Khamis, 20 Januari 2011

Anak Muda Kampung Nak Senang

Anak Muda Kampung Nak Senang


Imbuhan turunkan poster haram Umno di Seremban oleh MPS?

Posted: 20 Jan 2011 06:25 AM PST

Macamana Ahlong tak berleluasa, Umno BN pun dah ajar boleh gantung poster/kain rentang haram (tanpa permit). Beberapa contoh poster haram atau poster tanpa permit MPS milik Umno BN di Seremban pada pautan berikut http://amkns.blogspot.com/2011/01/keselamatan-jejantas-umno-dan-pbt-tak.html

**********************
Imbuhan turunkan iklan haram di kawasan MPS
Utusan Malaysia 20 Jan 2011

SEREMBAN 19 Jan. - Isu pemasangan kain rentang serta poster yang tidak berlesen bagaikan tiada kesudahannya malah masalah itu terus merebak di kawasan perumahan di sekitar bandar ini.

Peniaga yang tidak mahu membayar permit iklan menawarkan apa sahaja jenis perkhidmatan untuk orang ramai termasuk pinjaman wang tidak berlesen.

Untuk itu, Majlis Perbandaran Seremban (MPS) bercadang memberi imbuhan kepada mereka yang menurunkan poster haram di sekitar bandar ini dan kawasan perumahan masing-masing.

Yang Dipertuanya, Datuk Abd. Halim Abd. Latif berkata, perbincangan akan dijalankan bersama ahli majlis untuk menentukan kadar imbuhan yang sesuai bagi setiap poster yang diturunkan.

Malah katanya, setiap poster yang diturunkan akan dinilai sebagai bahan terbuang yang boleh dikitar semula.

''Untuk makluman setiap minggu kita akan menjalankan operasi pembersihan, malangnya jumlah poster haram akan bertambah dua kali ganda selepas diturunkan.

''Apa yang boleh dilakukan ialah meminta kerjasama daripada orang ramai untuk menurunkan dan menjualnya kepada kami," katanya di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Perbandaran Nilai (MPN) berkata, banyak aduan diterima daripada orang ramai dan ada antaranya mendakwa pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak menjalankan tugas.

''Di bawah pentadbiran majlis terdapat lebih daripada 250,000 unit rumah dan sukar untuk menjalankan operasi pembersihan sepenuhnya. Setiap minggu kami menurunkan kira-kira 1,000 poster tidak berpermit dan memerlukan kos yang tinggi untuk melakukannya.

''Apabila jumlah poster bertambah, perbelanjaan majlis turut meningkat. Lebih baik perbelanjaan ini digunakan untuk membayar orang ramai yang bekerjasama mengindahkan bandar ini dan perbelanjaannya jauh lebih kecil," katanya.

Justeru kata beliau, dengan adanya kerjasama dan penyertaan dari orang ramai untuk membantu, masalah itu dapat dikurangkan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_05.htm

6,000 penduduk Melaka Maju dihantui bau busuk

Posted: 20 Jan 2011 06:24 AM PST


Pegawai SPAN meneliti air kumbahan dari beberapa kilang memproses makanan sejuk beku di sekitar kawasan perindustrian Taman Datuk Tamby Chik Karim, Melaka, semalam.
--------------------------

6,000 penduduk dihantui bau busuk
Utusan Malaysia 20 Jan 2011

MELAKA 19 Jan. - Masalah bau busuk yang menghantui lebih 6,000 penduduk sekitar Taman Datuk Thamby Chik Karim, Batu Berendam di sini sejak lebih setahun lalu bukan sahaja berpunca daripada air kumbahan dari sebuah loji rawatan di situ.

Siapa sangka, bau busuk itu juga rupa-rupanya terhasil daripada pelbagai sisa buangan kilang yang turut disalurkan ke loji rawatan tersebut.

Keadaan itu menyebabkan loji tersebut tidak dapat melakukan proses rawatan kumbahan dengan sempurna, sekali gus mengeluarkan bau busuk kepada penduduk sekitarnya.

Pengarah Wilayah Selatan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Abdull Sukor Ismail berkata, pihaknya mengesan ada segelintir pengusaha kilang di kawasan perindustrian Taman Thamby Chik Karim mengambil jalan mudah untuk melupuskan sisa industri mereka.

"Selain kumbahan, ada kesan pembuangan sisa-sisa terlarang seperti lemak haiwan di dalam sistem paip kumbahan yang dipercayai dilakukan oleh segelintir pengusaha kilang di sini.

"Keadaan ini mengakibatkan kadar kepekatan air yang tinggi di loji rawatan kumbahan menyebabkan proses rawatan tidak dapat dilakukan dengan baik sekali gus mengeluarkan bau busuk," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau masalah tersebut dan menyerbu beberapa buah kilang di taman perindustrian itu di sini hari ini.

Turut menyertai operasi itu ialah beberapa wakil daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd.

Mengulas lanjut Abdull Sukor berkata, loji rawatan kumbahan itu direka untuk menampung keperluan hampir 7,000 penduduk tetapi ketika ini kawasan itu hanya dihuni kira-kira 4,435 penduduk.

"Ini bermakna, ia masih boleh menampung keperluan rawatan kumbahan bagi kira-kira 2,500 penduduk lagi.

"Kami juga telah mengambil sampel air kumbahan daripada beberapa buah kilang bagi memastikan sama ada mereka terlibat atau tidak dalam kegiatan membuang sisa kilang ke loji tersebut," tegasnya.

Beliau menjelaskan, pembuangan sisa kilang telah menyebabkan kadar kepekatan air di loji rawatan kumbahan itu meningkat antara 100 peratus hingga 200 peratus daripada kadar sepatutnya.

"Sebagai contoh, kadar Biological Oxygen Demand (BOD) di loji tersebut adalah 250, tetapi BOD itu telah meningkat sehingga 815 sejak beberapa bulan lalu," katanya.

BOD merupakan ukuran untuk menentukan kandungan bahan organik di dalam air. Semakin tinggi kandungan bahan organik dalam sampel air, semakin tinggi nilai BOD itu.

Abdull Sukor dalam pada itu turut menegur sikap segelintir pengusaha kilang yang mengambil jalan mudah melupuskan sisa buangan mereka dengan membuangnya ke dalam sistem paip kumbahan.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_01.htm

Tiada ulasan: