Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA |
- Ahli perniagaan 'dibelasah' polis mahu tuntut keadilan
- Populariti Najib jatuh selepas kenaikan harga
- Jangan pandang enteng janji Pakatan - Khir Toyo
- Program 100 Hari PR atasi 53 tahun BN
- PAS: Kita sedia kenal siapa SPR
- Forum 'ketuanan Melayu' tetap diteruskan
- Isu APCO : BN Mahu 'Bunuh' Karekter Anwar
- Royalti Minyak 20 Peratus, Janji PR Punyai Asas Kukuh
- Pilihan Raya Kecil DUN Tenang 30 Jan, Penamaan Calon 22 Jan
Ahli perniagaan 'dibelasah' polis mahu tuntut keadilan Posted: 23 Dec 2010 11:09 PM PST KUALA LUMPUR: Tidak cukup dengan duitnya 'dicuri' anggota polis, seorang ahli perniagaan menjadi mangsa sekumpulan polis yang membelasahnya gara-gara kerana tidak mempamerkan cukai jalan yang tamat tempoh di skrin kereta. Chia Buang Hing, peniaga bingkai lukisan, yang memandu kereta jenis Proton Waja milik isterinya pada 18 Disember lalu, mendakwa dipukul 11 anggota polis dan menanggung kerugian lebih dari RM13,000. Mangsa berumur 34 tahun turut mengalami kecederaan fizikal di mata kanannya dipukul ekoran enggan menyerahkan sejumlah wang yang dimilikinya. Mangsa ketika kejadian itu dalam perjalanan ke kedainya di Kota Damansara ditahan sekumpulan anggota polis dalam sekatan jalan di kawasan tersebut. Chia yang menyedari cukai jalan telah tamat tempoh kemudian meminta untuk disaman atas kesalahan itu, namun anggota polis yang menyeluk seluarnya menyedari beliau memiliki wang sejumlah. "Apabila dia nampak kad VIP Kelantan saya, seorang anggota polis berkata, awak ingat Kelantan istana banyak besar,banyak besar. Saya cuba ambil gambar anggota polis dengan telefon bimbit saya dan kemudian dua lagi anggota menumbuk saya secara bertubi-tubi. "Saya digari dan dibawa masuk ke dalam kereta polis sehingga ke balai polis Dataran Sunway. Di balai itu, saya terus dipukul oleh tujuh anggota sehingga muntah darah dan mengalami kecederaan," katanya dalam sidang media di sebuah restoran di Taman Tun Datuk Ismail pagi ini. Mangsa turut ditemani ahli parlimen Segambut, Lim Lip Eng dan peguam Ricky Tan Seng Cheong. "Mau tolak lu mati" Katanya, beliau yakin dapat mengecam 10 daripada 11 anggota polis yang membelasahnya itu. "Saya turut dibawa ke satu tempat yang tidak diketahui dan mendengar perbualan polis yang mahu menolak saya. Saya dengar suara polis kata "mau tolak lu mati", masa itu saya sudah muntah darah dan berbuih di mulut. "Saya dibelasah dari jam 11 malam hingga 3 pagi, 19 Disember itu. Saya yakin dapat mengecam 10 daripada 11 anggota polis itu. Saya juga boleh cam lima orang polis di IPD Petaling Jaya, serta lima lagi yang pukul saya dalam lori polis. Mereka semua memakai uniform ketika kejadian," katanya. Chia pada 19 Disember dibawa ke mahkamah Petaling Jaya dan direman selama empat hari, namun dilepaskan melalui jaminan mulut pada 22 Disember. Sementara itu, Lim yang mewakili mangsa berkata kesal dengan tindakan sekumpulan polis terbabit malah keengganan majistret untuk mengambil aduan Chia. Beliau yang turut menemani mangsa membuat laporan di balai polis Kota Damansara petang semalam, turut menuntut beberapa perkara. "Kami menuntut beberapa perkara antaranya; tidak mahu pihak ibu pejabat Petaling Jaya mengambil kes ini; mangsa mahu membuat kawad cam; pihak majistret perlu disiasat; kereta mangsa dipulangkan semula serta duit yang dicuri itu," katanya. Sumber: Free Malaysia Today |
Populariti Najib jatuh selepas kenaikan harga Posted: 23 Dec 2010 11:00 PM PST Populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merosot kepada 69 peratus - jatuh tiga mata berbanding dengan 72 peratus pada bulan Mei. Tempoh kajiselidik - 30 November hingga 11 Disember - juga termasuk waktu pengumuman pemotongan subsidi kerajaan untuk bahan bakar, gas masak dan gula. Populariti Najib jatuh ke tahap yang sama yang dicatatkan oleh badan kajiselidik bebas, Merdeka Centre, pada bulan Mac tahun ini. Dalam kajiselidik terbaru Merdeka Centre, rating tertinggi datangnya dari responden kaum India, sepertimana yang dicatatkan sepanjang tahun ini. Ia meningkat daripada 80 peratus pada bulan Mei kepada 85 peratus pada Disember, tetapi sokongan kaum India kepada Najib bagaimanapun lebih rendah daripada rekod tertinggi 91 peratus yang dicatatkan pada Mac tahun ini. Bagaimanapun, sokongan orang Melayu kepada Najib merosot (daripada 77 peratus kepada 74 peratus) serta kaum China (daripada 58 peratus kepada 54 peratus). Kajiselidik Merdeka Centre itu membabitkan 1,005 pengundi berdaftar yang dipilih secara rawak berusia 21 tahun ke atas. Ia dijalankan melalui telefon antara 30 November hingga 11 Disember. Populariti Najib itu mengesahkan bahawa beliau masih merupakan aset utama dalam kempen pilihan raya BN. Kadar rating yang diperolehinya ketika mengambil alih teraju pemerintahan ialah 44 peratus, sewaktu ekonomi mengalami kelembapan, di samping terdedah kepada berita-berita buruk. Sumber: Malaysiakini |
Jangan pandang enteng janji Pakatan - Khir Toyo Posted: 23 Dec 2010 10:51 PM PST SHAH ALAM, 24 Dis: Setelah didakwa ekoran pemilikan banglo mewahnya, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo meminta Barisan Nasional agar jangan memandang enteng (mudah) janji Pakatan Rakyat dalam konvensyen mereka baru-baru ini. "Pada hemat saya, Barisan Nasional tidak boleh memandang enteng sebahagian janji Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang yang terkandung dalam Buku Jingga bertajuk, "Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!" "Sungguhpun sebahagian janji tersebut tidak realistik namun terdapat janji-janji yang boleh mempengaruhi rakyat memberi undi kepada mereka terutamanya kenaikan gaji guru sebanyak RM500," tulis Khir dalam blognya. Bagi beliau, kehadiran kira-kira 400,000 guru sekarang ini dan tidak mustahil sebahagian besar mereka akan menilai tawaran tersebut dengan serius. Ini kerana, tulis beliau, kebanyakan guru mempunyai pegangan politik yang agak bebas. Tidak ramai yang membuat keputusan menyokong mana-mana parti politik sejak awal lagi, katanya. Khir juga berpandangan, kenaikan kos sara hidup yang kian menjadi-jadi sejak wujudnya makmal rasionalisasi subsidi boleh menjadikan sebahagian besar rakyat menerima sahaja apa yang ditawarkan oleh Pakatan biar pun mereka mungkin tidak mampu melaksanakan sepenuhnya. Beliau juga percaya jentera kerajaan terutamanya Menteri "jaga makmal" boleh memberi penjelasan yang logik, rasional dan sangat akademik kepada rakyat bagi menjustifikasikan kenaikan harga barang, petrol dan pengenaan pelbagai cukai termasuk kemungkinan pelaksanaan GST. Beliau juga juga percaya kerajaan mempunyai kebolehan untuk menjelaskan mengapa Menteri "jaga letrik" mengumumkan kerajaan bersetuju kenaikan tarif letrik tapi masa belum sesuai. Tentulah kerajaan juga mampu menjelaskan mengapa Tenaga Nasional Berhad bercakap soal kekurangan untung (bukan rugi) jika tarif tidak dinaikkan seolah-olah TNB ini berniaga menggunakan duit sendiri bukannya duit rakyat, sindir beliau. Menurut sebahagian rakyat termasuk guru-guru yang menjadi sasaran kempen Pakatan sekarang, "sekurang-kurangnya ada harapan dengan Pakatan berbanding Barisan Nasional yang asyik bercakap soal mengurangkan subsidi dan menaikkan tarif yang sekaligus menambah perbelanjaan dan hutang mereka." tulis Khir lagi. "Jadi, ketika kita boleh menjelaskan untung rugi, logik dan rasional setiap tindakan namun yang jarang ditanya apakah keputusan dan penjelasan kerajaan mampu meyakinkan rakyat yang akhirnya akan diterjemahkan ke dalam peti undi dengan memberi undi kepada Barisan Nasional?" soal beliau. Sungguhpun, tulis Khir, BN boleh mendakwa banyak janji Pakatan di Selangor belum tertunai "namun saya percaya ia akan mula dilaksanakan menjelang pilihan raya akan datang bagi menggula-gulakan pengundi." Beliau juga menulis, tidak mustahil pada tahun hadapan kerajaan negeri Selangor akan mengurangkan cukai pintu premis kediaman sebanyak 20% dan cukai pintu premis perniagaan sebanyak 10% seperti yang dijanjikan dalam manifesto mereka sebelum ini. "Ini akan memberi "pukulan hebat" kepada Barisan Nasional," katanya. Bagi beliau, masalah Barisan Nasional (BN) lebih besar daripada Pakatan Rakyat (PR). BN sebagai pemerintah tidak boleh berjanji sebaliknya perlu melaksanakan kerana ia memegang tampuk pemerintahan, katanya. Pandangan Khir ini disokong oleh para pembaca blog beliau itu melalui komen-komen mereka. Mereka sangat marah dengan tindakan kerajaan meluluskan akta Pengangkutan Jalan baru-baru yang bakal menyaksikan kutipan saman JPJ akan diswastakan. "Saya sendiri walaupun adalah ahli dan penyokong tegar UMNO-BN namun tidak teragak-agak untuk tidak keluar mengundi dalam PRU-13 bersama-sama dengan ahli keluarga dan saudara-mara saya kerana kecewa dengan kerajaan BN," tulis salah seorang pelawat laman beliau itu. Menurutnya, Perdana Menteri sentiasa menyeru agar pemimpin BN merasai denyut nadi rakyat. "Tetapi bagi saya itu hanyalah retorik kerana pemimpin BN tidak merasa apa yg dirasa oleh rakyat bawahan. Mereka hidup mewah tanpa merasa risau untuk berbelanja kerana mempunyai wang yang banyak tidak seperti kami rakyat bawahan," tulis tetamu beliau itu. Seorang lagi tetamu beliau mennulis, "Saya pun heran dengan sesetengah menteri kerajaan ni. Mereka ni macam tak sensitif dengan kehidupan, derita dan denyut nadi rakyat. Contoh yg terbaru ialah Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010. "Menteri Pengangkutan Jalan dari MCA ni gagal untuk memberi justifikasi kewajaran penswastaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES). "Tengah rakyat dok pening kepala & menangis dengan segala kos hidup yang tinggi, tiba-tiba dilihat Kerajaan cuba buat keuntungan dengan penswastaan saman," tulis beliau. Sumber: Harakah Daily |
Program 100 Hari PR atasi 53 tahun BN Posted: 23 Dec 2010 10:48 PM PST ALOR SETAR, 24 Dis: Pengarah Pilihanraya Pemuda PAS Pusat, Mohd Firdaus Jaafar menyifatkan reaksi mengelabah para pemimpin Barisan Nasional (BN) terhadap janji pakatan rakyat sekiranya memerintah, khususnya Program 100 Hari kerana ia akan mengatasi pencapaian BN selama 53 tahun mentadbir negara. Kata beliau, apa yang terkandung dalam 'Buku Jingga' PR adalah sesuatu yang diluar jangkauan BN sendiri, sebaliknya bagi PR ia adalah satu aspirasi yang akan menjadi realiti sekiranya berjaya menjadi pemerintah. "Setelah 53 tahun memerintah BN tidak mampu untuk memberi apa yang tercatat dalam Program 100 Hari PR tersebut," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Jerai. "Misalnya, pemberian imbuhan khas pendidikan kepada para guru dan pegawai pendidikan tidak dilakukan oleh BN. Tapi PR akan lakukan, ini sudah mencabar dasar yang selama ini BN amalkan. "Malah imbuhan ini juga akan menelan belanja sebanyak RM3.2 bilion setahun. Ia lebih baik daripada menyalahgunakankan wang dengan penyelewengan, korupsi dan pembaziran melalui projek tidak berfaedah seperti diamalkan pemerintah ketika ini," kata beliau mengulas serangan bertali arus pemimpin BN terhadap janji PR melalui saluran media. Sebelum ini PR mengeluarkan Buku Jingga yang mengariskan rancangan jangka pendek dan jangka panjang mentadbir negara sekiranya diberi peluang mengambil alih pemerintahan dalam pilihan raya akan datang. Buku Jingga yang merupakan dasar bersama dipersetujui parti-parti dalam PR itu dikeluarkan melalui Konvensyen Ke-2 PR di Pulau Pinang pada 19 Disember lalu. Antara yang menjadi perhatian, Buku Jingga itu turut mengariskan sepuluh perkara yang akan dilakukan oleh PR dalam tempoh 100 hari pertama memerintah, iaitu :
Mengulas lanjut, Firdaus berkata perancangan PR yang merangkumi pendidikan, ekonomi, pengurusan negara, merombak struktur subsidi dan menitiberatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat itu bukan satu pembohongan sepert dakwaan pemimpin BN. "Kenapa BN mesti takut dengan cadangan PR sekiranya mereka benar-benar yakin bahawa rakyat sememangnya menyokong kepimpinan mereka. Apa yang jelas mereka gentar kerana Program 100 Hari tersebut mencabar kewibawaan dan kredibilit mereka," ujarnnya. Sumber: Harakah Daily |
PAS: Kita sedia kenal siapa SPR Posted: 23 Dec 2010 10:46 PM PST KUALA LUMPUR, 24 Dis: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 22 dan 30 Januari depan iaitu hari cuti sebagai tarikh penamaan dan pengundian bagi PRK Dun Tenang, jelas memperlihatkan sikap 'double standard' suruhanjaya itu. Menurut Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa, SPR dilihat tidak konsisten apabila pada PRK Galas 4 November lalu, pengundian dibuat pada hari bukan cuti umum sehingga memaksa kerajaan negeri Kelantan pada waktu itu mengumumkan tarikh itu sebagai cuti peristiwa. Katanya, apabila berdepan PRK di kerusi yang dikuasai Pakatan Rakyat, SPR dilihat cenderung mengadakan proses penamaan dan pengundian pada hari bekerja, sedangkan apabila di kerusi BN, tindakan sebaliknya dilakukan SPR. "Kita dapat melihat dengan jelas perbezaan ini dan ini bukannya pelik dalam negara kita ini. "Kita kenal siapa SPR ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Bachok. SPR hari ini mengumumkan tarikh PRK Dun Tenang, Johor pada 30 Januari tahun depan manakala penamaan calon pula pada 22 Januari. Walaupun berdepan situasi itu, Nasharuddin mahu jentera PAS berkerja bersungguh-sungguh bagi memenangkan calon PAS yang akan bertanding kelak. Kepada jentera yang sudah mula menjalankan tugas, beliau mahu semua tenaga kerja yang ada dimobilisasi pada tahap terbaik berdepan Umno BN. "Bagi kita cuti ke tak cuti ke, kita tetap masuk dengan niat untuk menang dengan memberi tentangan sehebat mungkin kepada lawan kita, BN," katanya lagi. Beliau juga optimis PAS berpotensi menang apabila pada pilihan raya umum lalu mereka dapat mengurangkan majoriti kepada 2,492 undi berbanding sebelumnya. "Kejayaan mengurangkan majoriti pada PRU lalu akan menjadi perangsang kepada PAS untuk menambah satu lagi kerusi di Johor nanti," katanya. Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan PAS akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan isu PRK Tenang termasuk soal pemilihan calon. Sumber: Harakah Daily |
Forum 'ketuanan Melayu' tetap diteruskan Posted: 23 Dec 2010 10:42 PM PST KUALA LUMPUR, 24 Dis: Biarpun bertembung dengan perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2010 antara Malaysia dengan Indonesia, forum 'Polemik Ketuanan Melayu' anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) tetap akan diteruskan. Ketua Penerangan DPPP, Suhaizan Kaiat berkata, forum yang dijadual berlangsung jam 9 malam, 26 Disember ini tidak boleh dibatalkan memandangkan segala persiapan telah dibuat dan memasuki fasa terakhir. Ianya termasuk tempahan tempat, peniaga gerai, tetamu undangan dan panel forum yang kesemuanya sudah mengesahkan kehadiran. "Kita akui berdepan risiko jumlah kehadiran kerana bertembung dengan perlawanan akhir bola sepak antara Malaysia dan Indonesia. "Tapi kita tetap kan teruskan kerana segala persiapan kita telah buat dan kita yakin ramai juga akan hadir untuk mendengar isu ini," katanya yang juga moderator forum berkenaan. Forum yang akan diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Kajang, Kajang, Selangor itu akan mebariskan Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Naib Ketua DPPP Ahmad Sabky Yusof, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Bin Abdul Karim dan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu & Bumiputra (MPM), Dr Hasan Mad. "Kita memang tidak boleh tangguh lagi kerana akan datang ni kita akan sibuk untuk persiapan Pilihan Raya Kecil Tenang pula," katanya lagi. Forum tersebut diadakan bertujuan untuk memberi ruang kepada NGO dan parti politik merungkai masalah yang berlaku sekaligus mencari formula bagaimana polemik ketuanan Melayu boleh diselesaikan. Namun begitu, forum tersebut bertembung dengan perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2010 antara Malaysia dengan Indonesia yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil dan akan disiarkan secara langsung melalui melalui televisyen. Ianya sekaligus mengheret penganjur berdepan risiko kehadiran dan mampu menjejaskan matlamat penganjuran. Malaysia melayakkan diri ke perlawanan akhir selepas menewaskan Vietnam dengan agregat 2-0. Pertandingan akhir pusingan kedua akan berlangsung di Jakarta pada Rabu depan. Sumber: Harakah Daily |
Isu APCO : BN Mahu 'Bunuh' Karekter Anwar Posted: 23 Dec 2010 10:40 PM PST KUALA LUMPUR 24 DIS : Tindakan pentadbiran Najib Razak mendedahkan dua dokumen semata-mata mahu memastikan bukti tersebut "membunuh" karakter Anwar Ibrahim sebagai tokoh politik negara. Menurut Anwar, tindakan Umno-Barisan Nasional (BN), yang disifatkannya sebagai "hipokrasi" mereka, telah dirancang untuk mendedahkan dua dokumen itu supaya dapat dimainkan oleh media negara ini. "Tindakan Umno-BN mendedahkan dua dokumen tidak lebih daripada usaha agar media memainkan isu itu bagi memastikan tiada penelitian 'bukti' itu yang ia dakwa milik. "Sesiapa yang sudah biasa dengan Umno-BN dalam merancang kempen mencemarkan nama baik sering melibatkan pengeluaran 'bukti-bukti palsu', yang secara semula jadi akan jadi percubaan terakhir oleh media. "Akhirnya, persoalan dasar kembali semula kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kenapa beliau mengelak?" kata beliau dalam satu kenyataan awal pagi ini. Laporan itu menyebut, APCO Worldwide mempunyai seorang pegawai dalam pejabat Najib sejak dari awal pentadbirannya dan pakar-pakar perhubungan awam dari Amerika Syarikat juga turut membantu Najib merancang strategi 100 hari - ia termasuk konsep 1 Malaysia dan juga platform utama dalam pentadbiran Najib selaku Perdana Menteri. "Jika ini benar, Perdana Menteri kemudiannya perlu bersedia untuk menjelaskan isu utama yang lain - sikap tidak bertanggungjawab dalam menggunakan wang cukai rakyat untuk mengupah sebuah syarikat untuk partinya, terutama dengan seorang yang dipersoalkan 'track rekod' yang menggadai keselamatan negara," kata Anwar yang minggu lalu digantung selama enam bulan apabila mendakwa APCO Worldwide, yang berperanan dalam kempen gagasan 1 Malaysia, turut dikaitkan dengan One Israel. Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mendedahkan dua dokumen bagi membuktikan Anwar berbohong apabila mendakwa APCO Worldwide berperanan dalam kempen gagasan 1 Malaysia, yang turut dikaitkan dengan One Israel. Dokumen pertama ialah surat daripada APCO yang membawa kepada penggantungan Anwar dari Parlimen selama enam bulan manakala dokumen kedua pula kenyataan notari berkanun oleh Robert Shrum, konsultan politik, yang membantu menggubal konsep One Israel. Kedua-dua dokumen itu menafikan APCO ada hubungan dengan kempen One Israel Tel Aviv yang diperkenalkan 11 tahun yang lalu. Surat APCO menyebut bahawa firma konsultan perhubungan awam itu dilantik oleh pentadbiran Najib untuk menyediakan sokongan komunikasi sahaja dan tiada apa-apa kaitan dengan soal kempen. Malah katanya, APCO hanya menyediakan khidmat kepada kerajaan Israel dua kali iaitu kali pertama untuk menguruskan persidangan perdagangan dua hari di Washington, DC pada 1987 dan sekali lagi pada 1992 apabila ia mengendalikan kerja-kerja perhubungan awam untuk memperkukuhkan perdagangan antara Amerika Syarikat dan Israel. Selain Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), Azmin Ali (PKR-Gombak) dan R. Sivarasa (PKR-Subang) turut digantung selama enam bulan daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat. Dalam kenyataan hari ini, Anwar juga berkata terdapat banyak aspek yang secara jelas mengesahkan penglibatan APCO Worldwide dalam pentadbiran negara termasuk dalam menyekat hak asasi manusia dan ruang demokrasi yang ada. "YB Tian Chua (Ahli Parlimen Batu) telah menulis dengan terperinci menerusi dua artikel iaitu 'APCO: Askar Upahan Yang Kami Percaya' dan 'APCO dan Najib: Di bawah Pengaruh PR'. Kedua-kedua artikel ini menunjukkan kerjasama APCO dan rejim-rejim yang dianggap boleh memberikan kesan terhadap demokrasi dan kepentingan awam. "Maka, isu ini tidak timbul dengan persoalan yang mudah melalui gagasan 1 Malaysia. Ia disebabkan sikap tidak bertanggungjawab kerajaan dalam menguruskan perbelanjaan wang rakyat (bayar RM77 juta setahun untuk kos perkhidmatan) untuk mendapatkan khidmtan sebuah syarikat perunding imej. "Lebih penting, sikap kurang tanggungjawab Perdana Menteri ini seolah-olah tidak mempedulikan risiko keselamatan yang bakal diterima kemudian," kata beliau yang juga Penasihat PKR. Ketua Umum Pakatan Rakyat itu juga mendakwa Umno-BN sudah merancang sejak dari awal untuk menggantung Ahli Parlimen Pakatan Rakyat. "Malangnya, Umno-BN tidak pernah bersedia untuk berhadapan dua isu kritikal ini. Ia dilihat bertindak untuk 'membunuh' sejak dari awal lagi yang mana kemuncaknya adalah penggantungan empat ahli Dewan Rakyat baru-baru ini. Ia bertindak di luar norma biasa dan etika termasuk proses biasa membenarkan mana-mana tertuduh membentangkan atau berhujah sebelum keputusan dibuat. "Faktanya saya tidak dibenarkan untuk membentangkan bukti-bukti kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang menjelaskan Perdana Menteri akan mengelak daripada bercakap soal isu-isu dasar kebertanggungjawaban dan kecuaian dalam mendapatkan khidmat APCO. "Akhirnya, Umno-BN buat kali pertama dalam sejarah Dewan Rakyat apabila merancang penggantungan kami tanpa membenarkan kami membuat penjelasan berhubung surat penafian daripad APCO," katanya. Sumber: TVSNEWS |
Royalti Minyak 20 Peratus, Janji PR Punyai Asas Kukuh Posted: 23 Dec 2010 10:38 PM PST KUALA LUMPUR 24 DIS : Janji Pakatan Rakyat untuk memberikan royalti petroleum 20 peratus kepada negeri-negeri yang mengeluarkan minyak di tanah air bukanlah kosong, sebaliknya ia mempunyai asas-asas kukuh yang boleh dipegang teguh oleh segenap lapisan masyarakat. Para pemimpin Pakatan Rakyat bukan sahaja terdiri daripada mereka yang amanah, tetapi juga cerdik, bertanggungjawab, sentiasa ingat kepada janji-janjinya kepada rakyat, sejajar dengan dasar parti yang sememangnya ingin melakukan kebajikan kepada orang ramai. Lapor portal Harakah Daily Online , Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Ustaz Abdul Ghani Shamsudin berkata, lebih jauh dari itu, di dalam Pakatan juga sudah terdapat seorang pemimpin yang sudah berpengalaman sebagai bekas Menteri Kewangan, iaitu Ketua Umum PKR sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sememangnya boleh dijadikan rujukan oleh para pemimpin Pakatan Rakyat lain dalam pelbagai aspek, termasuk perkara-perkara berkaitan kewangan atau ekonomi. Menurut beliau, oleh itu, sekiranya janji itu keluar dari mulut Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, ia tentunya boleh dipegang kerana ia dibuat setelah diadakan perbincangan mendalam dan persetujuan daripada kesemua kepimpinan Pakatan Rakyat termasuk Dr Seri Anwar sendiri. "Tambahan pula, Ustaz Nasharudin sendiri bukanlah sembarangan orang. Beliau seorang peguam, terpelajar, amanah dan bertanggungjawab. Sebelum mengeluarkan janji seperti itu, beliau sendiri sudah tahu kesannya termasuk dari segi undang-undang. Jadi, janjinya tentulah berasas. "Selain itu, rakyat sendiri boleh menilainya dengan lebih jauh. Ia dibuat setelah dipertimbangkan oleh para pemimpin Pakatan Rakyat dari segenap segi, termasuk dari segi kemampuan kewangan negara dan potensi hasil petroleum itu sendiri," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas janji yang dibuat oleh Ustaz Nasharudin ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-2 di Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang, 19 Disember lalu. Di dalam ucapannya itu, Ustaz Nasharudin menyebut, sekiranya berjaya memerintah negara nanti, Kerajaan Pakatan Rakyat akan memberikan royalti petroleum sebanyak 20 peratus kepada kerajaan negeri terbabit bagi membasmi kemiskinan. "Perjuangan kita bukan untuk negeri Kelantan sahaja yang sedang kita perintah, perjuangan kita bukan untuk negeri Terengganu sahaja yang kita perintah, tetapi perjuangan kita untuk menjamin royalti 20 peratus petroleum kepada kerajaan negeri ini termasuk Sabah dan Sarawak yang bakal kita perintah," katanya. Sebelum itu, beliau turut menyentuh mengenai isu percukaian dengan menegaskan Kerajaan Pakatan Rakyat turut berjanji akan memulangkan semula sebahagian kutipan cukai daripada setiap negeri kepada negeri-negeri terbabit berdasarkan pengagihan yang adil. Bajet-bajet negeri, katanya, hanya pada kadar 10 peratus daripada Kerajaan Persekutuan, tetapi hasilan daripada pendapatan cukai negeri-negeri yang diberikan semula kepada negeri-negeri dalam bentuk geran Persekutuan tidak lebih 5 peratus. Menurut beliau, sekiranya diberikan mandat memerintah, Pakatan Rakyat turut bercadang untuk mengubah status Dewan Negara yang kini hanya disifatkan sebagai dewan 'rubber stamp' sahaja kepada Dewan Rakyat kepada dewan yang turut berfungsi sebagai dewan yang turut mendengar suara rakyat seperti juga Dewan Rakyat. Sehubungan itu, peruntukan bagi jumlah senator akan turut ditambah kepada jumlah yang munasabah dengan perlantikan senator daripada kerajaan negeri melebihi lantikan Kerajaan Pusat, berbanding kini sebanyak 26 orang daripada kerajaan negeri dan 44 orang daripada Kerajaan Pusat. Beliau turut menyebut program setelah 100 hari pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat yang akan dapat dilihat hasilnya oleh seluruh rakyat negara ini iaitu: Mewujudkan persefahaman dari segi gerak kerja politik antara negeri-negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat, melaksanakan kerjasama ekonomi antara negeri-negeri Pakatan Rakyat, mengubah fungsi perlembagaan yang melibatkan wilayah-wilayah (negeri-negeri) dengan setiap wilayah akan mempunyai kuasa autonominya yang tersendiri yang tidak akan diceroboh oleh Kerajaan Persekutuan. Selain itu, Kerajaan Pakatan Rakyat akan turut melaksanakan formula geran pembangunan dan bersamaan berasaskan jumlah penduduk, kadar kemiskinan, kos pelajaran, kos pembangunan modal insan dan indeks pendapatan kasar perkapita bagi memastikan negeri-negeri miskin tidak ketinggalan. Kerajaan Pakatan Rakyat juga akan turut mengagihkan kuasa pentadbiran ekonomi dan perlaksanaan kerja prasarana kepada kerajaan negeri. Contohnya, hak rundingan saksama dalam menentukan rangka bentuk dan jaringan pengangkutan awam. Terdahulu dari itu, beliau turut menyuarakan kekesalannya berhubung tindakan-tindakan Barisan Nasional yang jelas melanggar sistem federalisme dengan melakukan pelbagai penyelewengan termasuk di Parlimen, pengagihan peruntukan ekonomi kepada rakyat dan penafian hak rakyat terutama kepada para pemimpin dan penyokong PAS, PKR dan DAP. Beliau memberikan jaminan sekiranya Pakatan Rakyat diberikan peluang memerintah negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, semua itu tidak akan berlaku, malah akan terus diperbaiki bagi membolehkan semua rakyat menerima hak masing-masing seperti yang telah diperuntukkan menerusi peruntukan undang-undang. Mengulas perkara itu dengan lebih jauh, Ustaz Abdul Ghani berkata, Kerajaan Pakatan Rakyat bukanlah kerajaan yang boros seperti BN. Semua itu boleh dilihat oleh orang ramai menerusi sikap para pemimpin kerajaan-kerajaan negeri yang berada di bawah Pakatan Rakyat sekarang termasuk Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang yang begitu bijak menguruskan wang rakyat. "Sekiranya para pemimpin Umno atau BN mengatakan kita hanya sekadar membuat janji kosong, mereka sendiri perlulah sedar perkara itu. Yang membuat janji kosong bukannya para pemimpin Pakatan Rakyat, tetapi para pemimpin Umno atau BN sendiri. "Pembohongan para pemimpin Umno atau BN antara lain boleh dirujuk kepada slogan 1Malaysia yang diperkatakan oleh mereka dengan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', tetapi yang didahulukan dan diutamakan oleh mereka bukannya rakyat, sebaliknya mereka sendiri," katanya. Perkara itu antara lain boleh dirujuk kepada sikap para pemimpin Umno atau BN dalam isu air di Selangor. Ketika Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sedang berusaha untuk terus memberikan air percuma kepada rakyat, mereka pula yang mengganggunya sehingga memaksa Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri turut berdemo bersama rakyat bagi membela dan menjaga kepentingan rakyat. "Jadi, rakyat jangan sekali-kali terpengaruh dengan permainan politik kotor para pemimpin Umno BN itu. Kalau nak tahu kami boleh tunaikan janji atau tidak, berilah peluang kepada Pakatan Rakyat memerintah negara ini dalam PRU Ke-13 nanti. Insya Allah semua janji pasti akan ditunaikan oleh kami," tegasnya. Sumber: TVSNEWS |
Pilihan Raya Kecil DUN Tenang 30 Jan, Penamaan Calon 22 Jan Posted: 23 Dec 2010 10:37 PM PST PUTRAJAYA 24 Dis - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor pada 22 Jan depan dan jika ada pertandingan, pengundian diadakan pada 30 Jan. |
You are subscribed to email updates from Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan