan Mohor Kerajaan melantik seorang yang memegang jawatan sepenuh masa di dalam perkhidmatan awam masing-masingnya untuk menjadi Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

Dengan Syarat sebelum bertindak di atas cadangan Suruhanjaya Perhidmatan yang berkenaan, Duli Yang Maha Mulia hendaklah mempertimbangkan nasihat Menteri Besar dan boleh sekali merujuk balik cadangan tersebut kepada Suruhanjaya Perkhidmatan supaya ia boleh dipertimbangkan semula."

Pindaan ini jelas bertujuan mengembalikan prosedur untuk pelantikan tiga pegawai tersebut seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Negeri sebelum ianya dipinda pada 1993.

Rang undang-undang ini kita hebahkan kepada orang ramai supaya ianya dapat dibincang dan dikupas secara sihat dan professional sebelum ia dibawa ke Dewan Negeri Selangor untuk dibentangkan. Ini selaras dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban (transparency and accountability) Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO' MENTERI BESAR SELANGOR

Tiada ulasan: