Kenaikan harga sebanyak 5 sen RON 95 merupakan kenaikan kali kedua berturut-turut dalam masa 6 bulan. Pengumuman yang dibuat oleh Dato' Seri Idris Jala juga meliputi penarikan subsidi terhadap beberapa barang keperluan seumpama gula(kenaikan sebanyak 20 sen), diesel(kenaikan sebanyak 5 sen) dan gas petroleum cecair(kenaikan sebanyak 5 sen).
Manakala Barisan Nasional menegaskan peningkatan harga tersebut adalah kecil dampaknya terhadap rakyat, namun hala tuju dasar negara yang terbentuk kesan dari kenaikan tersebut tidak boleh dipandang ringan.
Barisan Nasional melalui PEMANDU telah membentangkan pada sesi Hari Terbuka Rasionalisasi Subsidi bertarikh 27 Mei 2010, bahawa sudah ada rancangan untuk menarik balik subsidi minyak jenis RON 95 pada setiap 6 bulan. Pengumuman semalam mengesahkan akan ada kenaikan harga pada masa hadapan, berkemungkinannya kenaikan yang lebih besar jumlahnya
dari yang dicadangkan iaitu kenaikan 10 sen setiap 6 bulan.
Penarikan balik subsidi beberapa jenis barangan juga diusulkan termasuklah subsidi gas yang berkait rapat dengan Janakuasa Bebas yang dimiliki segelintir elit korporat dan kroni Barisan Nasional. Namun sehingga kini kelihatannya kenaikan harga hanyalah terhadap barangan keperluan dan pastinya rakyat keseluruhan yang merasa pedihnya, bukannya kroni.
PEMANDU menganggarkan sejumlah RM 1.12 billion akan dijimatkan pada tahun 2010 sekiranya subsidi gas untuk Janakuasa Bebas serta sektor bukan tenaga dapat dikurangkan. Ini dapat dicapai sekiranya harga gas untuk Janakuasa Bebas dan sektor bukan tenaga naik masing-masing RM4.65 per mmbtu(million British unit haba) serta RM 2.52 per mmbtu.
Sehingga kini, kerajaan melalui PETRONAS, berhasil menyediakan subsidi buat Janakuasa Bebas dan industri lainnya sejumlah RM 19 billion setiap tahun kerana harga gas selepas subsidi hanyalah RM 10.70 permmbtu (untuk Janakuasa Bebas), harga yang dikira amat murah jika dibandingkan dengan harga pasaran buat gas yang diimpot iaitu RM 38per mmbtu (sekiranya negara terpaksa mengimpot akibat dari kekurangan pengeluaran).
Oleh itu kita mahu Perdana Menteri dan pentadbiran beliau memberi penjelasan mengapakah mereka terburu-buru untuk menarik balik subsidi minyak, gula dan gas petroleum cecair, sedangkan kesan dari keputusan tersebut hanya akan membebankan rakyat terbanyak. Pada masa yang sama kita mempersoalkan tindakan mereka kerana kebijakan tersebut tidak menjurus pula terhadap golongan elit korporat terutamanya mereka yang rapat dengan pemerintah.
Tambahan pula sehingga kini kita hanya dihamburi janji sedangkan perubahan yang dijanjikan hanya sekadar suatu wayang dan permainan komunikasi terutamanya berkaitan sistem pengagihan subsidi. Kita berpandangan Perubahan mesti disegerakan kerana ianya mustahak demi memastikan bantuan dari pemerintah sampai kepada golongan berpendapatan rendah sekaligus meringankan beban mereka berhadapan dengan kos sara hidup yang meningkat.
PEMANDU begitu tangkas memastikan subsidi ditarik balik, akan tetapi begitu perlahan mengungkapkan penyelesaian untuk mengagihkan semula subsidi demi kepentingan rakyat terbanyak dan miskin.
Justeru kita ragu keberkesanan serta iltizam untuk melaksanakan perubahan walaupun bahagian terakhir Model Ekonomi Baru baru sahaja dibentangkan. Model Ekonomi Baru diwar warkan sebagai satu rancangan untuk membawa perubahan terutamanya buat sistem ekonomi, namun sejarah menjadi saksi apabila tiba waktu untuk melaksanakannya, mereka sentiasa gagal.
Barisan Nasional cuba meyakinkan kita betapa penarikan balik subsidi adalah perlu demi mengurangkan jurang defisit yang sebenarnya akibat dari keborosan selama ini. Akan tetapi apa yang mereka cuba lakukan hanya mengelak dari persoalan sebenar isu subsidi iaitu harga yang
tidak munasabah buat Janakuasa Bebas, kebanyakannya milik kroni.
Lebih menyedihkan, RM 126 juta yang berjaya dijimatkan dari penarikan balik subsidi gula sebanyak 20 sen pada 16hb Julai lalu itu lebih kecil jumlahnya jika hendak dibandingkan dengan bayaran kepada PEMANDU sebagaimana yang dilaporkan Malaysiakini (pada 3hb Disember 2010). Di mana letaknya keabsahan moral kerajaan memerintah ini yang mengambil RM 126juta dari rakyat terbanyak demi untuk membayar RM 66 juta kepada penasihat yang membantu menubuhkan sebuah unit kerajaan dan RM 65 juta pula buat keseluruhan operasi PEMANDU untuk tahun 2010.
Pastinya saya mendengar pengumuman berkaitan dengan Model Ekonomi Baru dengan rasa penuh curiga. Barisan Nasional akan cuba sedaya upaya untuk mengelirukan rakyat dengan segala macam pengumuman kononnya demi kebaikan sektor awam, namun pada masa yang sama boros membayar mereka yang berkhidmat dalam PEMANDU dengan bayaran yang mampu menyaingi sektor swasta.
Dokumen Model Ekonomi Baru menumpu mempromosi liberalisasi dan pembatalan kawal selia, akan tetapi pada masa yang sama memberi lesen kepada YTL untuk menjayakan projek 700MHz tanpa tender terbuka. Berita ini pastinya mendapat cemuhan awam dan kalangan mereka dari industri telekomunikasi.
Pastinya wujud corak ketidaktuntasan di antara pengumuman yang dibuat dan pelaksanaan oleh pemerintah. Ini tidaklah mengejutkan kerana kita sedar pemerintah kini taksub untuk mencipta ilusi indah hasil dari bantuan firma perhubungan awam, yang mana upahnya dibayar dari dana
awam. Bagi mereka yang paling mustahak adalah untuk terus kekal berkuasa.
Justeru Pakatan Rakyat bersama dengan rakyat keseluruhannyabertanggungjawab untuk terus memerhati dan memastikan pemerintah membuat keputusan demi kemaslahatan rakyat serta negara. Kita tidak boleh gagal, kerana akibatnya ialah harga minyak RM 2.10 seliter dalam masa setahun lagi.
YB DATO' SERI ANWAR IBRAHIM
KETUA PEMBANGKANG
Tiada ulasan:
Catat Ulasan