Sabtu, 15 Januari 2011

Anak Muda Kampung Nak Senang

Anak Muda Kampung Nak Senang


Kerajaan dah lupa masalah rakyat rumah terbengkalai?

Posted: 15 Jan 2011 02:30 AM PST


Dengan kos barang makin naik saban hari, siswazah sukar mendapat pekerjaan yang setaraf untuk mampu bayar hutang PTPTN. Masalah Perumahan Terbengkalai masih lagi berlaku, dan masih banyak, tetapi isu ini senyap sekarang. Rakyat yang rumah terbengkalai akan tetap susah , dulu, kini dan selamanya agaknya. Blog khusus perumahan terbengkalai di http://terbengkalai.blogspot.com/

Masih terbengkalai
Sinar Harian 15 Jan 2011

REMBIA - Impian satu keluarga untuk memiliki sebuah kediaman selesa tidak kesampaian apabila rumahnya di Taman Rembia Utama fasa dua, dekat sini masih terbengkalai sejak enam tahun lalu.

Lebih merunsingkan, pembeli rumah berkenaan turut terbeban kerana terpaksa membayar ansuran bulanan pinjaman bank sejak 2003.

Pemilik, Bukhari Ibrahim, 46, berkata, sehingga kini, pemaju perumahan berkenaan tidak kelihatan untuk menjalankan usaha menyambung semula projek terbengkalai itu.

"Harga rumah itu RM70,000 dan saya perlu membayar kepada pihak bank sebanyak RM495 sebulan. Tetapi, ia hanya tinggal angan-angan saja," katanya yang merupakan seorang pesara tentera.

Menurutnya, masalah terhadap projek pembinaan rumah terbabit bermula 2005 dan dia cuba mendapatkan penjelasan pihak pemaju perumahan yang beroperasi di Taman Melaka Raya, dekat sini.

Namun, katanya, pemaju berjanji bahawa masalah itu hanya sementara.

"Apabila menyedari projek pembinaan itu seperti terhenti, saya terus hubungi pemaju meminta penjelasan sebab bimbang. Pemaju kata masalah ini akan selesai dan pembinaan tetap diteruskan.

"Namun, dari tahun ke tahun sehingga kini, pemaju perumahan tersebut masih memberi jawapan terhadap jaminan yang sama tetapi rumah masih belum siap. Pinjaman bank pula perlu dijelaskan setiap bulan," katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Kini, Bukhari, isteri serta tiga anak berusia antara 10 hingga 17 tahun terpaksa menyewa sebuah rumah di taman berhampiran pada harga RM250 sebulan.

"Harapan kami sekeluarga besar untuk menetap di rumah sendiri dengan selesa selepas saya bersara. Tidak sangka boleh jadi begini," katanya.

Menurutnya, masalah itu pernah dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Rembia, namun belum ada sebarang bentuk bantuan penyelesaian diambil pihak terbabit.

http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story8624927.asp

Tiada ulasan: