Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA |
- Kes Perak buktikan Speaker boleh dicabar
- Taib terbabit dengan tanah NCR berjumlah RM90 juta?
- MTUC: Bayar gaji minimum, henti pemotongan subsidi
- Senarai Pemilih: MB Kedah Kecewa SPR terus membisu
- Saya Tidak Sentuh Kandungan Surat Apco- Azmin
- Keputusan Inkues Teoh Beng Hock 5 Januari Depan
- Gantung Kami Jalankan Tugas MP Tidak Sah, Kata Karpal
- Semangat Demokrasi Dewan Rakyat 'Sudah Simpang-Siur', Kata Aziz
- Nazri Peguam Tiada Kelas Kata Karpal
Kes Perak buktikan Speaker boleh dicabar Posted: 17 Dec 2010 03:12 AM PST KUALA LUMPUR, 17 Dis: Keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa mahkamah boleh mengenepikan keputusan Speaker Dun Perak kini bakal makan tuan apabila Pakatan Rakyat mahu mencabar keputusan Speaker Dewan Rakyat. Oleh itu, pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa keputusan Speaker Dewan Rakyat tidak boleh dicabar oleh mahkamah telah tertolak dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu. Demikian kata peguam Mohamed Hanipa Maidin (gambar), Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily. Sebelum ini, Mohd Nazri melabelkan ahli parlimen Pakatan Rakyat sebagai 'bodoh dan gila' kerana mengugut untuk mengheret speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ke mahkamah. Mengulas kenyataan ahli parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh - Nazri, menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal parlimen berkata mahkamah tidak boleh mencampuri urusan atau prosiding Dewan Rakyat. "Ini kerja gila dan saya percaya ia akan ditolak oleh mahkamah kerana parlimen ada supremasinya," katanya di lobi parlimen hari ini. Menurut Nazri, telah ada penghakiman yang dengan jelas menyatakan bahawa mahkamah tidak mempunyai jurisdiksi atau bidang kuasa ke atas Parlimen. Karpal yang merupakan seorang peguam sebelum ini berkata tindakan akan diambil ke atas Speaker Dewan Rakyat, Datuk Pandikar Amin Haji Mulia kerana menyalah-gunakan kuasa meluluskan usul menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga ahli parlimen yang lain, termasuk dirinya selama enam bulan. Bagi Hanipa, Umno telah terbelit dengan tindakannya sendiri apabila seolah-olah membenarkan tindakan Mahkamah Persekutuan campur tangan dalam kes keputusan Speaker Dun Perak V Sivakumar apabila beliau menggantung Zambry Abdul Kadir dan enam Exco haramnya. "Adakah Nazri tidak sedar dalam kes Perak, Umno telah menyalahgunakan mahkamah untuk cabar keputusan V Sivakumar, Speaker Dun Perak. "Bukankah Mahkamah Persekutuan telah memutuskan keputusan Sivakumar sebagai Speaker boleh dicabar. Sekarang kes Perak ini dah makan tuan," kata Hanipa dalam kenyataannya. Ini kerana, kedudukan Speaker Dun dan Speaker Dewan Rakyat tidak ada bezanya dalam konteks sistem dewan perwakilan di Malaysia. Jika keputusan Speaker Dun boleh dicabar, maka keputusan Speaker Dewan Rakyat juga boleh dicabar. Sumber: Harakah Daily |
Taib terbabit dengan tanah NCR berjumlah RM90 juta? Posted: 17 Dec 2010 01:15 AM PST Laman sesawang Sarawak Report terus mendedahkan pembelian tanah yang mencurigakan membabitkan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan keluarganya. Kali ini, membabitkan kawasan sekitar Sri Aman dan dikatakan bernilai dehingga RM90 juta. Tanah 8,800 hektar itu terletak di daerah Bijat di Sungai Tisak, timur dari Kuching. Mengikut kumpulan pejuang pribumi, Sadia Native Customary Rights (NCR) tanah itu kepunyaan masyarakat Iban. Sadia melaporkan 15 komuniti Iban menduduki tanah itu akan terjejas apabila tanah berkenaan dikatakan akan diberi secara percuma kepada anak lelaki Taib, Mahmud Abu Bekir Taib, dijual kepada Felcra untuk penanaman semula kelapa sawit. "Masyarakat tempatan Iban berkata pembalak masuk ke kawasan mereka tanpa sebarang makluman empat bulan lalu. Mereka baru menyedari apa yang terjadi dan sekrang ini benar-benar berang. "Tiada sesiapa yang memberitahu mereka siapa sebenarnya pembalak itudan mereka juga tidak tahu mengenai pembabitan rancangan anak Taib yang mahu menukarkan kawasan itu menjadi ladang kelapa sawit," lapor laman sesawang itu, Rabu lalu. Katanya lagi, Pejabat Tanah Daerah, beberap hari lalu mengeluarkan surat kepada 16 ketua masyarakat Iban memanggil mereka untuk bermesyuarat tanpa dimaklumkan agendanya. Menurut Sarawak Report, ketua-ketua Iban itu percaya mesyuarat adalah berkaitan dengan pengambilan tanah mereka sambil berkata tanah mereka juga dirampas dua tahun lalu. Laporan itu mendakwa perjanjian yang dibuat pada Disember 2008 di mana Jabatan Ukur dan Pemetaan yang dikuasai oleh Taib Mahmud atas kapasiti sebagai menteri perancangan dan pengurusan sumber telah dengan rasminya menyerahkan tanh itu kepada Titanium Management Sdn Bhd. Titanium dimiliki hampir sepenuhnya oleh anak ketua menteri, Mahmud dan seorang kroni perniagaan yang dikenali sebagai Chris Chung Soon Nam (bawah, kiri). Tanah adat NCR itu dianugerahkan kepada Mahmud sebagai balasan untuk 'bayaran tertentu yang tidak dijelaskan' kata laporan itu sambil menambah urusniaga seumpama itu adalah cara lazim oleh kerajaan Sarawak yang mempunyai kepentingan keluarga Taib. "Titanium terkenal dengan beberapa 'skandal berprofil tinggi' termasuk menerima beberapa kontrak kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu." Tahun lalu, semasa wawancara Al-Jazeera dengan Menteri Pembangunan Tanah, Sarawak, Datuk James Masing mengakui pembinaan beberapa jambatan diserahkan kepada Titanium tanpa tender terbuka. Chung dilaporkan cuba menjual tanah adat Iban itu kepada Felcra 'untuk sekurang-kurangnya RM 3,200 seekar tetapi cuba mendapatkan harga RM 4,200 bagi setiap ekar," kata laporan sesawang itu. Sumber: Malaysiakini |
MTUC: Bayar gaji minimum, henti pemotongan subsidi Posted: 17 Dec 2010 01:10 AM PST Malaysia tidak mampu pengurangan subsidi lebih lanjut kerana sebahagian besar rakyat di negara ini hidup di bawah garis kemiskinan, kata Kongres Kebangsaan Kesatuan Malaysia (MTUC). Dibebani harga barangan keperluan yang terus naik, maka adalah wajar kerajaan memperkenalkan dasar gaji minumum, kata presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud. Sambil merujuk kajian yang dijalankan oleh Kementerian Sumber Manusia tahun lalu, Syed Shahir berkata 34 peratus golongan yang makan gaji sekarang berpendapatan kurang RM720 sebulan dan berada di garis kemiskinan negara. "Tiada kerajaan penyayang yang akan menaikkan lagi kos hidup sehingga membebankan rakyat. "Kerajaan Malaysia sekarang ini tidak peduli... mereka terus menaikkan harga barangan keperluan asas yang diperlukan untuk terus hidup," katanya dalam satu kenyataan. Menurut beliau kenaikan harga petrol, diesel, gas dan gula, semuanya akan menyebabkan kesan inflasi. Syed Shahir berkata kerajaan tidak sensitif kerana kebanyakan isi rumah rakyat malaysia tidak dapat menampung kenaikan barangan keperluan itu. Kerajaan katanya, tidak sepatutnya memotong subsidi untuk menjimatkan dana awam tetapi sebaliknya mengamalkan pentadbiran berjimat-cermat. "Kerajaan mesti mencari jalan lain bagi memotong perbelanjaannya seperti mengurangkan perbelanjaan pertahanan dan mengurangkan rasuah, termasuk memberikan kontrak yang nilainya 'lebih tinggi' kepada kroni di semua peringkat. "MTUC mengingatkan kerajaan supaya mengambil kira kebajikan dan masa depan rakyat, termasuk pekerja dan keluarga mereka sebagai tanggungjawab utama mereka," katanya lagi. Sumber: Malaysiakini |
Senarai Pemilih: MB Kedah Kecewa SPR terus membisu Posted: 17 Dec 2010 01:00 AM PST ALOR SETAR 17 DIS: Menteri Besar dan Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang mempertikaikan kredibiliti Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia(SPR) badan itu berkata pihaknya tidak menerima tindak balas daripada badan itu atau dipanggil untuk soal siasat berhubung dakwaan (penipuan) tersebut. Setelah dua bulan aduan dan bantahan dikemukakan berkaitan pendaftaran pemilih baru yang didakwa berlaku penipuan di Kedah, SPR masih lagi membisu tanpa sebarang tindakan, lapor Harakahdaily. "Bantahan dibuat secara rasmi pada bulan Oktober yang lalu namun pengadu tidak langsung dipanggil untuk siasatan," kata beliau. Menurut Azizan, pihaknya mendapati pendaftaran pemilih baru di Kedah bagi suku ketiga yang telah dipamerkan pada 27 Oktober ada unsur penipuan iaitu di beberapa kem tentera yang membabitkan isteri-isteri anggota tentera. Kata beliau, PAS Kedah mendapati wujudnya nama yang dipamerkan dalam daftar tersebut, menetap di tempat lain tetapi nama mereka didaftarkan dalam kem-kem tersebut sebagai pemilih baru. Antara kem-kem tentera yang didakwa terlibat ialah Kem Gubir, Kem Bukit Kayu Hitam serta Kompeni Batalion 304 Askar Wataniah di Belantek. Sebelum ini sikap SPR yang dibidas sebagai lemah dalam melaksanakan tugas mereka turut didedahkan oleh PAS Pulau Pinang apabila sebahagian besar nama isteri-isteri tentera yang sebelum ini sebagai pemilih biasa telah didaftarkan sebagai pengundi pos. Dalam kawasan Dewan Undangan Teluk Air Tawar penipuan ini turut didakwa berlaku oleh PAS Pulau Pinang apabila sebahagian besar isteri-isteri tentera secara tidak telus dan mengikut prosedur disenaraikan dalam daftar pemilih sebagai pengundi pos. Tindakan meletakkan nama mereka yang tidak sepatutnya didaftarkan sebagai pengundi pos serta mendaftarkan mereka yang tidak tinggal dalam tempat yang didakwa membuktikan tidak efisiennya SPR. Malah SPR yang disifatkan sebagai sebuah badan yang sepatutnya berkecuali dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada mereka juga didakwa tidak berpandukan prosedur yang telah digariskan oleh mereka sendiri. Sumber: TVSNEWS |
Saya Tidak Sentuh Kandungan Surat Apco- Azmin Posted: 17 Dec 2010 12:55 AM PST PETALING JAYA 17 DIS : Tindakan Dewan Rakyat menggantung empat ahli parlimen pembangkang membuktikan kerakusan dan kuasa melampau Umno-Barisan Nasional(BN). Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali dalam kenyataan medianya hari ini berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sewaktu mencadangkan usul penggantungan menyebut bahawa beliau melanggar Peraturan Mesyuarat 85. Peraturan Mesyuarat 85 ialah keterangan yang diambil di hadapan sesebuah Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan apa-apa surat yang dikeluarkan kepadanya tidak boleh disiarkan oleh siapa jua sebelum panel itu membentangkan laporannya. "Namun begitu saya tidak menyentuh kandungan surat daripada Apco Worldwide yang dikemukakan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan pada 3 Disember 2010 dalam pemberitahuan surat saya kepada Yang Di-Pertua bertarikh 16 Disember 2010," jelas Azmin. Menurut Azmin dalam surat di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1), beliau telah memohon mencadangkan supaya Dewan Rakyat membincangkan perjalanan mesyuarat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan pada 3 Disember yang membuat keputusan menafikan hak Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga Ketua Pembangkang menghadiri prosiding mesyuarat berkenaan. "Sehubungan dengan itu, alasan yang diberikan oleh Datuk Seri Nazri yang mencadangkan untuk menggantung saya daripada Dewan tidak boleh digunapakai kerana tidak pernah menyiarkan kandungan surat Apco tersebut kepada sesiapapun ataupun sewaktu berbahas dalam Dewan. "Isu Apco telah berkali-kali dibangkitkan dalam parlimen yang membawa implikasi kepada kepentingan dan keselamatan negara. Apa salahnya sebagai seorang ahli parlimen yang dipilih rakyat, saya membangkitkan urusan yang berkaitan dengan kepentingan dan keselamatan negara?," soal Azmin lagi. Justeru ujarnya, jelas sekali penggantungan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh, Ahli Parlimen Subang,Sivarasa Rasiah dan dirinya tidak ada asas sama sekali serta tidak mengikut prosedur parlimen. "Saya dan rakan-rakan dalam PKR dan Pakatan Rakyat berpendapat bahawa tindakan Dewan Rakyat ini merupakan tindakan yang bermotifkan politik dan bertujuan mengurangkan suara Pakatan Rakyat di dalam Dewan," tambah Azmin lagi. Ini katanya suatu tamparan kepada pembangunan demokrasi dan keluhuran undang-undang dalam negara oleh pemerintahnya sendiri. Ekoran itu, beliau yakin rakyat sentiasa menilai tindak tanduk Umno-BN yang jauh menyimpang dan tidak menghormati integriti institusi parlimen lalu menumbangkan kerajaan korup lagi rakus itu. Sumber: TVSNEWS |
Keputusan Inkues Teoh Beng Hock 5 Januari Depan Posted: 17 Dec 2010 12:50 AM PST SHAH ALAM 17 DIS : Keputusan inkues mengenai punca kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik seorang anggota exco kerajaan negeri Selangor yang mengambil masa lebih setahun, akan diketahui 5 Januari ini. Koroner Azmil Muntapha Abas yang mendengar kes itu sejak 29 Julai tahun lalu menetapkan tarikh itu selepas membenarkan kesemua pihak memfailkan hujahan balasan selewat-lewatnya 27 Disember ini. Mahkamah Koroner juga hari ini memutuskan untuk tidak mendengar penghujahan lisan daripada pihak yang terlibat dalam inkues kematian Teoh. Azmil memberitahu pihak yang ingin mengemukakan penghujahan berkenaan supaya berbuat demikian secara bertulis pada 27 Disember. Tarikh berkenaan ditetapkan mahkamah unutuk membolehkan semua pihak terlibat untuk meneliti penghujahan berkenaan memandangkan kebanyakannya hanya difailkan sejak semalam. Tan Hock Chuan yang mewakili Pejabat Peguam Negara berkata Koroner memutuskan demikian memandangkan penghujahan berkenaan terlalu panjang dan akan memakan masa yang lama sekiranya dibacakan. Peguam kepada keluarga Teoh, Gobind Singh Deo berkata Majlis Peguam merupakan pihak pertama yang memfailkan penghujahannya, diikuti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Sementara itu, para peguam yang mewakili kerajaan Selangor, keluarga Teoh serta exco Selangor Ean Yong Hian Wah yang juga majikan Teoh masing-masing memfailkan penghujahan mereka semalam. Turut hadir di mahkamah hari ini ialah anggota keluarga Teoh termasuk isteri dan anak lelakinya yang dilahirkan selepas kematiannya. Teoh, 30, setiausaha politik kepada anggota exco, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai tahun lepas di koridor tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan yang sama. Inkues itu diadakan kerana kematiannya didakwa menimbulkan tanda tanya berikutan kehadirannya di SPRM beberapa jam sebelum itu untuk disoal berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukan kerajaan negeri Selangor. Pada awalnya inkues itu dijangka selesai dalam tempoh sebulan tetapi ia berlarutan sehinggalah kes ditutup pada 4 Nov lalu. Sepanjang prosiding, 37 saksi dipanggil termasuk beberapa pegawai SPRM serta pakar patologi terkenal Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand. Dr Pornthip yang dijemput oleh kerajaan Selangor untuk membantu siasatan telah menimbulkan kontroversi pada peringkat pertama menghadiri prosiding itu kerana mendakwa Teoh berkemungkinan dibunuh, dan ini menyebabkan kubur Teoh digali semula bagi tujuan bedah siasat kedua. Beliau yang mendakwa telah diugut supaya tidak menghadirkan diri untuk prosiding inkues itu akhirnya hadir buat kali kedua pada 18 Ogos lalu. Pada prosiding hari ini, anak Teoh berusia 10 bulan dibawa ke mahkamah dan dipangku oleh seorang abang Teoh. -Malaysiakini |
Gantung Kami Jalankan Tugas MP Tidak Sah, Kata Karpal Posted: 17 Dec 2010 12:45 AM PST PETALING JAYA 17 DIS : Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh berkata penggantungan empat Ahli Parlimen Pakatan Rakyat termasuk beliau yang diputuskan semalam adalah tidak sah. Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, usul yang diluluskan itu melarang beliau dan tiga Ahli Parlimen lain daripada menjalankan tugas sebagai wakil rakyat. Beliau menegaskan, Parlimen hanya boleh menggantung daripada menghadiri sidang Parlimen, bukannya menggantung tugas sebagai Ahli Parlimen. "Kami digantung daripada menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen. Tugas kami tidak terhad di Parlimen sahaja. "Ini akan jadi perkara utama. Ini adalah satu pencabulan hak kami sebagai Ahli Parlimen yang mana telah termaktub dalam Perlembagaan (Persekutuan)," katanya pada sidang media di sini hari ini. Semalam, Dewan Rakyat menggantung Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal, R. Sivarasa (Subang) dan Azmin Ali (Gombak) daripada tugas sebagai Ahli Parlimen selama enam bulan. Dalam usul itu, jelas mengatakan Karpal, Sivarasa dan Azmin digantung daripada tugasnya sebagai Ahli Parlimen manakala Anwar digantung tugas dari jawatan Ahli Parlimen selama enam bulan. Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh itu digantung ekoran dakwaan beliau mengenai isu berkaitan APCO Worldwide dan gagasan 1 Malaysia. Sementara Karpal, Sivarasa dan Azmin digantung kerana melanggar peruntukan Peraturan Mesyuarat 85 iaitu keterangan yang diambil di hadapan sesebuah Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dan apa-apa surat yang dikeluarkan kepadanya tidak boleh disiarkan oleh siapa jua sebelum panel itu membentangkan laporannya. "Dalam negara kita Parlimen bukan yang paling tinggi, Perlembagaan yang paling tinggi. Keputusan yang dibuat Parlimen mesti berdasarkan Perlembagaan. "Ketika saya digantung pada 1994 kerana menghina Yang di-Pertuan Agong, ayat yang digunakan sangat jelas, digantung daripada perkhidmatan di dalam Dewan," kata Karpal. Karpal turut berkata, Pakatan Rakyat sudah membuat keputusan untuk menyaman Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz. Beliau juga mengaitkan penggantungannya dengan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir yang mencabar keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan membawa perkara itu ke mahkamah. "Sebagai contoh, dalam kes Zamri keputusan boleh dicabar. Selagi kita yakin, kes ini akan dibawa ke mahkamah dan kita serius tentang perkara ini," katanya. Karpal juga berkata, Pakatan Rakyat akan membawa kes itu ke mahkamah dalam masa terdekat. "Hujung minggu ini saya akan sediakan dokumen-dokumen, kita akan bawa kes ini dalam masa terdekat," katanya. Pada sidang media itu, Anwar yang juga Penasihat PKR menimbulkan persoalan kenapa APCO Worldwide yang mempunyai kaitan dengan Israel tidak boleh "disentuh." "Siapa APCO ini? Dewa kayangankah sampai tidak boleh disentuh? Mengapa APCO ini dianggap begitu berkuasa? "APCO kata mereka badan profesional bebas tapi kenapa terlibat dalam kempen politik Malaysia? Kita minta APCO hentikan kempen politik ini. "Sebab APCO, Ahli Parlimen digantung tanpa ikut peraturan," katanya. TheMalaysianInsider |
Semangat Demokrasi Dewan Rakyat 'Sudah Simpang-Siur', Kata Aziz Posted: 17 Dec 2010 12:44 AM PST KUALA LUMPUR 17 DIS : Keputusan digantung enam bulan yang dikenakan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat lain menunjukkan sistem demokrasi Malaysia "sudah simpang-siur", kata pakar perundangan Prof A. Aziz Bari. "Penggantungan ini menunjukkan sistem demokrasi kita sudah simpang-siur, sekejap boleh (gantung) dan sekejap tidak. "Sekarang Speaker (Tan Sri Pandikar Amin Mulia) pula bakal dibawa ke mahkamah apabila semangat demokrasi di Dewan Rakyat serta dahulu di DUN Perak tidak dihormati dan dilanggar oleh wakil rakyat yang tidak faham undang-undang," kata beliau kepada The Malaysian Insider. Sehubungan itu, soal Aziz (gambar), memandangkan Anwar bersedia mendedahkan mengenai bukti-bukti dakwaannya sebelum ini mengapa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen tidak membenarnya membuat penjelasan. "Mengapa terus digantung selama enam bulan sedangkan tindakkan itu tidak memberi kebaikan kepada sebuah Dewan yang mementingkan demokrasi," kata beliau. Oleh itu katanya lagi, adakah Umno hendak menggunakan Parlimen untuk melarikan diri daripada isu APCO dan konsep 1 Malaysia, yang kebanyakan orang awam mengaitkannya dengan slogan One Israel kerana itulah anggapan yang terus cuba dinafikan di Dewan Rakyat. Malah menurut Aziz, walaupun ada ketetapan untuk seseorang Speaker Dewan Rakyat menggunakan peruntukan Peraturan Mesyuarat 44, tetapi Ketua Pembangkang di Parlimen tarafnya harus dilihat seperti "ketua kerajaan", yang bertindak sebagai semak dan imbang serta melaksanakan prinsip demokrasi. "Apakah semangat ini mahu dibunuh dalam Dewan Rakyat juga," katanya. "Persoalannya sekarang, mengapa di Dewan Rakyat hari ini, seseorang wakil rakyat boleh terus digantung oleh seorang Speaker sedangkan di Perak sebelum ini tidak boleh. "Tetapi dibawa ke mahkamah walaupun tidak harus sebenarnya satu-satu urusan di DUN atau Dewan Rakyat diputuskan semula di mahkamah," katanya lagi. Semalam, sejurus selepas mereka dikenakan hukuman digantung dari Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nazri Aziz berkata, cadangan tindakan mahkamah oleh pakatan pembangkang terhadap Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak akan berjaya. Nazri, menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Parlimen, yakin sekiranya perkara itu dibawa ke mahkamah ia akan ditolak oleh mahkamah kerana Parlimen mempunyai "kekuasaan" yang tersendiri. "Saya beri jaminan, jika mereka membawa perkara ini ke mahkamah, ia akan ditolak. Karpal belajar undang-undang apa? Peguam kelas ketiga. "Apa yang kami putuskan kekal, anda perlu belajar undang-undang perlembagaan mengenai kekuasaan Parlimen," katanya. Karpal yang juga peguam terkenal memberitahu cadangan pihaknya untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap Pandikar Amin berhubung perkara itu. Selain Anwar, turut digantung enam bulan ialah tiga lagi anggota Parlimen pembangkang iaitu Karpal, R. Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR-Gombak) kerana menghina dewan. Nazri berkata gaji serta elaun empat anggota Parlimen yang digantung itu masih berjalan dan tidak akan dihentikan. "Gaji dia tetap ada. Keempat-empat MP masih mendapat elaun mereka kerana kami mengikut perintah mahkamah selepas (Anggota Parlimen Puchong) Gobind (Singh Deo) membawa perkara itu ke mahkamah. "Memandangkan keputusan mahkamah ia tidak mengikut perlembagaan kita ikut. Sebenarnya pakatan pembangkanglah yang tidak mengikut perintah mahkamah," katanya. Nazri berkata Barisan Nasional hanya mempunyai 137 kerusi di Dewan Rakyat dan tidak cukup untuk meminda sesuatu perlembagaan. "Pada sebarang masa untuk meminda perlembagaan, kamu mesti mempunyai 148 anggota Parlimen bagi menyokong di dalam dewan. Jika tidak, ia tidak boleh dipinda," katanya. -TheMalaysianInsider |
Nazri Peguam Tiada Kelas Kata Karpal Posted: 17 Dec 2010 12:39 AM PST PETALING JAYA 17 DIS : Ahli parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh menyifatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sebagai peguam tiada kelas jika dibandingkan dirinya yang digelar peguam kelas ketiga oleh menteri itu. Nazri semalam melabelkan Karpal sebagai peguam kelas ketiga kerana mahu membawa kes penggantungan Ketua Pembangkang ke mahkamah kerana tidak ada keadilan diberikan kepada Ketua Pembangkang itu. Namun menurut Nazri telah ada penghakiman yang dengan jelas menyatakan bahawa mahkamah tidak mempunyai jurisdiksi atau bidang kuasa ke atas Parlimen. Kenyataan Nazri itu disanggah oleh Karpal hari ini. " Perkara ini pastinya akan dibawa ke mahkamah. Sudah ada kes sama seperti ini dahulu di Perak dan dalam kes Gobind. Saya mengakui memang saya membuat komen tertentu terhadap beliau tapi bukan itu persoalannya. Persoalannya saya tidak diberi ruang untuk mempertahankan diri,"ujar Karpal yang turut digantung selama enam bulan berhubung isu berkaitan firma perunding antarabangsa Apco Worldwide. Karpal juga menjelaskan tindakan akan diambil ke atas Speaker Pandikar Amin Mulia kerana menyalah-gunakan kuasa meluluskan usul menggantung Anwar dan tiga ahli parlimen yang lain, termasuk dirinya. " Tindakan ke atas Speaker akan difailkan kemudian. Saya terkejut bila Nazri kata keputusan ini tidak boleh diadili di mahkamah. Ini keutamaan pada masa ini," ujar Karpal lagi. Nazri semalam turut didakwa mengarahkan Pandikar supaya menggunakan Peraturan dewan 44 untuk menghentikan perbahasan dan membuat undi tanpa perdebatan. Beliau turut melabelkan ahli parlimen Pakatan Rakyat sebagai 'bodoh dan gila' kerana mengugut untuk mengheret speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ke mahkamah. Sumber: TVSNEWS |
You are subscribed to email updates from Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan