Isnin, 24 Januari 2011

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Adun Pelabuhan Klang fail saman, namakan Speaker dan SPR defendan

Posted: 24 Jan 2011 12:57 AM PST


SHAH ALAM, 24 Jan — Badrul Hisham Abdullah mencabar keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor memfailkan saman petang ini meminta mahkamah mengisytiharkan bahawa beliau masih wakil rakyat yang bagi kawasan Pelabuhan Klang.

Peguam Datuk Hafarizam Harun yang mewakili Badrul Hisham berkata wakil rakyat itu mahu Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kerusinya tidak kosong dan Speaker Datuk Teng Chang Khim bukan pihak berkuasa boleh mengisytiharkan kerusi tersebut kosong.

"Ia seperti kes Perak," kata beliau kepada pemberita di sini selepas memfailkan writ saman petang ini.

Kata beliau pihaknya juga menamakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai defendan kedua.

"Sebab kami mahu menghalang SPR daripada mengisytiharkan kerusi itu kosong," Hafarizam.


Sumber: Malaysian Insider

Didakwa fitnah Cikgu Mala, PAS mahu saman anak Soi Lek

Posted: 24 Jan 2011 12:52 AM PST




LABIS, 24 Jan — PAS Johor mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Labis Chua Tee Yong kerana didawka telah memfitnah calon PAS-Pakatan Rakyat Normala Sudirman ketika kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.
Laporan akhbar harian China Press hari ini memetik Chua, anak Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, sebagai berkata Normala ada bertanya kepada seorang peniaga Cina "kenapa jual minuman arak" ketika berkempen.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dzulkefly Ahmad, pihaknya akan menyaman Chua kerana telah membuat tuduhan yang tidak berasas.

Selain itu, Dzulkefly memberi tempoh 24 jam kepada Chua untuk membuktikan tuduhan tersebut.

"Tuduhan itu adalah satu pembohongan, dalam masa 24 jam kita minta Tee Yong untuk buktikan nombor kedai, tempat dan masa kejadian itu berlaku.

"Kalau gagal kita akan hantar surat peguam dan memfailkan saman fitnah di mahkamah.

"Calon kita tidak lakukan perkara itu, jadi kita minta Chua Tee Yong buktikan kepada kita," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua menggesa Chua supaya meminta maaf kepada Normala kerana telah membuat tuduhan palsu.

"Chua Tee Yong kata Normala pergi ke sebuah kedai kopi dan jumpa dengan bos kedai itu kenapa jual arak?

"Ini adalah satu tuduhan palsu yang dibuat oleh Chua Tee Yong, saya dah maklumkan kepada PAS dan Normala sendiri menafikan perkara itu," katanya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu percaya tuduhan yang dibuat Chua itu adalah kerana mahu menakut-nakutkan pengundi-pengundi bukan Melayu di kawasan Tenang.

"Ini adalah untuk takutkan pengundi Cina, ia adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab, dia (Chua) perlu minta maaf kepada Normala," katanya.

Sebelum ini MCA telah menimbulkan kontroversi mengenai cara bersalam Normala yang enggan bersalam dengan lelaki.

Kontroversi itu terlebih dahulu ditimbulkan Dr Chua dan ia diikuti beberapa pemimpin MCA yang turut mempertikaikan pendekatan Normala itu.

Selain itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub pula berkata tuduhan itu dibuat kerana mahu menimbulkan keresahan di kalangan pengundi bukan Melayu khususnya orang Cina.

"Cikgu Mala (Normala) telah menafikan sekeras-kerasnya bahawa itu adalah tuduhan berniat jahat.

"(Ia) satu perancangan yang jahat untuk menimbulkan keresahan dan ketakutan orang Cina," katanya.

Gelanggang kempen kerusi DUN Tenang dibuka secara rasmi kelmarin dengan menyaksikan persaingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat.

BN menurunkan Mohd Azahar Ibrahim iaitu bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya dari BN, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lalu.

Hari pengundian adalah Ahad ini.

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

MB Selangor: Umno biadap rampas kuasa istana, bukannya Pakatan

Posted: 24 Jan 2011 12:50 AM PST

SHAH ALAM, 24 Jan — Kerajaan negeri Selangor Pakatan Rakyat hari ini secara terbuka menuduh kerajaan pusat dan negeri pimpinan Umno-BN yang telah melakukan pindaan secara senyap-senyap dan "bersikap biadap" kira-kira 18 tahun lalu tanpa mendapatkan perkenan istana terlebih dahulu.

Oleh itu kata Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim (gambar, berdiri) tuduhan Umno bahawa Pakatan Rakyat membelakangi Sultan dalam pindaan perlembagaan hari ini tidak masuk akal dan tidak munasabah sama sekali.

"Saya ingin bertanya: adakah Umno meminta perkenan Sultan sebelum meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor pada Mac 1993? Bukankah ia dilakukan secara senyap-senyap?" kata beliau pada sidang khas Dewan Undangan Negeri hari ini.

Justeru kata beliau, adalah sangat lucu dan tidak masuk akal apabila mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa perkenan Sultan adalah perlu untuk kelulusan Rang Undang-Undang sedangkan beliau sendiri yang meminda peruntukan berkenaan dan memadam kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja.

"Begitu juga dengan kenyataan Timbalan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar pada 7 Januari yang menuduh Pakatan Rakyat gila kuasa dan tidak mungkin berjaya melakukan pindaan kerana tiada perkenan istana.

"Kepemimpinan Umno Selangor agak berdolak dalik umpama lalang; mula-mula mengugut mahu memboikot, selepas itu mahu hadir dengan bersyarat pula," katanya sambil berkata, "apa-apapun, kita menerima kehadiran mereka sama ada yang jahil mahupun yang ada sedikit ilmu."

Sejak mengambil alih kerajaan negeri pada Mac 2008, ini kali pertama DUN membahaskan usul pindaan perlembagaan negeri untuk kembali ke kedudukan sebelum 1993.

Perkara 52(1) yang asal berbunyi, "Ke bawah Duli Yang Maha Mulia mestilah atas cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dengan Suratcara di bawah Tandatangan Baginda dan Mohor Kerajaan melantik seorang yang memegang jawatan sepenuh masa dalam perkhidmatan awam untuk menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri. Dengan syarat sebelum bertindak atas cadangan itu oleh Suruhanjaya Perkhidmatanyang berkenaan, ke bawah Duli Yang Maha Mulia mesti mempertimbangkan nasihat Menteri Besar dan boleh sekali merujukkan cadangan itu kepada Suruhanjaya Perkhidmatan supaya ia boleh dipertimbangkan semula."

Pindaan yang dilakukan pada 1993 dan terpakai sehingga kini berbunyi, "maka hendaklah diwujudkan jawatan Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri; dan pelantikan ke jawatan-jawatan itu hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dari kalangan anggota mana-mana perkhidmatan awam yang relevan."

Syor pindaan dibawa hari ini ialah "Duli Yang Maha Mulia hendaklah atas cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dengan suratcara di bawah Tandatangan Baginda dan Mohor Kerajaan melantik seorang yang memegang jawatan sepenuh masa di dalam perkhidmatan awam masing-masingnya untuk menjadi Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri. Dengan Syarat sebelum bertindak di atas cadangan Suruhanjaya Perhidmatan yang berkenaan, Duli Yang Maha Mulia hendaklah mempertimbangkan nasihat Menteri Besar dan boleh sekali merujuk balik cadangan tersebut kepada Suruhanjaya Perkhidmatan supaya ia boleh dipertimbangkan semula."

Bertolak daripada itu, kata Khalid, memandangkan kedaulatan Raja-raja turut diperkatakan dan tohmahan derhaka begitu kerap dilemparkan terhadap Pakatan Rakyat, maka menjadi tanggungjawabnya untuk menyatakan dulu perkara yang sebenar.

"Bagi maksud tersebut izinkan saya mengimbas kembali secara ringkas konflik antara Umno dengan Raja-raja sejak awal 1980-an lagi.

"Secara ringkas, Krisis Perlembagaan 1983 berlaku akibat tindakan para pemimpin negara ketika itu, melakukan beberapa tindakan di luar adab dan peruntukan Perlembagaan itu sendiri, dalam perkataan lain, mereka begitu tega membelakangi Raja-Raja," katanya.

Kata Khalid, Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan berbunyi, "tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja boleh diluluskan dengan ketiadaan persetujuan Majlis Raja-raja.

"Bagaimanapun, para pemimpin utama ketika itu lantas melakukan beberapa tindakan secara rahsia dengan membawa pindaan itu ke Kabinet dan kemudiannya ke Parlimen tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Majlis Raja-raja," katanya.

Kata Khalid, antara pindaan yang berjaya dilakukan adalah Perkara 66(5) di mana peruntukan asal berbunyi, "Rang undang-undang akan dikuatkuasakan apabila Yang di-Pertuan Agong menandatangani."

"Peruntukan pindaan pula adalah rang undang-undang akan dikuatkuasakan sebagai undang-undang apabila ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong. Jika di atas apa-apa sebab rang undang-undang itu tidak ditandatangani dalam tempoh 15 hari selepas rang undang-undang itu disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, baginda dianggap telah menandatangani rang Undang-undang tersebut dan rang undang-undang itu, berkuat kuasa sebagai undang-undang," katanya.

Katanya, begitu juga dengan pindaan kepada Perkara 10(1) iaitu kalau perdana menteri mendapati darurat patut diisytiharkan di mana-mana juga di negara ini, maka beliau boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertuan Agong mesti menerima nasihat tersebut.

"Di sinilah bermulanya penghakisan secara terancang terhadap kuasa Raja-raja di negara ini, bermula pada pindaan tahun 1983 itu.

"Pindaan yang amat drastik itu sudah dilakukan secara rahsia dan membelakangi Majlis Raja-raja. Namun, apabila rahsia terbongkar ia ditentang oleh Raja-raja, Umno pada ketika itu membuat 'road show' ke seluruh negara mengutuk Raja-raja," katanya.

Kata Khalid, setelah membuat beberapa rundingan krisis itu diselesaikan dengan beberapa kompromi iaitu Umno bersetuju menggugurkan pindaan yang sudah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara itu, Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa memulangkan rang undang-undang yang baginda tidak berkenan kepada Parlimen, pindaan terhadap kuasa perkenan di negeri-negeri digugurkan dan kuasa mengisytiharkan darurat dikembalikan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Langit tidak selalunya cerah. Mendung tidak bererti hujan. Umno terpaksa berlindung dan memohon belas ihsan istana apabila menghadapi masalah politik beberapa tahun kemudian iaitu apabila Umno diisytiharkan pertubuhan haram oleh mahkamah pada 1987.

"Pimpinan Umno lantas kembali merayu kuasa Sultan untuk menubuhkan Umno Baru dan memohon Sultan Johor untuk melancarkannya di Istana Besar Johor Baru.

Bagaimanapun, katanya, hubungan Umno dengan istana tegang semula apabila ia tersungkur 39-0 di Kelantan pada pilihan raya umum 1990.

"Ibarat kacang melupakan kulit, Perhimpunan Agung Umno dijadikan medan memaki hamun Raja-raja.

"Ada perwakilan yang meminta Perlembagaan dipinda untuk membataskan kuasa Raja-raja. Tetapi ia tidak berlaku kerana mereka tidak tahu peruntukan mana yang hendak dipinda," kata Khalid dalam usul pembentangan panjang lebar mengimbas perkembangan politik negara sejak tiga dekad lalu.

Namun begitu, jelas Khalid, Umno memaksa Raja-raja membuat aku janji dan lahirlah apa yang disebut sebagai "Perisytiharan Prinsip-Prinsip Perlembagaan 1992".

"Bagaimapun, ini hanyalah penegasan dan komitmen Raja-raja terhadap peruntukan-peruntukan yang berkenaan; tidak ada apa-apa pindaan yang dibuat," katanya.

Hubungan tegang Umno dengan Raja-raja memuncak pada hujung 1992 hingga membataskan peruntukan mengenai kuasa mengampun Raja-raja dan keistimewaan imuniti dan membawa kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan 1993 dan penubuhan Mahkamah Khas.

Katanya, ketika krisis itulah Umno menggunakan kesempatan untuk membuat pindaan yang tidak ada kena-mengena dengan isu yang menjadi punca terhadap masalah ketika itu, termasuklah pindaan pada perlembagaan negeri Selangor.

"Di kesempatan ini, saya suka mencadangkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, terutama daripada Umno-BN supaya membaca kembali pelbagai berita dan rencana tentang krisis Perlembagaan yang disiarkan dalam Utusan Malaysia, Berita Harian dan New Straits Times dari November 1992 hingga Mac 1993.

"Ketahuilah, siapakah yang "beriya-iya dan bersikap biadap" hendak menghakis kuasa istana dan menghapuskan imuniti Raja-Raja Melayu?" katanya.

Khalid juga memetik kenyataan Dr Mahathir ketika pembentangan usul pindaan pada 18 Januari 1993 yang selepas itu, menurutnya telah memungkiri janji tersebut.

"Tun Mahathir ketika itu menyatakan, 'kelulusan (pindaan Perlembagaan 1993) secara ini terhad kepada perkara- perkara yang tidak menyentuh hak-hak dan keistimewaan-keistimewaan Raja-raja. Untuk meminda peruntukan Perlembagaan yang menyentuh Raja-raja, Majlis Raja-raja perlu memberi persetujuan'.

"Kata beliau lagi, 'di peringkat negeri, tidak ada pindaan dibuat kepada Perlembagaan negeri. Dengan itu tidak ada undang-undang yang boleh diluluskan tanpa ditandatangani oleh Raja. Ini bermakna kuasa Raja-raja di negeri-negeri mengatasi kuasa Dewan-Dewan Undangan Negeri yang mewakili rakyat'," kata Khalid.

Khalid seterusnya berkata, pada 1994 Dr Mahathir memungkir janji dan formula yang menyelesaikan krisis 1983 dipinda di luar pengetahuan Raja-raja.

"Menurut pindaan ini, kuasa memulangkan rang undang-undang oleh Yang di-Pertuan Agong dimansuhkan dan peruntukan yang mencetuskan krisis 1983 itu dimasukkan kembali.

"Dengan yang demikian, peruntukan yang ada sekarang, iaitu Perkara 66(4) dan (4A) — adalah sebuah rang undang-undang yang menjadi undang-undang secara automatik selepas 30 hari meskipun baginda tidak memberi perkenan," katanya.

Kedudukan Raja-Raja di negeri-negeri juga sama sebagaimana yang tertera pada seksyen 11(2A) dan (2C), Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

"Pindaan-pindaan ini menimbulkan banyak persoalan politik dan undang-undang. Ia termasuklah pelanggaran syarat yang dikenakan oleh Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan iaitu ia dengan jelas menyatakan bahawa 'tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-raja'.

"Perkara 38(4) itulah yang menjadi batu penghalang kepada hasrat Dr Mahathir pada 1983 dan 1993 dan mungkin kerana itulah beliau tidak peduli dan tidak membawa pindaan 1994 itu kepada Raja-raja.

"Meskipun pindaan 1994 belum dibawa ke mahkamah, namun ada kalangan sarjana undang-undang yang berpendapat bahawa pindaan yang dibuat pada 1994 itu tidak sah kerana melanggar Perlembagaan, khususnya Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Khalid seterusnya menambah, meskipun diketahui bahawa Dr Mahathir sudah menjadi dan menerima sejarah, namun ia tidak menghalang "kita daripada berasa aneh" kerana hari ini bekas perdana menteri itu tiba-tiba menyatakan pendirian yang berbeza.

"Bagaimanapun, ini tidaklah begitu memeranjatkan apabila kita mengimbas kembali pergolakan politik yang dinyatakan tadi.

"Umno sememangnya sentiasa berdolak-dalik dan tidak konsisten dan acap kali berselindung di sebalik istana apabila berlaku himpitan politik," kata menteri besar dari PKR ini.


Sumber: Malaysian Insider

Umno rosakkan demokrasi, Raja Berperlembagaan

Posted: 24 Jan 2011 12:47 AM PST

SHAH ALAM, 24 Jan: Persidangan Dun Selangor hari ini akan menulis semula sejarah berdasarkan fakta dan ilmu, kata Adun Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali.

"Di mana anak bangsa kita khususnya rakyat Negeri Selangor akan diingatkan bahawa Umno yang merosakkan dan menjahanamkan institusi-institusi demokrasi termasuk sistem Raja Berperlembagaan dalam Negara Malaysia yang tercinta ini," ujarnya semasa membahas cadangan pindaan Undang-undang Tubuh Negeri untuk mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai tinggi kerajaan kepada sultan dan negeri.

Katanya, orang Melayu tidak mudah lupa dan rakyat Malaysia juga tidak mudah lupa tetapi yang mudah lupa hanyalah pemimpin-pemimpin Umno dan mereka ini sering menjadi mangsa propaganda yang mereka cipta untuk menipu rakyat.

Ini, tambahnya yang tertipu bukan rakyat tetapi mereka sendiri.

Justeru, beliau amat bimbang usaha-usaha Umno sekarang ini yang terdesak untuk menyemarakkan politik perkauman sempit yang boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat majmuk negara ini.

"Alhamdulillah, hari ini Dewan Negeri Selangor melakar sejarah apabila Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat membuat pembentangan bagi mengemukakan pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 khususnya pada Perkara 52 (1) berkaitan dengan perlantikan Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri," katanya lagi.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, usaha yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat adalah untuk mengembalikan prosedur untuk perlantikan itu seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Negeri yang sama yang mana peruntukan itu telah dimansuhkan pada 1993 oleh makhluk perosak bernama Umno.

Menurutnya, usaha itu tidaklah mudah kerana pelbagai pihak yang menjadi alat dan perkakas Umno cuba memberikan penakrifan undang-undang mengikut selera dan nafsu serakah peimimpin Umno di Putrajaya bagi menghalang mesyuarat pada pagi ini.

Tambahnya, lihat sahaja kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Noh Omar berhubung usaha Datuk Menteri Besar untuk kembali ke Dewan untuk memperbetulkan kerosakan sistem tatkala di tangan Umno.

Antara lain, ujarnya Noh Omar mendakwa Pakatan Rakyat sanggup melakukan apa sahaja yang bercanggah dengan undang-undang.

"Beliau juga membuat tuduhan jahat bahawa pindaan ini bermaksud untuk memberikan kuasa kepada Datuk Menteri Besar dan bukan memberikan kuasa kepada Tuanku Sultan," ujarnya.

Kenyataan itu, tambahnya timbul dari seorang watak yang buta sejarah dan jumud pemikirannya.

Ini mengingatkan beliau kepada puisi seorang budayawan Indonesia bernama Ehma Ainul yang berkata: Nasib malang golongan yang bernama rakyat, rakyat yang terlalu lama diperbodohkan tidak tahu apa itu kebodohan.

Di Selangor, katanya rakyat makin cerdas dan mendapat pencerahan.

Ahli Parlimen Gombak itu menambah, golongan rakyat yang terlalu lama diperbodohkan adalah orang Umno sendiri sehingga tidak tahu mereka diperbodohkan, mereka tidak tahu apa itu kebodohan.

Katanya, Umno mencuba untuk memperbodohkan rakyat dengan menggunakan media arus perdana milik mereka sendiri tetapi rakyat dibebaskan dengan pengembangan internet dan media baru.

Tambahnya lagi, pemimpin Umno yang tidak menurut arus perkembangan teknologi ini, diperbodohkan akibat terlalu lama hidup dalam kepompong mereka sendiri.

"Kita, rakyat Selangor bersyukur kerana Allah SWT telah mengurniakan seorang Raja yang berilmu, kompeten, bijaksana, adil dan menaungi rakyat Selangor.

"Saya sedia maklum bahawa Tuanku Sultan adalah seorang Raja yang mencintai buku. Kegemaran ini adalah cerminan kepada kecintaan Baginda terhadap tradisi ilmu dan budaya intelektual," katanya.

Budaya itulah, katanya yang akan membawa Negeri Selangor lebih yakin untuk mendepani cabaran abad ke-21.

Menurutnya, rakyat Negeri Selangor tidak akan dapat melupakan perkenan Tuanku untuk menandatangani proklamasi untuk memanggil mesyuarat pagi ini selaras dengan kuasa dan tanggungjawab Tuanku yang diperuntukkan di bawah Perkara LXX (1) dan LV (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Tambahnya, mesyuarat pagi ini juga penting untuk anak bangsa memahami sejarah.

Beliau berkata, sejarah tidak boleh dipadamkan walaupun Umno sering menggunakan 'profesor kangkung' untuk memutarbelitkan sejarah.


Sumber: Harakah Daily

Tolak Usul: Ketua Pembangkang Berhujah Dangkal

Posted: 24 Jan 2011 12:44 AM PST


SHAH ALAM 24 JAN: Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Satim Diman hari ini berhujah dangkal apabila menolak usul Pindaan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959, khususnya Perkara 52(1) untuk mengembalikan kuasa melantik pegawai kanan kerajaan negeri.

Satim Diman dalam ucapannya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas Selangor hari ini menegaskan beliau dan 20 ADUN dari Barisan Nasional serta Adun Bebas tidak akan menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri seperti yang di bentangkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini.

Kedangkalan Ketua Pembangkang tersebut tampak jelas dalam ucapannya dengan memberi alasan penolakkan rang undang-undang tersebut kerana berpendapat pindaan tersebut bertentangan dengan pelembagaan persekutuan.

Pakar Undang-Undang Perlembagaan Dr Aziz Bari yang dihubungi TV Selangor menyatakan hujah Satim Diman itu tidak menjawab persoalan asas isu yang dibahaskan di Sidang DUN hari ini.

" Ucapan Ketua Pembangkang, Satim Diman saya fikir mengelak daripada menangani isu pokok iaitu soal kedudukan Umno dan apakah benar Umno komited kepada komitmen untuk menjunjung untuk mempertahankan institusi raja. Jadi itu yang saya rasa tidak dijelaskan oleh Datuk Satim Diman," kata Dr Aziz.

Satim juga dilihat melabel kerajaan negeri 'Syok Sendiri' selain mengutuk kerajaan negeri bawah pimpinan Pakatan Rakyat bermotifkan politik serta bersikap hipokrit.

Antara alasan yang dikemukan oleh Satim ialah Barisan Nasional terdahulu tidak pernah mengenepikan dan membelakangkan DYMM Sultan SElangor sejak pindaan dibuat sejak 1993.

Satim mula membahaskan usul tersebut selepas selesai ucapan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dewan mula bersidang jam 10 pagi. ADUN Pelabuhan Kelang Badrul Hisham Abdullah - yang kerusinya diisytihar kosong oleh speaker - duduk di bilik yang dikhaskan kepada petugas media, tingkat atas di dalam dewan.

Setiausaha dewan membacakan ucapan diraja bagi pihak Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dalam ucapannya, Sultan bertitah supaya ADUN membahaskan cadangan pindaan itu dengan sebaiknya tanpa beranggapan pekenan yang diberikan baginda sebagai menyokong mana-mana pihak dalam dewan.

Baginda juga memberitahu ADUN supaya tidak menariknya sama dalam politik. Istana sentiasa tidak mencampuri urusan politik, titahnya lagi.


Sumber: TVSNEWS

Pentas Debat Untuk Najib Sudah Disediakan

Posted: 24 Jan 2011 12:43 AM PST


LABIS 24 JAN : Pakatan Rakyat bersedia menyediakan platform perbahasan antara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd Najib Razak semasa pilihanraya di DUN Tenang ini.

Perkara itu diumumkan Pengarah Pilihanraya PAS PRK DUN Tenang, Salehuddin Ayub pada sidang media di sini pagi tadi.

Beliau menambah Datuk Seri Najib tidak perlu mengeluarkan pelbagai alasan dan helah untuk menerima pelawaan debat tersebut kerana pentas telah pun ditawarkan agar rakyat dapat menilai hujah daripada kedua-dua pemimpin itu.

"'Kami Pakatan Rakyat DUN Tenang sedia menyediakan pentas untuk kedua-dua tokoh.

"Najib tidak wajar tolak pelawaan kami sekiranya konsisten. Kalau takut guna perkataan debat, guna perkataan diskuasi," ujar beliau.

Dalam pada itu ditanya media kesedian calon PAS-Pakatan Rakyat, Normala Sudirman untuk berdebat sekiranya dicadangkan, Salehuddin menjawab.

"Kami bersedia pada bila-bila masa dan kami amat yakin sekiranya ada NGO yang mahu mempengerusikannya," tambahnya lagi.

Dalam sidang media yang sama, Salehuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menggesa kerajaan menyiasat segera kerugian MAS RM8 bilion yang dianggap skandal kedua terbesar selepas Port Klang Free Zone (PKFZ) ketika dipimpin Tan Seri Tajuddin Ramli.

Beliau turut mempersoalkan tiada tindakan undang-undang yang dikenakan kepada bekas menteri Umno-Barisan Nasional itu berhubung perkara itu.

"Kalau Najib ikhlas dan konsisten dalam agenda perangi rasuah, maka saya mohon kerugian MAS mesti diambil tindakan.

"Adakah dia telah masuk ke dalam zon 'untouchable'?" ujar Salehuddin lagi.

Salehuddin turut menyentuh laporan akhbar China Press semalam yang memetik kenyataan Ahli Parlimen Labis, Chua Tee Yong yang menuduh calon PAS, Normala mempersoalkan penjualan arak di kedai makanan yang dilawati ketika sesi bertemu masyarakat di DUN Tenang.

Beliau berkata penafian telahpun dibuat oleh Normala dan menggesa ahli parlimen itu mengemukakan bukti tuduhan itu.
"Kita cabar ahli parlimen ini kemukakan bukti," tegas beliau.

Sejak akhir ini, Normala sering diserang oleh komponen MCA berhubung isu agama dan perkauman di DUN Tenang.

Normala akan bertanding satu lawan satu dengan calon BN, Azhar Ibrahim pada 30 Januari nanti.


Sumber: TVSNEWS

Dua Faktor Pengaliran Wang Haram- Tony Pua

Posted: 24 Jan 2011 12:41 AM PST


LABIS 24 JAN: Terdapat dua faktor utama pengeluaran dana wang haram yang dilaporkan berjumlah RM888 bilion baru-baru ini menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua.

Beliau berkata sejumlah besar wang itu mampu menampung perbelanjaan negara selama lima tahun.

Tony yang ditemui di Bilik Gerakan DAP Pekan Labis malam tadi berkata, walaupun negara Malaysia kelihatan kaya namun tidak dapat menandingi negara jiran seperti Singapura kerana kebocoran wang yang tidak dilaporkan.

"Kita mahu tahu siapa yang bawa wang ini keluar. Ini ada dua kemungkinan, satu banyak peniaga dan pelabur tidak berkeyakinan dengan Malaysia oleh kerana itu mereka membawa wang itu keluar. Tapi mereka tidak mahu diketahui dan bawa keluar secara sembunyi.

"Kedua ini mungkin wang rasuah yang merupakan pendapatan haram oleh ahli politik Barisan Nasional atau kerajaan dibawa keluar tanpa dilaporkan," jelas beliau kepada Tv Selangor di sini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menggesa siasatan segera dilakukan untuk mengesan punca pengaliran wang haram keluar dari negara berdasarkan laporan Kewangan Integriti Global (GFI) baru-baru ini.

Anwar berkata tidak mustahil untuk mengesan pengeluaran sejumlah wang yang begitu besar jikalau pesalah tidak dilindungi. Tambahnya jika kerajaan gagal mengesan maka sudah tentu ada penglibatan pemimpin kerajaan Umno-Barisan Nasional.

Walaubagaimana pun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Najib Razak menolak untuk memberi sebarang komen apabila ditanya wartawan Jumaat lalu dan berkata Bank Negara akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi.

Tony Phua juga berkata, tidak susah untuk membawa sejumlah wang ke luar negara namun jumlah yang begitu besar menjadi kemusykilan banyak pihak.

"Bukan susah mahu bawa keluar tapi yang hairan jumlahnya begitu besar. Boleh naik kapalterbang dan tidak memberitahu kepada pihak berkuasa.

"Kita akan mengenakan tekanan kepada pihak kerajaan untuk membuat siasatan penuh dan jika ada perkara yang tidak kena dalam perkara ini kita akan memberikan penjelasan kepada rakyat supaya rakyat dapat tahu bahawa pempinan Barisan Nasional telah membazirkan begitu banyak wang yang dikeluarkan tidak secara rasmi," jelas beliau lagi.


Sumber: TVSNEWS

Harussani : Presiden MCA Diminta Mohon Maaf

Posted: 24 Jan 2011 12:39 AM PST


SHAH ALAM 24 JAN : Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menggesa Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek memohon maaf kepada orang Islam kerana mengeluarkan kenyataan mempertikaikan tertib bersalam wanita Islam.

Sebelum ini Chua Soi Lek mengeluarkan kenyataan yang menyentuh soal wanita Islam bersalam - calon PAS-Pakatan Rakyat kerusi DUN Tenang Normala Sudirman, sebagai satu pendirian menghina agama Islam yang merupakan agama rasmi negara ini. Tindakan Chua Soi Lek dilihat cuba mempersendakan hukum Islam tatkala Umno berdiam diri dalam soal ini.

Kempen Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Tenang dilihat memberikan tumpuan kepada cara bersalam calon PAS-Pakatan Rakyat Normala yang tidak bersalam dengan bukan muhrim.

Kontroversi itu yang terlebih dahulu ditimbulkan Dr Chua kemudian ia diikuti beberapa pemimpin MCA yang turut mempertikaikan pendekatan Normala itu.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyokong tindakan Dr Chua yang membangkitkan agenda PAS untuk menubuhkan sebuah negara Islam jika Pakatan Rakyat berkuasa adalah baik bagi "mengingatkan" masyarakat Cina di DUN Tenang.

"Betullah tu, orang perempuan tidak boleh bersalam dengan orang lelaki, itu hukum Islam, haram bersalam tu," tegas Harussani yang dihubungi TV Selangor.

"Dia (Chua Soi Lek) sepatutnya tahulah menghormati, bila dia mengkritik itu (hukum Islam) maknanya dia mengkritik Islam, dia patut minta maaf pada orang Islam, itu hukum, siapa pun tak boleh lari daripada hukum," ujarnya Mufti Perak itu lagi.

Mufti Perak itu dilihat antara mufti yang bertegas dalam soal hukum yang mengharamkan penganjuran karnival sure heboh beberapa tahun dahulu.

Pada pilihan raya kecil DUN Tenang ini, Pakatan Rakyat meletakkan Normala, Ketua Muslimat PAS Labis sebagai calon manakala BN pula diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim.

Normala, seorang bekas guru juga merupakan Exco Dewan Muslimat PAS pusat.

Menurut Harussani, sebagai seorang wanita yang beragama Islam sudah menjadi kewajiban beliau untuk menjaga adab termasuk dari aspek bersalam.

Semalam, Normala menyifatkan Umno telah gagal membantu MCA memahami konsep Islam yang sebenar sehingga menyebabkan parti komponen BN itu tidak dapat menghormati nilai dan tertib orang Islam khususnya kaum wanita.

Beliau juga meminta MCA memahami adat dan tatatertib orang Islam terutamanya wanita Islam sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi.

Menurut Normala, sepatutnya setelah 53 tahun merdeka MCA sepatutnya sudah memahami tertib seorang wanita Islam.

Kempen pilihan raya kecil ke-14 masuk hari kedua hari ini. Pengundian akan diadakan pada 30 Januari.


Sumber: TVSNEWS

Jui Meng: Pengundi Cina Bukan Lagi Penyelamat Umno-BN

Posted: 24 Jan 2011 12:38 AM PST


LABIS 24 JAN: Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng yang ditemui Tv Selangor di sini malam tadi berpendapat masyarakat Cina Tiong Hua di Labis akan bangkit menolak kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) pada Pilihanraya Kecil kali ini seraya menghantar mesej perubahan demi masa depan.

Beliau turut menggesa agar masyarakat selain Cina di DUN Tenang bersama-sama memilih calon Pakatan Rakyat pada pilihanraya yang akan datang.

"Hendak ingatkan, orang Cina bantu menyelamatkan Umno pada PRU 12. Pada tahun 1999 di mana undi Umno jatuh begitu ketara apabila Anwar dipenjarakan, orang Cina juga yang menyelamatkan Umno.

"Tapi kali ini kalau orang Cina undi kepada Pakatan Rakyat, ini menunjukkan satu budaya yang jelas orang Cina akan bangkit mudah-mudahan rakyat Melayu dan India akan bangkit dan menaikkan martabat Pakatan Rakyat supaya kita dapat memerintah di negeri ini supaya membawa banyak manfaat kepada rakyat secara demokrasi dan kewangan yang dikembalikan kepada rakyat," jelas beliau.

Ketika ditemubual selepas menghadiri ceramah kempen Pakatan Rakyat di Jalan Tenang malam tadi, Chua memberitahu respon yang baik diterima daripada masyarakat Tiong Hua selain menjangkakan peratus undi Cina di kawasan DUN Tenang meningkat.

"Respon sangat menggalakkan sehingga kini. Bayangkan pada PRU 12 kita mendapat 55 peratus sokongan daripada masyarakat Tiong Hua untuk calon PAS di Tenang.

"Kalau kita dapat kekalkan dengan kadar 55 peratus bermakna kita sudah menang. Wang disalurkan kepada mereka tetapi masih bilangan yang sama menyokong PAS, ini satu kemenangan. Kalau kita dapat tambahan lagi pengundi Cina, lebih elok bagi Pakatan Rakyat. Ini menunjukkan orang berbangsa Tiong Hua di sini sudah tolak Umno, MCA, MIC dan lain-lain," ujar beliau lagi.

Pengundi Cina di DUN Tenang merangkumi 38 peratus daripada jumlah keseluruhan 14,753 pengundi berdaftar di sini.

Dalam pada itu, Chua juga turut membidas keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menukar tiga pusat undi dengan alasan ianya terletak di kawasan DUN Bekuk.

Perkara itu diumumkan Pengarah SPR, Tan Sri Azri Yusoff sehari sebelum penamaan calon.

Seterusnya tindakan tersebut mendapatkan reaksi negatif pelbagai pihak.

Justeru Chua tidak menolak perkara tersebut adalah arahan daripada parti Umno-Barisan Nasional yang bimbang akan kehilangan undi kaum Cina.

"Umno khuatir orang Cina akan mengundi Pakatan Rakyat walaupun kawasan ini dianggap sebagai kubu kepada MCA. Lim Liong Sik dan Chua Soi Lek dari sini dan anak kepada Chua Soi Lek masih menjadi ahli parlimen. Tapi mereka sudah takut. Ini satu tindakan biasa yang dilakukan SPR," ujarnya.


Sumber: TVSNEWS

Isu Agama: Umno-BN Gagal Beri Pemahaman Kepada Ahli

Posted: 24 Jan 2011 12:36 AM PST


LABIS 24 JAN: Selama 53 tahun merintah Barisan Nasional di DUN Tenang masih tidak mampu menyelami pemikiran rakyat yang menolak prinsip tidak menghormati agama lain menurut calon PAS-Pakatan Rakyat, Normala Sudirman.

Tambahnya kegagalan parti itu mendidik ahli-ahli bangsa selain Melayu Islam merupakan contoh pengabaian parti itu terhadap rakyat.

Normala yang ditemui sidang media sebagai berkata, masyarakat berbangsa lain di Tenang amat menghormati hak individu Muslim terutama dalam soal agama.

"Saya anggap 53 tahun kita merdeka, komponen Umno-BN gagal memahamkan ahli-ahli komponen mereka, MCA dan sebagainya bahawa adap bersalaman individu Muslim dengan orang lain. Kami (wanita) tidak bersalaman dengan lelaki. Kalau dengan wanita tiada masalah begitu juga dengan wanita kaum Tiong Hua.

"Tiada seorang pun saya kira kaum Tiong Hua lelaki yang bersalaman dengan saya kerana mereka telah difahami kerana DAP dan PKR telah menerangkan dalam sesi santai," jelas beliau.

MCA sebelum ini memberitahu masyarakat Cina di kawasan sekitar Labis bahawa Cikgu Mala tidak mahu bersalaman dengan masyarakat termasuk tidak mahu mengunjungi kuil-kuil Cina.

Presidennya, Chua Soi Lek turut dibidas hari ini oleh parti DAP kerana menggunakan taktik menakutkan pengundi- pengundi Cina tentang dakwaan negara Islam akan dilaksana PAS sekiranya menang ketika berkempen di pilihanraya kecil DUN Tenang.

Normala yang juga Ketua Muslimat PAS Labis menambah, ini yang perlu dijelaskan kepada penganut agama lain oleh pemimpin dan bukan memperalatkan fahaman Islam untuk kepentingan berkempen.

Normala yang juga ketua muslimah menyifatkan sentimen agama yang cuba dicetus MCA memburukkan reputasi parti itu mengingatkan prinsip yang dipegang individu adalah hak mereka.

"Tapi prinsip asas orang Islam saya pegang untuk mendapatkan keredhaan Allah, Insyallah," tegasnya lagi.

Dalam pada itu, AJK PAS Pusat, Dr. Dzulkefli Ahmad menasihati media supaya tidak hilang tumpuan utama dalam agenda menyelamatkan rakyat oleh Pakatan Rakyat justeru tunduk kepada sentimen perkauman yang dimainkan Barisan Nasional.

"Tolong jangan kurangkan seluruh kempen pilihanraya ini kepada isu salam. Kita mempunyai isu yang lebih besar kepentingan rakyat, keselamatan rakyat. Ini sudah cukup kita perlu beredar kepada isu yang lebih serius yang akan dibawa setiap pagi dalam sidang media," tegasnya.

Normala Sudirman merupakan calon PAS-Pakatan Rakyat Pilihanraya Kecil Dun Tenang melawan Azhar Ibrahim selaku wakil Umno-Barisan Nasional.



Sumber: TVSNEWS

Tiada ulasan: