Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA |
- Perkara 44: 'Gantung' semua MP Pakatan
- Pengasas Umno Sabah, Karim Ghani sertai PKR
- Wikileaks Tidak Harus Tenggelamkan Isu Kenaikan Harga Barang
- Subjek Sejarah Diperkenal Dalam SPMU Walau Buku Teksnya Penuh Fakta Mengelirukan
- Kerajaan Selangor Nafi Tamatkan Kontrak Alam Flora
- PAS: Kerajaan Bakal Lupus Aset Melayu Kampung Baru
- Pengantungan Anwar Paku Terakhir Kepada Keranda Umno-BN
- Laporan Karpal, Sivarasa Berhubung Usul Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan Gantung Anwar
- Dr Tan Cabar Kewangan 43 Anak Syarikat Felda Diaudit Badan Bebas
- Selepas Ketua Pembangkang, Tiga MP Pakatan Rakyat Akan Digantung
Perkara 44: 'Gantung' semua MP Pakatan Posted: 15 Dec 2010 10:55 PM PST KUALA LUMPUR, 16 Dis: Semua ahli parlimen Pakatan Rakyat hari ini keluar dari Dewan Rakyat selepas Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia didakwa menggunakan perkara 44 Peraturan Mesyuarat. Perkara 44 (4) antara lain memberi kuasa kepada Speaker 'menggantung' ahli parlimen yang ada dalam dewan dengan menyebut nama ahli parlimen tersebut. Speaker sewaktu kekecohan sedang berlaku, didakwa membuat ugutan terhadap ahli parlimen Pakatan Rakyat dengan mendakwa akan membaca senarai nama semua ahli parlimen pakatan kerana tidak mengendahkan arahannya. Beliau juga dilihat mengarahkan dan meminta setiausaha dewan mendapatkan senarai nama ahli parlimen Pakatan Rakyat untuk dibaca. Ekoran itu, dalam keadaan dewan terus kecoh, semua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat keluar dewan sebagai protes kepada tindakan Speaker itu. Bagi Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar, tindakan Speaker itu menggambarkan kelemahan beliau mengawal keadaan dan berniat untuk menggantung semua wakil rakyat pembangkang. Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli ketika diminta mengulas perkara itu pula berkata, episod yang berlaku hari ini sangat malang dan memalukan. "Kita minta Speaker membuat beberapa rulling sebelum perbahasan tetapi tidak diendahkan. "Tetapi oleh kerana dia gagal mengawal keadaan, dia menggunakan kuasanya menggunakan perkara 44 Peraturan Mesyuarat untuk menekan dan mengugut MP Pakatan untuk menggantung mereka walaupun tidak menyebut tempoh," katanya yang juga Bendahari PAS Pusat. Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub pula turut melahirkan rasa kecewa di atas apa yang berlaku di dewan rakyat hari ini apabila Speaker bertindak demikian. "Kita lihat Speaker guna perkara 44, kita tidak dengar tadi dia guna ke tidak sebab suasana sangat kecoh. "Kita akan cuba mendapatkan kepastian setiausaha dewan," katanya yang juga Naib Presiden PAS. Kekecohan hari ini berlaku ekoran MP Pakatan Rakyat membantah usul untuk menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Subang, Gombak dan Bukit Gelugor. Sehubungan itu, semua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang bertindak keluar dewan tidak akan meneruskan persidangan hari ini. Untuk rekod, hari ini adalah hari terakhir Persidangan Dewan Rakyat untuk Penggal ke-3 Parlimen ke-12 dan akan disambung semula Mac 2011. Sumber: Harakah Daily |
Pengasas Umno Sabah, Karim Ghani sertai PKR Posted: 15 Dec 2010 10:33 PM PST Bekas pemimpin Umno Sabah yang juga individu yang bertanggungjawab membawa parti dari Semenanjung ke negeri itu, Datuk Karim Ghani secara rasmi menyertai PKR. "Saya rasa berbesar hati kerana PKR menerima saya," kata Karim yang sebelum ini pernah bersama Parti Bersatu Kebangsaan Sabah (Usno). "Saya telah serahkan borang permohonan terus ke ibupejabat PKR." Menurutnya, beliau sebelum ini telah menyatakan hasratnya untuk menyertai PKR kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sabah Ahmad Thamrin Jaini dan beberapa lagi pemimpin cabang di Sabah. Ketika ditanya tentang alasan menyertai PKR, beliau berkata alasannya sama apabila beliau membuat keputusan untuk meninggalkan Umno Sabah. "Pakatan telah berjanji akan mengembalikan autonomi kepada Sabah dan Sarawak dan berjanji akan menyerahkan 20 peratus royalti minyak kepada kedua-dua negeri ini," kata Karim. "Ini sama seperti yang saya nyatakan dalam surat perletakkan jawatan kepada Umno Sabah. "Umno buat saya seperti duduk di tepi 'jamban'," perlinya. Karim berkata, janji bahawa autonomi Sabah akan dihormati akan membantu ahli Usno bangkit menentang Parti Bersatu Sabah (PBS). Sumber: Malaysiakini |
Wikileaks Tidak Harus Tenggelamkan Isu Kenaikan Harga Barang Posted: 15 Dec 2010 10:15 PM PST KUALA LUMPUR 16 DIS : Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, pendedahan kontroversi Wikileaks tidak seharusnya menenggelamkan isu kenaikan harga petrol, diesel, gas dan gula pada 4 Disember lalu. Katanya, pendedahan Wikileaks yang mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kes liwat dan Datuk Seri Najib Razak dengan dakwaan skandal pembunuhan Model Mongolia Altantuya Shaaribuu tidak seharusnya mengalihkan perhatian rakyat yang sememangnya marah dengan tindakan kerajaan itu. "Isu harga barang telah menimbulkan kemarahan rakyat, kerana mereka sudah mula terasa dengan kenaikan harga barang-barang keperluan harian," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Menurut Idris, umum mengetahui tentang ketakutan BN terhadap kemarahan rakyat dengan kenaikan harga keperluan dan ia telah menjadi bualan di kalangan rakyat peringkat bawahan termasuk di kalangan penyokong tegar Umno. "Isu WikiLeaks telah memberi peluang kepada media untuk mengalihkan isu kenaikan harga barang pada ketika ini. "Banyak jawapan Pak Pandir oleh pemimpin BN yang bertaraf Menteri untuk dijadikan halwa telinga, supaya rakyat jangan marah. Antaranya harga petrol lebih murah daripada Singapura, bukan kenaikan tetapi penyelarasan, bukan kenaikan tetapi subsidi dikurangkan, kerajaan kena naik harga minyak kerana mengelak daripada diseludup ke negara jiran," katanya. Idris juga mendakwa media arus perdana pula diarahkan supaya jangan meletakkan tajuk petrol naik, sebaliknya mereka dikehendaki mengunakan istilah penyelarasan. "PAS mengingatkan kepada jentera penerangan di peringat akar umbi mesti menaikkan kain rentang dan gunakan media baru seperti facebook, twitter, blog untuk menaikkan amarah rakyat kepada BN yang tidak bijak menguruskan negara. "Mesti garapkan isu ini supaya rakyat bangkit menolak kerajaan BN dalam pilihan raya umum akan datang," katanya. Sumber: TVSNEWS |
Subjek Sejarah Diperkenal Dalam SPMU Walau Buku Teksnya Penuh Fakta Mengelirukan Posted: 15 Dec 2010 10:06 PM PST KUALA LUMPUR 16 DIS : Mata pelajaran Sejarah akan diperkenal dalam Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) mulai tahun 2014, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata ini bagi memberi peluang kepada murid memperbaiki keputusan dan berupaya memperolehi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). "Ketika ini SPMU hanya ditawarkan untuk mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik sahaja," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr Yeow Chai Thiam pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata format peperiksaan dan pentaksiran ke atas murid juga akan direka bentuk semula untuk lebih memotivasikan mereka ke arah mempelajari dan menghayati sejarah terutamanya sejarah tanah air. Pada Oktober lepas, kerajaan mengumumkan selain Bahasa Melayu, Sejarah juga akan dijadikan mata pelajaran wajib lulus sebagai syarat untuk mendapat sijil SPM bermula tahun 2013. Terdahulu negara dikejutkan dengan pendedahan bekas penulis buku, Dr Ranjit Singh Malhi yang pernah menjadi penasihat buku teks sejarah kepada Kementerian Pelajaran mendedahkan, kebanyakan fakta yang terkandung dalam buku tersebut dibanjiri dengan fakta salah dan diputarbelitkan. Beliau juga memaklumkan pernah membuat memberitahu pegawai kementerian berkenaan bersabit hal itu, namun beliau dituduh sebagai 'anti nasional'. Kenyataan Dr Ranjit it turut dipersetuji oleh Ng How Kuen yang menulis buku sejarah untuk Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK). Ng melahirkan kebimbangannya bahawa seseorang pelajar itu akan terpaksa menerima sesuatu versi sejarah yang ditetapkan atau menghadapi risiko gagal dalam keputusan keseluruhan peperiksaan tersebut. Menurut Ng, berdasarkan fakta-fakta yang salah dan diputarbelitkan itu, sudah tiba masanya kandungan fakta buku-buku teks berkenaan dikaji semula. "Kita selalu terpaksa menerima atau mengikut kurikulum yang disediakan oleh Kementerian pelajaran dan sekali gus membolehkan parti pemerintah memiliki kelebihan dalam mentafsir sejarah kita," ujar Ng. Malah Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof Dr Abdul Aziz Bari turut menyelar tindakan pihak tertentu yang cuba menyembunyikan mahupun memadamkan fakta sejarah negara. Menurut Dr Aziz, dalam mendokumentasikan sejarah sesebuah negara, sentimen-sentimen seperti politik haruslah diketepikan bagi menjamin ketelusan maklumat berkenaan. Sumber: TVSNEWS |
Kerajaan Selangor Nafi Tamatkan Kontrak Alam Flora Posted: 15 Dec 2010 10:03 PM PST SHAH ALAM 16 DIS: Kerajaan Selangor menafikan dakwaan bahawa anak syarikat kerajaan negeri itu, Worldwide Holdings Sdn Bhd, akan mengambil alih kontrak pengurusan sisa pepejal dari Alam Flora Sdn Bhd. Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri masih memberikan kontrak pengurusan sisa pepejal kepada Alam Flora dengan kontrak disambung pada setiap bulan. "Isu ini memang sentiasa dibincangkan memandangkan satu pertiga daripada pendapatan keseluruhan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor diperuntukkan bagi perkhidmatan menyelia sisa pepejal," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco negeri semalam. Beliau menafikan dakwaan bahawa surat penamatan perkhidmatan sudah dihantar kepada Alam Flora. Abdul Khalid diminta mengulas laporan sebuah akhbar hari ini yang menyebut kerajaan negeri akan menamatkan kontrak pengurusan sisa pepejal sejak 1998 oleh Alam Flora dan diberikan kepada anak syarikat kerajaan negeri. Abdul Khalid berkata tidak timbul isu sama ada Kerajaan Selangor akan mengambil alih pengurusan sisa pepejal daripada Alam Flora. Kerajaan negeri, katanya, memberikan keutamaan kepada syarikat yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik untuk menguruskan sisa pepejal di negeri itu. "Jika Alam Flora berjaya membuktikan perkhidmatan mereka lebih baik, jadi kita akan kekalkan mereka dan sehingga hari ini kita masih menggunakan perkhidmatan Alam Flora," katanya.- Bernama. |
PAS: Kerajaan Bakal Lupus Aset Melayu Kampung Baru Posted: 15 Dec 2010 09:58 PM PST KUALA LUMPUR 16 DIS: Hasrat kerajaan untuk memansuh dan membubarkan Enakmen Malay Agricultural Settlement (MAS) dan Lembaga Pengurusan Petempatan Pertanian Melayu (Lembaga MAS) apabila Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2010 dikuatkuasakan kelak, dikesali PAS Wilayah Persekutuan. Rang Undang-undang Akta tersebut telahpun dibentangkan untuk bacaan pertama di Parlimen pada Selasa lalu oleh Datuk Raja Nong Chik, Menteri di Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Rang undang-undang tersebut akan dibahaskan pada sesi Parlimen bulan Mac akan datang. Seksyen 57(1) dan (2) Rang Undang-undang tersebut secara jelas menyatakan berkenaan pembatalan dan pembubaran enakmen dan Lembaga MAS tersebut dan perkara ini mempunyai implikasi yang sangat besar terhadap survival pemilikan hartanah orang-orang Melayu di Kampung Baru. Memetik laporan Harakahdaily, Penasihat Undang-Undang PAS Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi, ini kerana kaedah-kaedah yang digariskan di bawah Enakmen MAS tersebut secara jelas memperuntukkan bahawa hartanah di Kampung Baru hanya boleh dimiliki dan dipindahmilik oleh orang-orang Melayu sahaja. "Apa yang dibimbangi ialah dengan pemansuhan tersebut, tidak ada jaminan lagi hartanah Kampung Baru akan terus kekal seratus-peratus milik orang-orang Melayu di masa akan datang," ujarnya. Tambahan pula, jelasnya tafsiran "kepentingan orang Melayu" yang dimaksudkan dalam akta tersebut hanya merujuk kepada budaya, adat resam dan seni bina bangunan masyarakat Melayu sahaja dan tidak secara jelas menyatakan berkenaan pemilikan hartanah mesti kekal di tangan orang Melayu. Ini, tambahnya diperkuatkan lagi dengan fungsi perbadanan yang dinyatakan di bawah Seksyen 14 akta tersebut bahawa perbadanan boleh berurusan dengan "mana-mana orang" untuk mengurus serta memindahmilik dan melupuskan aset Kampung Baru. Kesudahannya, kata beliau jika rang undang-undang ini diluluskan kelak, maka milikan hartanah orang Melayu di Kampung Baru akan terancam dan tidak ada jaminan ia akan terus kekal. Pembubaran Lembaga MAS juga, katanya merupakan satu tindakan yang langsung tidak menghormati badan tersebut yang telah berkhidmat lebih satu abad lamanya dan terus berkhidmat untuk penduduk Kampung Baru sehingga kini. Menurutnya, tindakan kerajaan tersebut bukan sahaja membelakangkan penduduk Kampung Baru, malah ia menafikan langsung suara dan penglibatan wakil-wakil penduduk dalam proses pembangunan tanah dan masa depan mereka sendiri. Tegasnya, Umno jelas sekali lagi mengkhianati amanah untuk menjaga survival dan milikan tanah orang-orang Melayu di negara ini. "Selepas tanah-tanah rezab orang Melayu semakin hari semakin mengecil jumlahnya, kini kampung-kampung tradisi dan warisan orang Melayu pula cuba diintai oleh tauke-tauke elit yang mendambakan keuntungan maksimum di kawasan segitiga emas bandaraya Kuala Lumpur ini," katanya. Beliau menambah, cadangan penubuhan Majlis Penasihat di bawah Seksyen 19 Akta tersebut yang diwakili oleh lima belas orang wakil masyarakat Kampung Baru pula sekadar melepaskan batuk di tangga dan jelas menampakkan ketidakjujuran dan ketidaktelusan Kerajaan. Ini, katanya kerana akta tersebut menyatakan dengan jelas bahawa kerajaan tidak terikat untuk mengikut apa-apa, nasihat daripada wakil-wakil penduduk Kampung Baru tersebut. Oleh itu, jelasnya peranan Majlis Penasihat tersebut hanya sebagai gimik politik semata-mata dan jelas tidak relevan langsung di kaca mata kerajaan. PAS Wilayah Persekutuan, tegasnya mengulangi pendirian membantah penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru tersebut dan menyokong penuh saranan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali untuk menubuhkan Badan Amanah yang diwakili oleh wakil-wakil penduduk Kampung Baru dan mereka yang berkepentingan langsung dalam pembangunan Kampung Baru tersebut. "Proses pembangunan Kampung Baru perlulah dilakukan dengan telus dan mengikut pandangan dan suara hati anak-anak Kampung Baru sendiri," ujarnya. Sumber: TVSNEWS |
Pengantungan Anwar Paku Terakhir Kepada Keranda Umno-BN Posted: 15 Dec 2010 09:54 PM PST KUALA LUMPUR 16 Dis - Hari ini Umno-Barisan Nasional berjaya membunuh demokrasi di Malaysia untuk sekian kalinya. |
Laporan Karpal, Sivarasa Berhubung Usul Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan Gantung Anwar Posted: 15 Dec 2010 09:22 PM PST Laporan oleh YB Karpal Singh (Ahli Parlimen Bukit Gelugor) dan YB Sivarasa Rasiah (Ahli Parliamen Subang) sebagai ahli-ahli Jawatankuasa Hak dan Kebebasan mengenai Usul yang dirujukkan oleh Dewan pada 22.4.10 berhubung dengan Yang Berhormat Ketua Pembangkang Dato Seri Anwar bin Ibrahim (Ahli Parlimen bagi Permatang Pauh): 3. Tujuan laporan ini adalah untuk membuka mata ahli-ahli Majlis mengenai persendaan terhadap keadilan yang telah dilakukan terhadap DSAI dengan menolak hak beliau untuk:- Menteri Nazri bercakap bagi pihak kerajaan mencadangkan agar DSAI diberi tempoh 1 minggu untuk menjelaskan maksud beliau dan untuk membetulkan sebarang kesilapan dakwaan dari segi fakta. 30.3.2010 Kami membantah atas dasar, antara lainnya, bahawa Speaker telah memberikan jaminan dalam Dewan Rakyat bahawa Jawatankuasa akan ,menyiasat perkara ini dengan memanggil semua saksi berkenaan termasuk Ahli-ahli Parlimen berkenaan dan melihat kepada semua dokumen berkenaan, Jawatankuasa juga telah menimbangkan perkara tersebut dan membuat keputusan untuk memanggil saksi-saksi termasuk DSAI. Fakta semata-mata berhubung dengan surat oleh APCO tidak boleh digunakan sebagai asas bagi mengubah semua yang tersebut dan melanggar peraturan asasi berhubung dengan keadilan dan keadilan asasi. Nota-nota prosiding Jawatankuasa akan menunjukkan pertikaian yang dibuat oleh beberapa ahli. 40. Pada pandangan kami, pengataan oleh DSAI ini adalah sepenuhnya dalam skop dan kuasa beliau sebagai seorang Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang akan lakukan. Sebenarnya, beliau berkewajipan untuk berbuat demikian. |
Dr Tan Cabar Kewangan 43 Anak Syarikat Felda Diaudit Badan Bebas Posted: 15 Dec 2010 12:50 AM PST KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Menteri Kemajuan Tanah dan Koperasi Datuk Dr Tan Kee Kwong mencabar Lembaga Pembangunan tanah Persekutuan (Felda) menjalankan siasatan audit oleh badan bebas ke atas ke semua 43 anak syarikat agensi itu dan mendedahkannya untuk tatapan rakyat. Kata Dr Tan langkah ini perlu bagi membersihkan imej 'bankrap' yang didakwa dihadapi Felda setelah rezab tunainya menjunam kepada RM1.2 bilion walaupun harga pasaran antarabangsa minyal sawit mentah berada pada paras tinggi sejak tiga tahun berturut-turut. Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Ahad lalu di Putrajaya yang mengatakan pihak yang mendakwa Felda bankrap adalah pengkhianat. "Malangnya apa andalah (Najib) yang menjadi petualang sebenar yang telah merompak wang simpanan kepunyaan golongan peneroka. Saya yakin pada pilihan raya umum ke-13 nanti rakyat akan menentukan nasib 60 kerusi parlimen yang berada di dalam tanah-tanah rancangan Fekda di seluruh negara. "Daripada maklum balas lawatan saya ke beberapa kawasan Felda, para peneroka kini amat marah dengan dengan kerajaan kerana mereka telah dieksploitasi dan dipergunakan oleh Felda. Mengapa kini secara tiba-tiba mahu beri wang tunai kepada peneroka setelah isu bankrap di bongkar?" kata Dr Tan dalam kenyataannya. Seterusnya Dr Tan menyenaraikan beberapa isu bersangkutan Felda yang perlu dijawab oleh agensi itu: 1. Pada tahun 2001, rizab tunai Felda adalah RM4.5 bilion TANPA sebarang bebanan hutang. Baru-baru ini seorang Timbalan Menteri mengatakan rizab tunainya telah menjunam kepada RM1.2 bilion. Berdasarkan harga tinggi minyak kelapa sawit mentah sejak tiga tahun lalu Felda sepatutnya mempunyai rizab tunai sekurabg-kurangnya sebanyak RM8 bilion. 2. Ibu pejabat baru Felda di KLCC dikatakan berharga RM662 juta. Jelaskan bagaimana bangunan bertaraf enam bintang inbi akan membantu peneroka Fekda yang muiskin yang hanya berpendapatan bersih kira-kira RM500 sebulan. Mengapa wang pendahuluan sebanyak RM235 juta dibayar kepada pemaju sebelum pembinaan bermula? Mengapa keputusan pembinaan ibu pejabat baru dibuat secara rahsia di pejabat Timbalan Perdana Menteri tanpa pengetahuan Lembaga Pengarah Felda? Baru-baru ini Datuk Ahmad Maslan berkata pembinaan itu merupakan keputusan pelaburan yang bijak kerana telah memperolehi keuntungan atas kertas sebanyak RM300 juta. Bagaimana beliau boleh membuat rumusan itu apabila bangunan itu masih dalam pembinaan dan masih belum dijual. 3. Felda telah melabur sekurang-kurangnya RM3 bilion dalam projek Felda Global Ventures dan sehingga kini telah mengalami kerugian sebanyak RM300 juta. Ini termasuk pelaburan dalam Twin Rivers Project di Amerika Syarikat sebanyak RM500 juta serta projek membela lembu RM600 juta million. Sekiranya Felda telus dedahkan apa sebenarnya terjadi kepada projek ini. Malah peneroka Felda Keratong berhampiran Segamat ketawa besar apabila lembu yang diimpot bagi tujuan projet itu terpaksa di tempatkan di dalam kandang berhawa dingin 24 sehari! 4. Mengapa Felda perlu buat pinjaman dari Tabung Simpanan Pekerja (EPF) untuk projek di bawah Felda Global Ventures? Felda tidak pernah sebelum ini meminjam dari EPF. Adakah pinjaman ini selamat? Kepada semua pencarum EPF perlu diingatkan wang anda telah digunakan untuk membiayai semua projek yang dimulakan oleh Najib dan kini dipertikaikan. 5. Saya melawat satu skim felda dekat Kemaman pada Ogis lalu dan bercakap dengan beberapa peneroka yang mahu menyaman Felda berhubung Tabung Tanam Semula. Setiap daripada mereka telah menyumbang kepada tabung tersebut sejak 17 tahun dan kini berjumlah RM17,000. Apabila mereka menanam semula, wang peribadi digunakan tanpa menyentuh simpanan dalam tabung itu. Sudah tiga tahun mereka menunggu tetapi masih dinafikan oleh pengurusan Felda. Jika Felda mengatakan ia tidak bankrap mengapa payah sangat untuk mengembalikan wang peneroka yang jumlahnya tidak seberapa? Sumber: Suara Keadilan |
Selepas Ketua Pembangkang, Tiga MP Pakatan Rakyat Akan Digantung Posted: 15 Dec 2010 12:27 AM PST KUALA LUMPUR 15 DIS : Parlimen hari ini sekali lagi gempar apabila tiga lagi ahli parlimen Pakatan Rakyat diusul untuk digantung dari Dewan Rakyat selepas didakwa menghina dewan. Keputusan menggantung tiga ahli parlimen pembangkang itu dilakukan tanpa mengemukakan 7 hari notis. Keputusan itu dibuat Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia pagi tadi selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz membuat usul tersebut terhadap Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), Azmin Ali (PKR-Gombak) dan R.Sivarasa (PKR-Subang). Azmin Ali yang ditemui media di lobi parlimen berkata keputusan Speaker berubah dalam masa satu hari untuk menggantung ahli parlimen pembangkang. "Semalam mereka mahu menggantung Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Karpal Singh. Tapi dalam masa satu hari keputusan diubah di mana saya, Sivarasa dan Karpal Singh akan digantung enam bulan bermula esok. "Jadi saya mahu tanya Speaker peraturan mana yang digunakan keatas kami kerana saya tidak diberikan notis," kata beliau kepada media. Ujarnya lagi, berdasarkan Peraturan Mesyuarat 27, dewan perlu memberi 7 hari notis sebelum tindakan menggantung mana-mana ahli dewan. "Ini tidak dilakukan kerana nama saya tidak ada di situ semalam. "Kecuali Speaker setuju dengan usul menteri. Itu yang kita mahu tahu daripada Speaker atas dasar apa beliau setuju dengan menteri," katanya. Azmin berkata sekurang-kurangnya ahli parlimen yang digantung dibenarkan untuk merujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk membenarkan beliau mempertahankan diri. "Beliau (speaker) terus berkata saya telah membuat keputusan. Anda tidak ada hak menentang," jelas beliau. Azmin diarahkan keluar dewan sehingga jam 2.30 petang. Karpal Singh dan Sivarasa, merupakan ahli Jawatan Kuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, didakwa menghina dewan selepas membuat kenyataan di luar Parlimen berhubung prosiding jawatankuasa itu pada 3 Disember lepas. Mereka dikatakan telah mendedahkan keterangan dan surat Apco semasa berlangsungnya mesyuarat jawatankuasa. Tindakan itu dikatakan menyalahi Peraturan Mesyuarat 85, apabila menyatakan bahawa kenyataan dan surat yang diberikan kepada ahli jawatankuasa itu tidak boleh disiarkan kepada sesiapa sehingga notis itu dibentangkan di Dewan Rakyat. Sementara Azmin pula, dalam notis bertarikh 6 Disember di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1), telah menyentuh keterangan dan surat Apco yang telah diserahkan kepada jawatankuasa itu. Tindakan mereka itu dikatakan melanggari hak keistimewaan mereka sebagai ahli parlimen dan menghina dewan, katanya. Usul menghina dewan ke atas ketiga-tiga ahli parlimen tersebut dikatakan berkaitan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dihadapkan ke jawatankuasa itu selepas mendakwa kempen 1Malaysia mempunyai persamaan dengan 'One Israel' melalui syarikat perundingnya, Apco Worldwide. Jawatankuasa itu telah membentangkan keputusannya di Dewan Rakyat dan mencadangkan Anwar digantung daripada Parlimen selama enam bulan. Sumber: TVSNEWS |
You are subscribed to email updates from Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan