Khamis, 16 Disember 2010

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Denggi : Dua Kematian dicatat dari 5 Hingga 11 Disember

Posted: 16 Dec 2010 12:00 AM PST

KUALA LUMPUR, 16 Disember – Sejumlah 498 kes demam denggi dengan dua kematian dilaporkan dalam tempoh 5 hingga 11 Disember, menurun sebanyak 102 kes berbanding minggu sebelumnya.

Dua kematian yang dilaporkan dalam tempoh itu membabitkan seorang wanita berusia 41 tahun yang bekerja sebagai Pembantu Tadbir yang meninggal dunia di Hospital Putrajaya dan seorang suri rumah berusia 29 tahun di sebuah hospital kerajaan di Kuantan.

"Jumlah kes mingguan yang dilaporkan itu adalah jumlah kes mingguan yang terendah pernah dilaporkan tahun ini," kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata bagaimanapun enam negeri mencatat peningkatan kes pada minggu lepas berbanding minggu sebelumnya iaitu Johor meningkat sembilan kes, Kedah dan Pulau Pinang (masing-masing empat kes) dan Negeri Sembilan, Terengganu dan Labuan (masing-masing meningkat satu kes).

Mohd Ismail berkata jumlah terkumpul kes dari bulan Januari hingga 11 Disember ialah 44,641 kes, meningkat sebanyak 15 peratus atau 5,660 kes berbanding 38,981 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun lepas.

"Kes kematian akibat denggi juga meningkat sebanyak 59 peratus atau 49 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 132 kematian berbanding 83 dalam tempoh yang sama tahun lepas," katanya.

Beliau berkata terdapat sejumlah 123 lokaliti wabak denggi dipantau di seluruh negara dan daripada jumlah itu, 11 lokaliti panas dikenalpasti minggu lepas yang melibatkan 138 kes demam denggi.

"Empat atau 36 peratus daripada 11 lokaliti panas ini masih mempunyai kadar pembiakan Aedes yang tinggi," katanya.

Bagi penyakit Chikungunya, terdapat satu kes dilaporkan dalam tempoh 5 hingga 11 Dis dan jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak lima kes berbanding enam kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama minggu sebelumnya.

Dr Mohd Ismail berkata setakat ini jumlah kes terkumpul Chikungunya adalah sebanyak 804 kes, turun sebanyak 85 peratus atau 4,429 kes berbanding 5,233 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.



Sumber: Bernama

Demokrasi Hitam 2.0: Dua ditahan Polis

Posted: 15 Dec 2010 10:10 PM PST

Sekumpulan  penyokong Demokrasi Hitam 2.0 berhimpun di hadapan bangunan parlimen sejak pagi tadi sebagai tanda bantahan terhadap penggantungan beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat. Mereka yang sepatutnya berarak bagi menghantar memorandum aduan kepada Suhakam dari bangunan Parlimen ke pejabat Suhakam di Jalan Raja Laut sejurus tengahari ini, bagaimanapun dihalang oleh polis.

Akibatnya, berlaku kejadian tolak-menolak antara mereka dengan kira-kira 50 anggota polis yang sejak pagi tadi mengawal kawasan sekitar parlimen itu.

Akibatnya dua orang penyokong Demokrasi Hitam 2.0 ditahan polis dan Yusmadi Yussof (PKR-Balik Pulau) pula kelihatan sedang berbincang dengan polis.

Mereka yang ditangkap polis itu dikenali sebagai Lee Khai Loon, anggota exco AMK dan G Pravin  ketua penerangan PKR, Padang Serai, yang juga anak kepada ahli parlimen Padang Serai, G Gobalakrishnan.


Kedua-dua pemimpin AMK itu kemudiannya dibawa ke ibupejabat polis Dang Wangi kira-kira jam 2 petang tadi. Mereka dibebaskan pada jam 6 petang tadi, dan diarah melaporkan diri semula di ibupejabat polis Dang Wangi 30 Disember depan.

Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata polis telah memberi amaran kepada kumpulan itu supaya bersurai kerana mereka berarak tanpa permit tetapi mereka enggan menyebabkan daripada mereka ditahan.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata polis telah memberi amaran kepada kumpulan itu supaya bersurai dan hanya membenarkan dua atau tiga orang sahaja untuk ke Suhakam tanpa mengganggu lalu lintas.
 
Perhimpunan hari ini adalah bagi membantah tindakan Dewan Rakyat menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama enam bulan kerana membuat kenyataan mengaitkan konsep 1Malaysia dengan kempen One Israel.


Usul itu diluluskan tanpa bahas selepas berlaku kekecohan, pagi tadi.

Sejak awal pagi tadi, kira-kira 40 anggota polis mula berkawal di sekitar perkarangan bangunan Parlimen. Jumlah itu kemudian meningkat kepada kira-kira 50 orang apabila keputusan menggantung Anwar dibuat.




Reformasi dan Takbir

Anwar selepas digantung kelihatan keluar dan bersalaman dengan penyokongnya itu. Laungan 'Reformasi' dan 'Takbir' bergema sekitar kawasan parlimen seketika.
 
Turut bersama Anwar adalah N Gobalakrishan (PKR-Padang Serai) dan Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin.




Selepas perbincangan, polis membenarkan hanya tiga orang, termasuk Shamsul dan Yusmadi untuk meneruskan hasrat mereka menyerahkan memorandum kepada Suhakam.

Kira-kira jam 1.55 petang keadaan menjadi tenang setelah penyokong beredar perlahan-lahan dan polis pun bersurai.

Di Suhakam, Yusmadi yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR membuat tiga aduan lisan kepada pesuruhjaya Suhakam James Nayagam.
 
Antaranya, beliau mendakwa "pelanggaran hak kebebasan bersuara" ke atas Anwar sehingga menyebabkan ketua umum PKR itu digantung enam bulan.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim ada hak untuk mempertahankan dirinya dari segi hak asasi dan undang-undang. Tetapi beliau dinafikan hak (iaitu) tidak diberi peluang untuk mempertahankan dirinya dalam jawatankuasa (Hak dan Kebebasan) itu.

'Kenapa beliau tidak diberi peluang untuk memberi penjelasan... Ini adalah kesalahan serius dalam sistem demokrasi di Malaysia," katanya dalam aduan lisan.

Turut bersama mengiringi beliau ke pejabat Suhakam ialah Shamsul Iskandar, timbalannya Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, ahli MPP Fariz Musa dan beberapa orang exco AMK Pusat.




Ditolak dan diserang

Dalam aduan itu juga, Yusmadi turut meminta Suhakam menyiasat dakwaan beliau "ditolak dan diserang" oleh polis sewaktu "berjalan secara aman" ke pejabat Suhakam.
 
"Kami nak berjalan secara aman ke Suhakam, sudah kena tahan, kena serang... Itu hak kami. Saya memohon Suhakam untuk meyiasat perkara ini.







"Kita akan menyambut tahun baru, kami tidak mahu bermula tahun baru dengan black democracy," katanya sambil menambah agar Suhakam menyiasat berhubung penahanan dua rakannya itu.

James sewaktu memberi reaksi selepas mendengar aduan tersebut memberi jaminan untuk menyiasat berhubung ketiga-tiga aduan yang dibangkitkan oleh Yusmadi.

"Kami menerima komplen dan akan menyiasat dan membuat pendengaran yang adil," kata James kepada pemberita.
 
Shamsul pula dalam pertemuan setengah jam itu, berkata tindakan polis melanggar hak asasi manusia dengan mengenakan tindakan kekasaran fizikal kepada orang awam.

"Tahan itu tidak mengapa. Tapi mereka digari, dipijak dan dipukul. Itu pada saya satu pendekatan yang tidak boleh diterima akal. Ada saksi mereka dipukul dan dipijak oleh pihak polis di hadapan parlimen," katanya.



Sumber: Malaysiakini

Dewan Rakyat: Kecoh di Dalam, Tegang di Luar

Posted: 15 Dec 2010 10:00 PM PST

Dewan Rakyat hari ini terus kecoh sebelum usul bagi menggantung empat ahli parlimen Pakatan Rakyat termasuk ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diluluskan.
 
Tan Sri Pandikar Amin Mulia terus bertikam lidah dengan ketua umum PKR itu menuntut hak untuk membela diri berhubung dakwaannya yang mengaitkan gagasan 1Malaysia dengan firma perhubungan awam Apco Worldwide.

Pandikar berkata Anwar telah diberikan seminggu untuk menjawab dakwaan berkenaan dan kenyataannya itu mencetuskan kemarahan daripada ahli parlimen pembangkang.

Ahli parlimen Gombak Azmin Ali terus bangkit dan menafikan bahawa Anwar diberi peluang membela dirinya.

Hari ini adalah hari terakhir sidang parlimen sesi ini dan 11 rang undang-undang yang sepatutnya dibahaskan telah tunda pada sidang baru yang dijadualkan pada Mac depan.

Di luar bangunan Dewan Rakyat, terdapat anggota polis yang luar biasa ramainya serta sekurang-kurangnya lima kereta peronda mengawal keadaan.

Dianggarkan kira-kira 40 anggota polis berada di sepanjang jalan menuju pintu pagar parlimen.

Sekatan polis juga dibuat kira-kira 20 meter daripada pintu masuk parlimen.






KRONOLOGI

11.43am: Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar berkata perarakan akan diadakan dari bangunan Parlimen ke ibu pejabat Suhakam, yang terletak kira-kira dua kilometer.

Namun, kira-kira 40 anggota polis berada dalam keadaan bersiap-sedia.

11.33am: Hujan renyai di luar bangunan Parlimen.

11.32am:
Perbahasan mengenai usul kedua dimulakan oleh Abdul Rahman Dahlan (Umno-Kota Belud).

Beliau menuduh ketiga-tiga ahli parlimen itu membuat interpretasi Peraturan Dewan mengikut agenda politik mereka.

11.30am: Nazri mengusulkan usul kedua untuk menggantung tiga lagi ahli parlimen - R Sivarasa (PKR-Subang), Azmin Ali (PKR-Gombak) and Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor).

11.29am: Ahli parlimen pembangkang melaungkan "Bohong, Bohong!" Anwar meninggalkan Dewan dan diikuti oleh semua ahli parlimen pembangkang.

11.25am: Pandikar memutuskan untuk menguatkuaskan Peraturan 44. Beliau mengarahkan setiausaha dewan untuk membekalkan setiap nama ahli parlimen yang mengengkarinya supaya mereka juga boleh dihgantung.

11.28am:
Pandikar mengugut untuk mengadakan undian tanpa perbahasan. Azmin Ali (PKR-Gombak) menuntut untuk tahu peraturan mana yang akan digunakan oleh speaker untuk mengadakan undian tanpa perbahasan.

Pandikar kemudian memutuskan undian dijalankan tanpa perbahasan. Usul menggantung Anwar diluluskan dengan suara majoriti.
 
11.20am: Pandikar mengarahkan Khairy supaya meneruskan perbahasan mengenai usul berkenaan tetapi laungan "Apco-Umno" terus menenggelamkan suaranya.

Sepanduk sekali lagi dinaikkan dan ada ahli parlimen yang menjerit "mentaliti buruk".

11.17am: Sivarasa (PKR-Subang) mendesak speaker Pandikar supaya "undur diri" kerana percanggahan kepentingan dalam isu berkenaan.

Beliau disokong oleh M Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) yang juga berkeras mahu Pandikar mengundurkan diri dan mempersoalkan sama ada tindakan speaker itu kerana "kepentingan lain".

11.08am: Pandikar mempersilakan Khairy Jamaluddin (Umno-Rembau) untuk memulakan perbahasan. Namun suaranya juga tenggelam. Ahli parlimen pembangkang menaikkan sepanduk dengan tertera perkara "kangarroo", "BN Sokong Apco", "Apco", "Selamatkan Dewan, Hidup Ketua Pembangkang."

11.04am:
Nazri mohon supaya Anwar digantung dari Dewan Rakyat. Namun suaranya timbul tenggelam akibat kekecohan dengan laungan "Apco-Umno" semakin lantang. Nazri berkata Anwar telah memperdayakan Dewan Rakyat berhubung isu Apco.

11:00am:
Pemimpin parlimen BN, Dartuk Seri Mohd Nazri Aziz membentangkan usul untuk menggantung Anwar di sebalik protes daripada ahli parlimen Pakatan Rakyat yang terus menjerit "Apco, Apco". Ini memaksa Nazri menghampiri pembesar suara dan meninggikan suaranya namun terus ditenggelami oleh jeritan ahli parlimen pembangkang.

10.55am: Bantahan daripada pembangkang berterusan, Pandikar mencadangkan mereka membuat usul jika tidak berpuas hati dengan keputusan dan interprestasinya berhubung Peraturan Dewan.

Azmin terus bangkit lagi dan berkata, "Tetapi awak tidak mahu terima usul kami!"

Ahli parlimen Pakatan Rakyat yang lain kemudian menjerit "Apco-Umno" berulang-kali dan menaikkan sepanduk untuk menunjukkan rasa tidak puas hati mereka.



Sumber: Malaysiakini

Tiada ulasan: