Suara Sri Andalas |
Rundingan Pengambilan Air Dilakukan Secara Profesional Posted: 21 Dec 2010 12:00 AM PST SHAH ALAM 21 Dis - Rundingan baru bagi pengambilalihan bekalan air antara Kerajaan Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) akan dilakukan dengan penuh profesional, telus dan beretika walaupun Syabas menfailkan saman RM471 juta terhadap Kerajaan Negeri. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Kerajaan Negeri akan melakukan yang terbaik untuk mempertahankan diri terhadap tuntutan Syabas berikutan keengganan kerajaan negeri membenarkan tarif air dinaikkan, tetapi Kerajaan Negeri tidak akan membiar kes ini mempengaruhi rundingan yang akan dijalankan. "Kami sentiasa profesional, telus dan kami akan terus bersikap begini dalam rundingan yang dijalankan," kata Menteri Besar. Namun, beliau kurang yakin Syabas mampu mengambil pendirian yang sama berikutan keengganan syarikat itu mematuhi arahan kerajaan negeri yang tidak membenarkan tarif air dinaikkan sebelum rundingan penstrukturan semula diselesaikan. Kerajaan Selangor ketika ini sedang menyiapkan dokumen-dokumen tawaran kepada pemegang konsesi air iaitu Syabas, Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, Abass dan SPLASH bagi mengambil alih industri air. Rundingan air fasa baru ini bermula selepas Kerajaan Persekutuan memberi 'lampu hijau' kepada kerajaan negeri untuk mengadakan rundingan secara terus dengan syarikat konsesi. Dalam isu berkaitan, Besar Menteri mengutuk Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui berikutan kenyataannya mengkritik tindakan kerajaan Selangor mahu menarik lesen Syabas kerana menubuhkan Tabung Budi yang menggunakan dana air percuma milik kerajaan Selangor untuk membiayai hutang-hutang pelanggan Syabas. "Kami berharap dapat menyelesaikan rundingan ini tetapi kita tidak boleh menutup mata terhadap kesalahan yang dilakukan Syabas. Jika Syabas takut tindakan kami terhadap Tabung Budi boleh mempengaruhi perundingan pengambilalihan air, bagaimana pula dengan tindakan Syabas menfailkan saman terhadap Kerajaan Selangor," kata Menteri Besar. Exco Selangor, Teresa Kok yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kempen Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat pula berkata, kenyataan Menteri itu menunjukkan Kerajaan Persekutuan berat sebelah dan lebih memihak kepada syarikat konsesi air. "Beliau seperti hanya mahu mencari kesalahan Kerajaan Selangor tetapi menutup mata bagi setiap kesalahan syarikat konsesi yang sudah terbukti gagal memberi khidmat kepada rakyat," katanya. Kok berkata, beliau amat berharap rakyat tidak mudah terpedaya dengan taktik Syabas yang menjadikan diri mereka seolah-olah 'korban' dalam isu air ini. "Yang menjadi korban dalam isu ini adalah rakyat. Syabas dan Puncak Niaga diberikan layanan permaidani merah oleh kerajaan Barisan Nasional ketika mengambil alih pengurusan air dari Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS). Apabila syarikat ini gagal menaikkan tarif air sehingga 37 peratus, mereka menyaman Kerajaan Selangor. "Rakyat sepatutnya tidak memberi muka atau bertolak ansur terhadap Syabas yang sombong, angkuh dan gagal menjalankan tanggungjawab terhadap rakyat," katanya. |
Selangor Terus Unggul Sebagai Destinasi Pelaburan Utama Posted: 20 Dec 2010 12:00 AM PST Prestasi pelaburan Negeri Selangor bagi bulan Januari hingga September 2010 sangat baik dan memberangsangkan dengan jumlah pelaburan yang telah diluluskan adalah sebanyak RM6,533,240,380 bilion (RM6.533 billion). Sebanyak RM2,757,574,800 bilion (RM2.757 billion) atau 42 peratus merupakan pelaburan tempatan manakala 58 peratus atau RM3,775,665,580 bilion (RM3.775 billion) adalah pelaburan asing. Jumlah pelaburan ini melibatkan sebanyak 245 projek yang telah diluluskan dan mewujudkan 16,966 peluang pekerjaan. Sebanyak 38% atau 154 projek ini adalah projek baru dengan nilai pelaburan melebihi RM2.519 bilion. Manakala, 91 buah projek atau 62% merupakan projek pembesaran dan pelbagaian dengan nilai pelaburan melebihi RM4.013 bilion. Dengan jumlah pelaburan ini, Selangor mendahului negeri lain di Malaysia dan telah menyumbang sebanyak 31% jumlah keseluruhan pelaburan negara diikuti Johor dan Pulau Pinang. Pelabur Jepun penyumbang terbesar dengan pelaburan melebihi RM1.884 bilion diikuti Cayman Islands dengan RM531.6 juta dan Singapura melebihi RM393.664 juta. Bagaimanapun, dari segi bilangan projek, Singapura mencatatkan jumlah tertinggi dengan 19 projek. Jumlah pelaburan sepanjang tempoh Januari hingga September 2010 ini melebihi nilai pelaburan yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2009. Pada 2009, Negeri selangor berjaya memperoleh 138 projek dengan pelaburan RM2.718 bilion dan menyediakan 11,059 peluang pekerjaan. Peningkatan jumlah pelaburan ini membuktikan keyakinan pelaburan terhadap Negeri Selangor sebagai destinasi pelaburan yang utama di Malaysia. Kerajaan Negeri akan terus mengambil langkah pro-aktif dengan meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan-kawasan perindustrian sedia ada. Anak syarikat Kerajaan Negeri, SSIC Berhad (Selangor State Investment Centre) juga sering mengadakan pertemuan-pertemuan dengan para pelabur bagi berbincang secara terus berhubung isu dan masalah yang dihadapi oleh para pelabur untuk diselesaikan segera. Kerajaan Negeri akan terus mempergiatkan lagi usaha mempromosi selangor sebagai negeri perindustrian dan pelaburan dalam memastikan sektor ini terus berkembang dan menjadi penyumbang utama kepada pencapaian ekonomi negeri seterusnya berjaya mencapai prestasi pelaburan yang disasarkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor |
You are subscribed to email updates from Suara Sri Andalas To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan