Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA |
- Pembantu Shuhaimi dipanggil polis
- 'PAS berpeluang menang jika 75% keluar mengundi'
- Firma kaitan Talib diarah henti penebangan balak
- Jom berdebat atau Datuk diisytihar pengecut
- Pengundi buat laporan polis terhadap calon BN
- Bukan PAS, tapi mahkamah sahkan calon BN salah
- Turut Bantah Pindaan PPPA, Nasihat Jangan Bersikap Jumud, Kata Khairy
- Faekah: Muhyiddin, Noh Dangkal Ilmu
- Lebarkan PPPA Kepada Internet Ancam Hak Asasi- PKR
- Mahkamah Tolak Rayuan Lima Mahasiswa Bantah ISA
- Tok Guru : Agama Dan Politik Harus Selari
Pembantu Shuhaimi dipanggil polis Posted: 27 Jan 2011 12:08 AM PST Seorang pembantu ADUN Sri Muda, Mohammed Azmin Abdul Kadir akan hadir memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah Shah Alam petang ini dipercayai berhubung siasatan ke atas wakil rakyat berkenaan Shuhaimi Shafiei. Beliau disahkan akan hadir ke balai polis berkenaan pada jam 4 petang ini, menurut seorang lagi pembantu Shuhaimi, Azmizam Zaman Huri. Azmizam berkata, polis telah menelefon ke pejabat DUN berkenaan bagi memaklumkan perkara itu pada petang semalam. Ditanya lanjut, Azmizam berkata beliau percaya siasatan itu berhubung kait dengan siasatan ke atas Shuhaimi sebelum ini. "Tapi kita pun tak tahu sebab polis dah umum kata siasatan dah habis. "Kalau kita tak pergi, dikatakan tak beri kerjasama pula. Jadi kita tetap akan pergi," katanya lagi ketika dihubungi petang ini. Sumber: Malaysiakini |
'PAS berpeluang menang jika 75% keluar mengundi' Posted: 27 Jan 2011 12:08 AM PST Calon PAS berpeluang merampas kerusi DUN Tenang jika sekurang-kurangnya 75 peratus pemilih berdaftar keluar mengundi dalam pilihan raya kecil Ahad ini, kata ketua penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman. Katanya, berdasarkan beberapa perkembangan baru yang diperolehinya, calon PAS serta jentera Pakatan Rakyat berjaya mendapat reaksi "positif" khususnya di kawasan perkampungan tradisi dan di masyarakat Felda yang sebelum ini sukar ditembusi. Kampung tradisi yang terdapat di DUN Tenang adalah Kampung Redong, Air Panas dan Kampung Tenang. "Di kampung tradisi kita mengambil pendekatan 'sentuhan peribadi'. Oleh kerana rumah di kampung tradisi tidak banyak, ia lebih mudah untuk kita terus berjumpa dengan pengundi. "Perkampungan tradisi tidak terikat dengan badan-badan tertentu. Persepsi mereka berubah tentang PAS yang dikatakan sebagai kumpulan radikal atau ekstrem. Jadi mereka melihat kita berbeza. "Kita berkampung di sana dan bahkan bila adanya kematian, mereka menyuruh kita memimpin tahlil," katanya ketika ditemui Malaysiakini selepas satu sidang media. Mazlan berkata calon PAS Normala Sudirman berjaya mendapat respons positif dari pengundi di Kampung Payah Merah – tempat tinggal calon BN, Mohd Azahar Ibrahim (kiri). Cikgu Mala disambut baik Katanya, daripada 60 orang pengundi yang ditemuinya, mereka menyambut baik kehadiran calon PAS yang lebih dikenali dengan Cikgu Mala dan ada di antara mereka mempelawa masuk ke dalam rumah. Mazlan yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat bagaimanapun menyuarakan kebimbangannya apabila pihaknya berhadapan dengan kekangan iaitu kesukaran pengundi Melayu dan Cina pulang ke kampung. Ini kerana, mereka perlu berulang disebabkan tarikh pengundian 30 Januari diselangi dengan sambutan Tahun Baru Cina tiga hari selepas itu. Sehubungan itu pihaknya kini sedang memikirkan starategi untuk merangsang pengundi Cina dan Melayu untuk pulang mengundi pada 30 Januari ini. Ditanya mengenai strategi PAS untuk menarik lebih ramai pengundi di ketiga-tiga Felda – Felda Tenang, Felda Chempelak, dan Felda Chempelak Barat – beliau berkata PAS memasuki fasa terakhir bagi menarik kumpulan tersebut. Katanya, fasa pertama dilalui sejak penamaan calon sehingga hari ini, pihaknya mengadakan siri ceramah dan dialog dengan membarisi tokoh Pakatan Rakyat dan peguam memberi penerangan mengenai isu semasa termasuk isu-isu Felda. "Fasa terakhir ini kita fahamkan supaya mereka ada keberanian (untuk menuntut) apa yang mereka mahukan. Kita lontarkan isu berbangkit supaya mereka tahu apa komitmen kerajaan," katanya. Sehubungan itu, pihaknya kini menggiatkan kempen bertemu pengundi di kedai kopi atau gelanggang futsal dan memberi penerangan dalam ceramah kelompok mengenai isu berbangkit di Felda. "Nampaknya pendekatan ini lebih positif supaya mereka lebih memahami (mengenai isu tesebut). Ada di antara mereka tidak tahu hak mereka sebagai warga Felda," katanya. Sumber: Malaysiakini |
Firma kaitan Talib diarah henti penebangan balak Posted: 27 Jan 2011 12:04 AM PST Mahkamah telah memberikan perintah interim kepada 15 komuniti rumah panjang Iban di Sebangan Hulu di Simunjan, Sarawak bagi menghalang Quality Concrete Holdings Bhd dan kontraktornya Loyal Billion Sdn Bhd daripada meneruskan segala aktiviti pembalakan, pembersihan kawasan dan aktiviti lain yang berkaitan di sana. Pemegang lesen konsesi balak, Quality Concrete Holdings Bhd dimiliki sebahagian besarnya oleh adik Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud - Roziah. Ahli keluarga terdekat Taib juga di katakan memiliki saham di syarikat itu. Menurut laporan tahunan syarikat itu tahun lalu mencatatkan sepupu pertama Taib, Hamed Sepawi, sebagai 28 daripada 30 pemegang saham terbesar Quality Concrete. Seorang lagi pemegang saham yang berdaftar di tangga 24 adalah adik ipar Taib Abdul Aziz Husain, mantan setiausaha kerajaan negeri. Penduduk rumah panjang itu mendakwa tanah berkenaan adalah hak mereka berdasarkan hak-hak tanah bumiputera (NCR). Mereka mendakwa mengikut NCR mereka adalah pemilik sah tanah-tanah di Kampung Entanggor, Ensika, Lumut, Arus Dayak, Tongkah Dayak, Dayak Tongkah Lubuk Manta, Tongkah Dayak Atas, Tongkah Dayak Rumah Panjai, Lunying, Belimbing Besi, Ketimbong dan Bajong Ili, Ili Bajong Atas, Bajong Tengah Ili, Ili Bajong Baruh, - yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari Kuching. Sumber: Malaysiakini |
Jom berdebat atau Datuk diisytihar pengecut Posted: 26 Jan 2011 11:58 PM PST LABIS, 27 Jan: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan akan diisytiharkan pengecut dan bacul jika enggan menyahut cabaran Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman untuk berdebat bagi menyelesaikan 20 perkara isu mengenai Felda. Mazlan berkata, Anak memberi tempoh sehingga 28 Januari (esok) untuk berdebat dan Ahmad Maslan berhak untuk menentukan tempat yang sesuai berdebat tetapi dalam Dun Tenang. "Ahmad Maslan jangan cari alasan, jom kita berdebat atau Datuk bakal diisytiharkan pengecut. Malu dan terhina warga Felda mempunyai pemimpin bertaraf menteri yang bacul," katanya pada sidang media di Markas Operasi PAS PRK Dun Tenang di sini, pagi ini. Beliau berkata, sudah dua kali Ahmad menolak tawaran berdebat secara terbuka pada 7 Julai 2010 dan diajak berdialog secara tertutup. Kali kedua, katanya pada 25 Januari Naib Presiden Anak, Samsul Bakri serta Setiausaha, Zabidie Abas telah menyerahkan surat debat di Pejabat Felda Wilayah Segamat. Dalam sidang media itu beliau turut mendesak Ahmad mendedahkan faedah persaraan Tan Sri Yusof Nor selaku bekas Pengerusi Felda dan juga Pengerusi Felda yang baru, Tan Sri Isa Samad yang dikatakan mendapat bayaran RM100,000 sebulan. "Ini wang rakyat jadi kita minta Ahmad Maslan perlu perjelaskan dan bertanggungjawab," tegasnya. Mazlan berkata, rakyat khususnya warga Felda menuntut penjelasan terbuka terhadap 25 isu-isu berbangkit antaranya, benarkah dakwaan mengatakan pemilihan Isa Samad sebagai Pengerusi Felda yang baru atas kehendak isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Selain itu, katanya warga Felda mahu penjelasan mengapa kos tanam semula peneroka begitu tinggi hingga ada yang mencecah hampir RM100 ribu, mengapa kos tanam semula masih dikekalkan kadar faedah 6.25%, kadar yang sangat tinggi dan tidak pernah berubah dari dahulu. "Mengapa tidak diserahkan wang tanam semula berjumlah RM17,000 caruman peneroka selama 20 tahun, mengapa pelbagai syarat dikenakan terhadap tuntutan wang tanam semula?" soalnya lagi. Katanya, peneroka Felda juga mempersoalkan mengapa Felda Plantation tidak boleh dimansuhkan walhal ianya boleh memberi manfaat kepada 79,000 generasi kedua Felda, berapa untung sebenar Felda Plantation yang kononnya diguna untuk membayar gaji 25,000 kakitangan Kumpulan Felda dan 45,000 pekerjanya. Tambah beliau, benarkan terdapat 43 anak syarikat Felda sedang bermasalah serta projek perumahan generasi kedua Felda Air Hitam, Kluang yang dijanjikan lebih lima tahun tidak terlaksana. Sumber: Harakah Daily |
Pengundi buat laporan polis terhadap calon BN Posted: 26 Jan 2011 11:57 PM PST LABIS, 27 Jan: Seorang pengundi di Dun Tenang, Mohd Nasir Ahmad membuat laporan polis terhadap calon BN, Mohd Azahar Ibrahim berhubung kes melelong tanah seorang lelaki sewaktu menjawat Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat. Mohd Nasir merupakan kawan kepada pemilik tanah yang dilelong itu, Mansor Mohamad membuat laporan berkenaan di Balai Polis Labis, di sini, pada jam 11.50 pagi tadi. Beliau di dalam laporan itu menyatakan tanah rakannya itu yang beralamat di HS(M) 535, Lot 2091, Mukim Jabi, Segamat telah dilelong pada 1 Disember 2003 lalu. Katanya, punca tanah rakannya itu dilelong adalah kerana tunggakan bayaran ansuran kepada CIMB Bank tetapi dia tidak dimaklumkan secara rasmi tanahnya akan dilelong. Tambahnya, pegawai bertanggungjawab mengendalikan kes itu bagi pihak Pejabat Tanah Daerah Segamat adalah Mohd Azahar Ibrahim, iaitu Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat yang sekarang menjadi calon BN bagi pilihan raya kecil Dun Tenang. "Beliau telah gagal menyerahkan notis pendengaran kes lelong ini kepada Encik Mansor. Ini menyebabkan Mansor tidak berpeluang menebus tanahnya kembali secara rasmi. Menurutnya lagi, apabila saat-saat akhir Mansor mengetahui secara tidak rasmi berkenaan lelongan tanah tersebut, maka bayaran sebanyak RM10,000 telah dibuat kepada CIMB Bank bagi tujuan menebus tanahnya kembali. Mansor juga, katanya memiliki wang tunai sebanyak RM12,000 bagi tujuan tersebut dan telah merayu kepada Mohd Azahar supaya membatalkan lelongan, malangnya rayuan itu tidak dilayan. Beliau berkata, sebagai pegawai bertanggungjawab yang bertindak di atas kapasiti sebagai 'majistret', Mohd Azahar berhak membatalkan proses lelongan tersebut memandangkan Mansor telah bersedia menebusnya tetapi beliau gagal bertindak secara bijaksana. "Saya mengesyaki terdapat perundingan sulit di antara Mohd Azahar dengan pihak-pihak terbabit. Saya bimbang rakan saya, Mansor telah menjadi mangsa salah guna kuasa seorang penjawat awam," ujarnya. Sehubungan itu, beliau menggesa polis menyiasat adakah terdapat salah laku Mohd Azahar di samping untuk membersihkan nama calon BN itu. Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil yang turut mengiringnya berkata, pihaknya menyokong laporan polis itu dibuat dan bersedia memberi kerjasama untuk dibawa kepada pihak yang lebih tinggi. Sumber: Harakah Daily |
Bukan PAS, tapi mahkamah sahkan calon BN salah Posted: 26 Jan 2011 11:54 PM PST LABIS, 27 Jan: Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azahar Ibrahim hakikatnya telah disahkan bersalah oleh mahkamah kerana melelong tanah secara tidak sah, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar. "Melelong tanah secara tidak sah bukan sahaja tidak mengikut prosedur malah adalah satu kesalahan dan oleh sebab itulah Mahkamah Tinggi Muar memerintahkan dikembalikan tanah itu kepada pemiliknya, Mansor Mohamad bersama kos pada 2008. "Jika tindakan melelong itu sah, mengikut prosedur dan bukan satu kesalahan, mahkamah tidak akan memerintahkan tanah itu dikembalikan," katanya. Mahfuz menyeru rakyat Tenang menolak Mohd Azahar yang telah disahkan melakukan kesalahan oleh mahkamah dan memilih calon PAS, Normala Sudirman. "Normala bukan sahaja bersih dari tuduhan penyalahgunaan kuasa seperti yang sedang dihadapi oleh Mohd Azahar malah calon PAS di Tenang itu pernah diiktiraf sebagai guru cemerlang oleh Kementerian Pelajaran," katanya. Mohd Azahar kini adalah defendan pertama dalam tuntutan saman Norhana Mohd Ali yang telah terpedaya membeli tanah Mansor yang dilelong secara tidak sah itu. "Akibat penglibatan Mohd Azahar melelong tanah dengan cara yang didapati salah oleh mahkamah itu, kerajaan dan rakyat kini menghadapi risiko menanggung kerugian kira-kira RM1.5 juta," kata Mahfuz. Norhana menuntut gantirugi berjumlah kira-kira 1.5 juta dan Mahkamah Tinggi Muar telah pun menetapkan tarikh pendengaran kes tuntutan Norhana ke atas calon BN di Tenang itu dan tiga yang lain pada 7 Februari 2011 ini. "Dari segi integriti, Mohd Azahar hakikatnya tidak ada integriti kerana beliau sebelum ini mendakwa apa yang dilakukannya mengikut adalah prosedur dan kes lelongan tanah itu telah selesai. "Kalau mengikut prosedur, mengapa mahkamah mengesahkan kesalahan beliau terlibat dalam lelongan tanah secata tidak sah dan jika selesai, mengapa pula ada tuntutan berkaitan tanah itu yang akan didengari mahkamah pada 7 Februari ini?" Ahli Parlimen Pokok Sena mempersoalkan. Kalau sebagai pentadbir tanah pun beliau telah menghadapi tuduhan menyalahgunakan kuasa dan disahkan pula oleh mahkamah melakukan kesalahan, Mahfuz mengingatkan para pengundi di Tenang tentang kemungkinan bahaya lebih buruk yang akan dihadapi oleh rakyat dan kerajaan jika Mohd Azahar mendapat kuasa lebih besar hasil kemenangannya dalam pilihan raya kecil tersebut. "Dengan kuasa hanya sebagai pentadbir tanah sahaja Mohd Azahar bukan sahaja telah memburukkan imej kerajaan malah mengakibatkan rakyat dan kerajaan menanggung risiko kerugian kira-kira RM1.5 juta, bayangkan kalau beliau mendapat kuasa lebih besar jika beliau menang pilihan raya kecil Tenang," beliau mengingatkan. Sumber: Harakah Daily |
Turut Bantah Pindaan PPPA, Nasihat Jangan Bersikap Jumud, Kata Khairy Posted: 26 Jan 2011 11:51 PM PST KUALA LUMPUR 27 JAN: Isu cadangan Kementerian Dalam Negeri(KDN) memperluaskan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984(PPPA) ke internet turut dibantah Ketua Pemuda Umno Malaysia Khairy Jamaluddin. Menulis diblognya Ahli Parlimen Rembau itu, melahirkan rasa terkejut dan memandang serius kenyataan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Mahmood Adam berhubung kemungkinan perluasan skop dan bidang kawal selia akta berkenaan. Baginya, sambil menasihati kerajaan agar jangan bersikap jumud dan mengambil jalan mudah dengan mengetatkan kekangan serta mengeluarkan undang-undang apatah lagi apabila masyarakat semakin bijak dan matang. "Sebagai seorang yang sentiasa menggesa kerajaan agar memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA), saya begitu terkejut dan memandang serius kenyataan ini," tulis Khairy dalam www.rembau.net.my. Bagi Khairy ia bukan sahaja suatu langkah yang mengundurkan kita ke belakang, malahan memberi isyarat yang negatif terhadap komitmen kerajaan kepada pengukuhan sistem demokrasi, kemesraan negara sebagai destinasi pelaburan dan perkembangan teknologi terkini. "Sekiranya tujuan bagi pindaan PPPA adalah bagi tujuan pemantauan dan tindakan ke atas maklumat ataupun siaran yang berbaur hasutan, penghinaan atau bersifat jenayah - bukankah kita sudah memiliki pelbagai akta dan undang-undang samaada di bawah Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 mahupun peruntukan undang-undang yang lain? Malah, pihak yang teraniaya juga boleh mengambil tindakan mahkamah menerusi Akta Fitnah 1957. "Sehubungan dengan itu, saya membantah cubaan bagi meminda suatu akta yang saya sendiri berpendapat tidak relevan lagi bagi peredaran zaman serta generasi muda masa kini," tulisnya lagi. Malahan dakwa Khairy sebelum ini beliau sendiri telah mencadangkan di Dewan Rakyat kepada pihak kerajaan agar ditubuh suatu badan Suruhanjaya Aduan Media bebas bagi mengawal selia industri media bagi menggantikan peranan PPPA. Jika kita melihat kepada statistik siber, 84% daripada hampir 8.5 juta pengguna Facebook di Malaysia adalah mereka dalam lingkungan usia 35 tahun ke bawah dan mereka ini pastinya tersinggung dan tidak dapat menerima pindaan yang mengongkong saluran media dan rangkaian sosial yang sudah menjadi seperti sebati dengan mereka. Sumber: TVSNEWS |
Faekah: Muhyiddin, Noh Dangkal Ilmu Posted: 26 Jan 2011 11:49 PM PST SHAH ALAM 27 JAN: Dua orang Menteri Kabinet, Datuk Seri Najib Razak dilabel sebagai dangkal ilmu apabila meminta Tan Sri Khalid Ibrahim meletakkan jawatan menteri besar hanya kerana usaha meminda perlembagaan negeri gagal memperoleh undi dua pertiga Isnin lalu. Kenyataan yang dilakukan tanpa berpandukan kepada fakta dan undang-undang menampakkan kedangkalan ilmu seseorang. "Malang sekali ia dikeluarkan oleh seorang yang masing-masing bergelar timbalan perdana menteri(Tan Sri Muhyiddin Yasin) dan menteri kanan persekutuan(Datuk Noh Omar)," kata Setiausaha Politik kepada Khalid Faekah Husin dalam satu kenyataan hari ini. Khalid semalam menolak keras gesaan Muhyiddin agar beliau meletakkan jawatan Menteri Besar Selangor ekoran kegagalan kerajaan negeri meminda perlembagaan negeri. Noh juga melahirkan pendirian yang sama sebelum ini. "Beliau (Muhyiddin) tidak baca undang-undang Parlimen," kata Khalid. Mengulas lanjut kenyataan Muhyiddin dan Noh, Faekah menyindir, pelajar undang-undang pun maklum bahawa mengikut perlembagaan hanya satu sebab yang memberi alasan untuk memaksa seorang ketua kerajaan meletakkan jawatan. Noh juga merupakan timbalan pengerusi Umno Selangor. "Ini disebut dalam Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan yang mana apabila ketua kerajaan berkenaanhilang sokongan majoriti dalam Dewan. Peruntukan yang sama diulang oleh semua undang-undang tubuh negeri di Malaysia," katanya. Oleh itu kata Faekah, adalah jelas di Dewan Negeri Selangor pada 24 Januari lalu, Khalid masih mempunyai sokongan majoriti Adun. Katanya, ia bukan sekadar majoriti mudah atau majoriti biasa walaupun ia bukan majoriti dua pertiga. "Sokongan yang miliki Tan Sri Khalid Ibrahim ialah 34 daripada 55 ahli Dewan. "Kita tidak hairan apabila kedua-dua menteri tersebut sanggup merendahkan tahap pengetahuan kerana Umno mahu lari dari isu pokok yang sepatutnya menjadi asas perbincangan," katanya. Faekah menambah, rakyat jelas melihat bagaimana Umno sanggup lari daripada tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negeri dan Raja-raja Melayu. "Malu dengan tindakan biadab mereka tersebut lantas cuba memesongkan dan mengalihkan isu sebenar dengan meminta sesuatu yang sememangnya mereka tidak mempunyai hak. "Pada mereka semuanya adalah politik kampungan sedang kita begitu serius dalam agenda mempertahankan maruah negeri yang mendapat dokongan rakyat," katanya. Faekah juga berkata kerajaan negeri bersedia menyelesaikan kerenah persekutuan sejak 1993 yang gagal dikesan oleh Umno Selangor sejak sekian lama. Jelasnya, pindaan perlembagaan yang dicadangkan oleh kerajaan negeri gagal kerana Umno-BN enggan menyokong. Kami bersangka baik yang mereka komited dengan cita-cita mempertahankan kedudukan dan peranan Raja-raja. "Rupa-rupanya Umno-BN hanya menanam tebu di bibir. "Mereka hipokrit; bertopengkan (slogan) rakyat didahulukan dan 'Daulat Tuanku', namun membenarkan kedaulatan negeri dirobek persekutuan," katanya. Bagaimanapun ujar Faekah, meskipun kerajaan negeri gagal meminda perlembagaan, namun masih melihatnya sebagai satu hikmah. "Rakyat dapat melihat dengan jelas kepura-puraan Umno selama ini. "Apatah lagi perilaku Ketua Pembangkang Umno pada hari tersebut tidak ubah seperti badut sarkas yang membuat lawak di sepanjang sidang Dewan. Bukan sahaja amat memalukan dengan kehadiran tetamu luar termasuk daripihak istana, lebih menjolok mata lagi ia telah merendahkan martabat institusi Dewan, institusi tertinggi negeri Selangor. Umno akan selamanya terhalang dari segi moral untuk memperkatakan soal mempertahan maruah negeri dan rakyat Selangor apatah lagi kedaulatan Raja-raja Melayu," katanya. Beliau juga berkata, hakikatnya meskipun Pakatan Rakyat sedih kerana gagal mengembalikan hak negeri dan Sultan, namun Umno jauh "lebih mengecewakan" apabila wakil-wakil rakyat mereka telah menunjukkan mutu pemikiran dan hujahyang sangat rendah. "Apatah lagi bukan sahaja rakyat Selangor yang melihatnya tetapi seluruh dunia kerana sidang mesyuarat tersebut disiar secara langsung ke seluruh dunia," katanya. Selangor yang mengadakan sidang khas Isnin lalu gagal mendapat sokongan majoriti dua pertiga untuk meminda Perkara 52 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1959. Usul pindaan rang undang-undang, yang dibentangkan oleh Khalid, bertujuan mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai eksekutif Selangor iaitu Setiausaha Kerajaan Selangor, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri kepada Sultan Selangor dan Menteri Besar. Sumber: TVSNEWS |
Lebarkan PPPA Kepada Internet Ancam Hak Asasi- PKR Posted: 26 Jan 2011 11:48 PM PST PETALING JAYA 27 JAN: Cadangan Kerajaan Barisan Nasional(BN) untuk melebarkan skop Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984(PPPA) melibatkan media Internet membuktikan mereka tidak mempunyai komitmen serius terhadap perubahan dan hak asasi manusia, kata Nik Nazmi Nik Ahmad. Dalam satu kenyataan Pengarah Komunikasi PKR itu berkata sehingga hari ini, ruang Internet adalah lebih terbuka berbanding media arus perdana memandangkan komitmen Kerajaan terhadap Jaminan (Bill of Guarantees) Koridor Raya Multimedia (MSC). Tetapi beliau turut melahirkan rasa kecewa kerana ketika ini pelbagai jenis tekanan telah dikenakan di Internet termasuk penangkapan blogger, serbuan polis ke atas Malaysiakini pada tahun 2003 dan penutupan Malaysia Today pada 2008. "Kerajaan sudah beberapa kali menggambarkan hasrat untuk menyekat Internet, terutamanya selepas kemenangan besar Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum 2008. Contohnya pada tahun 2009, Rais Yatim mengumumkan rancangan untuk sebuah sistem tapisan Internet, seperti perisian "Green Dam" Di China, tetapi membatalkanya selepas tentangan daripada rakyat," katanya yang juga ADUN Seri Setia. Nik Nazmi menambah, pengumuman terbaru ini membuktikan bahawa Pentadbiran Najib Razak tidak putus asa dalam usaha mereka untuk menyekat hak asasi dan kebebasan politik di Malaysia. Di sebalik manipulasi dan kempen Kerajaan, pengumuman terbaru ini membuktikan BN masih lagi terperangkap di dalam politik lama untuk mengawal dan menekan rakyat. Sebaliknya, Pakatan Rakyat di dalam Buku Jingga telah memberikan komitmen untuk meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, memperkenalkan Akta Kebebasan Media dan memelihara kebebasan Internet sekiranya dipilih menjadi Kerajaan Persekutuan dalam pilihan raya akan datang. Pakatan mengiktiraf perlunya membuka ruang media yang sempit di bagi memastikan demokrasi yang segar dan kemakmuran negara. Justeru, kami kecewa dengan sikap BN yang mengambil pendekatan bertentangan dengan mencadangkan untuk melebarkan akta tersebut kepada Internet. Lebih ironis lagi, pengumuman tersebut dibuat sehari sebelum kerajaan diktator di Mesir menyekat akses rakyat mereka kepada Twitter. Kerajaan menghantar mesej yang salah kepada pelabur-pelabur luar, yang sebelum ini tertarik dengan jaminan MSC. Tanpa ketelusan dan kebertanggungjawaban yang wujud menerusi Internet dan media yang bebas, semua rancangan perubahan - termasuk "NEM", "ETP" mahupun "GTP" yang diuar-uarkan selama ini - akan menjadi sia-sia. "Keyakinan terhadap Malaysia, yang sudahpun berada pada tahap yang paling rendah, tidak akan pulih jika kerajaan terus menerus menyekat dan menghukum sesiapa yang memberikan kritikan yang jujur, tepat dan membina. Kestabilan dan keselamatan negara kita bergantung kepada wacana awam yang lebih terbuka," katanya. PKR menggesa BN membatalkan rancangan ini dan sebaliknya meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan bagi membuktikan mereka benar-benar mahukan perubahan. Sumber: TVSNEWS |
Mahkamah Tolak Rayuan Lima Mahasiswa Bantah ISA Posted: 26 Jan 2011 11:46 PM PST KUALA LUMPUR 27 JAN : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuan lima bekas mahasiswa yang didapati bersalah menyertai perhimpunan haram membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2001. Hakim Datuk Su Geok Yiam dalam penghakimannya mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda RM3,900 tiap seorang atau penjara tiga bulan jika gagal membayarnya. Hakim Su berkata, beliau berpuas hati dengan kes pendakwaan dan menolak rayuan mereka. Lima pelajar terbabit ialah Nik Nik Norhafizi Ibrahim, 31; Zulkefle Idris, 31; Ahmad Kamal Abdul Hamid, 30; Rafzan Ramli, 34, dan Khairul Amal Mahmud, 31. Mereka didakwa mengikut Seksyen 27 (5) (a) Akta Polis 1967 yang membawa hukuman denda antara RM2,000 dan RM10,000 dan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun, jika sabit kesalahan. "Perkara 27(5)(a) Akta Polis tidak melanggar hak perlembagaan persekutuan untuk berkumpul dan ianya adalah sah dan mengikut berperlembagaan," katanya. Sumber: TVSNEWS |
Tok Guru : Agama Dan Politik Harus Selari Posted: 26 Jan 2011 11:43 PM PST LABIS 27 JAN: Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan agama dan politik harus diselarikan dalam aspek pentadbiran negara bagi mewujudkan suasana harmoni dalam masyarakat. Tambahnya, pembohongan berterusan yang dilakukan Umno-Barisan Nasional (BN) mengelirukan rakyat justeru memisahkan kefahaman berpolitik yang dituntut oleh negara yang majoritinya masyarakat beragama Islam. "Ini dia cerita politik lain, agama lain. Ertinya dalam masjid cakap lain, di luar masjid cakap lain. Betul ke begitu? Ini pembohongan yang dibuat orang Melayu sekular. Yang penting agama dan politik mesti selari," ujar beliau ketika memberi ucapan pada sesi penerangan kempen Pilihanraya Kecil DUN Tenang malam tadi. Dalam ucapannya, Nik Aziz turut menyentuh pemerintahan Umno-Barisan Nasional yang mengamalkan dasar pilih kasih terhadap negeri-negeri di bawah naungannnya. Beliau berkata, sikap Umno-BN yang kononnya ingin membela nasib Melayu tidak memperluaskan dasarnya secara menyeluruh. Ini berikutan tanggapan negatif terhadap negeri-negeri di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat yang dianggap penentang dasar kerajaan dan seterusnya mengabaikan tanggungjawab menaiktaraf kehidupan rakyat. "Perangai Umno mahu jaga Melayu, tapi Kelantan dia tidak peduli. Jalan raya dia tidak ambil kisah. Tuan-tuan pergi Kelantan sampai ke Bukit Yong, sempadan antara Besut dan Kelantan. Lihat jalan raya menghala ke Besut cantik. "Pandang jalan ke Kelantan tidak ada. Jalan ini jalan pusat tapi Umno tidak buat kerana Kelantan," jelas beliau kepada masyarakat yang hadir ke Dataran Ayer Panas semalam. Seterusnya, Nik Aziz menyeru agar usaha berkempen oleh mana-mana parti politik tidak disekat pihak tertentu agar rakyat dapat menilai pendekatan yang relevan untuk menyesuaikan dengan kehendak semasa. Menurut beliau, PAS berpendirian mengetengahkan calon yang mampu membela nasib rakyat dan berpegang teguh kepada landasan syiar Islam. "Begitu juga pilihanraya, kita ada kempen, jangan sekat dan jangan halang. Biar beri peluang kepada pengundi memilih. Satu pendirian yang PAS saya mahu sebut adalah pilih yang selamat di dunia dan selamat di akhirat," kata Nik Aziz. Dalam pada itu Nik Aziz berpendapat calon PAS-Pakatan Rakyat, Normala Sudirman berkelayakan diangkat sebagai wakil rakyat kerana sifat kepimpinannya. Beliau turut menyeru agar masyarkat di DUN Tenang memberi mandat dan tanggunjawab kepada calon wakil rakyat yang berkeupayaan mengangkat martabat Islam dan rakyat seperjuangannya. Sumber: TVSNEWS |
You are subscribed to email updates from Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan