Isnin, 20 Disember 2010

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Perjuangan Peneroka Felda Diambang Kemenangan

Posted: 20 Dec 2010 12:50 AM PST

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa peneroka-peneroka Felda sedang berhadapan dengan kemenangan didalam perjuangan mereka.
Isu-isu substantif yang dihadapi oleh peneroka-peneroka Felda adalah:
(a) pengembalian Dana Tanam Semula
(b) Perahahan KPG (sawit) dan KGK (getah)
(c) pengeluaran geran tanah
(d) hak untuk didengar melalui perundingan
Setelah 10 orang peneroka Felda dari Sg Koyan, Lipis memenangi kes tuntutan supaya dana tanam semula mereka dikembalikan di Mahkamah Tinggi Kuantan, dan Felda tidak lagi berupaya untuk merayu ke Mahkamah-Mahkamah yang lebih tinggi, isu tuntutan untuk pengembalian wang dana tanam semula menjadi lebih senang untuk diperolehi.
Setelah kejayaan Peneroka-Peneroka Felda didalam kes di Mahkamah Tinggi Kuantan itu, pihak Felda mula berlembut untuk membayar kembali dana tanam semula kepada peneroka-peneroka yang berhak itu.
Jika Felda enggan membayar kembali dana tanam semula itu, ini bukanlah kerana Felda enggan menerima hakikat bahawa Felda wajib mengembalikan dana itu kepada peneroka, kerana mereka tahu bahawa wang dari dana tanam semula itu bukanlah hak Felda untuk disimpan, tetapi keengganan Felda mengembalikan wang itu hanyalah kerana Felda sudah kekeringan wang untuk dibayar. Walaupun Felda enggan mengaku bahawa ia kekurangan wang, tetapi tidak ada sebab lain untuk diberikan untuk menjadi alasan yang lebih munasabah melainkan Felda sudah kekeringan wang.
Kemenangan peneroka-peneroka Felda Kemahang 3 di Kelantan menuntut perahan KPG yang mana Felda kena membayar RM11 juta adalah kemuncak kepada keegoan Felda untuk menafikan peneroka-peneroka kepada perahan KPG yang lebih adil.
Walaupun Felda menyatakan bahawa pihaknya kalah dalam kes itu kerana kegagalan peguamnya menghadiri Mahkamah, alasan itu sukar diterima kerana Perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah bukanlah berbentuk "in default of attendance" bahkan Mahkamah memberikan alasan yang konkrit seperti "Felda didapati menipu Peneroka-Peneroka Felda", dan kes itu pula dirayu dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Rayuan dan dari Mahkamah Rayuan ke Mahkamah Persekutuan dan semakan di Mahkamah Persekutuan yang melibatkan peguam-peguam daripada pihak Felda.
Keangkuhan Felda tidak lagi dapat disuruk apabila Felda tiba-tiba cuba berunding dengan Peneroka-Peneroka yang mahu mengambil tindakan saman terhadap Felda diatas isu perahan KPG yang selama ini Felda memberikan peratusan perahan yang kecil.
Di sesetengah Rancangan Felda kini dengan tiba-tiba Felda menaikkan peratusan perahan KPG kepada 21-22% dari 17-19%. Kenaikan itu adalah mendadak dan tak semena-mena. Kenaikan itu juga boleh diterjemahkan dalam bentuk wang sehingga RM2000.00 satu bulan. Itulah jumlah yang Peneroka-Peneroka Felda telah tertipu sejak 15 hingga 20 tahun yang lampau.
Peneroka-peneroka menerima dengan hati terbuka akan kenaikan peratusan perahan itu, namun, persoalannya adakah Felda mahu mengambil kira jumlah pampasan yang telah tertipu keatas peneroka sejumlah RM30000 hingga RM50000 sejak 15-20 tahun yang lampau?
Melalui rundingan mungkin peneroka-peneroka boleh bertolak ansur akan jumlah tuntutan ganti rugi tersebut, tetapi jika Felda memikirkan bahawa peneroka-peneroka akan hanya memaafkan Felda diatas penipuan peratusan perahan KPG sejak 15-20 tahun yang lampau, Felda sudah melakukan kesilapan yang besar.
Berkaitan dengan penghantaran buah sawit ke kilang-kilang Felda, peneroka-peneroka juga telah dinapikan pendapatan dari buah-buah sawit yang dikatakan tandan muda, mengkal dan panjang. Sudahlah peneroka-peneroka didenda diatas tandan-tandan yang dicampak keluar dari lori dan tidak ditimbang itu, peneroka-peneroka tidak dibenarkan membawa pulang tandan-tandan itu, bahkan tandan-tandan itu pula dimasukkan sekali untuk diperah, dan kemanakah perginya pendapatan daripada tandan-tandan itu.
Dengan perkiraan yang konserbatif, kerugian peneroka-peneroka hasil dari penipuan ini, adalah lebih kurang RM80,000 dalam tempoh 15-20 tahun yang lampau. Adakah Felda fikir bahawa penipuan ini akan dibiarkan begitu sahaja oleh peneroka-peneroka?
Isu yang sepatutnya sudah diselesaikan sejak penghujung tahun 80-an dulu adalah tentang pengeluaran geran tanah (ladang) kepada peneroka-peneroka. Mengikut Perjanjian, Felda kena syorkan kepada Kerajaan Negeri untuk dikeluarkan geran tanah kepada setiap orang peneroka yang telah berjaya membayar BK (hutang) kepada Felda. Tetapi malangnya, di sesetengah Rancangan Felda, geran masih tidak dikeluarkan walaupun peneroka-peneroka sudah menjelaskan BK lebih dari 14 tahun.
Di serata Rancangan Felda kini dimana peneroka-peneroka sudah menjelaskan CAC dan BK, Felda sengaja melambat-lambatkan pengeluaran geran sehingga ladang-ladang itu sudah tiba masa untuk ditanam semula.
Dengan Felda melambat-lambatkan pengeluaran geran ini digunakan sebagai alasan kepada Felda untuk mengambil alih proses tanam semula daripada peneroka-peneroka dan sejajar dengan itu peneroka-peneroka dikenakan kos tanam semula yang tinggi dan dikenakan hutang baru yang tidak munasabah. Adalah menjadi lazim bahawa peneroka-peneroka Felda yang menanam semula melalui Felda akan menanggung hutang dengan jumlah yang sangat tidak munasabah sehingga melepasi RM60000 hingga RM100000.
Felda juga mengambil peluang diatas kelewatan mengeluarkan geran itu untuk "memaksa" peneroka-peneroka menandatangani suatu Perjanjian Tambahan agar peneroka-peneroka itu menyerahkan urusan tanam semula kepada Felda dimana Felda akan memperolehi untung dengan mengenakan kos yang tinggi dan hutang yang tidak munasabah.
Melalui sistem ini, peneroka-peneroka akan terus berhutang dengan Felda dengan hutang yang tinggi dan tidak akan berjaya membebaskan diri daripada hutang hinggalah mereka meninggal dunia dan peneroka-peneroka itu akan mewariskan hutang yang besar kepada waris-warisnya yang tinggal.
Keangkuhan Felda juga melibatkan keengganannya untuk berunding terus dengan peneroka-peneroka untuk kepentingan bersama agar keadaan menang-menang dapat dipertahankan.
Apabila Felda menjemput para peneroka untuk berunding, Felda akan menunjukkan sikap bongkaknya dengan menyatakan bahawa peneroka-peneroka tidak mahu bersyukur. Mereka akan menyebutkan betapa kedudukan dhaif peneroka-peneroka semasa menyertai rancangan Felda, dan sentiasa dibangkitkan bahawa kehidupan peneroka-peneroka tidak akan mencapai tahap yang baik jika tidak kerana rancangan Felda sehingga Felda terlupa bahawa pengorbanan peneroka-peneroka Felda mengatasi pengorbanan mana-mana insan di Malaysia kerana apa juga yang diadakan didalam Rancangan Felda dikenakan bayaran kepada peneroka-peneroka Felda.
Peneroka-peneroka Felda menyertai Rancangan Felda dengan dikenakan hutang, dan tidak pernah mendapat hak istimewa untuk Orang Melayu dengan pemberian yang percuma. Melalui keringat peneroka-peneroka, Felda merupakan penyumbang kedua keatas ekonomi Negara selepas Petronas. Sebelum adanya Petronas, Feldalah menjadi penyumbang utama.
Berpuluh tahun peneroka-peneroka menunggu belas-ikhsan daripada Felda supaya kepentingan peneroka-peneroka dapat dirundingkan didalam keadaan yang tidak menekan peneroka-peneroka agar kedua-dua pihak memperolehi keuntungan.
Felda menjadi gergasi ekonomi, tetapi kedudukan peneroka-peneroka hanyalah sekadar menerima RM1500.00 sebulan secara kasar.
10 ekar ladang (sawit) yang dijayakan oleh peneroka-peneroka Felda tidak mendatangkan apa-apa pendapatan kepada mereka. Yang mereka dapat adalah elaun sara hidup sebanyak RM1500.00 sebulan dan elaun sara hidup itu dikira hutang.
Persoalannya, berapakah jumlah keuntungan yang dikaut oleh Felda daripada keringat peneroka-peneroka sehingga peneroka-peneroka tidak memperolehi walaupun satu sen daripada kebun (sawit) mereka dan yang mereka dapat lagi adalah hutang hingga mencecah melebihi RM60,000.00 hingga RM100,000.00.
Kini, peneroka-peneroka mahu rundingkan semula pendapatan dan hutang mereka. 10 ekar yang mereka miliki boleh memberikan pendapatan antara RM5000.00 hingga RM7000.00 sebulan, dan jika elaun sara hidup mereka hanya diberikan RM1500.00 ini bererti setiap bulan ada lebihan yang disimpan oleh Felda sebanyak RM3500.00 hingga RM5500.00.
Dengan lebihan itu, peneroka-peneroka ingin rundingkan berapakah sebenarnya kos tanam semula yang dikenakan oleh Felda. Tidakkah jumlah RM3500.00 hingga RM5500.00 itu lebih dari mencukupi untuk membayarkan kos tanam semula? Jika sudah mencukupi kenapa pula pula peneroka-peneroka terpaksa menanggung hutang hingga melebihi RM60,000.00? Kemana perginya wang lebihan itu?
Sikap Felda yang ingin berlembut dan membuang sikap egonya selama ini adalah dialu-alukan, tetapi sekadar berlembut begitu sahaja tidak mendatangkan apa-apa keuntungan kepada peneroka-peneroka.
Peneroka-peneroka mengingatkan Felda bahawa mereka bukan mahu menuntut apa yang berhak kepada Felda, mereka hanya mahu menuntut apa yang hak kepada mereka.
Dan jika tuntutan adil ini tidak dapat diberikan melalui rundingan, maka peneroka-peneroka juga sanggup untuk menyelesaikan melalui Mahkamah. Tetapi tuntutan di Mahkamah itu adalah tindakan yang terakhir!

Tiada ulasan: