Sabtu, 11 Disember 2010

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah

The Spirit of Lubok Kawah/Semangat Lubok Kawah


Sungguh ke mahu ke Putrajaya?

Posted: 11 Dec 2010 08:17 PM PST

Saya yakin bahawa PKR kini sudah kuat untuk mencabar BN untuk menduduki Putrajaya, tapi belum cukup kuat untuk menjayakan hajatnya itu.
Jangan kita melihat keluar, mari kital melihat kedalam. Mari kita melihat kepada kekuatan kita, jangan kita melihat kepada kelemahan BN.
Saya ingin ambil satu contoh. Mari kita lihat kekuatan kita, kata di kawasan Parlimen Temerloh.
Saya ambil Parlimen Temerloh sebagai contoh kerana di kawasan Parlimen itu PKR hanya kalah kecil sahaja lebihkurang 2000 undi.
Sebenarnya kekalahan PKR dengan 2000 undi itu sudah menampakkan kekuatan yang amat sangat.
Ambil dari segi keahlian PKR di Temerloh. Berapa jumlahnya? Tak sampai 2000 anggota. Dan dari 2000 ahli itu, berapa ramaikah yang boleh digembeling untuk kerja parti? Ada 20 orang?
Mari kita lihat pula berapakah ranting PKR di Temerloh. Ada 5 buah ranting? Dan dari 5 buah ranting itu berapakah yang berfungsi?
Berapa kalikah mesyuarat ranting-ranting diadakan sejak Pilihanraya yang lampau? Sekali? Dua kali? Atau tak ada langsung?
Pimpinan PKR di Temerloh itu adakahg mewakili mana-mana Ranting? Atau tidak mewakili sebarang ranting?
Ambil dari segi aktiviti dan program parti. Berapa kalikah dalam satu bulan aktiviti/program parti dijalankan? Ada? Atau tidak ada? Kalau ada, berapa ramaikah melibatkan orang ramai lebih khusus orang-orang yang tidak berparti. Program apakah yang dijalankan? Gotong royong? Kursus-kursus? Perjumpaan orang ramai? Program ceramah? Berapa kali sebulan program ceramah diadakan? Berapakah kehadiran ceramah itu? Sebelum sebarang program itu, adakah dibuat kerja-kerja mengeluarkan orang ramai terlibat dengan program kita? Gerak kerja rumah ke rumah? Poster-poster?
Program turun padang pimpinan Cabang. Berapa kali dibuat dalam seminggu, berapa buah kampong kah yang dilibatkan? Bagaimana sokongan dari orang ramai?
Apakah usaha-usaha yang dibuat untuk memperkokoh parti selepas PRU-12 dulu? Bagaimana dengan pertambahan keanggotaan, bertambah dengan sedikit, atau laju atau hebat?
Adakah Jawatankuasa mengambil inisiatif menggerakkan parti, atau sekadar menjadi anggota Jawatankuasa sahaja?
Saya tidak mempersoalkan Cabang Temerloh, tetapi hanya sekadar menjadikan sebagai satu contoh sahaja, dan kalau di Temerloh berlaku dengan jawapan-jawapan negatif kepada persoalan-persoalan diatas maka begitu jugalah dengan Cabang-Cabang lain di seluruh Malaysia.
Ada tak anggota kita yang marah apabila membaca tulisan ini? Jangan marah. Ini adalah kebenaran. Kalau kita mahu menang, buatlah kerja, buatlah kerja, buatlah kerja. Aktiflah, aktiflah, aktiflah. Gerakkan parti, gerakkan parti, gerakkan parti. Turun padang, turun padang, turun padang. Buat kerja massa, buat kerja massa, buat kerja massa. Ceramah saja tak cukup, ceramah saja tak cukup, ceramah saja tak cukup. Tubuh ranting, tubuh ranting, tubuh ranting. Gerakkan biro-biro dalam parti, gerakkan biro-biro dalam parti, gerakkan biro-biro dalam parti, dan kaji laporan gerakan biro, kaji gerakan biro, kaji gerakan biro dalam mesyuarat Cabang minima sebulan sekali dan perbaiki lagi kerja-kerja biro.
Tengok ada berapa kampong dalam kawasan Parlimen, tubuhkan ranting disetiap kampong, pekan dan bandar di kawasan Parlimen. Hidupkan ranting, gerakkan ranting, dan pantau gerakan ranting dan semua laporan ranting hendaklah dibentang didalam mesyuarat cabang, dan perbaiki dimana yang patut.
Jawatankuasa Pilihanraya sudah ditubuhkan atau belum? Lantik Pengarah, Timbalan Pengarah, dan Pengarah bagi setiap cabang kerja seperti bilik-bilik gerakan, petugas-petugas di peringkat Cabang dan petugas-petugas diperingkat Bilik Gerakan, petugas-petugas untuk bekalan makanan, petugas-petugas untuk poster, petugas-petugas untuk kerja-kerja remeh seperti rumah ke rumah, dan petugas-petugas mengenai kenderaan, petugas-petugas PACA, petugas-petugas untuk ceramah.
Bagi sesuatu kawasan Parlimen, sila kaji berapa ada kawasan dan aliran mengundi. Setiap aliran itu perlu paling minima 4 orang petugas bergilir, kalau sesuatu tempat itu ada 4 saluran mengundi, maka sediakan 16 orang petugas PACA, maka berapa ramaikah yang diperlukan untu Parlimen? Sediakan dari sekarang dengan lengkapkan mereka dengan ilmu-ilmu dan untuk itu kursus-kursus Pilihanraya kena diadakan mulai sekarang?
Calon? Sudah siapkah penyenaraian calon? Jangan hanya fikir bahawa Ketua Cabang sahaja yang layak bertanding. Kadang-kadang tak sama pilihan dalam parti dengan pilihan dikalangan rakyat. Maka senaraikan ramai bakal-bakal calon untuk dihantar ke Negeri dan Pusat agar dapat dibuat pilihan oleh Negeri/Pusat.
Bagaimana pula dengan kewangan untuk terjun didalam Pilihanraya? Sudah ada, belum ada atau takkan ada? Pilihanraya memerlukan wang, maka tanpa wang calon kita akan ketinggalan.
Ini adalah diantara perkara yang mesti dilakukan dan perkara yang mesti disempurnakan.
Janganlah PKR menyertai pilihanraya atas kelemahan parti lawan apatah lagi jika parti lawan kita itu mempunyai elemen-elemen positif kepada setiap perkara yang disebutkan diatas.
Kita menyertai Pilihanraya untuk menang, dan untuk menang kita kena 100% bersedia, ini bukan tenun nasib, ini adalah perjuangan dan perjuangan memerlukan persediaan.
Ok, sungguh ke mahu ke Putrajaya? Lakukan apa yang patut dilakukan, dan jika tidak dilakukan persoalan samada mahu ke Putrajaya itu hanyalah satu angan-angan disiang hari.

Isu di rancangan Felda menjadi semakin pelik!

Posted: 11 Dec 2010 12:04 AM PST

Jam 3.30 petang semalam saya telah menemui 23 orang peneroka-peneroka Felda Raja Alias 2, Jempol, Negeri Sembilan.
Mereka telah menerima Injunction oleh sebuah Syarikat menghalang mereka daripada menebang dan mengeluarkan kayu getah dari ladang-ladang mereka didalam Rancangan itu.
23 orang peneroka ini adalah golongan yang tidak mahu menyerahkan ladang masing-masing dijayakan dengan tanam semula oleh Felda, mereka berhajat untuk melakukan sendiri kerana tidak lagi mahu berhutang dengan Felda.
Pihak Felda telah memberikan pelepasan kepada peneroka-peneroka tersebut untuk menebang dan mengeluarkan kayu-kayu getah mereka dengan syarat peneroka-peneroka itu dapat menjelaskan kepada Felda semua hutang mereka dengan Felda disamping membayar sejumlah wang kerana mahu menggunakan jalan yang sedia ada didalam rancangan Felda itu untuk membawa kayu-kayu getah itu keluar dari rancangan Felda.
Kesemua itu sudah dijelaskan oleh 23 orang peneroka itu kepada Felda. Justeru itu, 23 orang peneroka itu telah melantik kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja menebang dan membawa kayu getah keluar dan melakukan stacking untuk kesesuaian tanam semula.
Sementara itu Felda juga telah melantik kontraktornya sendiri untuk menjalankan kerja-kerja menebang kayu-kayu getah untuk peneroka-peneroka yang bersama Felda.
Apabila kontraktor bagi 23 orang peneroka itu memasuki kawasan ladang dengan membawa mesin-mesin dan memulakan penebangan, tiba-tiba Kontraktor bagi Felda telah mengambil tindakan Injunction melalui Mahkamah Tinggi Seremban menghalang kerja-kerja penebangan dan menghalang kayu-kayu yang sudah ditebang daripada dibawa keluar dan menghalang semua mesin-mesin Kontraktor itu daripada dibawa keluar.
Pelik. Felda memberikan pelepasan kepada 23 peneroka-peneroka secara bersyarat iaitu menjelaskan hutang mereka kepada Felda dan membayar kegunaan jalan didalam rancangan Felda itu yang dilalui, tiba-tiba Kontraktor bagi Felda mengambil tindakan Injunction kepada 23 peneroka itu.
Insya Allah, peneroka-peneroka sudah melantik peguam mereka, dan Insya Allah, bukan sahaja Injunction itu akan dicabar, bahkan tindakan gantirugi akan dimulakan bukan sahaja oleh 23 peneroka itu bahkan juga oleh Kontraktor bagi peneroka-peneroka itu.
Di Palong 9 pula agak berlainan sedikit ceritanya.
Seramai 180 peneroka Felda merasakan bahawa mereka telah ditipu oleh Felda dan JKKR apabila kedua-dua organisasi itu melantik Kontraktor untuk menebang dan memunggah keluar pokok getah mereka tanpa mendapatkan kebenaran secara bertulis daripada peneroka-peneroka.
Felda dan JKKR menjalankan sistem ugut dengan mengatakan bahawa jika tidak menyetujui dengan Kontraktor yang ditunjukkan oleh mereka, kayu getah peneroka-peneroka itu akan dijual dengan harga yang rendah kerana kata mereka kayu harga kayu getah dipasaran amatlah rendah, mungkin dengan harga antara RM10,000.00 - RM20,000.00.
Didalam perjumpaan yang tidak dihadiri oleh semua peneroka itu, Naib Pengerusi JKKR yang juga Ketua UMNO Cawangan memaksakan hadirin mengangkat tangan jika bersetuju dengan perlantikan Kontraktor mereka dengan bayaran harga kayu getah sebanyak RM35,000.00.
Ada yang mengangkat tangan tanda setuju tetapi lebih ramai tidak mengangkat tangan sehingga ada diantara yang mengangkat tangan itu mengangkat kedua-dua belah tangan untuk menunjukkan ramai yang bersetuju.
Seorang Peneroka yang tidak bersetuju mencadangkan supaya ditangguhkan dulu penyerahan kayu-kayu getah itu sehinggan sesama peneroka dapat dirundingkan dengan harga yang munasabah.
Tetapi cadangan itu ditolak mentah-mentah oleh Felda dan JKKR. Peneroka itu bersama-sama 11 orang yang lain terus tidak bersetuju.
Peneroka-peneroka yang lain terikat dengan keputusan yang dibuat oleh Felda dan JKKR kerana bimbang harga kayu getah benar-benar menurun hingga RM10,000.00.
11 orang peneroka yang bijak itu berjumpa dengan kontraktor yang sama yang juga dilantik oleh FELDA dan JKKR itu dan dengan rundingan yang lebih berhemah Kontraktor yang sama itu bersetuju membayar RM46,000.00 kepada setiap peneroka 11 orang itu.
FELDA dan JKKR yang kononnya mahu mejaga kebajikan peneroka-peneroka berjaya mendapatkan bayaran daripada Kontraktor RM35,000.00 bagi setiap Peneroka manakala Kontraktor yang sama membayar RM46,000.00 kepada setiap 11 orang peneroka yang tak mahu ikut sama dengan Felda/JKKR.
SPRM patut masuk campur dalam bidang ini. Benarkah Kontraktor itu menawarkan RM35,000.00 kepada Felda/JKKR untuk dibayar kepada setiap peneroka? Atau Kontraktor itu memang menawarkan RM46,000.00 kepada Felda/JKKR untuk dibayar kepada setiap peneroka itu dan RM11,000.00 disonglap ditengah jalan.
Yang tertipu ini adalah ahli-ahli UMNO. Felda Palong 9 adalah kubu kuat UMNO. Didalam Pilihanraya 2008 dahulu, calon PKR tidak dapat menggantung sebarang poster di Palong 9.
Namun pada hari semalam 180 peneroka-peneroka Felda Palong 9 yang terdiri daripada ahli-ahli UMNO itu sudah mahu membuat perubahan. Mereka telah sampaikan keluhan mereka itu kepada semua pihak yang berwajib didalam Felda dan UMNO, namun, mereka tetap tidak dibela oleh Felda dan UMNO.
Semalam adalah ruang terakhir untuk Felda/JKKR/UMNO mendatangkan bantuan kepada mereka, tetapi bantuan itu tak kunjung tiba.
Maka mereka telah melantik peguam untuk mengambil tindakaan terhadap Felda dan JKKR. Kepimpinan JKKR itu adalah kepimpinan UMNO Cawangan Felda Palong 9.
Menang atau kalah didalam tindakan undang-undang mereka itu, mereka sudah membuat suatu keputusan bahawa pimpinan UMNO tidak boleh diharapkan untuk membela mereka, dan peguam yang mereka lantik adalah peguam daripada Parti Pembangkang.

Tiada ulasan: