Rabu, 29 Disember 2010

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Syabas Harimau Malaya!

Posted: 29 Dec 2010 06:36 AM PST

Syabas buat skuad bola sepak Malaysia yang berjaya menjuarai Piala AFF Suzuki buat julung-julung kalinya selepas 17 tahun edisi kejohanan berlangsung.

Di sebalik acara padat, saya sebolehnya cuba ikuti juga perkembangan perlawanan lewat Twitter yang nyata meriah sekali. Tahniah atas sokongan padu rakyat Malaysia yang tak putus-putus memberi semangat.

Ternyata K. Rajagobal telah meletakkan prestasi pasukan Harimau Malaya ke satu tahap yang berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini. Semoga ianya membuahkan sesuatu yang lebih positif untuk tahun 2011.

Sekali lagi, syabas buat skuad muda Harimau Malaya!

ANWAR IBRAHIM

Serangan Media Perdana, PKR Tidak Goyah- Rafizi

Posted: 29 Dec 2010 02:07 AM PST

Dari TVSelangor

Disebalik serangan bertali arus media perdana terhadap PKR langsung tidak menggoyahkan malahan mematangkan parti untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Pengarah Strategi PKR yang baru, Rafizi Ramli berkata, hakikatnya, imej parti itu masih bersih walaupun diancam dengan propaganda media milik Umno-Barisan Nasional(BN).

“Maknanya walaupun serangan-serangan itu,lebih daripada 60 peratus, 2 daripada 3 tidak percaya kepada propaganda. Maknanya orang tidak lah rasa kita initercalar sangat. Imej mahupun gambaran parti itu tercalar, kita sudah kenalpasti,ia tidaklah terlalu tercalar,” kata Rafizi merujuk kepada kajian Merdeka Centre, sekitar proses Pemilihan PKR 2010. dalam temubual ekskulif bersama Tv Selangor.

Tambahnya, segala kritikan, serangan bertali arus tidak pernah sesekali mematahkan semangat pimpinan dan ahli parti dalam membulatkan tekad menuju mercu kejayaan.

Dalam temubual itu beliau turut menjelaskan, walaupun berhadapan dengan kritikan Umno-BN apabila mengadakan pemilihan secara langsung dan salah faham di kalangan anggota parti, akhirnya objektif sebenar proses Pemilihan 2010 itu kian menampakkan hasil.

Di samping itu ujarnya, kesungguhan PKR untuk meletakkan barisan pimpinan berkualiti untuk mengepalai parti itu semakin lama, semakin difahami dan diterima baik oleh anggota parti.

Dengan meletakkan gabungan muka lama dan baru dalam PKR katanya, ia menjadi satu kekuatan kepada parti itu dalam mencorakkan perjalanannya merentasi segala onak dan dugaan.

“Jadi soalan tentang imej kita telah terjawab melalui barisan kepimpinan yang dilantik semasa pemilihan,” kata Rafizi lagi.

Justeru katanya, apa yang paling penting ketika ini kepada PKR ialah memastikan segala mesej dan penawaran parti itu kepada rakyat disampaikan dengan berkesan.

Malah parti itu katanya akan kekal dengan momentum yang dicorakkan sebelum ini agar rakyat tidak mudah hilang fokus.

“Apa yang paling penting ialah apabila rakyat melihat hasil daripada fokus baru parti ini, rakyat tahu bahawa proses Pemilihan itu ada kesannya kepada keberkesanan dan penampilan parti.

“Strategi kita ialah supaya penawaran kita, program kita yang mendapat fokus dan tempat kepada rakyat, bukan cerita remeh-temeh yang cuba disampaikan oleh BN. Program penerangan berhubung program 100 hari itu perlu digerakkan,” tambahnya lagi.

Pakatan Rakyat pada konvensyen kali kedua gagasan itu baru-baru ini menawarkan Program 100 Hari kepada rakyat sekiranya berjaya menawan Putrajaya.

Ia merupakan pelaksaan reformasi menyeluruh dalam semua semua aspek termasuk pengurusan negera, ekonomi, pendidikan dan sebagainya bedasarkan prinsip yang digariskan dalam Dasar Bersama gagasan itu.

Diaju dengan persoalan apakah strategi yang akan digunapakai PKR dalam menghadapi PRU ke-13 tidak lama lagi, katanya parti itu punya kelebihan yang tersendiri.

“Kelebihan utama yang parti ada contohnya ialah calon-calon yang kita tampilkan. Strategi kita untuk Pilihan Raya Umum ini adalah juga berkenaan dengan calon sebab masyarakat kita mula berubah. Dahulu orang pangkah hanya semata-mata kerana parti. Sekarang ini dengan adanya Internet dan sebagainya, orang meletakkan premium kepada calon,” tambah Rafizi lagi.

Ujarnya lagi, selain memastikan jentera parti diperkukuhkan, parti itu juga akan memastikan setiap calon mereka adalah calon yang terpilih dan diberikan latihan yang secukupnya.

Tambahnya lagi, fokus utama tentunya akan diberikan kepada isu rakyat dan bukanlah hanya membangkang sahaja.

“Yang ketiga, negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat ini adalah senjata utama kita. Sebab semua rakyat dari seluruh Malaysia, mereka melihat kepada negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan bagaimana bezanya pentadbiran di negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat berbading dengan negeri-negeri di bawah BN,” jelas Rafizi lagi.

Korupsi:ANAK Felda Tolak Isa

Posted: 29 Dec 2010 02:01 AM PST

Dari Suara Keadilan

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(Anak) sangat dukacita dengan pengumuman pejabat Perdana Menteri mengenai perlantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda yang baru berkuatkuasa 1 Januari 2011.

Alasan kononnya Tan Sri Isa mempunyai kemampuan dan perkhidmatan yang efisien terlalu longgar dan dangkal berasaskan latarbelakang beliau sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dan Menteri Wilayah Persekutuan.

Sabitan rasuah 5 daripada 9 pertuduhan politik wang ketika bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti bulan September 2004 masih diingati rakyat negara ini kerana liputan meluas mengenainya.

Beliau yang digantung keahliannya selama 6 tahun adalah bukti jelas pembabitannya dalam amalan rasuah yang sangat menjijikkan.

Bukan itu sahaja; penduduk Negeri Sembilan pun tahu betapa korupnya beliau ketika menjadi Menteri Besar selama 22 tahun. Beliau melepaskan jawatan tersebut dengan isu ternakan babi di Bukit Pelandok yang memaparkan wajah sebenar siapa beliau.

Ketika menjadi Menteri Wilayah Persekutuan; beliau dilihat gagal berperanan sebaliknya menggunakan hubungan baik dengan tauke tertentu untuk mendapat habuan bagi menyogok perwakilan dalam pemilihan parti.

Saya sendiri pernah menghantar memorandum kepada Badan Pencegah Rasuah (nama ketika itu) mengenai penglibatan Isa Samad dalam aktiviti korup beliau.

Adalah pelik bagaimana tokoh kitar semula ini dilantik menerajui Felda, sebuah GLC terpenting milik orang melayu dengan ‘track record’ yang begitu buruk?

Kenyataan Datuk Ahmad Maslan baru-baru ini yang mendedahkan kejayaan anak-anak peneroka dalam kerjaya mereka sebagai seorang ahli korporat, profesional dan ahli akademik yang berjaya; nampaknya tidak memberi apa-apa makna.

Kenapa tidak dilantik dikalangan mereka; yang sekurang-kurangnya boleh menandingi pencapaian Tan Sri Raja Alias, bekas Pengerusi Felda dulu.

Bayangkan, di zaman Tan Sri Yusof Nor sebagai Pengerusi Felda (1 Julai 2001-31 Dis 2010) pelbagai cerita, skandal dan krisis berlaku.

Pendedahan Datuk Ahmad Maslan sendiri di Parlimen yang mengesahkan rezab Felda merosot daripada RM4.08 bilion pada tahun 2004 ke RM1.3 bilion pada tahun 2009 membuktikan Felda sedang bermasalah akibat salah urus, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Adakah dengan perlantikan Isa Samad akan menyempurnakan pakej manusia korup menerajui Felda iaitu Ahmad Maslan, Isa Samad dan Najib Razak?

Tanah seluas 905,000 hektar adalah aset 112,635 orang peneroka dan akan di warisi oleh lebih sejuta generasi kedua dan ketiga Felda. Kenapa mereka ini tidak pernah dirundingkan terlebih dahulu?

Saya penuh yakin tidak akan ada yang menyokong Isa Samad melainkan para pengampu Felda sahaja. Ketika ini pun puluhan SMS dan panggilan talipon yang saya terima membantah perlantikan Isa Samad dan mendesak sesuatu dilakukan.

Justeru menjaga kepentingan warga Felda, saya mewakili warga Felda mendesak Perdana Menteri menarik balik perlantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda.

Anak akan menggerakkan pungutan tandatangan seluruh warga Felda mulai 1 Januari 2011 ini dan akan diserahkan sendiri kepada Perdana Menteri dalam tempoh sebulan.

Jika ianya gagal melembutkan pendirian Perdana Menteri, suatu Memorandum akan diserah ke Bawah Duli Tuanku Yang DiPertuan Agong untuk memohon campurtangan baginda. Pelbagai bentuk kempen akan dilakukan bagi mempastikan Isa Samad tidak akan dinobatkan sebagai Pengerusi Felda yang baru.

Perdana Menteri telah melakukan kesilapan besar atas perlantikan ini. KATAKAN TIDAK KEPADA ISA SAMAD!

MAZLAN BIN ALIMAN
Presiden ANAK

Khusrin: Pusat Cuba ‘Guling’ Selangor?

Posted: 28 Dec 2010 11:01 PM PST

Dari Harakah

Tindakan kerajaan pusat melantik Datuk Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru dilihat seperti cubaan untuk mengguling kerajaan negeri Selangor, di samping memperlihatkan sikap sebenar kerajaan persekutuan yang tidak demokratik serta tidak menghormati semangat federalisme.

Biarpun perlantikan itu dilihat belum muktamad dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan mohon mengadap Sultan Selangor untuk membincangkan perkara itu, pandangan kerajaan negeri wajar diteliti terlebih dahulu demi melahirkan sebuah kerajaan yang stabil.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi berkata, biarpun Kerajaan Negeri Selangor dipimpin oleh sebuah kerajaan yang tidak seideologi dengan kerajaan pusat, namun Kerajaan Negeri Selangor adalah sebuah kerajaan yang sah melalui sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini, ekoran ia adalah mandat dari rakyat yang merdeka menerusi sistem pilihanraya.

Menurut beliau, sewajarnya kerajaan negeri Selangor atau mana-mana kerajaan negeri yang lain tidak diganggu apa lagi cuba diguling semata-mata kerana ia dipimpin oleh parti yang berlainan ideologi dengan kerajaan persekutuan.

“Gangguan dan tekanan yang sering dikenakan kepada kerajaan-kerajaan negeri seperti Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan sangat bertentangan dengan semangat federalisme dan ia jelas pula bertentangan dengan prinsip demokrasi,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan 27 Disember lalu bahawa Khusrin, Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dilantik sebagai SUK negeri itu berkuatkuasa 1 Januari 2011.

Sementara itu, kerajaan Selangor dalam satu kenyataan terbaru mereka memberitahu perlantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor itu belum muktamad.

Mereka mendakwa cadangan melantik Khusrin ke jawatan itu tidak pernah dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara kepada Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sehubungan itu, Menteri Besar menurut kenyataan itu telah menghantar surat kepada DYMM Sultan Selangor memaklumkan bahawa beliau tidak dihubungi tentang cadangan tersebut.

Tan Sri Khalid juga difahamkan turut menghantar tiga nama yang telah diputuskan oleh panel yang ditubuhkan kerajaan negeri kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sehubungan itu, Menteri Besar akan mengadap Sultan Selangor pada 29 Disember ini.

Menurut Nasrudin, pengumuman Ketua Setiausaha Negara dalam isu perlantikan Khusrin sebagai SUK Negeri Selangor tanpa terlebih dahulu mengambil kira pandangan dan kehendak kerajaan negeri adalah suatu yang tidak harmonis dan sewajarnya tidak berlaku demikian.

“Justeru apa yang berlaku ini boleh mencetus spekulasi dan ia dinilai oleh umum sebagai satu “hidden agenda” untuk melemah dan menggangu kelancaran pentadbiran kerajaan negeri Selangor,” katanya.

Jawatan SUK, menurutnya, jawatan nombor satu dalam perkhidmatan awam di sesebuah negeri. SUK juga secara automatik menjadi ahli ex officio kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Oleh itu, SUK yang dilantik sayugianya mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan negeri terutama ketua kerajaannya iaitu Menteri Besar agar pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri berjalan lancar dan efektif.

“Namun realiti yang berlaku di Selangor, Khusrin adalah individu yang sering mencetus kontroversi dan mengganggu kestabilan kerajaan negeri. Apakah kerana tersimpan agenda tertentu apabila Putrajaya dilihat beria-ia benar menabalkan Khusrin sebagai SUK Selangor?

“Sungguhpun SUK Selangor adalah terdiri dari pegawai PTD yang juga merupakan kakitangan Persekutuan, tetapi tidak bolehkah kerajaan negeri terlebih dahulu dirundingi? ke mana perginya semangat federalisme yang didokong selama ini? Apakah kerana Selangor ditadbir oleh Pakatan Rakyat maka demokrasi diketepikan dan semangat federalisme dikesampingkan?

“Saya sangat tidak senang malah tidak bersetuju dengan tindakan sedemikian. Tidak profesional, tidak demokratik dan tidak menghormati semangat federalisme. Ia dilihat seperti cubaan untuk membuli kerajaan negeri Selangor. Ini tindakan yang tidak baik,” jelasnya.

Beliau berharap rundingan Menteri Besar dengan pihak Sultan Selangor akan membawa keputusan yang positif demi kestabilan kerajaan negeri, malah demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat negeri Selangor amnya.

“Justeru konsep Raja Berperlembagaan yang diamalkan dalam negara ini membina hubungan yang baik antara Menteri Besar dan Duli Yang Maha Mulia Sultan sementara tindakan Sultan pula berasaskan nasihat dari Menteri Besar,” katanya.

Kelayakan Khusrin Jadi SUK Selangor Dipertikai

Posted: 28 Dec 2010 10:56 PM PST

Dari Malaysiakini

Kelayakan Datuk Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan (SUK) negeri Selangor yang baru, mula dipertikaikan, antaranya ekoran ‘kontroversi’ yang melingkarinya.

Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad (kiri) berkata, sikap Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu “yang seolah-olah ingin sabotaj” kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor selama ini hendaklah diambil kira.

Antaranya, dakwa Nik Nazmi, Khusrin melobi program Umno dijalankan di sebuah masjid di Taman Medan Ramadan lepas serta “engkar” keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dengan menimbulkan kontroversi lawatan ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching ke Surau al-Huda, Kajang.

“Sebelum itu Khusrin ‘menempa nama’ dengan kes penangkapan bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalm majlis yang turut dihadiri wakil rakyat Pakatan.

“Adakah individu yang sanggup menjadi perkakas politik dan mempermainkan sentimen agama layak menjadi setiausaha kerajaan negeri Selangor?” soal Nik Nazmi dalam blognya hari ini.

Dari seri rekod pula, ADUN Seri Setia itu berkata, Khusrin sekadar dalam gred Jusa C sebelum melangkah ke Jusa B untuk menjawat jawatan SUK yang bergred Jusa A.

ADUN muda PKR itu berkata, Khusrin juga sekadar menghabiskan tiga daripada 27 tahun perkhidmatannya sebagai pegawai tadbir dan diplomatik di peringkat persekutuan, selebihnya cuma berkhidmat di negeri Selangor.

“Seolah-olah kelayakan Khusrin hanyalah sikapnya yang memang menentang Kerajaan Negeri yang diambilkira!” sindir Nik Nazmi.

Mengulas berhubung pihak yang berhak melantik jawatan SUK – sama ada kerajaan pusat atau negeri – Nik Nazmi berkata perkara itu tidak timbul kerana Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor tidak menyebut kedua-dua pihak.

“Namun tindakan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan pelantikan Pengarah JAIS Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan negeri Selangor hanya melalui memaklumkan Sultan tanpa memaklumkan Menteri Besar Selangor boleh dianggap melanggar protokol,” katanya.

Justeru, beliau berharap tiada pihak memainkan isu bahawa mempertikai pelantikan Khusrin sebagai antiistana.

“Tindakan Datuk Seri Najib (Razak) yang mengheret KSN dan IStana Selangorlah yang wajar dipertikai,” tambah Nik Nazmi.

Tiada ulasan: