Khamis, 2 Disember 2010

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR


Ucapan Dasar Ketua AMK : HIKMAH SULUH KEADILAN.

Posted: 01 Dec 2010 10:36 PM PST

HIKMAH SULUH KEADILAN.

Secara lazimnya kita memulakan setiap kongres dengan tahmid dan memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi. Kali ini kita menzahirkan istighfar memohon keampunan. Ini bukan menjadi petanda bahawa rasa sukacita atas kesempatan berhimpun bersama-sama saudara merosot meski sedikit berbanding kongres-kongres yang lalu.

Malah semangat persaudaraan itu semakin marak. Saya memohon keampunan Allah kerana, setelah melalui proses pemilihan yang mengakar luas, para anggota memilih saya untuk diserahkan beban amanah memimpin Angkatan Muda Keadilan.

Saya insaf bahawa jawatan ini bukan kebesaran (tasyrif) tetapi adalah amanah (taklif) yang mesti dipegang dengan penuh hati-hati, mesti dilaksanakan dengan sungguh-sungguh. Kerana itu saya istighfar memohon keampunan atas kesalahan dan kesilapan yang telah dan bakal berlaku.

Saya mengajak saudara saudari seluruh keluarga besar Angkatan Muda Keadilan untuk memberikan saya sokongan dalam melaksanakan tugas. Saya mengharapkan teguran saudara saudari andai kata saya tersasar daripada landasan yang sepatutnya. Pastinya saya bukan yang terbaik di kalangan saudara. Tetapi saya yakin kita sebagai satu pasukan akan mampu melakukan yang terbaik.

Bagi pihak Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat, saya mengucapkan selamat datang kepada para tetamu, wakil-wakil Majlis Pimpinan Pusat, para perwakilan dan pemerhati semuanya. Kehadiran saudara saudari melaksanakan tanggungjawab berkongres amat-amat kami hargai di kala parti terus terusan menghadapi pelbagai bentuk cabaran dan serangan.

Kita rakamkan ucapan terima kasih kepada Parti Keadilan Rakyat Selangor yang sekali lagi menjadi tuan rumah kepada kongres. Usaha gigih pihak urusetia bersama petugas dari seluruh negara menjayakan kongres ini menjadi jasa dan budi yang tidak ternilai.

Tahniah kepada Negeri dan Cabang yang menggerakkan para perwakilan dan pemerhati untuk hadir meski kelelahan akibat pemilihan masih belum reda.

Pergi belayar Raja Melaka
Singgah beradu di Batu Sapi
Tuan suka saya pun suka
Berkongres kita sekali lagi.

Dari Daik pulang ke Daik,
Sehari-hari berkebun pisang,
Budi baik dibalas baik,
Dalam hati dikenang orang.

Alhamdulillah. Sebagai hamba, semestinya kita memanjatkan rasa syukur kepada Allah. Parti kita yang tercinta ini berulang kali diramal akan musnah, akan gulung tikar. Namun sehingga kini perjuangan keramat rakyat terus segar melalui wahana Parti Keadilan Rakyat.

Benar kita ditimpakan ujian dan tribulasi. Namun kita sebagai keluarga menghadapinya dengan tabah. Kita menyongsong seribu satu macam cabaran dan serangan dengan berani. Namun tahun ini kita diuji dengan ujian yang benar-benar berat. Jika serangan dari luar, kita tangkas menghadapinya. Kali ini ujian yang tiba adalah daripada dalam parti sendiri.

Pemilihan pertama selepas kemenangan kita dalam Pilihanraya Umum Ke-12 telah membangkitkan minat dan kesungguhan begitu ramai anggota untuk menawarkan diri berkhidmat di pelbagai peringkat. Kempen telah dilaksanakan dengan begitu gigih. Ada yang tersinggung dan ada yang tersilap langkah.

Sebagai keluarga marilah kita manfaatkan Kongres ini untuk saling bermaafan dan meletakkan segala pengalaman berkempen untuk pemilihan ini sebagai azimat yang mendewasakan kita dalam perjuangan politik. Manfaatkan ia sebagai latihan memantapkan jentera dan kemahiran kita menghadapi pilihanraya.

Malang apabila ada beberapa anggota yang menjadikan persaingan tersebut negatif. Mereka memilih untuk berpatah arang dan berkerat rotan dengan parti. Pemilihan satu anggota, satu undi buat kali pertama ini dijadikan alasan untuk berpaling dan meninggalkan perjuangan. Serangan mereka terhadap parti cuba dihalalkan dengan seribu satu macam alasan. Pemergian mereka ini meski tidak kita suruh atau hambat, kita terima dengan berlapang dada. Ini bukan kali pertama anggota atau pemimpin meninggalkan parti ini.

Bukan pula kali ini yang pergi terlalu besar peranan dan pengaruh. Sebelum ini telah ada yang lebih hebat, telah ada yang bersumpah keramat, berpaling tadah dan kini menjadi perkakas untuk menyerang kita. Meski apa pun yang terjadi, Angkatan Muda Keadilan hari ini mempertegaskan komitmen untuk terus memperkasakan Parti Keadilan Rakyat.

Kita adalah barisan hadapan yang sejak sekian lama bersedia dan akan terus bersedia menghadapi apa sahaja serangan yang dilancarkan terhadap parti ini. InsyaAllah kita tidak akan gentar, kita tidak akan goyah. Jika aduan dan teguran dibuat demi memperbaiki kelemahan yang wujud dalam sistem yang digunakan parti, kita gesa diambil tindakan segera. Sistem yang digunakan adalah ciptaan manusia. Sudah tentu tidak sempurna. Pelaksananya juga manusia. Pengalaman akan menjadikan kita lebih cekap dalam melaksanakannya. Teguran dan saranan akan membantu memperbaikinya.

Tetapi kita tidak akan sekali-kali kompromi dengan tindakan menyerang dan menghina parti, menggunakan media musuh untuk membuat pelbagai fitnah dan tohmahan tanpa sebarang bukti yang kukuh. Mereka ini menjadi perkakas Barisan Nasional menyerang untuk melemahkan kita.

Angkatan Muda Keadilan tidak akan bertolak ansur dengan sikap begini!

Kita percaya kepada misi perjuangan parti ini. Kita mempunyai keyakinan penuh terhadap nilai-nilai yang mendasari perjuangan ini. Kita komited untuk menjayakan matlamat-matlamat perjuangan parti. Untuk itu, saya dengan rendah hati
mengajak semua anggota untuk merapatkan saf perjuangan. Biar kita menjadi seperti kata pepatah Melayu air dicincang tak akan putus. Mari kita amalkan pesan lama biduk lalu kiambang bertaut.

Meski kita mempunyai pandangan dan pendekatan yang berbeza, kita harus insaf bahawa paksi perjuangan kita adalah sama. Kerana itu kita harus bekerjasama dan bekerja bersama demi menjayakan cita-cita besar perjuangan ini.

Biar saya mulakan dengan membuat permohonan maaf terbuka kepada semua dan setiap anggota yang terasa hati atau tersinggung dengan tindakan-tindakan saya. Saya sekadar manusia biasa. Bisa melakukan kesilapan dan kesalahan. Tetapi sebagai manusia beriman, kita harus ada kemampuan untuk memaafkan sesama saudara. Kerana itu saya nyatakan di sini, hari ini, bahawa saya memaafkan sebarang kesilapan yang dilakukan terhadap saya sepanjang kempen ini.

Ayuh Angkatan Muda Keadilan! Ayuh kita sekali lagi menjadi pendahulu dalam usaha merapatkan kembali saf dalam Parti Keadilan Rakyat. Kita telah melalui satu fasa yang mengujakan apabila para anggota berlumba-lumba menawarkan khidmat memimpin parti ini.

Selepas Kongres ini, malah sepanjang Kongres ini, ada yang berusaha untuk mendapatkan jawatan lantikan. Kita berikan peringatan kepada semua bahawa disiplin organisasi, mesti dipatuhi tanpa kompromi. Kita mesti memelihara tanzim haraki bagi memastikan kejayaan perjuangan ini. Jumlah jawatan adalah terhad dan tidak semua anggota akan berpeluang menjadi pemimpin. Namun tidak menjadi pemimpin tidak bermakna kita tiada peranan dalam menggerakkan parti dan perjuangan. Para anggota dan pemimpin akar umbi yang sebenar-benarnya mempunyai peranan besar memastikan parti terus cergas.

Kita bakal berhadapan dengan tugas dan cabaran yang lebih hebat tidak lama lagi.

Pilihanraya Umum Ke-13 yang bakal menjelang menuntut kita untuk bekerja sebagai satu pasukan yang kompak. Kita mesti ingat misi kita ialah untuk menumbangkan Barisan Nasional dan menegakkan sebuah kerajaan rakyat.

Kita punya tanggungjawab ini yang mesti dilunaskan demi rakyat dan negara. Kerana itu kita perlu kepada parti yang mantap. Kita perlu kepada Angkatan Muda yang kukuh, tangkas dan bersedia menyahut cabaran. Bersama kita akan perkasakan organisasi dan pengurusan Angkatan Muda Keadilan.

Namun kekuatan secara bersendiri tidak memadai. Kita mesti menggembleng tenaga dan jaringan generasi muda. Kerjasama dengan organisasi pemuda parti-parti Pakatan Rakyat akan dieratkan. Pada masa yang sama perhatian khusus akan diberikan kepada usaha membina kerjasama pintar dengan organisasi anak muda termasuk pertubuhan belia, mahasiswa dan kesatuan sekerja.

Angkatan Muda Keadilan akan memberikan fokus kepada pelan bertindak yang komprehensif bagi memastikan kejayaan cita-cita memerdekakan Malaysia daripada cengkaman Barisan Nasional seperti yang digagaskan dalam Reformasi 3.0. Tahun 1998 menjadi batu tanda utama dalam sejarah Malaysia dengan tercetusnya gelombang Reformasi.

Gerakan pembaharuan ini adalah usaha besar melakar semula dan membentuk kembali jiwa dan citra Malaysia yang suram dan celaru akibat penyelewengan dan korupsi yang berleluasa. Kita mempunyai cita-cita besar agar nilai menjadi paksi negara kita, menjadi pegangan rakyat. Kerana itu kita berjuang dan terus berjuang. Kerana itu kita telah dan terus sedia berkorban. Kita komited untuk menyelamatkan negara ini daripada rosak di tangan pemerintah yang rakus terhadap kuasa dan harta tetapi mengesampingkan hak dan kepentingan rakyat.

Kita percaya negara ini yang pernah menjadi tapak tamadun besar dunia dan pusat ekonomi utama akan mampu kembali memimpin rantau ini dan menjadi ikutan dunia dengan kembali berpegang kepada nilai-nilai keadilan dan keterbukaan. Fasa pertama Reformasi ditandai dengan kebangkitan berani rakyat Malaysia menuntut keadilan dan menentang kezaliman. Anak muda sejak hari pertama Reformasi memainkan peranan berkesan memimpin dan meniup semarak semangat rakyat Malaysia.

Perjuangan menuntut keadilan untuk Anwar adalah simbol tuntutan rakyat agar keadilan ditegakkan secara tuntas dan mahkamah dibebaskan daripada kawalan pemerintah. Dengan itu setiap rakyat akan berpeluang mendapat keadilan dan pembelaan selayaknya. Tatkala ramai ragu-ragu untuk berhadapan dengan Pilihanraya Umum pada tahun 2008, khususnya
selepas berlaku pengkhianatan dan pembelotan beberapa pemimpin, Angkatan Muda Keadilan menjadi pasak keyakinan apabila pada Kongres 2007 mengangkat tema "Daripada Harapan Kepada Kemenangan".

Meski ada yang berpandangan sinis bahawa kita sekadar menaruh harapan dan bermimpi di siang hari, ternyata kita menzahirkan kemahuan dan keyakinan rakyat yang memberikan pukulan paling hebat dalam sejarah terhadap penguasaan Barisan Nasional. Kemenangan di lima negeri dan kejayaan menafikan majoriti dua pertiga BN di Dewan Rakyat dalam pilihanraya 2008 menjadi titik mula fasa kedua perjuangan ini. Ia adalah demonstrasi kehendak rakyat khususnya generasi muda melalui peti undi.

Rakyat memberikan kesempatan untuk kita melaksanakan segala wawasan yang kita juarai selama ini di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat.

Angkatan Muda Keadilan secara konsisten menjadi rakan dalam pembangunan dengan memberikan peringatan dan mengemukakan pandangan agar segala janji kita dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan sebaiknya demi memenuhi amanah dan harapan rakyat. Kini kita tiba di persimpangan besar Reformasi 3.0 yakni usaha menyeluruh kita memuktamadkan cita-cita menuju Putrajaya. Ini adalah landasan bertolak dalam perjalanan kita membebaskan Malaysia daripada BN.

Pemilihan 2010 adalah titik mulanya. Kebijaksanaan anggota untuk memilih pemimpin yang paling sesuai untuk memimpin Parti Keadilan Rakyat, khususnya Angkatan Muda Keadilan yang menjadi barisan hadapan dan benteng pertama perjuangan, akan menjadi penentu masa depan Reformasi. Keputusan bijak memilih pemimpin yang komited dan berkebolehan akan menjadi tanjakan yang melonjakkan perjuangan kita membebaskan Malaysia daripada BN.

Kita memerlukan keberanian dan hikmah kebijaksanaan untuk berjaya. Keberanian tanpa hikmah adalah tolol dan kebijaksanaan tanpa keberanian tanda pengecut. Kita tawarkan kepada anggota keseimbangan antara keduanya. Kita bersedia dengan komitmen dan kesungguhan untuk melakukan yang terbaik.

Kita kemukakan tiga garis besar yang akan memandu Angkatan Muda Keadilan Malaysia dalam usaha menjayakan Reformasi 3.0:

1.0 Memperkasakan organisasi dan pengurusan Angkatan Muda Keadilan

Demi memastikan kita mampu memimpin harapan rakyat dan mengemudi perubahan, organisasi Angkatan Muda Keadilan perlu mantap dan teguh. Tahun-tahun 2006 sehingga 2008 telah kita habiskan untuk membina semula organisasi yang runtuh akibat pembelotan. Ternyata kita berjaya mengecewakan para pengkhianat yang mahu melihat Angkatan Muda Keadilan terkubur. Berkat kesabaran dan kerjasama semua, kita menjadi lebih mantap. Tahun-tahun 2008-2010 menyaksikan gerakan membina jaringan yang pesat. Tumpuan telah kita berikan kepada negeri-negeri yang masih belum dibebaskan daripada BN.

i. Pemerkasaan Sekretariat Pusat

Sekretariat Pusat akan diperkemaskan dengan penambahan tenaga kerja sepenuh masa dan pelaksanaan skim gaji yang lebih memuaskan. Sekretariat ini akan memainkan peranan yang lebih utama dengan menyediakan bimbingan dan khidmat sokongan bagi memperkemaskan Angkatan Muda Keadilan di seluruh negara dan di setiap peringkat.

Biro-biro juga akan dicergaskan untuk memastikan kita siap siaga sebagai kerajaan menanti. Satu skim perantis yang memberi peluang kepada anggota-anggota untuk menyumbangkan tenaga dan kepakaran akan diwujudkan.

ii. Skema Latihan Angkatan Muda

Skema Latihan Angkatan Muda (SLAM) akan diperkenalkan untuk semua anggota baru. Para anggota yang berhasrat memegang jawatan kepemimpinan harus mengikuti latihan modul khas kepemimpinan. Kita mahukan anggota dan pemimpin yang berkualiti bagi mengharungi cabaran memimpin rakyat.

iii. Skuad Angkatan Muda sebagai jentera tetap AMK

Skuad Angkatan Muda akan dijadikan struktur jentera AMK secara tetap. Kita akan melatih anggota-anggota yang siap sedia untuk digerakkan dengan pantas apabila keadaan memerlukan. Kehadiran kita di kancah masyarakat akan dirasai terutamanya di kempen-kempen pilihanraya. Peranan skuad juga akan diperkemaskan untuk memberi khidmat kepada masyarakat.

iv. Menyediakan struktur sokongan ekonomi kepada anggota

Pemimpin dan anggota kita yang mempunyai pengalaman dan kepakaran di dalam bidang perniagaan dan kewangan akan digembling untuk membantu ekonomi anggota. Penubuhan One Stop Centre (OSC) akan berperanan untuk memberikan khidmat nasihat dan sokongan kepada anggota-anggota yang berhasrat menjalankan perniagaan. OSC ini juga akan
berperanan mempadankan anggota yang mempunyai idea perniagaan berdaya maju dengan sumber modal dan dana.

2.0 Penggemblengan tenaga dan jaringan generasi muda

i. Membentuk kerjasama pintar dengan organisasi swadaya masyarakat Jaringan anak muda akan diperluaskan bukan sahaja di kalangan mereka yang mempunyai kecenderungan untuk terlibat aktif dalam politik. Kita perlu membina kesedaran di kalangan seluruh generasi muda Malaysia mengenai peranan yang mampu dimainkan mereka bagi menzahirkan masa depan Malaysia yang lebih baik. Kita akan bekerjasama dengan organisasi belia, mahasiswa dan kesatuan sekerja.

ii. Memperkemaskan Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat

Pengundi muda bukan menjadi simpanan tetap undi Pakatan Rakyat. Mereka memberi sokongan berasaskan keyakinan terhadap dasar dan perjuangan Pakatan Rakyat. Namun mereka boleh sahaja beralih arah sekiranya kita dilihat goyah dan tidak memainkan peranan mewakili kepentingan rakyat. Kerana itu kita akan memainkan peranan utama memastikan Sekretariat ini benar-benar mampu mewakili dan mengangkat suara dan harapan anak muda Malaysia. Struktur sekretariat pemuda ini akan wujud tidak hanya di peringkat nasional, tetapi akan ditubuhkan di setiap peringkat.

iii. Mencergaskan usaha pendaftaran pengundi baru

Usaha mendaftarkan lebih ramai pengundi khususnya generasi muda akan menjadi satu misi utama dalam penggemblengan tenaga generasi muda menzahirkan Harapan Baru untuk Malaysia. Masih terdapat ramai orang muda yang masih belum berdaftar sebagai pengundi. Mereka ini yang akan menjadi penentu di dalam pilihanraya akan datang. Justeru kita akan mewujudkan satu sekretariat khusus bagi menyemarakkan urusan pendaftaran pengundi-pengundi baru di peringkat nasional, negeri dan cabang.

3.0 Membentuk semula citra Malaysia berpaksikan nilai

i. Menolak secara total amalan perkauman Sebagai manusia beragama, kita beriman bahawa kemajmukan bangsa, kerencaman budaya dan kepelbagaian bahasa adalah dicipta oleh Tuhan yang satu. Kerana itu kita menolak secara total sikap perkauman. Kita mesti bersikap adil dan berkongsi kekayaan negara ini untuk dinikmati oleh semua dan setiap rakyat. Kerana itu kita konsisten menuntut pertubuhan-pertubuhan yang menjuarai sikap perkauman, seperti PERKASA, diharamkan.

ii. Menggiatkan usaha membina kesedaran hak rakyat

Pemerintah kini semakin sedar bahawa mereka tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya. Rakyat semakin kritikal dan bersedia ke hadapan menuntut dan mempertahankan hak mereka. Ini sebahagiannya adalah hasil gerakan Reformasi memerdekakan minda rakyat.

Namun usaha ini masih perlu diteruskan dengan lebih giat agar Malaysia benar-benar merdeka. Kempen-kempen nasional seperti penentangan terhadap pembinaan Menara 100 tingkat, selamatkan Malaysia daripada bankrap akan terus digerakkan.

Ikhtiar kita menentang rasuah akan terus menjadi tema sentral yang semarak dalam perjuangan kita. Kita akan menjadikan usaha membela hak rakyat sebagai identiti perjuangan Angkatan Muda Keadilan. Pak Natsir, negarawan Indonesia, mengungkapkan bahawa pemimpin lahir bukan dari bilik kuliah tetapi lahir di tengah kancah masyarakat.

iii. Memperkasakan usaha membebaskan sistem kehakiman

Perjuangan keadilan untuk Anwar adalah usaha membebaskan sistem kehakiman daripada cengkaman penguasa. Sebelum ini rakyat menerima sahaja dengan pasrah keputusan mahkamah. Tetapi kes Anwar Ibrahim telah membuka mata rakyat dan membina keberanian rakyat untuk mempersoalkan keputusan-keputusan yang bertentangan dengan akal budi
(common sense). Kerana itu Angkatan Muda Keadilan perlu memberikan perhatian khusus kepada usaha memperjuangkan hak Anwar Ibrahim mendapat perbicaraan yang adil.

Tindakan-tindakan pendakwaraya dan hakim dalam perbicaraan beliau ternyata menyalahi norma undang-undang. Bukti dan keterangan cuba disorok dengan menghalang akses untuk pembelaan. Malah hakim sendiri bertindak seakan-akan pendakwa dengan menyerang peguambela. Rakyat sedar akan hakikat ini. Namun rakyat tidak pasti apakah tindakan
yang mampu diambil oleh mereka, apa peranan yang mampu dimainkan. Mahkamah yang bebas adalah asasi bagi memastikan Malaysia yang lebih progresif. Jika terhadap Anwar Ibrahim mahkamah tidak mampu berlaku adil, apa harapan rakyat dan juga pelabur-pelabur asing yang tiada hubungan istimewa dengan pemerintah untuk mendapat keadilan?

Justeru saya mengharapkan seluruh anggota Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat dan Ketua-ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri yang bakal dilantik bersama Majlis Pimpinan di negeri masing-masing memainkan peranan utama di dalam misi ini.

Usaha menuntut hak Anwar Ibrahim mendapat perbicaraan yang adil ini harus menjadi misi utama kita. Saya mahu melihat tenaga dan komitmen yang dipusatkan kepada misi ini lebih daripada komitmen dalam pemilihan yang baru lalu. Barisan Nasional melakukan segala ikhtiar agar Anwar Ibrahim sekali lagi digiring ke penjara. Jangan kita biarkan ini terjadi kerana ia akan melengkapkan cengkaman UMNO-BN sekaligus menafikan hasrat rakyat untuk melihat tertegaknya kerajaan Pakatan Rakyat di Putrajaya.

Beberapa pemimpin Angkatan Muda Keadilan akan ditugaskan untuk memainkan peranan secara aktif dan komprehensif di peringkat antarabangsa bagi memberi penerangan kepada masyarakat dunia mengenai kezaliman yang dihadapi Anwar Ibrahim. Sebagaimana Mandela meringkuk di dalam penjara akibat kezaliman pemerintah, Malaysia mempunyai Mandela of the East di dalam diri Anwar Ibrahim.

Kedua-dua tokoh ini dan tokoh-tokoh demokrasi dan hak asasi lain seperti Aung San Suu Kyi dipenjara dan dizalimi hanya kerana idea dan iltizam mereka membela rakyat mencabar keserakahan dan hegemoni pemerintah. Mereka adalah tokoh-tokoh yang mempunyai peluang hidup senang tetapi menolak kerana tidak rela melihat rakyat dizalimi.

Kita telah membina hubungan baik dengan parti-parti politik di Indonesia, Turki, negara-negara Balkan dan Asia Tengah. Hubungan antara parti ini atau party to party initiative akan kita semarakkan. Sebagai anggota komuniti dunia dalam era
global ini, cubaan menghalalkan kezaliman dengan alasan soal dalaman dan tidak mencampuri urusan negara lain adalah dangkal sekali.

Seorang negarawan dan tokoh demokrasi Amerika Syarikat, Robert F. Kennedy mengungkapkan:

"Setiap kali seorang manusia bangun mempertahankan idealisme, atau bertindak memperbaiki keadaan orang lain, atau menentang kezaliman, dia menggerakkan riak kecil harapan, dan melintas satu sama lain daripada jutaan sumber tenaga dan keberanian, riak-riak itu menjadi arus yang mampu menghanyutkan tembok penindasan dan penentangan yang paling gagah."

Kerana itu kita sebagai komuniti dunia perlu terus peduli dan memberi sokongan kepada perjuangan demokrasi dan hak asasi manusia di mana-mana jua di seluruh dunia. Kerana itu apabila masyarakat dunia menyatakan keprihatinan terhadap kezaliman di Malaysia, kita mesti menanggapnya sebagai usaha untuk membina dunia yang lebih baik, dunia yang bebas daripada kezaliman dan mendaulatkan keadilan.

Kerana itu kita menolak propaganda UMNO dan Barisan Nasional bahawa dunia tiada hak untuk menyatakan keprihatinan. Tidak masuk akal untuk dunia mendiamkan diri melihat kezaliman di negara ini dan kita juga tidak sekali-kali boleh membisu melihat kezaliman di Palestin, Iraq, Burma, Afghanistan atau di mana-mana jua negara. Untuk menjayakan perjuangan ini, kekuatan dan keberanian semata-mata tidak akan memadai.

Kebijaksanaan, hikmah, mesti menjadi panduan dalam menggerakkan parti kita. Kepentingan hikmah menjadi tema sentral dalam semua agama dan tamadun. Di dalam Islam, hikmah adalah utama dalam menjalankan misi mengajak manusia kepada jalan Tuhan.

"Ajaklah semua ke jalan Tuhan mu dengan hikmah dan ajakan yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik…" (An-Nahl 16:125)

Di dalam berorganisasi juga ada tuntutan kepada hikmah. Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah menukilkan bagaimana Hang Tuah itu manusia sakti. Manusia yang hebat. Punya kekuatan dan kehebatan sehingga secara bersendiri beliau mampu melaksanakan segala tugasan dengan sebaiknya. Hang Tuah ialah pendekar. Hang Tuah ialah panglima yang
memimpin angkatan. Hang Tuah juga adalah diplomat Kesultanan Melaka. Hang Tuah adalah ikon.

Tetapi hikmah Hang Tuah terserlah apabila membina pasukan bersama Hang Jebat, Kasturi, Lekir dan Lekiu. Mereka bekerja bersama dan bekerjasama. Pengalaman kita di dalam parti ini jangan disia-siakan. Semoga daripada keterlibatan kita di dalam perjuangan ini mampu membina hikmah di dalam diri setiap daripada kita dan juga membina hikmah bersama.

Kung Fu Tze pernah menyatakan: Kita boleh belajar untuk menjadi bijaksana melalui tiga cara. Pertama, dengan renungan, cara yang paling mulia; Kedua dengan meniru, cara yang paling mudah; dan Ketiga, melalui pengalaman, cara yang
paling pahit.

Kita telah melalui pengalaman ini. Kita telah merasakan kepahitannya. Mari kita lengkapkan hikmah daripada pengalaman ini dengan merenung kembali dan mengambil pengajaran daripada hikmah seluruh dunia dan sepanjang zaman. Di dalam memimpin ini, mari kita ambil iktibar daripada surat Abraham Lincoln kepada penduduk Sangamon County yang menzahirkan cita-cita beliau yang paling hebat:

Whether it be true or not, I can say for one that I have no other ambition so great as that of being truly esteemed of my fellow men, by rendering myself worthy of their steem. How far I shall succeed in gratifying this ambition, is yet to be developed.

Tolstoy di dalam komennya mengenai Lincoln, mengatakan bahawa:

Lincoln bukan seorang panglima perang yang hebat seperti Napoleon atau Washington. Dia bukan negarawan mahir seperti Gladstone atau Frederick the Great. Tetapi keunggulan Lincoln terzahir dalam kekuatan akhlak dan kehebatan
jatidirinya.

Marilah kita segarkan kembali hasrat dan aspirasi perjuangan keadilan. Kita tonjolkan akhlak dan jatidiri yang bersuluhkan hikmah.

Ayuh komrad!

Kita bulatkan tekad menghadapi Pilihanraya Umum Ke-13. Kita dambakan sebuah negara yang demokratik dan bebas di mana setiap rakyat Ucapan Dasar Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia hidup bersama dengan harmoni dan mendapat peluang dengan seadil-adilnya.

Hari ini kita nyatakan iltizam untuk mencapai cita-cita tersebut. Ia adalah cita-cita yang mahu kita capai dalam kehidupan ini. Malah, ia adalah satu cita-cita yang nyawa sekalipun sanggup kita pertaruhkan. Ketika mata masih celik, telinga belum tuli dan jantung masih berdenyut, percayalah ikhtiar dan hikmah kita akan menzahirkan perubahan.

Lawan tetap lawan!

(Hakcipta © 2010 oleh Shamsul Iskandar Mohd. Akin. Semua hak terpelihara. Petikan daripada penulisan ini hanya boleh digunakan dengan memberikan kredit kepada penulis. Ucapan Dasar ini dibentangkan kepada Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan Malaysia Ketujuh pada 26 November 2010 di Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan. Diterbitkan dan dicetak oleh Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat)

MB minta rakyat turun beramai-ramai bagi nyatakan sokongan

Posted: 01 Dec 2010 10:33 PM PST

SHAH ALAM, 1 Dis – Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta rakyat supaya menyokong dan turun beramai-ramai menyatakan solidariti kepada kempen kerajaan negeri melindungi hak air rakyat Selangor.

Kempen Air Untuk Rakyat ini akan menyaksikan sasaran 100,000 rakyat menyerahkan memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, di Istana Negara, pada 5 Disember depan.

Bercakap di satu sidang akhbar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam hari ini, Tan Sri Khalid berkata, acara ini bertempat di Masjid Negara, Kuala Lumpur, tepat jam 12 tengah hari.

"Kerajaan Selangor berharap isu air ini mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara, dan tempat rakyat berlindung mencari keadilan," katanya.

Rakyat ditetapkan merentasi ibu negara dari Stesen Aliran Ringan Pasar Seni, melalui Jalan Tun Sambanthan menuju ke Stesen KTM Kuala Lumpur, dan bertemu di Masjid Negara, sebelum berarak ke Istana Yang di-Pertuan Agong.

"Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri pada 2006 bersetuju untuk menyerahkan pengurusan air kepada kerajaan negeri.

"Barangkali Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat (Pakatan), jadi Kerajaan Persekutuan enggan melakukannya," jelasnya pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam, hari ini.

Penstrukturan semula industri air Selangor

Posted: 01 Dec 2010 10:27 PM PST

Kerajaan Negeri Selangor mengajak Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan 'model holistik' yang ditawarkan di mana empat syarikat swasta yang mendapat konsesi air selama ini akan dibeli dan diletakkan ke dalam satu Badan Bertujuan-Khas. Entiti baru ini akan dilurus-tadbir sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor dengan Kerajaan Persekutuan mempunyai perkongsian saham istimewa. Semua asset berkaitan air akan dipindahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) syarikat di bawah Kerajaan Persekutuan.

Kenapa Kerajaan Negeri Selangor menawarkan 'model holistik'?

Kerajaan Negeri Selangor yakin bahawa 'model holistik' adalah penyelesaian terbaik kerana rawatan dan agihan air akan dilakukan oleh pengendali tunggal. Ini akan mengurangkan tariff air kerana tiada isu "kos pemindahan" kerana pada masa ini pengendali rawatan air meletakkan nilai keuntungan yang tinggit dan ini menyebabkan syarikat pengagihan air meningkatkan tariff air. Industri air akan lebih berkesan dan tidak terbeban dengan asset dengan menggunakan model holistic. Syarikat swasta ini tidak lagi akan beroperasi seperti mana sebelumnya. Melalui model ini, kenaikan tariff air boleh dibuat tidak melebihi 12% setiap tiga tahun. Keuntungan operasi adalah paling rendah iaitu sekitar 0-1%.

Apakah kesan penswastaan industri perkhidmatan air?

Industri air ini pada asalnya dikendalikan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Ia diswastakan antara tahun 1997 dan 2002 kepada empat syarikat, iaitu :
1. Konsortium Abass Sdn Bhd
2. Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH)
3. Puncak Niaga Sdn Bhd (PUNCAK)
4. Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS)

Penswastaan keperluan awam ini tidak berimbang kerana perjanjian konsesi diberikan kepada SYABAS untuk menaikkan tariff air setiap tiga tahun pada kadar yang terlalu tinggi. Pada tahun 2009, melalui perjanjian konsesi, SYABAS dibenarkan untuk menaikkan tariff air sehingga 37%. Tariff air ini dijadualkan akan meningkat pada kadar 25%, 20%, 10% dan 5% pada tahun 2012, 2015, 2018 dan 2021. Pengguna dipaksa membayar harga harga tinggi dan masih menerima kualiti perkhidmatan yang amat buruk. Kerajaan Negeri Selangor berpandangan bahawa SYABAS tidak wajar dibenarkan terus beroperasi dan industri air mesti diambil semula oleh Kerajaan Negeri sebagaimana sejarah asalnya.

Kenapakah penting untuk menyah-swastakan industri perkhidmatan air sedia ada?

Perhimpunan Agung Bangsa Bersatu telah menyatakan bahawa akses kepada air bersih ialah satu daripada hak asasi manusia dan ini sangat dialukan oleh jurukempen isu air sebagai satu langkah penting. Resolusi PBB ini menggesa bantuan kewangan disediakan oleh Negara-negara ahli untuk membantu mana-mana Negara menyediakan air yang selamat, bersih, boleh diakses dan mampu dibayar oleh semua. Sifat ditunjukkan oleh syarikat swasta yang mendapat konsesi air, khususnya SYABAS, ialah berorientasikan keuntungan dan tidak mengisahkan kepentingan rakyat sebagaimana sepatutnya boleh dilakukan oleh syarikat milikan kerajaan. Akses kepada air seharusnya memenuhi hak dan keadilan kepada rakyat.

Adakah ini bersesuaian dengan peruntukan undang-undang?

Ya, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 telah diluluskan oleh Parlimen dengan objektif untuk menggabungkan asset industri berkaitan air dan memindahkannya kepada PAAB. PAAB akan menyumbang kepada perbelanjaan modal (CAPEX) masa depan dan menyediakan dana untuk penyelenggaraan asset. Undang-undang ini telah diluluskan untuk menyelesaikan masalah industri air yang terbahagi. Objektifnya adalah untuk memastikan pelaburan modal optimum untuk rawatan dan pengagihan air. PAAB sebagai sebuah entity kerajaan akan menikmati kos pinjaman yang rendah, membolehkan biaya sewa rendah untuk pengendali dan sekaligus akan merendahkan kadar tariff untuk rakyat. Pendekatan model holistik adalah selari dengan sebahagian cadangan Kerajaan Persekutuan yang telah dijadikan Dasar Kebangsaan.

Kenapa Kerajaan Negeri Selangor mahu menguruskan industri perkhidmatan air?

Pada Februari 2008, perbincangan cabinet telah membuat keputusan membenarkan syarikat milikan kerajaan negeri iaitu Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) mengetuai proses penstrukturan semula. Selepas meneliti dan membincangkan banyak aspek berkaitan pengambil-alihan ini, Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat kini berpendapat adalah baik untuk meneruskannya dengan model holistik yang dicadangkan. Ini bertujuan untuk memberi manfaat kepada rakyat. Bagaimanapun, selepas Mac 2008, Kerajaan Persekutuan telah mengubah pendirian mereka untuk tidak membenarkan Kerajaan Negeri Selangor menguruskan industri perkhidmatan air di Selangor.

Adakah benar Kerajaan Negeri Selangor yang menangguhkan projek pengambil-alihan ini?

Tidak. Kerajaan Negeri Selangor sentiasa memberi maklum balas segera kepada semua panggilan mesyuarat yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan. Bahkan, Kerajaan Negeri Selangor telah memanggil semua syarikat terlibat untuk bermesyuarat pada Mei 2010, tetapi ini telah dihalang oleh Kerajaan Persekutuan melalui e-mel untuk menunda mesyuarat tersebut tanpa memberikan alas an. Ini berpunca daripada sikap tidak bersetuju Kerajaan Persekutuan terhadap model holistik yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Kerajaan Persekutuan masih mahukan semua syarikat swasta yang terlibat dengan industri perkhidmatan air ini beroperasi.

Dalam bentuk apakan SYABAS menunjukkan prestasi yang tidak memuaskan?

Dalam laporan audit terhadap SYABAS menunjukkan bahawa syarikat swasta itu telah melanggar terma penting dalam syarat perjanjian. Mereka gagal mematuhi keperluan kontrak untuk dianugerahkan melalui tender terbuka. Lebih 72% kontrak bernilai RM600 juta diberikan kepada syarikat-syarikat yang dipilih melalui rundingan terus dan hanya 25% syarikat dipilih melalui tender terbuka. Ini telah melanggar syarat perjanjian. Perbezaan sebanyak RM325 juta telah ditemukan antara ringkasan kontrak yang dianugerahkan pada tahun 2005, 2006 dan 2007 dengan dokumen penilaian SYABAS (Akaun Umum). Pada Jun 2005, SYABAS juga melanggar konsesi dengan menggunakan paip yang diimpot daripada Indonesia, dan bukan daripada pembekal tempatan, untuk penggantian paip bernilai RM375 juta. RM51.2 juta telah dibelanja untuk mengubahsuai pejabat SYABAS sedangkan Jabatan Kawalselia Air Selangor (JKAS) hanya meluluskan sebanyak RM23.2 juta.

Kenapakah Kerajaan Negeri Selangor tidak membenarkan SYABAS menaikkan tariff air?

Audit adalah satu keperluan yang mesti dilakukan oleh syarikat untuk membolehkan mereka menaikkan tariff air (yang dijadualkan berlaku pada Januari 2009). Kerajaan Negeri Selangor berpendirian SYABAS tidak menunjukkan prestasi berdasarkan perkara yang boleh dipersoalkan sebagaimana tertera dalam laporan audit dan ini sekaligus menyebabkan kenaikan tariff air tidak dipersetujui. Kenaikan tariff nin mesti dipersetujui bersama oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor dan ini tidak dilakukan. SYABAS mahu menyaman Kerajaan Negeri sekitar RM1 billion, tetapi hakikatnya Kerajaan Negeri Selangor boleh menyaman SYABAS kerana tidak menunjukkan prestasi sebagaimana yang dipersetujui dalam perjanjian.

Adakah tawaran Kerajaan Negeri Selangor berpatutan?

Kerajaan Negeri telah memberikan beberapa tawaran kepada syarikat yang terlibat. Pertama, jumlah sebanyak RM5.7 billion dibuat pada Januari 2009 dan ditolak oleh semua syarikat. Kali kedua, tawaran diberikan sebanyak RM9.29 billion pada Jun 2009 diterima oleh ABASS dan SPLASH, tetapi ditolak oleh PUNCAK dan SYABAS. Tawaran Kerajaan Negeri ini adalah adil dan berpatutan, mengambil kira pulangan pelaburan modal sebanyak 12%. Ini mengambil kira jumlah dan tempoh pelaburan serta hutang yang ada. Kami yakin ini adalah adil, tetapi syarikat-syarikat tersebut menuntut nilai lebih tinggi yang kami yakin didorong oleh sikap tamak mereka. Ini adalah tambahan kepada kontrak yang sedia ada mewah. Lebih tinggi nilai yang tidak sepatutnya dibayar kepada mereka, lebih tinggi rakyat terpaksa menanggung beban melalui kenaikan tariff.

Apakah langkah seterusnya akan dilakukan berikutan penangguhan ini?

Rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya perlu dijelaskan dan diajak untuk menyatakan sikap kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan bahawaHANYA model holistik yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor terbaik dan paling sesuai dilakukan. Ini membolehkan tariff yang dikenakan kepada rakyat pada kadar rendah dan memastikan semua mempunyai akses yang cukup untuk mendapatkan air serta tidak berlaku lagi syarikat kroni mengumpul keuntungan besar untuk manfaat mereka semata-mata. Tanpa desakan awam, Kerajaan Persekutuan akan menekan dan memaksa Kerajaan Negeri Selangor (dan rakyatnya) untuk menerima model yang membolehkan syarikat swasta ini terus beroperasi.

Adakah benar krisis air akan berlaku pada tahun 2012?

Kerajaan Negeri Selangor kekal berpendapat ianya adalah spekulasi. Kerajaan Persekutuan pernah menyatakan bahawa krisis air akan berlaku pada tahun 2007 dan 2010 tetapi ini tidak berlaku. Terkini, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato' Peter Chin membuat kenyataa berasaskan Kajian Sumber Air Kebangsaan (NWRS) 2000-2005 oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang tidak mengikut Garis Panduan Rekabentuk Jabatan Kerja Raya (JKR). NWRS menyatakan jumlah keperluan air yang terlalu tinggi iaitu 500-1,225 liter per kapita per hari (l/c/d) pada tahun 2010 berbanding dengan angka MWA iaitu 320 l/c/d. Justeru, angka NWRS sangat boleh dipersoalkan kerana ia menggunakan pembolehubah peningktan pelarasan mesti dibuat terutama dengan reality keadaan ekonomi yang perlahan. Dengan tumpuan Rancangan Malaysia ke-10 diberikan kepada sector perkhidmatan (dan kurang kepada industri dan pembuatan), permintaan air secara tidak langsung akan berkurangan.

Perlukah kita mengurangkan penggunaan air?

Kerajaan Negeri Selangor memang menyetujui penggunaan air secara berhemat, kitar semula air dan juga tadahan air hujan. Alternatif-alternatif lain juga perlu diteroka seperti pengekstrakan air bawah tanah, air daripada sungai dan tasik. Penggunaan air terawatt perlu dikurangkan untuk aktiviti seperti membasuh kereta, menyiram pokok dan kolam serti akuarium di rumah.

Adakah Kerajaan Negeri Selangor menghentikan Projek Pemindahan Air Antara-Negeri Pahang-Selangor?

Kerajaan Negeri Selangor menasihatkan Kerajaan Persekutuan untuk menghitung semula permintaan air dengan lebih tepat sebelum berhasrat untuk melaksanakan sebuah lagi projek mega yang mencecah sehingga RM9 billion. Projek ini tidak perlu dijalankan secara tergesa-gesa. Hakikatnya, projek ini diasaskan daripada dapatan NWRS yang antara lain disediakan oleh tida syarikat swasta yang terlibat dengan projek tersebut iaitu: Ranhill Bersekutu Sdn Bhd, Jurutera Perunding Zaaba Sdn Bhd dan SMHB Sdn Bhd. Konflik kepentingan wujud di mana ia menjadi kemahuan mereka untuk menggalakkan pembinaan Empangan Kelau, Loji Rawatan Air Langat 2 dan pembinaan paip-paip berkaitan.

Isu air: Mahasiswa Ikrar Iring MB S’gor Berdemo

Posted: 01 Dec 2010 10:25 PM PST

Kumpulan mahasiswa di negara ini berikrar mengiringi Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membantah kenaikan tarif air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) Ahad ini.

Kumpulan yang membabitkan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Industri Selangor (Unisel) dan Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (KAMI) akan disertai sekurang-kurangnya 300 mahasiswa dari seluruh Lembah Klang.

Presiden KAMI, Hilman Idham (kanan) berkata, ini kerana banyak mahasiswa yang tinggal di rumah sewa turut terjejas secara langsung sekiranya tarif air dinaikkan sebanyak 37 peratus.

"Selangor merupakan negeri yang memuatkan institusi pengajian tinggi yang menjadi rumah kedua kepada sebilangan besar mahasiswa dari seluruh pelosok negara.

"Sebahagian besar mahasiswa tidak mendapat kemudahan kolej kediaman dan sebilangan besar darinya tinggal menyewa di kawasan perumahan berhampiran universiti atau kolej kediaman," katanya.

Ahad ini, satu perhimpunan dianjurkan di Masjid Negara di Kuala Lumpur bagi mengiringi Khalid ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum itu.

Menteri besar dilaporkan akan turut menyerahkan tandatangan rakyat Selangor yang menolak kenaikan tarif air pada 31 Mac tahun depan.

Dalam sidang media di ibu negara hari ini, Hilman – mahasiswa tahun akhir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – berkata kesan kenaikan tarif air di negeri itu bakal membebankan separuh daripada puluhan ribu mahasiswa di seluruh Selangor.

Menurut pelajar tahun akhir UKM itu, di universitinya sahaja, kira-kira 40 peratus mahasiswa tinggal di rumah sewa manakala di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula didakwa lebih 60 peratus terlibat.

Ditanya kenapa masih banyak kumpulan mahasiswa yang dilihat 'senyap' berhubung perkembangan itu, Hilman mengakui masih ada di kalangan mereka yang masih "gagal menyuarakan prinsip" masing-masing.

Sementara itu, menjawab soalan pemberita, exco perhubungan MPM Unisel Mohd Fikri Hamdan pula menafikan bahawa mahasiswa di universiti milik kerajaan negeri itu 'digunakan' bagi kepentingan pihak tertentu dalam bantahan itu.

"Ini inisiatif kami sendiri. Lagi pun, mahasiswa di Unisel bukan semuanya rakyat Selangor, (sebaliknya) daripada pelbagai negeri."

Jumaat ini – dua hari sebelum perhimpunan itu – KAMI dan MPM Unisel merancang menyebarkan risalah di masjid sekitar universiti di Lembah Klang bagi mengajak mahasiswa lain turut serta berhimpun bersama Khalid.

Penswastaan air: Mengfaraidkan harta awam

Posted: 01 Dec 2010 10:20 PM PST

Sebelum dasar penswastaan diperkenalkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohammad, bekalan air untuk warga diseluruh negara dikendali dan diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

NONEJKR ini bukan syarikat kroni dan tidak pernah berniat untuk mencari untung. Tidak ada individu atau Datuk yang memiliki saham dalam lembaga JKR. Saham JKR dimiliki oleh seluruh warga Malaysia kerana JKR ini adalah harta awam. Jabatan ini bertugas untuk menjaga kebajikan orang ramai. Berkhidmat untuk kebajikan semua warga negara adalah niat dan rukun iman JKR.

Semuanya berubah apabila dasar penswastaan diperkenalkan. Dasar penswastaan adalah dasar kapitalis di mana semua hak milik rakyat yang di bawah jagaan kerajaan dijualkan kepada orang ramai. Sebenarnya penswastaan ini adalah satu projek silap mata di mana harta rakyat disonglap oleh para kroni.

Caranya bagini:

Loji air dan semua yang bersangkutan dengan pembekalan air sebelum penswastaan adalah milik orang ramai. Penswastaan adalah dasar di mana harta milik orang ramai ini diambil alih dan difaraidkan kepada para kroni, cukong dan mereka yang berduit untuk membeli saham.

Tak perlu silap mata

Cara mengfaraidkan harta orang ramai ini kepada kroni cukup senang – tak perlu silap mata. Loji dan semua yang bersangkutan dengan air yang awalnya milik orang ramai ini diubah suai untuk dijadikan sebuah syarikat. Lalu Menteri Kewangan meletakan nilai terhadap saham air syarikat ini

syabas logoKementerian kewangan mengeluarkan 'pink form' atau borang merah jambu. Tertera di borang ini adalah jumlah saham yang telah difaraidkan kepada sang kroni. Sang kroni atau kawan atau kenalan Pak Menteri boleh membawa borang ke bank. Bank dengan berbesar hati akan menyediakan pinjaman berlandaskan jumlah saham yang tertera di borang. Pinjaman dari bank ini untuk membolehkan sang kroni membeli saham yang akan diapungkan.

Sebelum ini Menteri Kewangan akan meletakan harga terhadap saham air di syarikat baru ini. Biasanya akan dinilai dengan harga yang agak rendah. Ini untuk memastikan mereka yang dapat anugerah saham dan borang merah jambu akan dapat dijualkan balik dengan harga yang lebih mahal. Saham ini diapungkan – kerana dinilai murah - maka apabila diapungkan ramai pembeli sanggup membeli dengan harga yang mahal.

Maka tuan empunya borang merah jambu dan tuan empuya saham akan menjualkan saham dengan harga mahal. Inilah cara dasar penswastaan di mana kaum kerabat, kroni dan elit kawan-kawan di Umno dapat membuat – bukan mee segera tapi duit segera.

NONEJusteru, para kroni, anak bini, kaum keluarga dan kawan kawan Pak Menteri akan jadi kaya raya melalui dasar penswastaan ini. Mereka semua mendapat manafaat maka pastilah mereka akan menyokong dasar ini hingga ke liang lahad.

Tetapi bukankah amat jelas dasar penswastaan - memfaraidkan harta orang ramai - ini adalah kerja merompak di siang hari?

Betul. Ini satu rompakan rasmi melalui penswastaan. Ini adalah dasar yang diajukan oleh Umno. Rompakan ini juga menggunakan parlimen untuk menghalalkan cara merembat harta orang ramai. Inilah caranya bagaimana air rakyat Selangor tetiba dimiliki oleh syarikat Syabas.

Kisah rompakan

Untuk memastikan harta rompakan ini akan terus membawa keuntungan, Umno telah mengikat perjanjian dengan Syabas ketika menjual harta rakyat ini. Dalam perjanjian jual beli ini Umno telah memastikan setiap dua atau tiga tahun harga air wajib dinaikkan.

Kenapa kah ini berlaku? Tidakkah sesiapa nampak akan butir isi perjanjian ini?

water bill 110608Rompakan ini cukup licik - orang yang merompak dan orang yang membuat perjanjian adalah malaun yang sama. Ertinya Pak Menteri yang bertanggung jawab membuat perjanjian adalah juga pemegang saham dalam syarikat yang diswastakan ini. Pelik? Silap mata? Tidak!

Kalau diselidik nama menteri ini pasti tidak akan ditemui. Menteri ini bukan bangang. Pak Menteri akan menggunakan pelbagai cara. Semua boleh diurus. Ini dasar Malaysia boleh!

Perlu diberitahu bahawa surat perjanjian ini tidak pernah diketahui oleh orang ramai. Perjanjian antara Syabas dan kerajaan Selangor telah menjadi rahsia dan jatuh di bawah Akta Rahsia Kerajaan. Inilah cara si perompak merompak harta orang ramai dan menjaga hasil rompakan mereka.

Rahsia sudah kantoi

Hanya apabila kerjaaan Selangor ditadbir oleh Pakatan Rakyat barulah diketahui semua isi perjanjian ini. Kerajaan Selangor telah membakul sampahkan Akta Rahsia Kerajaan. Sekarang semua maklumat kerajaan Selangor boleh ditemui tidak ada lagi yang berahsia rahsia. Rahsia Syabas sudah kantoi!

khalid ibrahim selangor waterHari ini kerajaan Pakatan di Selangor ingin mengambil alih kembali syarikat air Syabas. Ertinya dikembalikan kepada kedudukan asal di mana air dan semua yang bersangkutan dengan air di Selangor bukan milik syarikat atau saham individu tetapi milik kerajaan. Dari syarikat swasta dikembalikan untuk dijadikan hak milik orang ramai sekali lagi.

Kenapa kerajaan Pakatan Selangor berbuat demikian?

Semenjak tahun 1997 apabila air di Selangor diswastakan amat jelas ia telah merugikan orang ramai. Syarikat air Syabas selama 10 tahun ini telah dijadikan lombong emas untuk memperkayakan para kroni dan kaum keluarga. Buktinya amat jelas. Ini bukan fitnah dan tohmahan. Bukti ini muncul daripada laporan audit tahunan yang diteliti oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

azlanTahukah warga Selangor dan warga Malaysia anak semua bangsa: bahawa gaji CEO Syabas, Tan Sri Rozali Ismail ialah RM5.1 juta setahun atau 425,000 ringgit sebulan. Bayangkan kalau RM5 juta ini duit lima sen - sudah tenggelam seluruh tasik air di Hulu Langat.

Perlu juga diberitahu daripada laporan audit ini, syarikat Syabas ini telah memberikan 72 peratus kontrak bernilai RM600 juta kepada syarikat kroni melalui rundingan 'sap sap sui'. Juga daripada laporan yang sama telah diketahui bagaiman RM325 juta 'tenggelam lesap' entah ke mana.

Melihatkan ini maka kerajaan Selangor sedang bertempur hebat untuk mengambil alih kembali kawalan terhadap syarikat Syabas. Sekarang ini warga Selangor telah mendapat 20 kubik meter air percuma. Air percuma ini diberi ketika Syabas masih lagi syarikat swasta.

Kembalikan hak rakyat

Bayangkan jika Syabas ini milik orang ramai. Berapa banyak keuntungan yang dapat kita sama sama rasa? Seluruh warga Selangor dapat berenang dengan duit yang telah diselamatkan dari dirompak.

plus highway sg besi 180205 aerial view 01Apa yang sedang dilakukan oleh kerjaan Pakatan Rakyat di Selangor ini adalah permulaan untuk mengembalikan hak rakyat. Mengembalikan harta rakyat yang telah difaraidkan oleh Mahathir dan konco-konconya. Perjuangan untuk mengembalikan hak rakyat masih jauh lagi. Api, lebuh raya, hospital, klinik - adalah di antara harta rakyat yang telah dirompak melalui dasar penswastaan.

Orang ramai – anak semua bangsa – tidak ada pilihan melainkan menolak dasar penswastaan. Amat jelas dasar ini adalah dasar yang tidak membawa kebajikan untuk orang ramai. Dasar ini hanya imembawa laba, untung, kekayaan dan kebajikan untuk pemilik saham.

NONEJusteru marilah kita turun sama berjuang di jalan raya pada 5 Disember ini. Pada hari Ahad ini, warga Selangor akan berkumpul di Masjid Negara. Warga Selangor akan bersama Menteri Besar dan pimpinan Pakatan Rakyat untuk berarak menyampaikan memo kepada Yang di-Pipertuan Agong. Memo menuntut hak air mereka dipulangkan kembali.

Anak semua bangsa mari kita bersetia-kawan dan bersolidariti dengan warga Selangor yang berjuang untuk mendapatkan hak air mereka Hari ini air Selangor - esok api elektrik dan hospital yang perlu kita sama-sama perjuangkan.

5 Dis 2010 : Ayuh kita ke Istana Negara

Posted: 01 Dec 2010 10:16 PM PST

Anwar : Ketuanan Melayu Khianati Bahasa Melayu

Posted: 01 Dec 2010 10:13 PM PST

KUALA LUMPUR 2 DIS: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas parti 'Ketuanan Melayu'(Umno) kerana mengkhianati perjuangan memartabatkan Bahasa Kebangsaan.

Beliau yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata dalam kerakusan Malaysia mengejar ekonomi sejagat menyaksikan Umno memandang kecil Bahasa Melayu sebagai tunjang bangsa Malaysia.

Anwar berkata pejuang-pejuang 'Ketuanan Melayu' dalam Dewan Rakyat tidak mempunyai iltizam untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

"Kononnya kita mengagungkan bahasa kita, tetapi kita menghinanya kerana mengganggap bahasa Melayu terlalu lemah untuk matapelajaran matematik dan sains,"Anwar berkata demikian dalam ucapannya berkenaan penambahbaik kurikulum pendidikan negara.

Turut mendapat perhatian Anwar adalah matapelajaran Sejarah, yang enggan mengiktiraf sumbangan dan perjuangan pejuang-pejuang Melayu bukan Umno.

"Mengapa kita enggan mengiktiraf sumbangan dan perjuangan pejuang Melayu seperti Burhanuddin al-Helmy?"tanya Anwar.

Keadaan di Dewan Rakyat bagaimanapun tegang selepas Ahli Parlimen Pasir Salak bangkit menyanggah ucapan Ketua Pembangkang.

Ahli Parlimen itu membidas ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat dalam bahasa Inggeris.

Peratusan keciciran anak Malaysia dari arus pendidikan perdana berada di paras mencemaskan.

Dalam perbahasan itu juga, Anwar mendedahkan Laporan Pembangunan Manusia 2010 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan peratusan anak Malaysia ke sekolah menengah sekecil 69.1 peratus sahaja, di belakang Indonesia 75.5 peratus, Filipina 81.4 peratus, Turki 82 peratus dan Sri Lanka 87 peratus.

Ketua Pembangkang itu melahir kan rasa bimbang kerana ia menunjukkan bahawa ramai anak Melayu yang tercicir dari persekolahan.

Anwar menggesa kurikulum sekolah ditambah-baik, dan langkah-langkah diambil bagi menangani kegelinciran ini.

Ketuanan Melayu: Usah sorok sebalik songkok

Posted: 01 Dec 2010 10:11 PM PST

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan rakyat di negara ini, khususnya orang Melayu supaya tidak melupakan sejarah tanah air dan mengenali siapa pengkhianat bangsa dan agama sebenarnya.

NONE"Hari ini, isu perlantikan timbalan perdana menteri ini diolah sekali lagi oleh media milik Umno dengan begitu hebat. Lalu dijemputlah segala pemimpin-pemimpin Umno segenap lapisan untuk memberikan ulasan.

"Seolah-olah Umno satu-satunya parti yang mempertahankan Melayu, seolah-olah bangsa Melayu ini hanya akan berdaulat melalui keris tumpul Umno dan seolah-olah rebah Umno bererti rebahlah Melayu. Hanyir dan busuk sekali dakwaan-dakwaan sampah yang disebar luas ke dalam minda masyarakat pada hari ini," katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Umno serah kerusi Ketua Menteri

Nik Aziz mengulas laporan media yang membidas kenyataan ketua pembangkang bahawa jawatan timbalan perdana menteri diserahkan kepada bukan Melayu jika Pakatan Rakyat berkuasa pada pilihan raya umum ke-13 menjejaskan konsep ketuanan Melayu di negara ini.

patrick lim and abdullah ahmad badawi and koh tsu koon 270906"Lupakah kita bahawa Umno pernah menyerahkan kerusi ketua menteri Pulau Pinang kepada Gerakan sekalipun Umno yang mempunyai majoriti di Dewan Undangan Negeri? Di waktu itu, ke mana perginya ketuanan Melayu? Tersorok di dalam songkok tinggi Umno? Ketika itu, ke mana perginya professor-profesor bertaraf cendikiawan yang sibuk mengulas isu ketuanan Melayu pada hari ini?

"Peliknya apabila Tun Dr Mahathir (Mohammed) sendiri menggesa supaya dilupakan asal usul keturunan demi menjayakan 1Malaysia, tidak pula didesak untuk diusir keluar negara? Bukankah melupakan asal usul keturunan ertinya melupakan Ketuanan Melayu?" soalnya.

kuala terengganu by election dap dinner 140109 nik aziz and lim kit siangMenurut Menteri Besar Kelantan itu, isu perlantikan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang selaku timbalan perdana menteri sebenarnya dimanipulasikan oleh media milik Umno untuk kepentingan politikmereka.

"Sukalah untuk saya menyatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak pernah membuat apa-apa keputusan dan tidak pernah mengadakan apa-apa perbincangan tentang hal ini.

Salah lapor budaya media Umno

"Syak saya teramat kuat bahawa permainan media telah digunakan dengan amat dahsyat di dalam memanipulasi kenyataan Datuk SeriAnwar Ibrahim. Apa yang peliknya dengan budaya media milik Umno?" soalnya.

Nik Aziz berkata salah lapor dan salah dengar adalah satu budaya di kalangan petugas media milik Umno.

azlan"'Islam plastik' yang pernah saya tuturkan satu ketika dahulu pun pernah dilaporkan sebagai 'Islam Palestin'.

Menurut mursyidul am PAS itu lagi, pendiriannya dari dahulu hingga sekarang tidak pernah berubah bahawa bangsa tidak mempunyai sebarang nilai di dalam Islam.

"Melayu, Cina atau India tidak pernah mempunyai sebarang nilai tambah di sisi Allah SWT melainkan dengan taqwa. Seorang yang berbangsa Cina tetapi bertaqwa kepada Allah SWT jauh lebih mulia dari seorang yang berbangsa Melayu tetapi hidup dengan rasuah, menindas, mengkhianat dan sebagainya.

Songkok tiga jengkal

"Sekalipun songkok setinggi tiga jengkal di kepala, tanpa taqwa kepada Allah SWT, ia tidak mempunyai sebarang nilai," katanya.

perkasa protest at chinese assembly hall 6Menurut Nik Aziz yang penting ialah dasar dan jika dasar Islam, sesiapapun boleh menjadi pemimpin.

"Di Kelantan saya pernah mengeluarkan kenyataan berkali-kali bahawa menteri besar Kelantan boleh terdiri daripada seorang yang berbangsa Cina dengan syarat merupakan seorang muslim yang soleh.

"YB Lim Kit Siang atau sesiapapun boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri bahkan Perdana Menteri sekalipun tidak mempunyai apa-apa halangan, syaratnya merupakan seorang Muslim yang soleh. Seorang Muslim yang soleh sekalipun bukan Melayu jauh lebih bermanfaat untuk negara ini dari seorang Melayu yang korup!" katanya mengakhir kenyataan akhbar berkenaan.

Memo Air : Angkat Agenda Ketuanan Rakyat ,Humban Agenda ‘Ketuanan Melayu’

Posted: 01 Dec 2010 10:07 PM PST

Angkatan Muda Keadilan Selangor (AMK Selangor) menyeru seluruh rakyat Selangor kalangan generasi muda dan setiap golongan untuk turun mengiringi Menteri Besar Selangor bagi menghantar memorandum air kepada Yang DiPertuan Agong pada 5 Disember ini ke Istana Negara.

AMK Selangor mengajak semua rakyat bangkit menyatakan pendirian mengangkat ketuanan rakyat marhaen,ketuanan petani pesawah dan peladang,ketuanan pemandu teksi,ketuanan pekerja awam dan swasta dan menghumban agenda 'Ketuanan Melayu' yang dipergunakan segelintir elit dan korporat untuk mengaut kekayaan demi kepentingan diri sendiri.

AMK Selangor yakin inilah masanya untuk rakyat Selangor menyatakan pendirian tegas agar hak milik air dikembalikan semula kepada rakyat agar harganya stabil disamping menikmati kemudahan yang lebih baik. Dasar penswastaan air jelas hanya memberikan keuntungan kepada segelintir korporat sedangkan hak asasi rakyat untuk menikmati kemudahan air pada harga yang stabil dan munasabah terabai.

AMK Selangor menyatakan pendirian tegas bahawa isu air ini perlu diselesaikan segera tatkala kerajaan persekutuan berdolak dalik melindungi dasar penswastaan jelas merugikan rakyat.

Inilah saat penting seluruh rakyat Selangor bangkit menyatakan hak bahawa rakyat adalah tuan dan menjadi 'hamba' kepada segelintir pemimpin dan korporat yang berselindung disebalik agenda 'ketuanan Melayu'. AMK gesa agar mobilasi kekuatan ini dizahirkan dengan turun bersama-sama mengiringi Menteri Besar Selangor ke Istana Negara sebagai titik tolak perjuangan memartabatkan ketuanan rakyat agar pengurusan air dikembalikan semula kepada rakyat.

Khairul Anuar Ahmad Zainuddin

Ketua AMK Selangor

Timbalan Ketua AMK Malaysia

Tiada ulasan: