Pengikut

Nuffnang

Khamis, 23 Disember 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

0 ulasan
sumber :-

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Ahli perniagaan 'dibelasah' polis mahu tuntut keadilan

Posted: 23 Dec 2010 11:09 PM PST

KUALA LUMPUR: Tidak cukup dengan duitnya 'dicuri' anggota polis, seorang ahli perniagaan menjadi mangsa sekumpulan polis yang membelasahnya gara-gara kerana tidak mempamerkan cukai jalan yang tamat tempoh di skrin kereta.

Chia Buang Hing, peniaga bingkai lukisan, yang memandu kereta jenis Proton Waja milik isterinya pada 18 Disember lalu, mendakwa dipukul 11 anggota polis dan menanggung kerugian lebih dari RM13,000.

Mangsa berumur 34 tahun turut mengalami kecederaan fizikal di mata kanannya dipukul ekoran enggan menyerahkan sejumlah wang yang dimilikinya.

Mangsa ketika kejadian itu dalam perjalanan ke kedainya di Kota Damansara ditahan sekumpulan anggota polis dalam sekatan jalan di kawasan tersebut.

Chia yang menyedari cukai jalan telah tamat tempoh kemudian meminta untuk disaman atas kesalahan itu, namun anggota polis yang menyeluk seluarnya menyedari beliau memiliki wang sejumlah.

"Apabila dia nampak kad VIP Kelantan saya, seorang anggota polis berkata, awak ingat Kelantan istana banyak besar,banyak besar. Saya cuba ambil gambar anggota polis dengan telefon bimbit saya dan kemudian dua lagi anggota menumbuk saya secara bertubi-tubi.

"Saya digari dan dibawa masuk ke dalam kereta polis sehingga ke balai polis Dataran Sunway. Di balai itu, saya terus dipukul oleh tujuh anggota sehingga muntah darah dan mengalami kecederaan," katanya dalam sidang media di sebuah restoran di Taman Tun Datuk Ismail pagi ini.

Mangsa turut ditemani ahli parlimen Segambut, Lim Lip Eng dan peguam Ricky Tan Seng Cheong.

"Mau tolak lu mati"

Katanya, beliau yakin dapat mengecam 10 daripada 11 anggota polis yang membelasahnya itu.

"Saya turut dibawa ke satu tempat yang tidak diketahui dan mendengar perbualan polis yang mahu menolak saya. Saya dengar suara polis kata "mau tolak lu mati", masa itu saya sudah muntah darah dan berbuih di mulut.

"Saya dibelasah dari jam 11 malam hingga 3 pagi, 19 Disember itu. Saya yakin dapat mengecam 10 daripada 11 anggota polis itu. Saya juga boleh cam lima orang polis di IPD Petaling Jaya, serta lima lagi yang pukul saya dalam lori polis. Mereka semua memakai uniform ketika kejadian," katanya.

Chia pada 19 Disember dibawa ke mahkamah Petaling Jaya dan direman selama empat hari, namun dilepaskan melalui jaminan mulut pada 22 Disember.

Sementara itu, Lim yang mewakili mangsa berkata kesal dengan tindakan sekumpulan polis terbabit malah keengganan majistret untuk mengambil aduan Chia.

Beliau yang turut menemani mangsa membuat laporan di balai polis Kota Damansara petang semalam, turut menuntut beberapa perkara.

"Kami menuntut beberapa perkara antaranya; tidak mahu pihak ibu pejabat Petaling Jaya mengambil kes ini; mangsa mahu membuat kawad cam; pihak majistret perlu disiasat; kereta mangsa dipulangkan semula serta duit yang dicuri itu," katanya.


Sumber: Free Malaysia Today

Populariti Najib jatuh selepas kenaikan harga

Posted: 23 Dec 2010 11:00 PM PST

Populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merosot kepada 69 peratus - jatuh tiga mata berbanding dengan 72 peratus pada bulan Mei.

NONETempoh kajiselidik - 30 November hingga 11 Disember - juga termasuk waktu pengumuman pemotongan subsidi kerajaan untuk bahan bakar, gas masak dan gula.

Populariti Najib jatuh ke tahap yang sama yang dicatatkan oleh badan kajiselidik bebas, Merdeka Centre, pada bulan Mac tahun ini.

Dalam kajiselidik terbaru Merdeka Centre, rating tertinggi datangnya dari responden kaum India, sepertimana yang dicatatkan sepanjang tahun ini.

Ia meningkat daripada 80 peratus pada bulan Mei kepada 85 peratus pada Disember, tetapi sokongan kaum India kepada Najib bagaimanapun lebih rendah daripada rekod tertinggi 91 peratus yang dicatatkan pada Mac tahun ini.

Bagaimanapun, sokongan orang Melayu kepada Najib merosot (daripada 77 peratus kepada 74 peratus) serta kaum China (daripada 58 peratus kepada 54 peratus).

Kajiselidik Merdeka Centre itu membabitkan 1,005 pengundi berdaftar yang dipilih secara rawak berusia 21 tahun ke atas.

Ia dijalankan melalui telefon antara 30 November hingga 11 Disember.

Populariti Najib itu mengesahkan bahawa beliau masih merupakan aset utama dalam kempen pilihan raya BN.

Kadar rating yang diperolehinya ketika mengambil alih teraju pemerintahan ialah 44 peratus, sewaktu ekonomi mengalami kelembapan, di samping terdedah kepada berita-berita buruk.

Sumber: Malaysiakini

Jangan pandang enteng janji Pakatan - Khir Toyo

Posted: 23 Dec 2010 10:51 PM PST


SHAH ALAM, 24 Dis: Setelah didakwa ekoran pemilikan banglo mewahnya, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo meminta Barisan Nasional agar jangan memandang enteng (mudah) janji Pakatan Rakyat dalam konvensyen mereka baru-baru ini.

"Pada hemat saya, Barisan Nasional tidak boleh memandang enteng sebahagian janji Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang yang terkandung dalam Buku Jingga bertajuk, "Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!"

"Sungguhpun sebahagian janji tersebut tidak realistik namun terdapat janji-janji yang boleh mempengaruhi rakyat memberi undi kepada mereka terutamanya kenaikan gaji guru sebanyak RM500," tulis Khir dalam blognya.

Bagi beliau, kehadiran kira-kira 400,000 guru sekarang ini dan tidak mustahil sebahagian besar mereka akan menilai tawaran tersebut dengan serius.

Ini kerana, tulis beliau, kebanyakan guru mempunyai pegangan politik yang agak bebas. Tidak ramai yang membuat keputusan menyokong mana-mana parti politik sejak awal lagi, katanya.

Khir juga berpandangan, kenaikan kos sara hidup yang kian menjadi-jadi sejak wujudnya makmal rasionalisasi subsidi boleh menjadikan sebahagian besar rakyat menerima sahaja apa yang ditawarkan oleh Pakatan biar pun mereka mungkin tidak mampu melaksanakan sepenuhnya.

Beliau juga percaya jentera kerajaan terutamanya Menteri "jaga makmal" boleh memberi penjelasan yang logik, rasional dan sangat akademik kepada rakyat bagi menjustifikasikan kenaikan harga barang, petrol dan pengenaan pelbagai cukai termasuk kemungkinan pelaksanaan GST.

Beliau juga juga percaya kerajaan mempunyai kebolehan untuk menjelaskan mengapa Menteri "jaga letrik" mengumumkan kerajaan bersetuju kenaikan tarif letrik tapi masa belum sesuai.

Tentulah kerajaan juga mampu menjelaskan mengapa Tenaga Nasional Berhad bercakap soal kekurangan untung (bukan rugi) jika tarif tidak dinaikkan seolah-olah TNB ini berniaga menggunakan duit sendiri bukannya duit rakyat, sindir beliau.

Menurut sebahagian rakyat termasuk guru-guru yang menjadi sasaran kempen Pakatan sekarang, "sekurang-kurangnya ada harapan dengan Pakatan berbanding Barisan Nasional yang asyik bercakap soal mengurangkan subsidi dan menaikkan tarif yang sekaligus menambah perbelanjaan dan hutang mereka." tulis Khir lagi.

"Jadi, ketika kita boleh menjelaskan untung rugi, logik dan rasional setiap tindakan namun yang jarang ditanya apakah keputusan dan penjelasan kerajaan mampu meyakinkan rakyat yang akhirnya akan diterjemahkan ke dalam peti undi dengan memberi undi kepada Barisan Nasional?" soal beliau.

Sungguhpun, tulis Khir, BN boleh mendakwa banyak janji Pakatan di Selangor belum tertunai "namun saya percaya ia akan mula dilaksanakan menjelang pilihan raya akan datang bagi menggula-gulakan pengundi."

Beliau juga menulis, tidak mustahil pada tahun hadapan kerajaan negeri Selangor akan mengurangkan cukai pintu premis kediaman sebanyak 20% dan cukai pintu premis perniagaan sebanyak 10% seperti yang dijanjikan dalam manifesto mereka sebelum ini.

"Ini akan memberi "pukulan hebat" kepada Barisan Nasional," katanya.

Bagi beliau, masalah Barisan Nasional (BN) lebih besar daripada Pakatan Rakyat (PR).

BN sebagai pemerintah tidak boleh berjanji sebaliknya perlu melaksanakan kerana ia memegang tampuk pemerintahan, katanya.

Pandangan Khir ini disokong oleh para pembaca blog beliau itu melalui komen-komen mereka.

Mereka sangat marah dengan tindakan kerajaan meluluskan akta Pengangkutan Jalan baru-baru yang bakal menyaksikan kutipan saman JPJ akan diswastakan.

"Saya sendiri walaupun adalah ahli dan penyokong tegar UMNO-BN namun tidak teragak-agak untuk tidak keluar mengundi dalam PRU-13 bersama-sama dengan ahli keluarga dan saudara-mara saya kerana kecewa dengan kerajaan BN," tulis salah seorang pelawat laman beliau itu.

Menurutnya, Perdana Menteri sentiasa menyeru agar pemimpin BN merasai denyut nadi rakyat.

"Tetapi bagi saya itu hanyalah retorik kerana pemimpin BN tidak merasa apa yg dirasa oleh rakyat bawahan. Mereka hidup mewah tanpa merasa risau untuk berbelanja kerana mempunyai wang yang banyak tidak seperti kami rakyat bawahan," tulis tetamu beliau itu.

Seorang lagi tetamu beliau mennulis, "Saya pun heran dengan sesetengah menteri kerajaan ni. Mereka ni macam tak sensitif dengan kehidupan, derita dan denyut nadi rakyat. Contoh yg terbaru ialah Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010.

"Menteri Pengangkutan Jalan dari MCA ni gagal untuk memberi justifikasi kewajaran penswastaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

"Tengah rakyat dok pening kepala & menangis dengan segala kos hidup yang tinggi, tiba-tiba dilihat Kerajaan cuba buat keuntungan dengan penswastaan saman," tulis beliau.


Sumber: Harakah Daily

Program 100 Hari PR atasi 53 tahun BN

Posted: 23 Dec 2010 10:48 PM PST


ALOR SETAR, 24 Dis: Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Pusat, Mohd Firdaus Jaafar menyifatkan reaksi mengelabah para pemimpin Barisan Nasional (BN) terhadap janji pakatan rakyat sekiranya memerintah, khususnya Program 100 Hari kerana ia akan mengatasi pencapaian BN selama 53 tahun mentadbir negara.

Kata beliau, apa yang terkandung dalam 'Buku Jingga' PR adalah sesuatu yang diluar jangkauan BN sendiri, sebaliknya bagi PR ia adalah satu aspirasi yang akan menjadi realiti sekiranya berjaya menjadi pemerintah.

"Setelah 53 tahun memerintah BN tidak mampu untuk memberi apa yang tercatat dalam Program 100 Hari PR tersebut," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Jerai.

"Misalnya, pemberian imbuhan khas pendidikan kepada para guru dan pegawai pendidikan tidak dilakukan oleh BN. Tapi PR akan lakukan, ini sudah mencabar dasar yang selama ini BN amalkan.

"Malah imbuhan ini juga akan menelan belanja sebanyak RM3.2 bilion setahun. Ia lebih baik daripada menyalahgunakankan wang dengan penyelewengan, korupsi dan pembaziran melalui projek tidak berfaedah seperti diamalkan pemerintah ketika ini," kata beliau mengulas serangan bertali arus pemimpin BN terhadap janji PR melalui saluran media.

Sebelum ini PR mengeluarkan Buku Jingga yang mengariskan rancangan jangka pendek dan jangka panjang mentadbir negara sekiranya diberi peluang mengambil alih pemerintahan dalam pilihan raya akan datang.

Buku Jingga yang merupakan dasar bersama dipersetujui parti-parti dalam PR itu dikeluarkan melalui Konvensyen Ke-2 PR di Pulau Pinang pada 19 Disember lalu.

Antara yang menjadi perhatian, Buku Jingga itu turut mengariskan sepuluh perkara yang akan dilakukan oleh PR dalam tempoh 100 hari pertama memerintah, iaitu :

  1. Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.
  2. Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.
  3. Menghargai peranan guru sebagai pendidik bangsa dengan Menaikkan memperkenalkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang.
  4. Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.
  5. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
  6. Menyediakan perkhidmatan internet wifi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.
  7. Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannyakepada generasi kedua dan ketiga Felda.
  8. Menaikkan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak kepada 20%.
  9. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman.
  10. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.

Mengulas lanjut, Firdaus berkata perancangan PR yang merangkumi pendidikan, ekonomi, pengurusan negara, merombak struktur subsidi dan menitiberatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat itu bukan satu pembohongan sepert dakwaan pemimpin BN.

"Kenapa BN mesti takut dengan cadangan PR sekiranya mereka benar-benar yakin bahawa rakyat sememangnya menyokong kepimpinan mereka. Apa yang jelas mereka gentar kerana Program 100 Hari tersebut mencabar kewibawaan dan kredibilit mereka," ujarnnya.


Sumber: Harakah Daily

PAS: Kita sedia kenal siapa SPR

Posted: 23 Dec 2010 10:46 PM PST

KUALA LUMPUR, 24 Dis: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 22 dan 30 Januari depan iaitu hari cuti sebagai tarikh penamaan dan pengundian bagi PRK Dun Tenang, jelas memperlihatkan sikap 'double standard' suruhanjaya itu.

Menurut Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa, SPR dilihat tidak konsisten apabila pada PRK Galas 4 November lalu, pengundian dibuat pada hari bukan cuti umum sehingga memaksa kerajaan negeri Kelantan pada waktu itu mengumumkan tarikh itu sebagai cuti peristiwa.

Katanya, apabila berdepan PRK di kerusi yang dikuasai Pakatan Rakyat, SPR dilihat cenderung mengadakan proses penamaan dan pengundian pada hari bekerja, sedangkan apabila di kerusi BN, tindakan sebaliknya dilakukan SPR.

"Kita dapat melihat dengan jelas perbezaan ini dan ini bukannya pelik dalam negara kita ini.

"Kita kenal siapa SPR ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Bachok.

SPR hari ini mengumumkan tarikh PRK Dun Tenang, Johor pada 30 Januari tahun depan manakala penamaan calon pula pada 22 Januari.

Walaupun berdepan situasi itu, Nasharuddin mahu jentera PAS berkerja bersungguh-sungguh bagi memenangkan calon PAS yang akan bertanding kelak.

Kepada jentera yang sudah mula menjalankan tugas, beliau mahu semua tenaga kerja yang ada dimobilisasi pada tahap terbaik berdepan Umno BN.

"Bagi kita cuti ke tak cuti ke, kita tetap masuk dengan niat untuk menang dengan memberi tentangan sehebat mungkin kepada lawan kita, BN," katanya lagi.

Beliau juga optimis PAS berpotensi menang apabila pada pilihan raya umum lalu mereka dapat mengurangkan majoriti kepada 2,492 undi berbanding sebelumnya.

"Kejayaan mengurangkan majoriti pada PRU lalu akan menjadi perangsang kepada PAS untuk menambah satu lagi kerusi di Johor nanti," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan PAS akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan isu PRK Tenang termasuk soal pemilihan calon.


Sumber: Harakah Daily

Forum 'ketuanan Melayu' tetap diteruskan

Posted: 23 Dec 2010 10:42 PM PST

KUALA LUMPUR, 24 Dis: Biarpun bertembung dengan perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2010 antara Malaysia dengan Indonesia, forum 'Polemik Ketuanan Melayu' anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) tetap akan diteruskan.

Ketua Penerangan DPPP, Suhaizan Kaiat berkata, forum yang dijadual berlangsung jam 9 malam, 26 Disember ini tidak boleh dibatalkan memandangkan segala persiapan telah dibuat dan memasuki fasa terakhir.

Ianya termasuk tempahan tempat, peniaga gerai, tetamu undangan dan panel forum yang kesemuanya sudah mengesahkan kehadiran.

"Kita akui berdepan risiko jumlah kehadiran kerana bertembung dengan perlawanan akhir bola sepak antara Malaysia dan Indonesia.

"Tapi kita tetap kan teruskan kerana segala persiapan kita telah buat dan kita yakin ramai juga akan hadir untuk mendengar isu ini," katanya yang juga moderator forum berkenaan.

Forum yang akan diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Kajang, Kajang, Selangor itu akan mebariskan Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Naib Ketua DPPP Ahmad Sabky Yusof, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Bin Abdul Karim dan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu & Bumiputra (MPM), Dr Hasan Mad.

"Kita memang tidak boleh tangguh lagi kerana akan datang ni kita akan sibuk untuk persiapan Pilihan Raya Kecil Tenang pula," katanya lagi.

Forum tersebut diadakan bertujuan untuk memberi ruang kepada NGO dan parti politik merungkai masalah yang berlaku sekaligus mencari formula bagaimana polemik ketuanan Melayu boleh diselesaikan.

Namun begitu, forum tersebut bertembung dengan perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2010 antara Malaysia dengan Indonesia yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil dan akan disiarkan secara langsung melalui melalui televisyen.

Ianya sekaligus mengheret penganjur berdepan risiko kehadiran dan mampu menjejaskan matlamat penganjuran.

Malaysia melayakkan diri ke perlawanan akhir selepas menewaskan Vietnam dengan agregat 2-0.

Pertandingan akhir pusingan kedua akan berlangsung di Jakarta pada Rabu depan.


Sumber: Harakah Daily

Isu APCO : BN Mahu 'Bunuh' Karekter Anwar

Posted: 23 Dec 2010 10:40 PM PST


KUALA LUMPUR 24 DIS : Tindakan pentadbiran Najib Razak mendedahkan dua dokumen semata-mata mahu memastikan bukti tersebut "membunuh" karakter Anwar Ibrahim sebagai tokoh politik negara.

Menurut Anwar, tindakan Umno-Barisan Nasional (BN), yang disifatkannya sebagai "hipokrasi" mereka, telah dirancang untuk mendedahkan dua dokumen itu supaya dapat dimainkan oleh media negara ini.

"Tindakan Umno-BN mendedahkan dua dokumen tidak lebih daripada usaha agar media memainkan isu itu bagi memastikan tiada penelitian 'bukti' itu yang ia dakwa milik.

"Sesiapa yang sudah biasa dengan Umno-BN dalam merancang kempen mencemarkan nama baik sering melibatkan pengeluaran 'bukti-bukti palsu', yang secara semula jadi akan jadi percubaan terakhir oleh media.

"Akhirnya, persoalan dasar kembali semula kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kenapa beliau mengelak?" kata beliau dalam satu kenyataan awal pagi ini.

Laporan itu menyebut, APCO Worldwide mempunyai seorang pegawai dalam pejabat Najib sejak dari awal pentadbirannya dan pakar-pakar perhubungan awam dari Amerika Syarikat juga turut membantu Najib merancang strategi 100 hari - ia termasuk konsep 1 Malaysia dan juga platform utama dalam pentadbiran Najib selaku Perdana Menteri.

"Jika ini benar, Perdana Menteri kemudiannya perlu bersedia untuk menjelaskan isu utama yang lain - sikap tidak bertanggungjawab dalam menggunakan wang cukai rakyat untuk mengupah sebuah syarikat untuk partinya, terutama dengan seorang yang dipersoalkan 'track rekod' yang menggadai keselamatan negara," kata Anwar yang minggu lalu digantung selama enam bulan apabila mendakwa APCO Worldwide, yang berperanan dalam kempen gagasan 1 Malaysia, turut dikaitkan dengan One Israel.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mendedahkan dua dokumen bagi membuktikan Anwar berbohong apabila mendakwa APCO Worldwide berperanan dalam kempen gagasan 1 Malaysia, yang turut dikaitkan dengan One Israel.

Dokumen pertama ialah surat daripada APCO yang membawa kepada penggantungan Anwar dari Parlimen selama enam bulan manakala dokumen kedua pula kenyataan notari berkanun oleh Robert Shrum, konsultan politik, yang membantu menggubal konsep One Israel.

Kedua-dua dokumen itu menafikan APCO ada hubungan dengan kempen One Israel Tel Aviv yang diperkenalkan 11 tahun yang lalu.

Surat APCO menyebut bahawa firma konsultan perhubungan awam itu dilantik oleh pentadbiran Najib untuk menyediakan sokongan komunikasi sahaja dan tiada apa-apa kaitan dengan soal kempen.

Malah katanya, APCO hanya menyediakan khidmat kepada kerajaan Israel dua kali iaitu kali pertama untuk menguruskan persidangan perdagangan dua hari di Washington, DC pada 1987 dan sekali lagi pada 1992 apabila ia mengendalikan kerja-kerja perhubungan awam untuk memperkukuhkan perdagangan antara Amerika Syarikat dan Israel.

Selain Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), Azmin Ali (PKR-Gombak) dan R. Sivarasa (PKR-Subang) turut digantung selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Dalam kenyataan hari ini, Anwar juga berkata terdapat banyak aspek yang secara jelas mengesahkan penglibatan APCO Worldwide dalam pentadbiran negara termasuk dalam menyekat hak asasi manusia dan ruang demokrasi yang ada.

"YB Tian Chua (Ahli Parlimen Batu) telah menulis dengan terperinci menerusi dua artikel iaitu 'APCO: Askar Upahan Yang Kami Percaya' dan 'APCO dan Najib: Di bawah Pengaruh PR'. Kedua-kedua artikel ini menunjukkan kerjasama APCO dan rejim-rejim yang dianggap boleh memberikan kesan terhadap demokrasi dan kepentingan awam.

"Maka, isu ini tidak timbul dengan persoalan yang mudah melalui gagasan 1 Malaysia. Ia disebabkan sikap tidak bertanggungjawab kerajaan dalam menguruskan perbelanjaan wang rakyat (bayar RM77 juta setahun untuk kos perkhidmatan) untuk mendapatkan khidmtan sebuah syarikat perunding imej.

"Lebih penting, sikap kurang tanggungjawab Perdana Menteri ini seolah-olah tidak mempedulikan risiko keselamatan yang bakal diterima kemudian," kata beliau yang juga Penasihat PKR.

Ketua Umum Pakatan Rakyat itu juga mendakwa Umno-BN sudah merancang sejak dari awal untuk menggantung Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

"Malangnya, Umno-BN tidak pernah bersedia untuk berhadapan dua isu kritikal ini. Ia dilihat bertindak untuk 'membunuh' sejak dari awal lagi yang mana kemuncaknya adalah penggantungan empat ahli Dewan Rakyat baru-baru ini. Ia bertindak di luar norma biasa dan etika termasuk proses biasa membenarkan mana-mana tertuduh membentangkan atau berhujah sebelum keputusan dibuat.

"Faktanya saya tidak dibenarkan untuk membentangkan bukti-bukti kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang menjelaskan Perdana Menteri akan mengelak daripada bercakap soal isu-isu dasar kebertanggungjawaban dan kecuaian dalam mendapatkan khidmat APCO.

"Akhirnya, Umno-BN buat kali pertama dalam sejarah Dewan Rakyat apabila merancang penggantungan kami tanpa membenarkan kami membuat penjelasan berhubung surat penafian daripad APCO," katanya.


Sumber: TVSNEWS

Royalti Minyak 20 Peratus, Janji PR Punyai Asas Kukuh

Posted: 23 Dec 2010 10:38 PM PST


KUALA LUMPUR 24 DIS : Janji Pakatan Rakyat untuk memberikan royalti petroleum 20 peratus kepada negeri-negeri yang mengeluarkan minyak di tanah air bukanlah kosong, sebaliknya ia mempunyai asas-asas kukuh yang boleh dipegang teguh oleh segenap lapisan masyarakat.

Para pemimpin Pakatan Rakyat bukan sahaja terdiri daripada mereka yang amanah, tetapi juga cerdik, bertanggungjawab, sentiasa ingat kepada janji-janjinya kepada rakyat, sejajar dengan dasar parti yang sememangnya ingin melakukan kebajikan kepada orang ramai.

Lapor portal Harakah Daily Online , Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Ustaz Abdul Ghani Shamsudin berkata, lebih jauh dari itu, di dalam Pakatan juga sudah terdapat seorang pemimpin yang sudah berpengalaman sebagai bekas Menteri Kewangan, iaitu Ketua Umum PKR sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sememangnya boleh dijadikan rujukan oleh para pemimpin Pakatan Rakyat lain dalam pelbagai aspek, termasuk perkara-perkara berkaitan kewangan atau ekonomi.

Menurut beliau, oleh itu, sekiranya janji itu keluar dari mulut Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, ia tentunya boleh dipegang kerana ia dibuat setelah diadakan perbincangan mendalam dan persetujuan daripada kesemua kepimpinan Pakatan Rakyat termasuk Dr Seri Anwar sendiri.

"Tambahan pula, Ustaz Nasharudin sendiri bukanlah sembarangan orang. Beliau seorang peguam, terpelajar, amanah dan bertanggungjawab. Sebelum mengeluarkan janji seperti itu, beliau sendiri sudah tahu kesannya termasuk dari segi undang-undang. Jadi, janjinya tentulah berasas.

"Selain itu, rakyat sendiri boleh menilainya dengan lebih jauh. Ia dibuat setelah dipertimbangkan oleh para pemimpin Pakatan Rakyat dari segenap segi, termasuk dari segi kemampuan kewangan negara dan potensi hasil petroleum itu sendiri," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas janji yang dibuat oleh Ustaz Nasharudin ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-2 di Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang, 19 Disember lalu.

Di dalam ucapannya itu, Ustaz Nasharudin menyebut, sekiranya berjaya memerintah negara nanti, Kerajaan Pakatan Rakyat akan memberikan royalti petroleum sebanyak 20 peratus kepada kerajaan negeri terbabit bagi membasmi kemiskinan.

"Perjuangan kita bukan untuk negeri Kelantan sahaja yang sedang kita perintah, perjuangan kita bukan untuk negeri Terengganu sahaja yang kita perintah, tetapi perjuangan kita untuk menjamin royalti 20 peratus petroleum kepada kerajaan negeri ini termasuk Sabah dan Sarawak yang bakal kita perintah," katanya.

Sebelum itu, beliau turut menyentuh mengenai isu percukaian dengan menegaskan Kerajaan Pakatan Rakyat turut berjanji akan memulangkan semula sebahagian kutipan cukai daripada setiap negeri kepada negeri-negeri terbabit berdasarkan pengagihan yang adil.

Bajet-bajet negeri, katanya, hanya pada kadar 10 peratus daripada Kerajaan Persekutuan, tetapi hasilan daripada pendapatan cukai negeri-negeri yang diberikan semula kepada negeri-negeri dalam bentuk geran Persekutuan tidak lebih 5 peratus.

Menurut beliau, sekiranya diberikan mandat memerintah, Pakatan Rakyat turut bercadang untuk mengubah status Dewan Negara yang kini hanya disifatkan sebagai dewan 'rubber stamp' sahaja kepada Dewan Rakyat kepada dewan yang turut berfungsi sebagai dewan yang turut mendengar suara rakyat seperti juga Dewan Rakyat.

Sehubungan itu, peruntukan bagi jumlah senator akan turut ditambah kepada jumlah yang munasabah dengan perlantikan senator daripada kerajaan negeri melebihi lantikan Kerajaan Pusat, berbanding kini sebanyak 26 orang daripada kerajaan negeri dan 44 orang daripada Kerajaan Pusat.

Beliau turut menyebut program setelah 100 hari pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat yang akan dapat dilihat hasilnya oleh seluruh rakyat negara ini iaitu:

Mewujudkan persefahaman dari segi gerak kerja politik antara negeri-negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat, melaksanakan kerjasama ekonomi antara negeri-negeri Pakatan Rakyat, mengubah fungsi perlembagaan yang melibatkan wilayah-wilayah (negeri-negeri) dengan setiap wilayah akan mempunyai kuasa autonominya yang tersendiri yang tidak akan diceroboh oleh Kerajaan Persekutuan.

Selain itu, Kerajaan Pakatan Rakyat akan turut melaksanakan formula geran pembangunan dan bersamaan berasaskan jumlah penduduk, kadar kemiskinan, kos pelajaran, kos pembangunan modal insan dan indeks pendapatan kasar perkapita bagi memastikan negeri-negeri miskin tidak ketinggalan.

Kerajaan Pakatan Rakyat juga akan turut mengagihkan kuasa pentadbiran ekonomi dan perlaksanaan kerja prasarana kepada kerajaan negeri. Contohnya, hak rundingan saksama dalam menentukan rangka bentuk dan jaringan pengangkutan awam.

Terdahulu dari itu, beliau turut menyuarakan kekesalannya berhubung tindakan-tindakan Barisan Nasional yang jelas melanggar sistem federalisme dengan melakukan pelbagai penyelewengan termasuk di Parlimen, pengagihan peruntukan ekonomi kepada rakyat dan penafian hak rakyat terutama kepada para pemimpin dan penyokong PAS, PKR dan DAP.

Beliau memberikan jaminan sekiranya Pakatan Rakyat diberikan peluang memerintah negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, semua itu tidak akan berlaku, malah akan terus diperbaiki bagi membolehkan semua rakyat menerima hak masing-masing seperti yang telah diperuntukkan menerusi peruntukan undang-undang.

Mengulas perkara itu dengan lebih jauh, Ustaz Abdul Ghani berkata, Kerajaan Pakatan Rakyat bukanlah kerajaan yang boros seperti BN. Semua itu boleh dilihat oleh orang ramai menerusi sikap para pemimpin kerajaan-kerajaan negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat sekarang termasuk Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang yang begitu bijak menguruskan wang rakyat.

"Sekiranya para pemimpin Umno atau BN mengatakan kita hanya sekadar membuat janji kosong, mereka sendiri perlulah sedar perkara itu. Yang membuat janji kosong bukannya para pemimpin Pakatan Rakyat, tetapi para pemimpin Umno atau BN sendiri.

"Pembohongan para pemimpin Umno atau BN antara lain boleh dirujuk kepada slogan 1Malaysia yang diperkatakan oleh mereka dengan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', tetapi yang didahulukan dan diutamakan oleh mereka bukannya rakyat, sebaliknya mereka sendiri," katanya.

Perkara itu antara lain boleh dirujuk kepada sikap para pemimpin Umno atau BN dalam isu air di Selangor. Ketika Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sedang berusaha untuk terus memberikan air percuma kepada rakyat, mereka pula yang mengganggunya sehingga memaksa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri turut berdemo bersama rakyat bagi membela dan menjaga kepentingan rakyat.

"Jadi, rakyat jangan sekali-kali terpengaruh dengan permainan politik kotor para pemimpin Umno BN itu. Kalau nak tahu kami boleh tunaikan janji atau tidak, berilah peluang kepada Pakatan Rakyat memerintah negara ini dalam PRU Ke-13 nanti. Insya Allah semua janji pasti akan ditunaikan oleh kami," tegasnya.


Sumber: TVSNEWS

Pilihan Raya Kecil DUN Tenang 30 Jan, Penamaan Calon 22 Jan

Posted: 23 Dec 2010 10:37 PM PST

DUN-TenangPUTRAJAYA 24 Dis - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor pada 22 Jan depan dan jika ada pertandingan, pengundian diadakan pada 30 Jan.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Johor pada 17 Dis lalu berhubung kekosongan kerusi DUN Tenang berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha pada hari
yang sama.

"Sehubungan itu, SPR mengadakan mesyuarat khas mengenainya pada hari ini dan menetapkan satu pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan yang diputuskan oleh SPR bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sulaiman, 59, disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur.

Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

Abdul Aziz berkata pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2010, Suku Tahun Kedua 2010 dan Suku Tahun Ketiga 2010.

Beliau berkata terdapat 14,753 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 14,735 pemilih biasa dan 18 pemilih biasa, dengan kebanyakan penduduk bekerja
sebagai petani, pekerja di ladang getah dan kelapa sawit.

Daripada jumlah itu, 7,014 orang (47.54 peratus) terdiri daripada kaum Melayu; Cina (5,766); India (1,780); Bumiputera Sabah (enam), Bumiputera Sarawak (lima) dan Orang Asli (171).

Abdul Aziz berkata SPR akan menggunakan pejabat Majlis Daerah Labis sebagai pusat penamaan calon manakala Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis sebagai pusat penjumlahan rasmi undi.

"Sebanyak sembilan buah sekolah dan tiga buah dewan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi 32 saluran tempat mengundi. Seramai 376 petugas akan terlibat dalam pilihan raya kecil ini, " katanya.


Ketua Penolong Pegawai Daerah Kecil Labis Md Asri Amir dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya selain tiga Penolong Pegawai Pengurus bagi
menjalankan pilihan raya kecil berkenaan.

Abdul Aziz berkata tiga pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya akan ditubuhkan, yang diketuai oleh seorang pegawai penguatkuasa bagi setiap pasukan,
bagi tujuan memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang lapan hari tempoh rasmi berkempen.

Kira-kira RM1.1 juta diperuntukkan untuk menjalankan pilihan raya kecil yang ke-14 sejak pilihan raya umum 2008 diadakan, yang telah membelanjakan sekurang-kurangnya RM10 juta.

BERNAMA

Anwar Ibrahim

0 ulasan
sumber :-

Anwar Ibrahim


Ucapan Presiden UMNO 93 menyerang Raja2 Melayu

Posted: 23 Dec 2010 01:12 AM PST

Sumber : http://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-18011993.pdf

Speech By : DATO’ SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Title :SEMASA MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG AKTA       PERLEMBAGAAN (PINDAAN) 1993
Location : DEWAN RAKYAT, KUALA LUMPUR
Date : 18-01-1993

Tuan Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan iaitu Rang Undang-Undang bernama Suatu Akta untuk meminda Perlembagaan dibacakan kali yang kedua sekarang.Tuan Yang di-Pertua, Izinkan saya memperkenal dan mengulas Akta yang telah saya sebutkan tadi.

2. Ketika negara menuntut kemerdekaan, pemimpin-pemimpin negara yang telah mendapat kemenangan besar dan sokongan padu dalam Pilihanraya Umum tahun 1955 telah membuat pilihan supaya sistem pemerintahan di negara ini ialah sistem Demokrasi Berparlimen atau `Parliamentary Democracy` dan Raja Berperlembagaan atau `Constitutional Monarchy`.

3. Sistem ini dipilih kerana semasa negeri-negeri Melayu diperintah melalui sistem feudal dengan kuasa di tangan Raja, negeri-negeri Melayu adalah begitu lemah dan pentadbirannya berada dalam keadaan kucar-kacir. Negeri- negeri ini tidak dapat menentukan keamanan dan menguatkuasakan undang-undang. Akibatnya negeri-negeri ini terpaksa meletakkan diri di bawah naungan kuasa-kuasa asing seperti Cina, Siam dan Barat. Akhirnya semua negeri Melayu ditakluki oleh British dan diperintah sebagai tanah jajahan British melalui perjanjian di antara Raja-Raja yang memerintah dengan pihak Kerajaan British.

4. Selepas Perang Dunia Kedua, Raja-Raja Melayu berharap apabila British mentadbir semula kedudukan mereka sebagai Raja yang berada di bawah nasihat pegawai-pegawai British akan dikembalikan. Negeri-negeri Melayu akan sekali lagi diperintah oleh British walaupun tidak seperti Singapura, Pulau Pinang dan Melaka, di mana British berkuasa penuh.

5. Bagi majoriti rakyat Melayu negeri-negeri Semenanjung, mereka juga bersedia menerima pemerintahan di mana keMelayuan negeri-negeri Melayu diakui oleh British, walaupun pentadbiran dikuasai hampir sepenuhnya oleh British. Namun ada pendapat di kalangan sebilangan orang Melayu bahawa negeri-negeri Melayu sepatutnya dibebaskan daripada pemerintahan kolonial British sama sekali.

6. Orang Melayu hanya sedar akan kemungkinan mereka diketepikan dan menjadi pengemis di negeri mereka sendiri apabila Raja-Raja Melayu tunduk kepada ugutan MacMichael dan menandatangani perjanjian baru dengan British yang menyerahkan negeri-negeri Melayu terus kepada British untuk diperintah sebagai tanah jajahan takluk British sama seperti Singapura, Pulau Pinang dan Melaka.

7. Oleh kerana begitu mudah Raja-Raja menyerahkan Singapura, Pulau Pinang dan Pangkor kepada penjajah dan kemudiannya menyerah pula negeri-negeri Melayu, maka rakyat tidak lagi boleh menerima sistem yang memberi kuasa hanya kepada Raja dan rakyat tidak diberi peranan apa-apa dalam politik negara. Lagi pun selepas Perang Dunia Kedua, Sistem Raja berkuasa penuh sudah menjadi lapok di seluruh dunia. Di merata-rata tempat Sistem Beraja ditamatkan terus. Di mana ia dikekalkan, kuasa Raja dihadkan oleh Perlembagaan atau undang-undang asas negara. Justeru itu, semasa Persekutuan Tanah Melayu menuntut kemerdekaan, pemimpin- pemimpin rakyat telah mengkaji sistem-sistem pemerintahan dengan mengambilkira sejarah negeri-negeri Melayu dan sistem-sistem pemerintahan lain.

Tuan Yang di-Pertua,

8. Sistem pemerintahan lama negeri-negeri Melayu adalah sistem feudal di mana Raja berkuasa penuh tanpa Perlembagaan yang ditulis. Sistem feudal ini ditentukan oleh adat yang sering dimanipulasikan dengan sewenang-wenangnya oleh pihak berkuasa. Jika pihak yang berkuasa melampaui adat, pegawai- pegawai istana atau rakyat sukar untuk menegur dan membuat sebarang dakwaan. Tetapi apabila keadaan menjadi terlalu buruk, kemungkinannya ialah adat diketepikan dan pemberontakan berlaku. Tetapi cara ini tetap membawa kesan yang buruk tanpa menjamin bahawa pemberontakan akan memperbaiki keadaan.

9. Oleh itu lahirlah pendapat bahawa Raja perlu diletak di bawah suatu Perlembagaan yang menentukan kedudukan dan peranan Raja. Dengan cara ini Raja tidak lagi boleh bertindak dengan sewenang-wenangnya. Kuasa Raja akan ditentukan oleh Perlembagaan, iaitu undang-undang asas negara. Namun ada Raja yang sanggup menyerahkan negeri sendiri kepada kuasa asing tanpa menghiraukan Perlembagaan.

10. Namun semasa sistem Raja Berperlembagaan digubal untuk Persekutuan Tanah Melayu, yang ketika itu menuju kemerdekaan, penggubal-penggubal perlembagaan masih percaya Raja-Raja akan patuh bukan sahaja kepada yang tersurat tetapi juga yang tersirat di dalamnya — iaitu semangat yang terdapat dalam Perlembagaan.

11. Di zaman penjajahan British, oleh kerana mereka boleh menaik atau menurunkan Raja, maka Raja menerima nasihat pemerintah kolonial. Perkara ini dimasukkan dalam perjanjian di antara pihak British dengan Raja-Raja Melayu di mana nasihat `British Resident` atau `British Adviser` mesti dipohon dan dipatuhi oleh Raja melainkan berkenaan agama Islam dan adat istiadat Melayu. Bagi British, nasihat yang mesti dipatuhi oleh Raja tidaklah ganjil kerana dalam sistem Kerajaan di Britain, `King` atau `Queen` mereka mesti menerima nasihat Kerajaan. Jika tidak, Raja akan diturunkan dari takhta. Oleh itu apabila King Edward VIII berkeras untuk berkahwin dengan seorang janda, baginda terpaksa turun dari takhta atas nasihat Kerajaan, walaupun tidak ada peruntukan khusus untuk tindakan ini. Yang dikuatkuasakan bukan undang-undang tetapi kepentingan politik negara, dan Raja-Raja British memang akur kepada politik negara. Sebab itulah sebelum pun Parlimen British memutuskan supaya Queen Elizabeth membayar cukai pendapatan, Baginda sendiri baru- baru ini membuat keputusan untuk membayar cukai pendapatan.Perlembagaan British, walaupun tidak bertulis, dipatuhi daripada segi semangat dan adat.

12. Oleh kerana Raja-Raja Melayu di zaman kolonial telah mematuhi nasihat, maka dipercayai bahawa masalah Raja bertindak di luar undang-undang tidak akan berlaku.

13. Penggubal undang-undang dan pengasas pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka juga percaya peruntukan bahawa Raja tidak boleh didakwa di mahkamah hanyalah sebagai petanda kemuliaan Raja dan bukan sebagai hak untuk melakukan jenayah. Sudah tentu penggubal Perlembagaan dan pengasas kemerdekaan negara tidak bermaksud peruntukan ini memberi hak kepada Raja untuk membelakangkan undang-undang civil dan criminal. Raja Berperlembagaan atau Constitutional Monarchy tidak pernah memberi keistimewaan atau privilege kepada Raja untuk melakukan jenayah. Tetapi jika Raja tersalah semasa menjalankan tugas rasmi, Raja adalah bebas daripada tuduhan. Ini adalah kerana yang bertanggungjawab dan boleh didakwa ialah Kerajaan.

14. Dalam usaha menentang Malayan Union dan mengembalikan negeri-negeri Melayu dan negeri-negeri Selat kepada `status quo ante` iaitu keadaan sebelum Perang Dunia Kedua, rakyat telah memainkan peranan yang penting walaupun tidak diperuntukkan oleh undang-undang. Adalah jelas kepada rakyat pada masa itu bahawa Raja tanpa sokongan rakyat mudah dikuasai oleh pihak penjajah dan pihak-pihak lain. Justeru itu, rakyat perlu diberi hak dalam politik dan pentadbiran negara. Peranan rakyat mestilah ditentukan oleh undang- undang.

15. Memandangkan hakikat ini dan sekali lagi dengan mengambil contoh dari Britain, Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka memilih sistem Demokrasi Berparlimen. Rakyat akan melantik wakil mereka ke Dewan Rakyat dan Dewan-Dewan Undangan Negeri yang menjadi penggubal utama undang-undang dan dasar-dasar negara. Ini menentukan rakyat boleh memainkan peranan mereka dengan tertib dan tersusun.

16. Tetapi sekali lagi mengikut sistem di Britain, undang- undang hanya menjadi sah setelah ditandatangani oleh Raja.Di Britain, ini tidak menjadi masalah kerana Raja tidak mungkin menolak nasihat Jemaah Menteri. Tetapi di Malaysia perkataan nasihat, yang penggubal perlembagaan percaya akan mempunyai makna yang sama seperti di Britain dan juga di zaman penjajah, tidak ditafsirkan dengan jelas. Oleh itu pihak Raja boleh menolak nasihat Kerajaan.

17. Jika Kerajaan diakui terdiri daripada wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat untuk menentukan rakyat berkuasa, tetapi nasihat Kerajaan berkemungkinan tidak diterima, ini bererti Demokrasi Berparlimen tidak wujud dan rakyat tidak berkuasa sepenuhnya. Dalam perkara-perkara tertentu bukan sahaja persetujuan Yang di-Pertuan Agong diperlukan, tetapi juga persetujuan Majlis Raja-Raja.

18. Walaupun wakil rakyat bebas bercakap dalam Dewan Rakyat dan Dewan-Dewan Undangan Negeri mengenai apa juga tajuk, tetapi mereka tidak boleh menyentuh diri Raja-Raja kerana sebarang kritikan atau teguran terhadap Raja boleh ditakrif sebagai hasutan dan mereka boleh didakwa di bawah Akta Hasutan. Peruntukan ini adalah hasil pindaan yang dibuat pada tahun 1971. Sebelum ini, teguran terhadap Raja boleh dibuat di dalam dewan. Di Britain dan di negara-negara lain, ahli-ahli Parlimen bebas menegur atau mengkritik Raja.Adalah jelas bahawa menegur dan mengkritik Raja tidak menghapus kedaulatan Raja.

19. Sementara halangan ke atas teguran ini dikatakan akan memelihara kemuliaan Raja, tetapi apabila Raja tidak ditegur, maka ia tidak akan sedar akan kesalahan yang telah dilakukannya. Dengan itu, mungkin lebih banyak kesalahan akan dilakukan dan kesalahan ini mungkin akan menjadi lebih serius. Ini bukan sahaja akan mencemarkan kemuliaan Raja, bahkan juga boleh menimbulkan kebencian rakyat terhadap Raja. Tidaklah benar jika dikatakan larangan terhadap mengkritik Raja akan memelihara kemuliaan Raja. Sebenarnya kemuliaan Raja akan tercemar kerana larangan ini.

20. Dengan kemungkinan Raja menolak nasihat serta bebas daripada teguran dan sebarang tindakan keadilan, maka Raja sebenarnya bukan Raja Berperlembagaan lagi tetapi menjadi Raja mutlak. Sekali lagi Demokrasi Berparlimen tidak wujud kerana tidak ada tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap Raja yang tidak menerima nasihat Kerajaan rakyat dan melakukan kesalahan.

21. Pada tahun 1983, tindakan telah diambil untuk meminda Perlembagaan supaya sekurang-kurangnya kuasa Yang di-Pertuan Agong menolak rang undang-undang yang dilulus oleh Parlimen dibatalkan. Usaha ini berjaya tetapi tidak sepenuhnya. Yang diluluskan akhirnya ialah kuasa Yang di-Pertuan Agong menolak rang undang-undang Parlimen dikurangkan sedikit dengan mengadakan peruntukan baru bahawa Baginda boleh merujuk balik kepada Parlimen jika Baginda enggan menandatangani rang undang-undang yang telah diluluskan oleh Parlimen. Jika Parlimen meluluskannya sekali lagi, sama ada dengan pindaan atau tidak, maka rang undang-undang itu akan menjadi undang-undang yang sah dalam jangkamasa 30 hari (Perkara 66(4) Perlembagaan) walaupun tidak ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong.

22. Tetapi kelulusan secara ini terhad kepada perkara- perkara yang tidak menyentuh hak-hak dan keistimewaan- keistimewaan Raja-Raja. Untuk meminda peruntukan Perlembagaan yang menyentuh Raja-Raja, Majlis Raja-Raja perlu memberi persetujuan.

23. Di peringkat negeri, tidak ada pindaan dibuat kepada Perlembagaan negeri. Dengan itu tidak ada undang-undang yang boleh diluluskan tanpa ditandatangani oleh Raja. Ini bermakna kuasa Raja-Raja di negeri-negeri mengatasi kuasa Dewan-Dewan Undangan Negeri yang mewakili rakyat.

24. Peruntukan-peruntukan ini tidak menjadi masalah jika tidak ada tentangan pendapat di antara Raja-Raja dengan Dewan-Dewan Undangan, atau tidak ada perbuatan yang salah yang dilakukan oleh Raja-Raja, atau tidak ada adat Melayu yang tidak suka memburukkan hubungan dengan Raja-Raja.Malangnya oleh kerana Menteri-Menteri Besar dan Perdana Menteri adalah orang Melayu yang enggan bermasam muka dengan Raja, maka apabila Raja membuat sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan, tidak ada teguran yang berkesan yang dibuat. Jika ada pun, keengganan Raja mengambil berat akan teguran penasihat-penasihat rasmi ini tidak mendatangkan apa-apa tindakan kepada Raja.

25. Justeru itu dalam sejarah Malaysia yang merdeka, tindakan Raja-Raja dan pihak-pihak yang berlindung di belakang Raja yang melampaui hak dan keistimewaan Raja, semakin lama semakin serius. Kemungkinannya ialah ia akan menjadi lebih serius lagi di masa-masa hadapan. Jika tidak ada pindaan undang-undang, seperti yang dicadangkan ini, tidak syak lagi bahawa perkara-perkara yang lebih buruk akan berlaku yang mana ini akan menyebabkan institusi Raja dibenci oleh rakyat. Bukanlah mustahil jika satu hari kelak tuntutan dibuat untuk menghapuskan Sistem Beraja sama sekali walau apa pun yang diperuntukan oleh Perlembagaan.

26. Justeru itu pindaan yang dicadangkan ini bertujuan mengelak atau menghalang daripada meningkatnya perasaan benci kepada Raja yang boleh membawa kepada tuntutan untuk menghapuskan Sistem Beraja. Pindaan ini adalah untuk menyelamatkan Raja-Raja sendiri dan sistem Raja Berperlembagaan. Untuk memperkuatkan lagi peruntukan Perlembagaan bagi mengekalkan Sistem Beraja, peruntukan dibuat supaya sebarang syor atau cadangan untuk menghapuskan Sistem Beraja akan ditakrif sebagai hasutan dan tertakluk kepada Undang-Undang Hasutan.

27. Pindaan ini tidak menyentuh keistimewaan-keistimewaan yang diberi kepada Raja-Raja. Raja-Raja akan terus bertaraf Raja, dan kemudahan-kemudahan yang disediakan kepada Raja dan keluarga di-Raja mengikut Perlembagaan dan undang-undang akan diteruskan.

28. Untuk menentukan sistem Raja Berperlembagaan benar- benar berkesan, maka tiga pindaan perlu dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan. Yang pertama ialah peruntukan Perlembagaan berkenaan dengan kekebalan Raja-Raja daripada sebarang tindakan undang-undang seperti dalam Fasal (1) Perkara 32 yang mana selepas perkataan “mahkamah” ditambah perkataan “tetapi hanya berkenaan dengan apa-apa jua yang dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan olehnya dalam perjalanan atau yang berupa sebagai perjalanan fungsi- fungsinya di bawah mana-mana undang-undang bertulis”. Ini bermakna tidak ada tindakan mahkamah yang boleh diambil terhadap Raja dalam menjalankan tugas rasminya.

29. Kekebalan Raja atau Sovereign Immunity adalah suatu prinsip feudal — satu konsep kononnya `The King can do no wrong`. Mengikut Dr. Hogg dalam bukunya `Liability of the Crown` konsep ini berasas kepada alasan bahawa seorang Raja tidak boleh didakwa dalam mahkamahnya sendiri. Alasan ini sudah lama dipersoal dan ditolak oleh pakar-pakar undang- undang di Eropah seperti Adams yang merasakan tidak ada keraguan bahawa feudal lords diletak di bawah mahkamah mereka sendiri — `No doubt at all of the subjection of feudal lords to their own courts`.

30. Di bawah Government of India Act 1935 Governor General atau Governor adalah kebal hanya semasa melakukan tugas rasmi.

31. Di Amerika Syarikat, tuntutan Presiden Nixon supaya dianya dikecualikan daripada suatu peruntukan undang-undang telah ditolak oleh Supreme Court.

32. Di England, Queen tidak boleh ditangkap dan penangkapan sesiapa tidak boleh dibuat dalam kawasan istana. Juga dakwaan terhadap Queen tidak boleh dibuat dalam mahkamah.

33. Tetapi dalam satu kertas yang membincangkan Constitu- tional Law of India, di bawah Crown Proceedings Act bagi En- gland peruntukan asal telah dipinda supaya `Civil proceedings by and against the Crown` boleh dibuat. Dengan ini perbezaan `proceedings` terhadap `Crown` disamakan dengan rakyat.

34. Di dalam kertas yang sama disebutkan bahawa adalah menjadi `fundamental general rule` bahawa `His Majesty can- not sanction any act forbidden by the law`. Apabila Baginda tidak boleh sanction, Baginda dengan sendirinya tidak boleh berbuat sesuatu yang salah. Dengan ini, maka `His Majesty is under and not above the laws, (and) that he is bound by them equally with his subjects`.

35. Peruntukan dalam Perlembagaan-perlembagaan Sepanyol, Belgium, Norway, Denmark, Sweden dan Luxembourg, semuanya memberi immunity kepada Raja hanya dalam menjalankan tugas rasmi sebagai Raja. Sebarang kesalahan dalam menjalankan
tugas rasmi akan dipikul oleh Kerajaan atau Menteri.

36. Tidak ada peruntukan khusus dalam mana-mana Perlembagaan negara-negara Eropah yang memberi immunity kepada Raja apabila melakukan perbuatan yang tidak rasmi.Namun Raja-Raja negara-negara berkenaan masih diiktiraf dan berdaulat. Mereka terus menjadi sovereign dan tidak hilang sovereignty mereka. Pendapat bahawa Raja hanya berdaulat jika Raja boleh melakukan jenayah dengan sewenang-wenangnya, tidak disokong oleh amalan-amalan di negara-negara lain di zaman ini. Bahkan di zaman dahulu pun Raja kerap dihukum apabila melakukan kesalahan. Demikian dengan Charles I di England dan Louis XVI di France.

37. Hanya dalam Perlembagaan Malaysia sahaja yang diperuntukkan secara khusus bahawa di bawah Artikel 181(2) bahawa `no proceedings whatsoever shall be brought in any court against the Ruler of a State in his personal capac- ity`.

38. Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Perdana Menteri pertama negara ini, pernah menulis bahawa kekebalan atau immunity ini tidak `satisfactory` kerana `Raja boleh membunuh tanpa sebarang tindakan terhadapnya`. Kesan peruntukan Artikel 181(2) ini amatlah luas. Oleh kerana Perlembagaan-Perlembagaan Persekutuan dan Negeri adalah juga undang-undang, Artikel 181(2) sebenarnya membenarkan Raja melanggar Perlembagaan. Sebab itu apabila Raja berniaga, walaupun dilarang oleh Perlembagaan, tidak ada apa-apa yang boleh dibuat oleh Kerajaan. Yang di-Pertuan Agong juga tidak boleh didakwa dalam mana-mana mahkamah. Tetapi Majlis Raja-Raja boleh melucutkan jawatannya. Sebaliknya sebagai Raja, Artikel 181(2) akan melindunginya.

39. Jika Malaysia ingin menjadi sebuah negara yang mengamalkan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, kekebalan yang diberikan kepada Raja-Raja perlulah dihapuskan. Oleh kerana Perlembagaan di negara-negara yang mengamalkan Sistem Raja Berperlembagaan tidak memberi kekebalan kepada Raja-Raja mereka, maka penghapusan kekebalan Raja-Raja Melayu tidak akan menjejaskan sover- eignty atau kedaulatan mereka. Di zaman moden ini hanya kerana Raja tidak boleh melakukan jenayah dengan sewenang- wenangnya tidak akan menjejaskan taraf Raja, terutama di dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

40. Untuk menentukan bahawa penghapusan kekebalan berkesan, dua lagi peruntukan dalam Perlembagaan perlu dipinda. Yang pertama ialah berkenaan dengan peruntukan dalam Artikel 63(2) yang melindungi seseorang yang mengambil bahagian dalam perbahasan di Parlimen atau Jawatankuasa Dewan daripada disoal dalam mahkamah, telah dipinda di bawah Artikel 63(4) jika dianya menyentuh peruntukan Akta Hasutan.Peruntukan ini dibuat pada tahun 1971. Ini bermakna teguran terhadap Raja boleh dibuat sebelum 1971 tanpa menjejaskan kedaulatan Raja. Justeru itu membenar semula wakil-wakil rakyat mengkritik Raja yang bersalah tidaklah menidakkan hak atau keistimewaan asli Raja-Raja.Pindaannya Perkara 63 selepas Fasal(4) berbunyi:- “(5) Walau apa pun Fasal (4) tidak seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan olehnya tentang Yang di-Pertuan Agong atau seseorang Raja semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding mana- mana satu Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya kecuali jika ia menganjurkan penghapusan kedudukan Berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong sebagai Kepala Utama Negara bagi Persekutuan atau kedudukan Berperlembagaan Raja sesuatu negeri, mengikut yang mana-mana yang berkenaan”.Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan adalah dipinda dengan memasukkan selepas Fasal (4) Fasal yang berikut:- “(5) Walau apa pun Fasal (4) tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan olehnya tentang Raja mana-mana Negeri semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding Dewan Undangan mana-mana Negeri atau mana-mana jawatankuasanya kecuali jika dia menganjurkan penghapusan kedudukan Raja itu sebagai Raja Berperlembagaan Negeri itu”.

41. Tafsiran yang dibuat mengenai hasutan terhadap Raja dalam Perlembagaan adalah begitu luas sehingga tidak ada apa-apa pun teguran yang boleh dibuat di dalam Parlimen oleh ahli-ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan. Dengan itu me- dia juga tidak berpeluang untuk melapor. Teguran yang boleh dibuat hanyalah oleh penasihat Raja secara tertutup. Jika teguran ini tidak berkesan tidak ada apa-apa lain yang boleh dibuat.

42. Sebenarnya ketiga-tiga Perdana Menteri dahulu, sebagai penasihat kepada Raja-Raja, telah pun menegur Raja-Raja berkali-kali semasa mereka berkhidmat. Saya tahu teguran ini dibuat kerana perkara ini telah dilaporkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan juga Majlis Tertinggi UMNO berkali-kali.

43. Allahyarham Tun Hussein Onn, semasa menjadi Perdana Menteri, pernah dalam ucapan bertulis di suatu mesyuarat Majlis Raja-Raja, yang dihadiri hanya oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia atau wakil-wakil mereka sahaja, menegur dengan kerasnya perbuatan Raja-Raja yang tidak harus dilakukan.

44. Tetapi semua teguran ini tidak berkesan. Perkara- perkara yang disentuh terus dilakukan juga, bahkan ditingkatkan. Apa yang tidak pernah dibuat di zaman British dan pada tahun-tahun awalan Malaysia merdeka, dilakukan dengan semakin ketara dan meluas.

45. Walaupun hampir semua Perdana Menteri dan Menteri Besar melaporkan kepada Majlis Tertinggi UMNO akan masalah yang dihadapi oleh mereka tetapi orang ramai tidak diberitahu.Justeru itu, orang ramai tidak mengetahui masalah yang dihadapi oleh Kerajaan. Sebahagian besar daripada mereka terus percaya bahawa sistem Raja Berperlembagaan berjalan dengan baik dengan Raja menghormati segala peruntukan dalam Perlembagaan. Hanya sebilangan kecil daripada rakyat yang mengetahui dan mereka ini memang tidak senang hati dengan perbuatan Raja-Raja. Tetapi mereka ini tidak dapat menyuarakan pandangan dan perasaan mereka ini kerana adanya Akta Hasutan.

46. Akta Hasutan dan peruntukan berkenaan dengan hasutan terhadap Raja-Raja dalam Artikel 63(4) Perlembagaan menghalang rakyat daripada mendapatkan maklumat dan menyuarakan pendapat mereka. Mereka hanya dapat bercakap sesama sendiri sahaja. Pemimpin-pemimpin politik, termasuk pemimpin-pemimpin Kerajaan, memang mendengar dan menyedari akan pandangan dan kemarahan sebilangan rakyat yang mengetahui perbuatan Raja. Demikianlah kemarahan mereka sehingga ada, terutama di kalangan generasi muda, yang menganggap Sistem Beraja sudah ketinggalan zaman.

47. Tetapi oleh kerana Akta Hasutan dan larangan terhadap mengkritik Raja, Raja tidak mendengar dan tidak percaya kepada penasihat mereka apabila maklumat disampaikan berkenaan kegelisahan rakyat. Raja dan keluarga-keluarga di-Raja nampaknya berpendapat bahawa semua ini adalah ciptaan penasihat-penasihat Raja untuk menakutkan Baginda atau untuk merebut hak Raja.

48. Dalam keadaan ini Raja bukan sahaja akan meneruskan amalan-amalan yang tidak disenangi atau disukai oleh rakyat tetapi juga akan melakukan perkara-perkara yang lebih dibenci oleh rakyat. Jika trend ini tidak disekat, perasaan rakyat terhadap Raja tentu akan meluap dan menjadi begitu buruk sehingga pada suatu masa nanti rakyat mungkin tidak lagi dapat membendung perasaan mereka. Perasaan yang diluahkan dalam surat-surat kepada akhbar sebenarnya sudah lama wujud.

49. Dengan izin Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membaca petikan daripada satu rencana yang dihantarkan kepada akhbar The Straits Times pada tahun 1946 oleh seorang tokoh Melayu yang terkemuka, apabila British mencadangkan penubuhan Malayan Union. Tokoh ini kemudian memegang jawatan yang tinggi dalam Kerajaan. Rencana ini tidak disiarkan oleh akhbar Straits Times tetapi ia disampaikan kepada saya baru- baru ini oleh penulis.

50. Penulis ini menyatakan, dengan izin, `All intelligent Malay leaders ought now seriously to give most profound and careful thought to the question whether the time has not ar- rived when the Malay Royalty (I mean the Sultan and Raja) should gracefully withdraw themselves altogether`.

51. Jika pandangan seperti ini sudah ada pada tahun 1946, apakah ia tidak mungkin wujud semula pada tahun 1993 jika Raja-Raja tidak dihalang daripada melakukan perbuatan- perbuatan yang tidak diingini?

52. Perlindungan dan keistimewaan yang diberi kepada Raja bertujuan meletakkan Raja di tempat yang tinggi dan mulia. Perlindungan dan keistimewaan ini bukanlah untuk membolehkan Raja melakukan apa sahaja termasuk jenayah. Raja yang sedar dan faham akan maksud sebenar peruntukan ini akan sentiasa memelihara daripada mencemar diri dalam perbuatan atau berkelakuan yang tidak baik dan tidak disukai oleh masyarakat. Raja yang sedar akan tahu bahawa perbuatan tidak menghiraukan perasaan dan pandangan masyarakat akan menyebabkan rakyat akhirnya menyingkirkan Raja, bahkan menghapuskan Sistem Beraja. Inilah yang berlaku di negara- negara lain yang sekarang menjadi republik.

53. Di Malaysia lindungan yang diberi amatlah tebal.Kekebalan Raja daripada undang-undang dan larangan terhadap teguran, walaupun hanya oleh ahli-ahli Dewan-Dewan Undangan yang dipertanggungjawabkan untuk mentadbir negara, mengasingkan Raja daripada dunia sebenar. Dalam keadaan ini perbuatan dan tingkah-laku Raja akan menjadi lebih buruk sepanjang masa. Inilah yang berlaku di Malaysia sekarang.

54. Justeru itu, adalah penting Ahli-Ahli Dewan diberi semula hak menegur Raja dalam perbahasan mereka. Tanpa hak ini Ahli-Ahli Dewan tidak akan berjaya mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan tidak akan dapat membuktikan bahawa rakyatlah yang berkuasa dalam sistem ini. Tanpa hak ini, yang berkuasa ialah Raja dan bukan rakyat.

55. Dengan adanya larangan terhadap menegur Raja, Ahli-Ahli Dewan sebenarnya tidak dapat memelihara Institusi Raja dan Sistem Beraja. Justeru itu, kebebasan Ahli-Ahli Dewan berucap dalam Dewan tidak harus disekat oleh Akta Hasutan seperti yang diperuntukan di bawah Artikel 63(4) dan 72(4).Dengan ditambah Artikel 63(5) dan 72(5) Ahli-Ahli Dewan bukan sahaja boleh memelihara kedudukan Raja, tetapi institusi Raja Berperlembagaan akan dilindungi oleh Perlembagaan secara jelas, kerana disebut di dalam Artikel 63(5) dan 72(5) bahawa pengecualian daripada Akta Hasutan tidak termasuk penganjuran `penghapusan kedudukan Berperlembagaan Yang di-Pertuan Agong sebagai Kepala Utama Negara bagi Persekutuan atau kedudukan Berperlembagaan Raja sesuatu negeri`.

Tuan Yang di-Pertua,

56. Perkara yang kedua yang boleh menidakkan penghapusan kekebalan Raja-Raja apabila melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang dalam suatu urusan yang tidak rasmi ialah hak pengampunan Raja seperti yang diperuntukkan dalam Artikel 42. Dengan peruntukan ini, Raja boleh mengampunkan dirinya sendiri jika ia dihukum salah oleh mahkamah setelah kekebalan daripada tindakan undang-undang ditarik balik.Ini bermakna penarikan kekebalan tidak bermakna dan tidak berkesan.

57. Justeru itu, Kerajaan bercadang supaya Perkara 38 dan 42 Perlembagaan Persekutuan dipinda seperti dalam Fasal(2) Perkara 38 dan Fasal(12) Perkara 42. Fasal (2) Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan adalah dipinda – (a) dengan menggantikan koma di hujung perenggan (c) dengan koma bernoktah; dan (b) dengan memasukkan, selepas perenggan (c), perenggan yang berikut: “(d) memberi ampun, reprief dan respit, atau meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman-hukuman, di bawah Fasal (12) Perkara 42,”.Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan adalah dipinda dengan memasukkan, selepas Fasal (11), Fasal-Fasal yang berikut: “(12) Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam Perlembagaan ini, jika kuasa-kuasa yang tersebut dalam Perkara ini – (a) kena dijalankan oleh Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri dan dikehendaki dijalankan berkenaan dengan dirinya atau isterinya, anak lelakinya atau anak perempuannya, kuasa-kuasa itu hendaklah dijalankan oleh Ketua Menteri bagi Negeri itu yang bertindak atas nasihat Lembaga Pengampunan yang ditubuhkan bagi Negeri itu di bawah Perkara ini dan yang hendaklah dipengerusikan olehnya; (b) dikehendaki dijalankan berkenaan dengan Yang di-Pertuan Agong, Raja sesuatu Negeri, atau Konsortnya, mengikut mana-mana yang berkenaan, kuasa-kuasa itu hendaklah dijalankan oleh Majlis Raja-Raja dan peruntukan-peruntukan yang berikut hendaklah terpakai: (i) apabila menghadiri mana-mana prosiding di bawah Fasal ini, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh disertai oleh Perdana Menteri dan Raja-Raja lain tidak boleh disertai oleh Menteri-Menteri Besar mereka; (ii) sebelum membuat keputusannya tentang apa-apa perkara di bawah Fasal ini, Majlis Raja-Raja hendaklah menimbangkan apa-apa pendapat bertulis yang mungkin telah diberikan oleh Peguam Negara tentang perkara itu; (c) dikehendaki dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Raja sesuatu Negeri berkenaan dengan anak lelakinya atau anak perempuannya, mengikut mana-mana yang berkenaan, kuasa- kuasa itu hendaklah dijalankan oleh Raja sesuatu Negeri yang dinamakan oleh Majlis Raja-Raja dan Raja itu hendaklah bertindak mengikut nasihat Lembaga Pengampunan yang relevan yang ditubuhkan di bawah Perkara ini.(13) Bagi maksud perenggan (b) dan (c) Fasal (12), Yang di-Pertuan Agong atau Raja Negeri yang berkenaan, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan Yang di-Pertua- Yang di-Pertua Negeri tidak boleh menjadi anggota Majlis Raja-Raja”.

58. Dengan pindaan ini Raja tidak boleh mendengar rayuan dan mengampun dirinya sendiri. Jika ada Raja atau Konsortnya yang merayu pengampunan, maka Majlis Raja-Raja akan mendengar dan memutuskan kes berkenaan.

59. Raja juga tidak boleh mendengar rayuan dan mengampun anaknya. Majlis Raja-Raja akan melantik seorang Raja lain untuk mendengar dan memutuskan rayuan pengampunan anak Raja.

60. Dengan pemansuhan kekebalan Raja-Raja daripada tindakan undang-undang, kecuali ketika menjalankan tugas rasminya, adalah dipercayai Raja tidak akan melakukan perbuatan- perbuatan yang boleh didakwa di mahkamah. Dengan ini, Raja akan dihormati rakyat.

61. Pemansuhan sekatan yang dikenakan terhadap Ahli-Ahli Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri oleh Akta Hasutan akan mengelakkan Raja-Raja daripada melakukan sebarang perbuatan yang mungkin menarik teguran ahli-ahli dewan-dewan berkenaan.

62. Pemansuhan kuasa mengampun diri sendiri akan menjadikan tindakan undang-undang lebih berkesan.

63. Tujuan sebenar pindaan-pindaan ini bukan kerana Kerajaan ataupun rakyat ingin mengheret Raja-Raja ke mahkamah dengan sewenang-wenangnya. Tujuannya ialah supaya Raja-Raja akan menghindarkan diri daripada melakukan perbuatan yang boleh mengakibatkan tindakan undang-undang.Oleh itu, Raja akan lebih dihormati.

64. Harus diingat bahawa penghormatan rakyat terhadap Raja tidak boleh ditentukan oleh undang-undang. Dengan izin, `Respect must be earned`. Mengadakan undang-undang yang menakutkan rakyat tidak akan membawa `respect`. Dengan kesedaran Raja boleh dihadapkan ke mahkamah, Raja tentu akan mengelak daripada melakukan perbuatan yang akan menyebabkan rakyat tidak menghormati Raja. Dengan itu, Institusi Beraja akan lebih dihormati dan lebih berkekalan.

65. Bagi menguatkan usaha mengekalkan Raja dan Sistem Beraja, sebarang syor atau desakan menghapuskan Sistem
Beraja adalah ditafsirkan sebagai hasutan dan akan didakwa di bawah Akta Hasutan.

Tuan Yang di-Pertua,

66. Saya berasa amat sedih kerana pada hari ini saya terpaksa mengemukakan kepada Dewan yang mulia ini satu Rang Undang-undang untuk meminda Perlembagaan yang sedikit- sebanyak mencemar nama baik Raja dan Institusi Raja. Dengan hati yang berat saya telah mengemukakan dan mengulas pindaan-pindaan yang dicadangkan ini.

67. Kerajaan membuat keputusan untuk meminda Perlembagaan bukannya tanpa sebab. Sebenarnya seperti yang telah saya katakan, Kerajaan telah mengelak daripada membuat pindaan ini semenjak daripada mula kita mencapai kemerdekaan. Kita mengelak kerana ingin menjaga maruah Raja-Raja. Tetapi pendekatan secara ini tidak meredakan keadaan. Sebaliknya keadaan menjadi lebih buruk.

68. Akhirnya dengan berlakunya insiden Raja memukul rakyat dan sebelum ini satu lagi insiden di mana anak Raja juga memukul rakyat, Kerajaan tidak dapat memandang ringan kejadian-kejadian ini tanpa menjejaskan kredibiliti Kerajaan sebagai pemerintah yang bertanggungjawab.

69. Kerajaan terpaksa membuat pendirian tegas untuk melindungi rakyat daripada dianiaya oleh Raja. Sudah tentu pendirian ini tidak dibuat kerana dua insiden ini sahaja.Sebelum ini terdapat banyak insiden di mana Raja menganiaya rakyat, Raja menyalahi undang-undang civil dan criminal, Raja menyalahgunakan wang serta harta Kerajaan dan negara, Raja menekan dan menganiaya pegawai-pegawai.

70. Insiden di Johor hanyalah dengan izin, `the straw that broke the camel`s back`. Reaksi rakyat terhadap insiden- insiden ini jelas menunjukkan bahawa rakyat tidak lagi dapat menerima dan `tolerate` perbuatan seperti ini.

Tuan Yang di-Pertua,

71. Memang ada orang tertentu yang seolah-olah ingin memberi kuasa dan mempertahankan Raja apabila Raja melakukan jenayah. Mereka cuba memesongkan fikiran rakyat dengan menuduh bahawa Kerajaan bercadang menghapuskan Sistem Beraja.

72. Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Barisan Nasional tidak bercadang sama sekali untuk menghapuskan Sistem Beraja. Ini jelas daripada pindaan yang dikemukakan.Sebarang cadangan untuk menghapuskan Sistem Beraja akan ditafsir sebagai hasutan dan Kerajaan akan mengambil tindakan di bawah Akta Hasutan ke atas sesiapa sahaja yang mengesyor atau bertindak untuk menghapuskan Sistem Beraja.

Tuan Yang di-Pertua,

73. Kerajaan sedar bahawa rakyat, khususnya orang Melayu menerima dan menyokong Institusi Raja-Raja Melayu. Tuduhan yang dibuat bahawa Kerajaan bercadang untuk menghapuskan Sistem Beraja adalah kerana kepentingan politik semata-mata.Kerajaan yang mewakili majoriti orang Melayu dan kaum-kaum lain akan mematuhi kehendak rakyat dan tidak akan melakukan sesuatu yang tidak disukai.

74. Oleh kerana jelas majoriti rakyat berbilang kaum di negara ini masih menghendaki Sistem Beraja, khususnya Sistem Raja Berperlembagaan, maka Kerajaan akan menentukan sistem ini dilindungi oleh Perlembagaan.

Tuan Yang di-Pertua,

75. Ada pihak yang berpendapat bahawa Raja Melayu diperlukan untuk melindungi orang Melayu. Peristiwa Perjanjian MacMichael dan Malayan Union jelas membuktikan bahawa yang sanggup dan mampu melindungi orang Melayu ialah orang Melayu sendiri. Jika tidak kerana mereka bangun dan menentang Malayan Union, hari ini orang Melayu akan menjadi pengemis di negeri sendiri.

76. Percubaan pihak yang cuba menakutkan orang Melayu terhadap pindaan ini adalah kerana mereka ingin menggunakan sentimen kaum untuk kepentingan parti mereka. Sejarah mereka tidak boleh meyakinkan kita bahawa mereka ikhlas.Mereka inilah yang telah cuba melemahkan orang Melayu dengan memecahbelahkan UMNO dan mengadakan kerjasama dengan pihak- pihak tertentu yang diragui oleh orang Melayu.

77. Apakah hanya dengan menghalang Raja daripada melakukan jenayah maka Raja akan hilang kedaulatan dan tidak lagi menjadi Raja? Pendapat bahawa Raja hanya boleh menjadi 33 Raja jika ia berhak dan diberi keistimewaan melakukan jenayah adalah bertentangan dengan konsep Raja sebagai punca undang-undang. Di zaman dahulu di Barat, Raja memang mempunyai hak melakukan jenayah. Umpamanya mengikut kepercayaan kepada konsep, dengan izin, `Droit du seigneur` (right of the Lord) atau Hak yang di-Pertuan, Raja berhak bermalam dahulu dengan semua pengantin baru.

78. Tetapi di Barat pun semua hak ini telah dihapuskan.Sebab itu di negara-negara Barat yang mengekalkan Sistem Beraja, tidak ada kekebalan secara khusus bagi Raja. Jika ada pun sebutan bahawa Raja tidak boleh dihadapkan ke mahkamah, ini hanyalah formaliti sahaja. Raja, Kerajaan dan rakyat tahu bahawa jika Raja melakukan jenayah, ia akan dihadapkan ke mahkamah, dan ia akan diturunkan dari takhtanya. Justeru itu, Raja di negara Barat tidak akan dengan sengaja melakukan jenayah.

79. Walaupun jelas Raja-Raja di Barat tidak kebal atau im- mune daripada tindakan undang-undang dan bukan undang- undang, Raja masih tetap juga Raja. Mereka masih dihormati dan disegani.

Tuan Yang di-Pertua,

80. Di zaman British, Raja-Raja Melayu bukan sahaja tidak kebal tetapi juga berada di bawah telunjuk pegawai-pegawai British. Mereka boleh dinaikkan atau diturunkan dari
takhta. Satu daripada ugutan MacMichael supaya Raja menandatangani Perjanjian Malayan Union ialah mereka akan diturunkan dari takhta jika mereka tidak menandatangani Perjanjian tersebut.

81. Dalam keadaan sebegini pun, Raja masih terus menjadi Raja. Rakyat tidak menuntut supaya Raja-Raja disingkir atau Sistem Beraja dihapuskan walaupun Raja-Raja telah menyerahkan negeri-negeri Melayu kepada penjajah. Sayugia diingatkan bahawa pada masa itu Raja-Raja di Indonesia, India dan Pakistan telah ditolak oleh rakyat yang menuntut kemerdekaan. Sebaliknya rakyat Malaysia, terutama orang Melayu dan UMNO, telah berjuang untuk menyelamatkan Raja- Raja dan Sistem Beraja.

82. Dengan tindakan orang Melayu melawan Malayan Union adalah jelas bahawa nasib orang Melayu berada di tangan rakyat Melayu. Keselamatan orang Melayu tidak terjejas dengan Raja Melayu tidak memiliki hak untuk melakukan jenayah. Ada pihak yang berkata dengan penghapusan hak Raja melakukan jenayah, maka orang Melayu tidak akan Melayu lagi atau akan habislah keistimewaan kedudukan orang Melayu. Ini tidaklah benar. Ini adalah fitnah. Yang akan menjamin Melayu terus Melayu dan hak-hak orang Melayu terus terpelihara ialah orang Melayu sendiri. Merekalah melalui wakil-wakil dan Kerajaan yang mereka pilih yang mencipta dan melaksanakan berbagai-bagai rancangan untuk memelihara dan menebus maruah bangsa Melayu.

Tuan Yang di-Pertua,

83. Seorang Raja telah menyoal kenapakah pindaan Perlembagaan ini dikaitkan dengan agama Islam sedangkan Kerajaan ini tidak bersetuju dengan pelaksanaan undang- undang syarak dan hudud. Menurut Baginda, Baginda sedia menerima hukum-hukum Islam tanpa immuniti tetapi tidak sanggup menerima undang-undang negara yang dikatakan bukan undang-undang Islam.

84. Sama ada direstui atau tidak oleh Baginda, kedudukan Raja-Raja Melayu semenjak merdeka ditentukan oleh undang- undang, iaitu Perlembagaan. Undang-undang inilah juga yang memberi keistimewaan-keistimewaan tertentu kepada Raja. Di antara keistimewaan ini ialah immuniti daripada tindakan undang-undang. Jika Raja sanggup menerima immuniti di bawah undang-undang yang bukan undang-undang Islam, kenapakah penghapusan immuniti dalam undang-undang yang sama tidak mahu diterima oleh Raja?

85. Dalam Islam ada dua prinsip yang dipegang kuat berkenaan dengan undang-undang. Yang pertamanya ialah tidak ada perbezaan antara umat Islam daripada segi penguatkuasaan hukum-hukum Islam. Raja dan rakyat adalah sama sahaja.Immuniti bagi Raja adalah bertentangan dengan prinsip ini.Menolak penghapusan immuniti supaya dikekalkan perbezaan antara Raja dan rakyat dalam undang-undang tidak mencerminkan pegangan yang kuat kepada prinsip Islam.

86. Menerima immuniti daripada undang-undang yang dikatakan bukan undang-undang Islam, tetapi menolak penghapusan immuniti ini dalam undang-undang yang sama amatlah bercanggah dengan dakwaan hanya sanggup menerima undang- undang Islam sahaja.

87. Islam memberi banyak kelonggaran. Islam mengambilkira segala faktor dan keadaan yang dihadapi oleh umatnya.Demikian dalam menunaikan ibadat pun keadaan alam sekeliling, kesihatan individu dan keadaan semasa diambilkira. Oleh itu, sembahyang boleh dilakukan tanpa gerak badan tertentu, tanpa menghadapi kiblat, didahulukan, dikemudiankan atau dicantumkan, berjemaah atau berseorangan.Rakyat Palestin yang dihalau keluar oleh Pemerintahan Zionis boleh sembahyang tanpa menanggalkan kasut. Dalam ibadat- ibadat lain kelonggaran juga diberikan. Demikian juga dengan penguatkuasaan hukum hudud. Keadaan alam sekeliling dan masyarakat perlu diambilkira. Sebab itu tidak banyak negara yang majoriti penduduknya terdiri daripada orang Islam yang melaksanakan hukum hudud. Yang melaksanakannya pun tidak melaksanakan dengan sepenuhnya.

88. Kerajaan tidak menolak hukum hudud. Pelaksanaannya mestilah mengambilkira keadaan negara di mana penduduk Islamnya hanya merupakan 56 peratus dan mereka masih daif dalam berbagai-bagai bidang. Pentadbiran yang menolak kelonggaran yang diberikan oleh Islam sebenarnya tidak mematuhi ajaran Islam. Islam tidak menyuruh orang Islam atau Kerajaan Islam melaksanakan hukum Islam secara membuta- tuli sehingga boleh membinasakan diri. Sebab itu Nabi menyuruh pengikutnya pergi ke Habsyah untuk menyelamatkan diri. Sebab itu Nabi berhijrah ke Madinah untuk menyelamatkan Islam dan perjuangan Islam.

89. Jika keadaan mengizinkan, kita akan menguatkuasakan hukum hudud. Tetapi janganlah sementara kita menunggu hukum hudud dilaksanakan, kita melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam. Sebenarnya jenayah yang dilarang dalam undang-undang negara ini adalah juga yang dilarang oleh agama Islam. Apakah Raja berkenaan mahu kebebasan melakukan jenayah ini hanya kerana kita belum boleh melaksanakan hukum hudud yang melarang jenayah yang sama?

90. Prinsip yang kedua ialah tidak ada kekebalan dalam Islam. Semua hukum adalah untuk semua umat. Raja yang mahu dirinya kebal daripada undang-undang sudah tentu menentang prinsip Islam ini.

Tuan Yang di-Pertua,

91. Akhirnya saya ingin menyentuh mengenai masalah menasihati Raja. Seperti yang telah saya sebutkan, Raja dikehendaki menerima nasihat Kerajaan. Di negara-negara lain di mana Sistem Beraja masih wujud walaupun tidak ada peruntukan khusus bahawa Raja bertindak mengikut nasihat
Kerajaan, namun Raja tidak pernah bertindak bertentangan dengan nasihat Kerajaan. Oleh itu, perhubungan di antara Raja dengan Kerajaan yang mewakili rakyat tetap baik. Lebih daripada itu, di negara-negara ini Raja dihormati dan disanjung tinggi oleh masyarakat.

92. Malangnya, di Malaysia walaupun ada peruntukan bahawa Raja harus bertindak mengikut nasihat Kerajaan, tetapi pihak Raja memegang kepada tafsiran nasihat yang diterima umum — iaitu nasihat boleh diterima atau ditolak. Tafsiran ini adalah salah. Dalam pada itu, ada pula perkara tertentu yang Raja menganggap ianya tidak perlu diberi nasihat.Dengan ini banyaklah perkara yang dilakukan yang bertentangan dengan Kerajaan yang mewakili rakyat.

93. Masalah yang dihadapi hari ini berpunca daripada pendapat bahawa Raja boleh membelakangkan Kerajaan rakyat.Tindakan curang yang berlaku adalah kerana nasihat tidak dihiraukan. Tidak adanya persetujuan terhadap pindaan ini juga berpunca daripada keengganan Raja menerima nasihat.

94. Jika ini berterusan, maka Kerajaan Demokrasi Berparlimen tidak dapat wujud sepenuhnya dan sebenarnya.Inilah sebabnya Kerajaan membawa pindaan ini kepada Dewan.Jika proses ini dipertikaikan, maka keputusan boleh dibuat oleh mahkamah. Sebagai Kerajaan yang berpegang teguh kepada, dengan izin `rule of law` kita akan patuh kepada keputusan mahkamah. Di masa yang sama, perkara ini tidak harus dilihat daripada sudut undang-undang sahaja. Ia perlu dilihat daripada sudut politik juga.

95. Di waktu Raja menyerahkan negeri-negeri Melayu kepada British, rakyat mengambil tindakan politik untuk mendapatkan balik negeri-negeri Melayu dan mengekalkan Institusi Raja.Walaupun daripada segi undang-undang rakyat tidak berhak kerana semua perjanjian dibuat antara British dan Raja sahaja, pihak British menghormati tindakan politik rakyat.

96. Saya berharap Raja-Raja Melayu juga akan mengambil iktibar daripada sejarah negara, khususnya sejarah Malayan Union dan menerima kehendak politik negara. Walaupun tanda- tanda menunjukkan bahawa Raja-Raja tidak menerima pindaan ini, saya berharap selepas pindaan ini diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara, Raja-Raja Melayu akan menerima dan meluluskan undang-undang ini.

Tuan Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan.

Negara Mampu Menaikkan Imbuhan Pendidik Seperti Program 100 Hari Pakatan Rakyat

Posted: 23 Dec 2010 01:02 AM PST

Saya kesal dengan kenyataan Menteri Pendidikan baru-baru ini yang memperlekehkan peranan guru sebagai pembina negara. Beliau menyebut bahawa tindakan memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 setiap orang setiap bulan akan menyebabkan Malaysia muflis.

Pakatan Rakyat telah meneliti kesan kewangan dari pelaksanaan ini. Kita mengambil kira bahawa terdapat 537,221 jawatan di dalam perkhidmatan pendidikan termasuklah pengurusan kementerian (24,153), dasar dan pembangunan pendidikan (4,059), operasi pendidikan (498,399) dan pembangunan profesionalisme keguruan (10,610).

Usaha menaiktaraf mutu pendidikan negara bermula dengan reformasi pendidikan dari pihak atas (penggubalan dasar, pembangunan keguruan) sehinggalah ke tahap pengajaran di bilik darjah (keberkesanan pembelajaran dan pengajaran). Oleh itu, Pakatan Rakyat berhasrat untuk memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 kepada semua pegawai dan guru yang bertanggungjawab di dalam sistem pendidikan kita.

Ini akan menelan belanja RM3.2 bilion setahun. Jumlah ini adalah kecil jika dibandingkan dengan pembaziran-pembaziran lain yang kini berleluasa di bawah UMNO/Barisan Nasional.

Kos perbelanjaan semua lawatan Perdana Menteri ke luar negara setakat ini sebanyak RM8.7 juta boleh menanggung imbuhan bagi 1,450 orang guru. Bayaran kepada APCO sebanyak RM77 juta bagi tahun 2009 boleh menampung imbuhan bagi 12,800 orang guru iaitu keseluruhan tenaga kerja yang membangunkan profesionalisme keguruan. Pembaziran UMNO/Barisan Nasional sebanyak RM131 juta bagi menampung perbelanjaan perunding dan kos operasi PEMANDU bagi tahun 2010 boleh membayar imbuhan bagi 21,833 lagi orang guru, iaitu hampir keseluruhan tenaga kerja kementerian.

Ini belum lagi pembaziran-pembaziran mega seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada sektor korporat dan kroni, kos menyelamatkan kroni yang melibatkan Empangan Bakun sebanyak RM6 bilion dan ketirisan akibat rasuah yang dianggarkan mencecah RM28 bilion setiap tahun.

Justeru, persoalan sama ada negara mampu membayar imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 setiap bulan ini tidak timbul. Perkara yang sebenar adalah keikhlasan UMNO/Barisan Nasional untuk mengangkat martabat pendidikan di negara ini.

Hakikatnya, bidang pendidikan tidaklah berada di dalam senarai kepentingan UMNO/Barisan Nasional. Isu kualiti pendidikan telah ditimbulkan sejak sedekad yang lalu, tetapi sehingga kini tidak ada satu langkah konkrit untuk mengiktiraf sumbangan guru di samping memastikan kerjaya perguruan menarik minat calon-calon yang berkualiti tinggi. Langkah Pakatan Rakyat memperkenalkan imbuhan ini adalah langkah pertama ke arah memartabatkan kerjaya perguruan setaraf dengan kerjaya profesional lain seperti jurutera, doktor dan akauntan.

Semalam, akhbar-akhbar melaporkan persetujuan Perdana Menteri untuk menubuhkan satu badan perundingan khas untuk menyelesaikan isu-isu perkhidmatan perguruan. Perkara ini telah disyorkan CUEPACS sejak tahun 2002 lagi – tetapi hanya selepas Pakatan Rakyat membuat cadangan yang konkrit untuk menaikkan martabat perguruan, UMNO/Barisan Nasional memberikan reaksi cemas. Baru sekarang, Perdana Menteri mahu mendengar keluh kesah guru-guru yang bergelumang dengan pelbagai masalah setiap hari.

Ini bukanlah caranya kita merancang kebijakan pendidikan negara. Tanggungjawab menjaga kebajikan guru-guru bukanlah satu reaksi yang hanya ada tindakan apabila Pakatan Rakyat bersuara.

Pakatan Rakyat percaya bahawa tindakan utama yang perlu diambil untuk memulihkan kualiti pendidikan negara adalah dengan menjaga kebajikan guru secara berterusan dan bertanggungjawab. Oleh itu, jumlah RM3.2 bilion setiap tahun bukanlah jumlah yang terlalu besar demi masa depan anak-anak Malaysia.

DATO' SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
23 DISEMBER 2010

===

MALAYSIA CAN AFFORD TO INCREASE TEACHER'S ALLOWANCE

The Education Minister's recent statement that a RM500 special monthly allowance for teachers as proposed by Pakatan Rakyat will cause the country to go bankrupt, is regrettable.

Pakatan Rakyat has studied carefully the financial impact of the proposal. We took into account that there are 537,221 positions in the education services, covering personnel in the management of the ministry (24,153), the development of education policies (4,059), teachers and school operations (493,399) and lastly the development of teacher's professionalism (10,610).

The reform of our education system must involve every level and function in the education service, from the development of policies to the actual learning and teaching process in the classroom. Therefore, Pakatan Rakyat's proposal for the special allowance has included every personnel involved in the education service to ensure a wholesale reform of the education sector.

This will cost the nation RM3.2 billion per annum. This amount is relatively small when compared to the excesses of UMNO/Barisan Nasional in managing the taxpayers' money.

For example, the cost for the Prime Minister's international trips so far (RM8.7 million) could have paid for the special allowance for 1,450 teachers. Payments of RM77 million made to APCO for 2009 can pay for the special allowance for 12,800 teaching personnel, equivalent to the total workforce entrusted to train our teachers. The recently disclosed cost of setting up and running of PEMANDU, involving a sum of RM131 million (including RM66 million paid to consultants) could have paid for the entire personnel managing our education service in the Ministry of Education.

These are examples of small-change excesses. The amount thrown away each year for mega wastages such as the RM19 billion gas subsidies to the cronies, costs for various bail-outs such as the RM6 billion bail-out of Bakun; and the leakages due to corruption and shoddy procurement practices estimated at RM28 billion can well pay for the meagre RM3.2 billion needed for the special allowance.

Therefore, it is not about affordability. It is about political will and UMNO/Barisan Nasional's priority to restore the quality of education in the country.

The painful truth is education was never high in UMNO/Barisan Nasional's list of priorities. The issue of deteriorating quality of education has been discussed for a good one decade, yet there has not been any concrete proposal to acknowledge the teacher's central role in maintaining a quality education. No effort has been made to increase the attractiveness of the teaching profession to lure our best talents. Pakatan Rakyat's special allowance is the first step towards promoting the teaching profession as a career of choice at par with other professions such as doctors, engineers and accountants.

Yesterday, the Prime Minister was reported to have agreed to the setting up of a special consultative body to resolve long outstanding issues plaguing the teaching profession. The request for such a body had been made by CUEPACS since 2002 – but it was acted by UMNO/Barisan Nasional only after Pakatan Rakyat made a clear pledge to implement concrete and practical steps to upgrade the teaching profession. It took UMNO/Barisan Nasional eight, long years before lifting a finger after the issue was brought to the national discourse by Pakatan Rakyat.

A competent government would not have managed the nation's education service in this manner. The responsibility to look after the welfare of the teachers is an inherent function of a government. Thus, it should not wait for a cue from its political opponent before it decides to act for the betterment of the teachers.

Pakatan Rakyat believes that the teacher's welfare is central to the efforts to upgrade the quality of education in Malaysia. Therefore, the RM3.2 billion special allowance proposed will be a good investment for the country's future.

DATO' SERI ANWAR IBRAHIM
LEADER OF OPPOSITION
23 DECEMBER 2010

Pimpinan

Angkatan Muda

Cabang