Isnin, 3 Januari 2011

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Kenapa SPRM belum heret Ali Rustam

Posted: 03 Jan 2011 12:12 AM PST


ALOR GAJAH, 3 Jan: Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari (gambar) sekali lagi menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Ini berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2009 yang menunjukkan terdapatnya keraguan dalam pengurusan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) yang dipengerusikan beliau.

Adly kesal kerana sehingga ini, SPRM masih gagal menyiasat dan mengheret Ketua Menteri Melaka itu ke muka pengadilan walaupun bukti-bukti sudah terbentang di hadapan mata tentang salah laku dan penyelewengan Maim dan agensi-agensi lain.

Adly berkata laporan Ketua Audit Negara tersebut secara jelas mendedahkan kegagalan Regal Merger Sdn. Bhd (RMSB) membina kompleks MAIM menyebabkan agensi itu terpaksa membangunkan sendiri kompleks tersebut berjumlah RM13.85 juta dengan menggunakan peruntukan wang zakat.

Beliau melahirkan rasa kesal di atas kelalaian yang dilakukan oleh kerajaan Umno BN yang diketuai Mohd Ali sehingga menyebabkan tanah milik MAIM terlepas kepada pihak ketiga.

Katanya, kerajaan Melaka melalui Maim juga dilihat gagal memantau projek yang dilaksanakan oleh RMSB yang telah mengingkari perjanjian dengan tidak membina Kompleks Maim sehingga tamat tempoh perjanjian pada 13 Jun 2004.

Sebaliknya, tegas beliau, RMSB membina projek pembangunan lima tingkat Kompleks Perniagaan dan 30 unit rumah kedai tiga tingkat di atas tapak PT 83.

Adly mendedahkan, Maim telah menandatangani satu perjanjian usaha sama dengan RMSB pada 13 Disember 2002.

"RMSB dikehendaki membina Kompleks Maim di PT 1155, Bandar Bukit Baru, Daerah Melaka Tengah dalam tempoh 18 bulan dari tarikh surat perjanjian ditandatangani dengan kos pembinaan berjumlah RM10.16 juta.

"Sebagai balasan, RMSB diberi hak membangunkan tanah di PT 83 dan MAIM akan memindah milik PT 83 kepada RMSB sebaik sahaja pembinaan Kompleks Maim selesai," tulis beliau di dalam blognya adlyzahari.blogspot.com.

Dakwa Adly lagi, pihak RMSB telah memecah PT 83 kepada lima lot kecil iaitu Lot 105 hingga Lot 109 dengan kelulusan Pejabat Tanah Dan Galian Melaka pada 14 Disember 2006.

RMSB, katanya telah menjual Lot 106 pada 7 Februari 2007 kepada BC Lim Enterprise dengan harga RM10.5 juta dan Lot 105 kepada Universiti Terbuka Malaysia pada 8 Oktober 2007 dengan harga RM10.4 juta.

Mais, menurut Adly yang dipengerusikan Ali Rustam sepatutnya bertanggungjawab sehingga menyebabkan wang zakat sebanyak RM13.85 juta digunakan, di samping kehilangan tanah di Lot 105 dan Lot 106.

"Sikap kerajaan Umno BN yang membenarkan tanah wakaf dijual pada pihak ke 3 adalah gambaran perangai hipokrit Umno yang kononnya berusaha menyelamatkan Melayu dan Islam.

"PAS Melaka mendesak SPRM melakukan siasatan menyeluruh bagi memastikan ketelusan dan mereka yang melakukan penyelewengan di hadapkan kemuka pengadilan," tegas Adly.

Adly yang menulis di dalam blognya berkata kerajaan negeri Melaka di bawah pimpinan Mohd Ali, gagal menguruskan harta wakaf dan wang zakat sehingga banyak kelemahan dikenalpasti dalam sebuah negeri yang dikatakan berstatus 'Negeri Maju'.

Beliau berkata nilaian tanah milik Maim telah berkurangan daripada RM18.81 juta pada tahun 2006 kepada RM9.11juta sahaja pada 2008.

"Penggunaan wang Baitulmal sebanyak RM1.8 juta bagi pengubahsuaian kompleks perniagaan Maim, yang disewakan kepada Jaim.

"Selain itu Maim juga gagal mendaftar sebanyak 20% dari tanah yang diwakafkan malah proses mendaftar tanah wakaf mengambil masa dari 21 hingga 164 bulan," jelas Adly yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah.

Menurutnya, kelemahan lain adalah berkaitan penyelenggaraan daftar harta wakaf, harta faraid dan sewa hartanah, pencerobohan tanah Baitulmal serta tanah wakaf tidak dapat dikenalpasti lokasinya.


Sumber: Harakah Daily

Tiger Show dibiar, pakaian Nie Ching dipersalah

Posted: 03 Jan 2011 12:05 AM PST

KUALA LUMPUR, 3 Jan: PAS mempersoal sikap 'tutup mulut' pemimpin Umno berhubung isu pertunjukkan maksiat 'Tiger Show', dalam satu majlis makan malam di Marriot Hotel, Putrajaya pada 16 Disember lalu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo'lo' Mohamad Ghazali melahirkan rasa pelik apabila Umno sangat cepat menyelar cara pemakaian Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching dalam satu majlis senam robik, namun dalam isu pakaian separuh bogel tarian tiger show, Umno seperti tidak peduli.

"Adalah malang isu YB Teo Nie Ching yang hanya bersenam robik dengan pakaian sukan yang biasa dipakai wanita bukan Islam menjadi berita muka depan Utusan Malaysia, tetapi kemungkaran yang lebih besar seperti ini didiamkan oleh media pro Umno," katanya yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa.

Majlis makan malam tersebut didakwa dianjurkan Syarikat Sony dan sebahagian yang hadir adalah orang Melayu beragama Islam.

Mengulas lanjut, Lo'lo' berkata, beliau juga kesal dengan sikap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang didakwa tidak memperdulikan atau bertindak ke atas penganjur majlis makan malam tersebut.

Katanya, majlis tersebut secara jelas telah menghina Islam namun seperti dihalalkan pula oleh kerajaan Umno BN.

"Pertunjukan ini yang bukan setakat 'free show', malah 'free touch' dihadiri sebahagian besarnya oleh orang-orang Melayu yang mungkin beragama Islam.

"Lebih malang lagi YB selaku Menteri Hal Ehwal Islam, (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) Jakim dan (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) Jawi sebagai berwajib terlalu 'mandom' dalam menangani isu ini," katanya lagi yang bercadang membuat surat terbuka kepada menteri.

Minggu lalu, Harakahdaily telah melaporkan kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudi Hassan yang mahu pihak berwajib dalam hal ehwal agama bertindak segera.

Katanya, Malaysia sekali-kali tidak boleh dibiarkan menjadi hub maksiat atau hub tarian lucah seperti yang dianjurkan syarikat pengeluar barangan elektrik dan elektronik itu dalam majlis makan malam di hotel tersebut.

Gambar-gambar pertunjukan pada majlis makan malam tersebut, kini tersebar dan hangat diperdebatkan di blog-blog dan laman sosial Facebook.

Sehubungan itu, mereka mencabar menteri dan pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera ke atas Sony sebagai penganjur dan pihak Hotel Marriot sebagai pengendali majlis.

Sumber: Harakahdaily

Selangor Pinda Perlembagaan Kembalikan Kuasa Lantik SUK kepada Kerajaan Negeri dan Sultan

Posted: 03 Jan 2011 12:03 AM PST


SHAH ALAM 3 JAN :Kerajaan Negeri Selangor akan meminda Undang-undang Tubuh Negeri bagi mengembalikan kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri kepada Sultan dan Menteri Besar.

Tan Sri Abd Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri akan meminta Speaker untuk mengadakan sidang tergempar sidang Dewan Undangan Negeri bagi meminda undang-undang terbabit.

Beliau juga menegaskan bahawa Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi tidak akan mengangkat sumpah dihadapan Menteri Besar .

Datuk Khusrin juga tidak akan dibenarkan hadir pada sebarang majlis mesyuarat kerajaan negeri, tambah beliau menerusi mesej twitternya.

"Sehingga penyelesaian dicapai kerajaan negeri tidak mahu terlibat dalam sebarang majlis berkaitan jawatan SUK," tambah beliau

Merujuk kepada perjumpaan beliau bersama Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi tadi. Khalid berkata baginda menasihatkan kerajaan negeri untuk mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk mencari jalan penyelesaian terbaik mengenai perlantikan Khusrin.

"DYMM berpandangan bahawa baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima dan menolak calon yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam," katanya.


Sumber: TVSNEWS

Taresa: Kenyataan Seksis Pemuda Gerakan Kedah, Perlu Minta Maaf

Posted: 02 Jan 2011 11:59 PM PST


SHAH ALAM 3 JAN: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendesak Ketua Gerakan Pemuda Kedah, Teng Keng Liang memohon maaf atas kenyataan berbaur seksis yang dilemparkan terhadap Hannah Yeoh yang juga ADUN Subang Jaya.

Teresa menganggap kenyataan Teng itu sebagai suatu penghinaan kepada kaum wanita dan ibu selain turut menggesa beliau memohon maaf berhubung kenyataan sinis yang mempertikai kebolehan kaum itu menggalas tugas sepertimana kaum lelaki di negara ini.

"Saya menggesa Teng meminta maaf kepada Hannah dan semua wanita tanpa syarat ketidakperihatinan beliau selain mendidik dirinya tentang kesamarataan gender. Saya berbesar hati akan menaja Tan Keng Liang untuk mempelajari kesamarataan gender oleh NGO terkemuka di Malaysia," jelas beliau dalam kenyataan media pagi ini.

Memetik kenyataan laman Twitter Teng semalam, beliau mempertikai kebolehan Hannah menjalankan tugas sebagai ADUN ketika sedang hamil.

"Siapa you pilih @ jezlai atau @ hannahyeoh yang akan bercuti hamil (sebagai ADUN Subang Jaya untuk pemilihan mendatang)?" memetik laman twitter Teng.

Walaupun mendapat kecaman pelbagai pihak menerusi komen, Teng tetap berkeras mempertahan kenyataan beliau selain menggambarkan sifat chauvinistic beliau terhadap kaum wanita.

Namun dalam masa yang sama Hannah mempertahankan dirinya melalui komen balas mengatakan beliau masih mampu untuk bekerja keras walaupun sedang bercuti hamil berbanding Ahli Parlimen Barisan Nasional.

Teresa berkata, sehingga kini, Hannah yang dilantik sebagai ADUN Subang Jaya sejak terpilih pada Mac 2008 serta pasukannya telah bekerja keras untuk masyarakat di kawasan itu.

Tambah beliau, dedikasi yang ditunjukkan Hannah amat dihargai oleh masyarakat Subang Jaya setakat ini justeru beliau yakin ADUN itu akan menyumbangkan usaha kepada masyarakat di Selangor di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat.


Sumber: TVSNEWS

Mahkamah: Mohamad Sabu Bebas Tuduhan Halang Tugas Penjawat Awam

Posted: 02 Jan 2011 11:55 PM PST


NIBONG TEBAL 3 JAN: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohamad Sabu dan sembilan rakannya hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini daripada pertuduhan menghalang tugas penjawat awam tiga tahun lepas.

Majistret Mohd Izham Ali ketika menyampaikan keputusan itu berkata keputusan itu dibuat berdasarkan tiga sebab utama.

Katanya tiga sebab itu ialah terdapat keraguan terhadap waran tangkap yang dikeluarkan oleh mahkamah, percanggahan keterangan dua saksi pendakwa iaitu
saksi kesepuluh Supt Mohd Nasir Salleh dan saksi ke-11 Idris Rejap dan tiada keterangan spesifik mengenai tertuduh telah menolak penjawat awam.

Sembilan tertuduh yang lain ialah Mohd Binyamin Ishak, 48, Fuadzi Suharat, 48, Md Lazim Osman, 54, Abdul Razak Ramili, 46, Mohd Subri Mohd Said, 46, Zamarul 'Aini Abdul Malik, 40, Zainul Azrun Zainal Abidin, 39, Abdul Rahim Mat Ariff, 62, dan Mohamad Salleh, 51.

Mereka dituduh enggan membuka pintu kenderaan dan telah menolak pegawai dan anggota polis dalam menjalankan tugas pada 7.45 malam, 9 Dis, 2007 di hadapan Plaza Tol Plus Bukit Tambun (laluan keluar lebuhraya Plus Kuala Lumpur-Pulau Pinang).

Mereka didakwa mengikut Seksyen 186, Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim, dibantu oleh Khairul Fairuz Rahman dan Ahmad Razali Muhamad Nazri, manakala Mohamad dan sembilan rakannya diwakili oleh peguam Hanipa Maidin, Aminuddin Zulkifli dan Yusnita Yusof.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, Mohamad melahirkan rasa gembira dengan keputusan itu dan menganggap ia satu kemenangan dalam menegakkan perjuangan.

"Terima kasih atas usaha peguam-peguam kami yang telah bertungkus lumus mencari bukti dan berhujah membela kami untuk menang dalam kes ini," katanya dipetik Bernama.

Sementara itu, Ketua Menteri Lim Guan Eng yang hadir untuk memberikan sokongan kepada Mohamad dan rakan-rakan juga melahirkan rasa gembira dan berpuas hati dengan keputusan yang dibuat.

Tahniah kepada barisan peguam yang telah berusaha memastikan kemenangan bermakna ini, katanya.

Turut hadir memberi sokongan ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir Salleh Man dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Utiliti (Tenaga, Air, telekom), Pengangkutan (Udara, Laut dan Keretapi) negeri Lim Hock Seng.

Sumber: TVSNEWS

Memo Pelajar Unisel: Khoo Kay Kim Dicadang Ganti Rosmah

Posted: 02 Jan 2011 11:53 PM PST


SHAH ALAM 3 JAN: Berpegang pada prinsip untuk bebas bersuara dan menyatakan pandangan, idealisme dan hak mereka sebagai 'third force' sekumpulan pelajar Universiti Industri Selangor (Unisel) mahukan tokoh akademik Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim sebagai Canselor mengantikan Datin Seri Rosmah Mansor.

Tegas kenyataan kumpulan itu mereka menolak pelantikan canselor pusat pengajian tinggi itu yang berlatakbelakangkan pengaruh politik sama ada dari Barisan Nasional (BN) ataupun Pakatan Rakyat.

"Seluruh mahasiswa Unisel telah bersetuju memilih ahli akademik selaku canselor baru Unisel dan menolak sekeras-kerasnya pelantikan ahli politik dalam melantik canselor baru.

"Antara sebab lain pelantikan beliau (Khoo) adalah kerana disebabkan pengalaman dan pengetahuan beliau yang luas dalam bidang akademik serta sumbangan terhadap pembangunan negara," kata Presiden Pro Mahasiswa Unisel Muhammad Nasir Abu Bakar pada sidang media di sini.

Kenyataan itu juga menyeru agar pihak pentadbiran seharusnya berlapang dada dalam menerima kritikan dan pandangan dari mahasiswa khususnya untuk membaiki masalah yang sedia ada.

Perlu ditegaskan bahawa mahasiswa harus diberikan autoriti dalam mengerakkan idealisme mereka sendiri,

Pada 20 November lepas, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengumumkan pengundurannya sebagai Canselor Unisel bagi memberi tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak melalui program Permata dan kemudian pengunduran itu diperkenankan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.


Sumber: TVSNEWS

Khusrin: Legasi Khir Toyo Punca Putrajaya Belakangi Kerajaan Negeri

Posted: 02 Jan 2011 11:49 PM PST


SHAH ALAM 3 JAN: Krisis perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri(SUK) Selangor yang berlaku kini didakwa Faekah Husin berpunca dari bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo yang membiarkan Ketua Setiausaha Negara(KSN) melantik Datuk Ramli Mahmud tanpa merujuk kepada perlembagaan negeri.

Jelas Setiausaha Politik Menteri Besar itu, ini adalah permulaan Putrajaya belakangkan Tan Sri Khalid Ibrahim dalam urusan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri kini.

"Beliau telah membina acuan yang bahaya dan sekarang senario ini berulang semula apabila KSN melantik Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baharu tanpa berunding terlebih dulu dengan Menteri Besar.

"Kerajaan Selangor enggan meneruskan ketidakpedulian Khir terhadap Perlembagaan kerana ini akan membolehkan KSN menyalahguna Perlembagaan dan Nota Amalan Perkhidmatan Awam dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

"KSN telah mengabaikan kebijaksanaan pengurusan yang mana tanggungjawab perlu disertai dengan kuasa," katanya.

Ujar Faekah, ini adalah kerana, KSN melantik Khusrin dengan tidak mengambil kira kelayakan serta kredibiliti dan tanpa berunding dengan Menteri Besar.

Tegas Faekah, Umno-Barisan Nasional merupakan 'dalang' sebenar yang telah mengeluarkan kuasa Sultan ketika meminda Perlembagaan Negara pada 1993 tetapi ketika ini cuba bersembunyi di sebalik istana untuk meneruskan agenda politik jahat.

"Khir Toyo tidak memiliki moral dan kelayakan untuk mengkritik Kerajaan Selangor termasuk Jawatankuasa Pemilihan yang bertanggungjawab menemubual pegawai kerajaan bagi mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

"Kami mengulangi kenyataan bahawa jawatankuasa ini dibentuk kerana Menteri Besar mahu memastikan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri diisi oleh pegawai kerajaan yang berkelayakan dan mampu menjalankan tugas dengan berkesan.

"Jawatankuasa ini juga mahu memastikan pelantikan dilakukan secara profesional dan adil. Ini juga bagi membolehkan pegawai kerajaan bertindak secara profesional tanpa rasa takut atau menyokong mana-mana parti kerana kenaikan pangkat dibuat berdasarkan prestasi mereka,"jelasnya.

Dalam pada itu, Faekah turut menegaskan bahawa jika kerajaan negeri sebelum ini tidak mempunyai rasa hormat terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban, tidak bererti kerajaan dipimpin Pakatan Rakyat perlu mengikut acuan lapuk dan tidak profesional yang mereka tinggalkan.


Sumber: TVSNEWS

Khusrin Mula Bertugas, Lapor Diri Kepada Siapa?

Posted: 02 Jan 2011 11:46 PM PST


SHAH ALAM 3 JAN: Diselubungi kontroversi bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Mohamad Khusrin Munawi hari ini dilihat memasuki pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri seawal 6.45 pagi tadi.

Hanya jurugambar sahaja yang dibenarkan masuk ke pejabatnya dengan dikawal ketat pengawal keselamatan.

"Kita tidak dibenarkan untuk halang beliau (Khusrin) tapi saya nak tahu kepada siapa beliau laporkan diri untuk bertugas.

"Sepatutnya beliau melaporkan diri kepada Menteri Besar," lapor The Malaysian Insider, kata sumber yang rapat dengan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Khusrin dijadual akan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor pada 6 Januari ini.

Beliau mengesahkan sudah memulakan tugas dan akan mengeluarkan kenyataan dalam tempoh terdekat.

"Saya akan keluarkan kenyataan dalam tempoh terdekat," katanya kepada wartawan di pejabatnya.

Difahamkan Khalid akan menemui Sultan Selangor pada pukul11 pagi ini di Istana Mestika di sini.

Khusrin sebagai ketua Jabatan Agama Islam Negeri sebelum ini juga dilihat menentang pentadbiran kerajaan negeri dalam beberapa siri isu.

Pelantikan kontroversi Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual akan berlangsung 6 Januari ini, diteruskan.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin.

Khalid yang bercadang untuk menghadap Sultan Selangor Rabu lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat beliau sebab baginda bercuti sehingga awal minggu depan.


Sumber: TVSNEWS

Tiada ulasan: