Rabu, 1 Disember 2010

Suara Anak Muda : Angkatan Muda Keadilan Cabang Pendang.

Suara Anak Muda : Angkatan Muda Keadilan Cabang Pendang.


Kenapa Umno takut bukan Islam dekati al-Quran?

Posted: 01 Dec 2010 06:40 AM PST

KUALA LUMPUR: Sepatutnya pemimpin bukan Islam diberikan galakan supaya mereka bertambah minat untuk membaca dan merujuk kepada Al-Quran dalam apa juga permasalahan manusia.

Ketua Penerangan PAS Melaka, Sofi Wahab berpandangan demikian sebagai mengulas sejak akhir-akhir ini ramai di kalangan pemimpin bukan Islam berminat untuk merujuk al-Quran dan menggunakan terjemahan al-Quran dalam ucapan mereka.

Namun begitu, katanya pemimpin Umno begitu takut apabila pemimpin bukan Islam mula berjinak-jinak dengan al-Quran.

Tambahnya, bermacam alasan diberikan, takut salah tafsir, menghina al-Quran, mencemarkan kesucian al-Quran dan sebagainya.

Baginya, jika orang bukan Islam melakukan kesalahan, mereka bukannya dihalang dari merujuk kepada al-Quran tetapi kesalahan itu diperbetulkan.

Umno lempar berbagai tuduhan

Malangnya, tambah beliau pemimpin Umno bukannya menggalakkan mereka mendekati al-Quran malah terus melemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah kepada pemimpin yang membaca terjemahan al-Quran.

"Perangai buruk pemimpin Umno inilah sebenarnya yang menyebabkan orang bukan Islam terus menjauhi Islam dan memusuhi Islam kerana mereka dihalang dari mendekati Islam," ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya, lihat sahaja contoh MCA dan MIC walaupun sudah berkawan dengan Umno lebih dari 50 tahun tetapi sehingga kini mereka tidak berminat kepada Islam kerana puncanya Umno sendiri pun meminggirkan Islam.

"Saya pun tidak faham mengapa Umno begitu takut apabila pemimpin bukan Islam menggunakan terjemahan al-Quran dalam ucapan mereka," katanya.

Beliau berpendapat, mungkin Umno terasa tercabar kerana orang bukan Islam merujuk al-Quran tetapi Umno meminggirkan al-Quran atau Umno takut orang bukan Islam faham Islam dan seterusnya menyokong PAS dan Pakatan Rakyat.

Berjinak-jinak dengan Islam

"Sebagai seorang Islam kita sepatutnya gembira dan bersyukur apabila orang bukan Islam mula berjinak-jinak dengan Islam dan menjadikan al-Quran sebagai salah satu rujukan mereka.

"Apa yang penting kita membetulkan mereka jika berlaku kesilapan dan kesalahan," ujarnya.

Katanya, ulama mesti memberi penerangan kepada seluruh rakyat tentang pengunaan ayat-ayat al-Quran oleh orang bukan Islam supaya semua orang Islam tahu bahawa bukanlah menjadi kesalahan untuk orang bukan Islam membaca dan merujuk terjemahan al-Quran dalam ucapan dan kehidupan seharian mereka.

Justeru, beliau mengharapkan selepas ini semua pemimpin dan penganut Islam terus memberikan sokongan padu kepada orang bukan Islam merujuk kepada Al-Quran dalam apa juga permasalahan manusia.

Isu itu tercetus semula apabila Adun Hutan Melintang, Perak, S. Kesavan dilaporkan membacakan terjemahan al-Quran merujuk kepada ayat yang lain daripada apa yang sepatutnya.

Bagi Sofi, adalah bukan suatu perkara yang pelik jika Umno tidak suka pemimpin bukan Islam menggunakan ayat al-Quran kerana Umno sendiri selalu meminggirkan al-Quran dalam tindakan seharian mereka.

Dalam isu menghalalkan judi dan riba, judi bola, mendedahkan aurat, meminggirkan hukum hakam Islam dan sebagainya jelas Umno membelakangkan al-Quran, katanya

Tiada ulasan: