Rabu, 1 Disember 2010

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA


Kenapa Umno takut bukan Islam dekati al-Quran

Posted: 01 Dec 2010 12:36 AM PST


KUALA LUMPUR, 1 Dis: Sepatutnya pemimpin bukan Islam diberikan galakan supaya mereka bertambah minat untuk membaca dan merujuk kepada Al-Quran dalam apa juga permasalahan manusia.

Ketua Penerangan PAS Melaka, Sofi Wahab (gambar) berpandangan demikian sebagai mengulas sejak akhir-akhir ini ramai di kalangan pemimpin bukan Islam berminat untuk merujuk al-Quran dan menggunakan terjemahan al-Quran dalam ucapan mereka.

Namun begitu, katanya pemimpin Umno begitu takut apabila pemimpin bukan Islam mula berjinak-jinak dengan al-Quran.

Tambahnya, bermacam alasan diberikan, takut salah tafsir, menghina al-Quran, mencemarkan kesucian al-Quran dan sebagainya.

Baginya, jika orang bukan Islam melakukan kesalahan, mereka bukannya dihalang dari merujuk kepada al-Quran tetapi kesalahan itu diperbetulkan.

Malangnya, tambah beliau pemimpin Umno bukannya menggalakkan mereka mendekati al-Quran malah terus melemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah kepada pemimpin yang membaca terjemahan al-Quran.

"Perangai buruk pemimpin Umno inilah sebenarnya yang menyebabkan orang bukan Islam terus menjauhi Islam dan memusuhi Islam kerana mereka dihalang dari mendekati Islam," ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya, lihat sahaja contoh MCA dan MIC walaupun sudah berkawan dengan Umno lebih dari 50 tahun tetapi sehingga kini mereka tidak berminat kepada Islam kerana puncanya Umno sendiri pun meminggirkan Islam.

"Saya pun tidak faham mengapa Umno begitu takut apabila pemimpin bukan Islam menggunakan terjemahan al-Quran dalam ucapan mereka," katanya.

Beliau berpendapat, mungkin Umno terasa tercabar kerana orang bukan Islam merujuk al-Quran tetapi Umno meminggirkan al-Quran atau Umno takut orang bukan Islam faham Islam dan seterusnya menyokong PAS dan PR.

"Sebagai seorang Islam kita sepatutnya gembira dan bersyukur apabila orang bukan Islam mula berjinak-jinak dengan Islam dan menjadikan al-Quran sebagai salah satu rujukan mereka.

"Apa yang penting kita membetulkan mereka jika berlaku kesilapan dan kesalahan," ujarnya.

Katanya, ulama mesti memberi penerangan kepada seluruh rakyat tentang pengunaan ayat-ayat al-Quran oleh orang bukan Islam supaya semua orang Islam tahu bahawa bukanlah menjadi kesalahan untuk orang bukan Islam membaca dan merujuk terjemahan al-Quran dalam ucapan dan kehidupan seharian mereka.

Justeru, beliau mengharapkan selepas ini semua pemimpin dan penganut Islam terus memberikan sokongan padu kepada orang bukan Islam merujuk kepada Al-Quran dalam apa juga permasalahan manusia.

Isu itu tercetus semula apabila Adun Hutan Melintang, Perak, S.Kesavan dilaporkan membacakan terjemahan al-Quran merujuk kepada ayat yang lain daripada apa yang sepatutnya.

Bagi Sofi, adalah bukan suatu perkara yang pelik jika Umno tidak suka pemimpin bukan Islam menggunakan ayat al-Quran kerana Umno sendiri selalu meminggirkan al-Quran dalam tindakan seharian mereka.

Dalam isu menghalalkan judi dan riba, judi bola, mendedahkan aurat, meminggirkan hukum hakam Islam dan sebagainya jelas Umno membelakangkan al-Quran, katanya.


Sumber: Harakah Daily

Subsidi IPP RM15.1b, rakyat cuma RM11 bilion

Posted: 01 Dec 2010 12:35 AM PST

KUALA LUMPUR, 1 Dis: Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan kerajaan memberi subsidi Petronas kepada syarikat konsesi penjana kuasa bebas (IPP) sebagai membelakangkan rakyat.

Anwar ketika berbahas di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air di Dewan Rakyat berkata, subsidi sebanyak RM15.1 bilion berbanding subsidi minyak kepada rakyat yang hanya sebanyak RM11 bilion jelas tidak munasabah.

"Subsidi kepada IPP RM15.1 bilion, subsidi kepada rakyat hanya RM11 bilion. Adakah ini yang dikatakan rakyat didahulukan?" katanya yang juga ketua pembangkang di Parlimen, semalam.

Anwar turut mempertikai dasar penswastaan yang dilihat hanya memberi kepentingan kepada syarikat konsesi yang sedia kaya, sehingga kerajaan tidak berupaya untuk mengkaji dan membuat runding semula perjanjian yang termeterai.

"Kita tidak menentang penswastaan tapi perlu lihat kesan tarif dan kerugian kepada negara dan juga kepada Petronas ekoran keengganan kerajaan mengkaji dan runding semula dengan syarikat konsensi IPP. Sikap yang sama dilihat dalam isu air di Selangor," kata beliau.

Dakwa beliau juga, kerajaan seolah-olah tidak mempunyai keupayaan untuk mengkaji dan mengadakan runding semula semua perjanjian kerajaan dengan syarikat konsesi.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan agar mengkaji semula perjanjian dengan IPP dan juga syarikat konsesi air agar rakyat tidak terbeban dengan dasar penswastaan berkenaan.

Dalam pada itu, Anwar turut membidas P. Kamalanathan (BN-Hulu Selangor) yang tidak memihak kepada pengundi Hulu Selangor kerana menyokong tindakan Syabas yang berhasrat menaikkan taraf air sebanyak 31 peratus.

Sebelum itu, usul memotong gaji Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dikemukakan Dr. Dzulkefly Ahmad (PAS- Kuala Selangor), namun tidak dipersetujui wakil Barisan Nasional.


Sumber: Harakah Daily

Anwar: Penswastaan bebankan rakyat, untungkan kroni

Posted: 01 Dec 2010 12:33 AM PST


KUALA LUMPUR 1 Dis – Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) hari ini sekali lagi diminta untuk memastikan konsep pengswastaan tidak membebankan rakyat dan bukan hanya menguntungkan syarikat kroni.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim merujuk kepada konsesi air yang diberikan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) di Selangor sebagai contoh jelas bagaimana rakyat Selangor di paksa membayar harga tinggi untuk air ketika negeri itu di bawah pimpinan Umno.

"Naik 31 peratus satu tahun. Kalau Pakatan Rakyat (Pakatan) tidak menang harga air di Selangor, naik 31 peratus. Ini yang dihalang oleh Kerajaan Pakatan, menteri jawab, ini terma dalam perjanjian. Saya setuju. Sebab itu kita katakan kita berunding semula dan minta Syabas mengambil kira kepentingan supaya jangan dibebankan. Bukan isu nak tolak, nak rombak perjanjian syarikat itu, tidak," katanya.

Kerajaan Persekutuan Umno-BN setakat ini enggan menarik balik konsesi yang diberikan kepada Syabas sungguhpun syarikat itu melanggar terma-terma kontrak dan berkeras untuk menaikkan harga air.

Ahad ini, warga Selangor akan keluar beramai-ramai untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menuntut supaya kerajaan Selangor mengambil alih perkhidmatan air daripada Syabas.

"Syarikat Kerajaan Negeri Selangor punya ekuiti. Benar, tetapi yang menentukan dasar pengeluaran ini ialah Syabas dengan 'golden share' Kerajaan Persekutuan. Saya pernah jadi Menteri Kewangan, jadi saya tahu apa dia 'power of golden share'.

"Jadi, untuk Ahli Parlimen BN macam tak tahu langsung, itu tak betul. Tak berlandaskan fakta asas dalam membicarakan isu di parlimen ini. Yang dibantah Kerajaan Negeri Selangor ialah kenaikan keterlaluan. Bukan naik dua, tiga peratus setahun naik 31 peratus," kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Anwar berkata, Kerajaan Pakatan di Selangor yakin dapat menawarkan bekalan air pada harga yang lebih rendah jika diberikan peluang menguruskan perkhidmatan air negeri itu.

"Kerajaan Negeri Selangor mengatakan, mereka berupaya mendapatkan pinjaman, menguruskan syarikat ini dengan menjamin kos yang jauh lebih rendah.

Bagaimana kita jamin kos lebih rendah. Tentukan ada tender yang telus dan terbuka, ini akan menjamin kos yang rendah. Pokoknya kerajaan negeri selangor tidak menaikkan tarif kerana ini akan membebankan jutaan rakyat terutama yang berpendapatan rendah," jelasnya lagi.

Anwar kesal dengan tindakan Kerajaan Persekutuan yang mempunyai agenda tersendiri apabila terus melindungi kepentingan Syabas dan bukannya kebajikan rakyat Selangor.

Saya harap menteri berlaku adil dalam hal ini serta bersifat terbuka dan telus. Perbincangan sudah dua tahun. Kerajaan persekutuan berikan tawaran tidak munasabah kerana kawalan masih pada syarikat dan tidak ada jaminan tentang harga yang berpatutan kepada rakyat Selangor, hujahnya, di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut beliau, selain Syabas di Selangor, syarikat yang menjadi penjana letrik bebas atau IPP juga mengaut keuntungan yang keterlaluan sehingga memberi kesan kepada prestasi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Prinsip penswastaan harus dilakukan secara telus. Pengalaman kita denga IPP menunjukkan kos meningkat, subsidi kepada sayrikat meningkat dan jawapan di parlimen soalan yang kita bangkitkan dijawab dengan remeh dan hambar. Kita minta apa kerugian dan masalahnya ini untuk kerajaan melihat semula perjanjian itu kerana perlaksanaannya itu jelas merugikan negara," tambah Anwar.

Anwar kesal kerana segala gesaan rakyat mahukan Umno-BN untuk mengkaji semula kontrak IPP tidak diendahkan.

"Kita minta bukan merungkai syarat perjanjian. Tetapi memberikan ruang supaya mempertahankan kepentingan pengguna. Saya dengar ucapan ahli-ahli parlimen Umno dan MIC maklumat tidak tepat. Bukan nak batalkan semuanya. Soalnya ialah kenaikkan harga yang tidak dapat dipertahankan dan menjadi beban kepada pengguna," kata bekas Menteri Kewangan itu.


Sumber: Selangorkini

Isu air: Mahasiswa ikrar iring MB Selangor berdemo

Posted: 01 Dec 2010 12:31 AM PST


SHAH ALAM, 1 Dis – Kumpulan mahasiswa di negara ini berikrar mengiringi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membantah kenaikan tarif air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Ahad ini.

Memetik laporan Malaysiakini, kumpulan yang membabitkan Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Industri Selangor (Unisel) dan Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (Kami) akan disertai sekurang-kurangnya 300 mahasiswa dari seluruh Lembah Klang.

Presiden Kami, Hilman Idham berkata, ini kerana banyak mahasiswa yang tinggal di rumah sewa turut terjejas secara langsung sekiranya tarif air dinaikkan sebanyak 37 peratus.

"Selangor merupakan negeri yang memuatkan institusi pengajian tinggi yang menjadi rumah kedua kepada sebilangan besar mahasiswa dari seluruh pelosok negara.

"Sebahagian besar mahasiswa tidak mendapat kemudahan kolej kediaman dan sebilangan besar daripadanya tinggal menyewa di kawasan perumahan berhampiran universiti atau kolej kediaman," katanya.


Sumber: Selangorkini

Kenaikan Harga Petrol Dibantah

Posted: 01 Dec 2010 12:28 AM PST


SHAH ALAM 1 DIS : Kenaikan harga minyak petrol RON 97 menjadikan harga terbarunya RM 2.30 bermula malam tadi, menimbulkan pelbagai reaksi spontan rakyat dan Pakatan Rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam respon di laman Twitternya berkata, kenaikan harga minyak pastinya akan cuba dimanipulasi oleh media milik
Umno-BN untuk mengaburi mata rakyat tentang kenaikan harga bahan api itu.

" Media umno cuba alih pandangan rakyat," tulis Anwar.

Pada 1 November lalu, petrol gred RON 97 naik sebanyak 5 sen kepada RM2.15 seliter.

Bagaimanapun kenaikan harga itu tidak diumumkan manakala Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bukan satu isu yang patut dimanipulasi pihak tertentu kerana harganya sudah diapungkan mengikut pasaran minyak dunia.

Sementara itu, ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad pula menulis di laman twitter nya, kenaikan harga minyak gren RON 97 mencerminkan sikap sebenar kerajaan.
" UMNO membuktikan identiti demokratik mereka lagi,", seloroh Nik Nazmi mengenai kenaikan harga minyak RON 97.

Laporan Reuters menyebut, kenyataan rasmi mengenai perubahan harga berkenaan dijangka akan dikeluarkan kemudian.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan,Husam Musa juga memberikan respon hampir sama mengenai kenaikan harga RON 97.

" Tahniah semua!!! harga minyak naik...," tulis Husam di laman twitterya.

Julai lalu, kerajaan telah menaikkan harga lima barangan keperluan, iaitu minyak petrol,diesel, gula dan Petroleum Gas Cecair (LPG).

Kerajaan sebelum ini beralasan, kenaikan harga barangan keperluan ini bertujuan untuk menyelaraskan harga barangan tersebut bagi membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaannya yang melebihi RM750 juta untuk tahun ini.

Ironinya, kerajaan kemudian mengumpulkan pengarang-pengarang media di bawah kawalannya supaya tidak menggunakan perkataan 'barang naik' dalam laporan mereka.

Taklimat itu diberikan di Pejabat Perdana Menteri, di Putrajaya.

Difahamkan pengarang berkali-kali diingatkan agar tidak menggunakan perkataan 'barang naik' sebaliknya menyebut ia sebagai 'pelarasan harga' atau 'rasionalisasi subsidi'.

Malah media-media seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan media-media lain milikan Umno diingatkan supaya tidak membuat tinjauan rambang di kalangan rakyat berhubung kenaikan harga barang dan ada di antara media 'diminta' mendapatkan pandangan NGO dan persatuan pengguna yang pro kerajaan.

Paling menarik, penasihat media Perdana Menteri juga dikatakan mengarahkan akhbar supaya tidak beranggapan bahawa pengurangan subsidi ini sebagai langkah penjimatan oleh kerajaan dalam laporan mereka.

Sumber: TVSNEWS

ISA : SUARAM Dan GMI Kecewa Sikap Kerajaan

Posted: 01 Dec 2010 12:26 AM PST


KUALA LUMPUR 1 DIS : Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) hari ini melahirkan kekecewaan yang amat mendalam berikutan pendedahan kerajaan mengenai pindaan ke atas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Mengikut Menteri Undang-undang, Datuk Seri Nazri Aziz seperti dilaporkan akhbar 'Malay Mail' semalam, bahagian paling signifikan dalam perancangan pindaan itu ialah pengurangan tempoh tahanan dikurangkan kepada 30 hari.

SUARAM dan GMI mendakwa alasan yang diberikan Nazri dalam pengurangan tempoh tahanan itu gagal untuk mengatasi isu sebenar iaitu tahanan tanpa perbicaraan dan hak undang-undang.

"Pengurangan tempoh tahanan itu sia-sia kerana akta (ISA) tersebut tetap membenarkan penahanan sesorang itu selama dua tahun selepas itu dan boleh dipanjangkan tanpa had atas arahan Menteri," jelas koordinator SUARAM dan Sekretariat GMI E. Nalini dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Nalini lagi, Kedua-dua SUARAM dan GMI telah mengumpul dan menerbitkan pelbagai bukti dokumentari mengenai penderaan ke atas tahanan ISA, namum pihak berkuasa menjustifikasikan penderaan ini dengan mengatakan ia perlu bagi menyelesaikan penyiasatan.

"Kami sekali lagi melahirkan kebimbangan serius berikutan langkah kerajaan untuk kembali ke retorik lama menggunakan alasan keamanan dan kestabilan untuk menjustifikasikan dan menghalalkan pencabulan hak asasi dan layanan teruk terhadap manusia. Kami menganggap kenyataan (Nazri) itu tiada merit dan bukti tapi hanya sekadar alasan mengesahkan tindakan kerajaan bagi menggunakan Undang-undang tidak demokratik itu sebagai alat politik," tegas beliau lagi.

Justeru menurut beliau, SUARAM dan GMI tetap beranggapan ISA bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan serta melanggat artikel 9, 10 dan 11 Deklarasi hak asasi manusia Universal yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).


Sumber: TVSNEWS

Anwar : Umno-BN Putar Belit Isu Ketuanan Melayu

Posted: 01 Dec 2010 12:24 AM PST


KUALA LUMPUR 1 DIS : Umno-Barisan Nasional melalui lidah rasminya, Utusan Malaysia cuba memutarbelitkan fakta berhubung isu ketuanan rakyat yang dibangkitkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam persidangan Kongres Keadilan Nasional, minggu lalu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertahankan kenyataan tersebut berkata isu mengenainya rakyat bukanlah isu baru tetapi telah diterangkan dalam satu perhimpunan di Kampung Baru, dua tahun yang lalu.

"Dalam Agenda Ekonomi Malaysia yang kita perkenalkan, kita menolak Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana ianya hanya menguntungkan segelintir walaupun permasalahannya adalah terdiri daripada majoriti masyarakat melayu/bumiputera dan di kalangan orang cina dan india miskin yang menjadi teras program kita.

"Jikalau kita lihat maksud 'tuan', ianya bermakna yang berkuasa atau yang memiliki, jadi bagaimana pula tentang kedudukan orang Iban,Kadazan, Cina dan India.

"Kita menolak ketuanan yang cuba diputarbelitkan Umno-BN dan Utusan sebagai cuba menolak Perlembagaan Negara.

Apa yang jelas ujar beliau, setiap ucapan dan pendirian PKR dan Pakatan Rakyat mengenai isu bahasa Melayu, Islam sebagai agama persekutuan, hak keistimewaan orang melayu dan bumiputera dan kedudukan raja-raja melayu tidak pernah dibangkitkan malahan dipertahankan.

"Yang tuan itu adalah kedudukan raja dan sebab itu disebut Yang Di-Pertuan Agong, Yamtuan Negeri Sembilan. Kedudukan itu kita tidak dipertikaikan.

Justeru, beliau berharap agar isu tersebut tidak dipolitikkan serta tidak menipu dalam memutarbelitkan fakta kerana pengaruh kedudukan dan pegaruh Melayu kononnya hendak dipadamkan adalah tidak benar disebabkan Melayu/bumiputera masih kekal majoriti.


Sumber: TVSNEWS

Tze Tzin : Zahrain Tidak Layak Pertikai Pingat Anwar, Azizah

Posted: 01 Dec 2010 12:22 AM PST


PULAU PINANG 1 DIS : Siapa Datuk Seri Zahrain Hashim hendak mendesak pingat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah ditarik balik, sedangkan pingat "Datuk Seri" yang disandang beliau sendiri dianugerahkan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat?

Ketua Cabang Bayan Baru, Sim Tze Tzin menyelar tindakan Zahrain dan meminta ahli parlimen Bebas itu sedar, bahawa pingat yang disandang beliau lah yang sewajarnya ditarik kerana mengkhinati prinsip dan perjuangan parti.

" Beliau mengkhianati pingat "Datuk Seri" yang dianugerahkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat yang berprinsipkan politik pelbagai kaum Pakatan Rakyat.

" Kalau ingin dipertikaikan kelayakan penerimaan pingat, Zahrain harus dilucutkan pingat beliau terdahulu," ujar Tze Tzin dalam satu kenyataan media hari ini.

Zahrain semalam mendesak Anwar menyerahkan gelaran "Datuk Seri" sekiranya terus-terusan menolak konsep "Ketuanan Melayu".

Namun menurut Tze Tzin, kenyataan Zahrain itu tidak ubah umpama politik murahan yang sengaja diciptakan oleh Zahrain.

" Beliau mengkhianati mandat rakyat yang diberikan kepada beliau sebagai ahli Parlimen di bawah Parti KEADILAN dengan melompat keluar parti.

" Beliau mengkhianati prinsip perjuangan Parti KEADILAN yang memperjuangkan politik pelbagai kaum dan keadilan untuk semua.

" Parti KEADILAN Bayan Baru berpendapat bahawa ini adalah politik murahan Zahrain yang sekarang ini menjadi pencacai UMNO dan Barisan Nasional. Beliaulah pengkhianat besar dalam sejarah politik Malaysia," tulis kenyataan itu lagi.

Walau bagaimanapun menurut Tze Tzin, beliau tidak mahu memperlekehkan isu pingat kerana ia tertakluk di bawah kuasa Raja-raja.

" Parti KEADILAN Cabang Bayan Baru walau bagaimanapun tidak ingin memperlekehkan isu pingat. Pingat penghargaan adalah hak dan kuasa Raja-raja," kata Tze Tzin lagi.

Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan Zahrain dan Umno-Barisan Nasional supaya tidak bermain dengan politik perkauman sempit kerana konsep "Ketuanan Melayu" katanya hanya digunakan oleh golongan tertentu yang berkuasa untuk memperdayakan kaum Melayu lain demi kepentingan diri sendiri.

" Parti KEADILAN Cabang Bayan Baru ingin mengingati semua pemimpinan UMNO-Barisan Nasional dan juga Zahrain jangan memainkan sentimen perkauman sempit. Jangan jadi jaguh kampung melaung-laungkan sentimen perkauman tetapi Negara tergadai.

" Parti KEADILAN memperjuangkan prinsip "Ketuanan Rakyat" dan Keadilan untuk semua. "Ketuanan Melayu" adalah slogan yang digunakan oleh sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdayakan orang Melayu yang ramai, demi kepentingan diri sendiri. Mereka adalah pimpinan UMNO yang melakukan rasuah, korup, pecah amanah dan pelbagai kebejatan lagi," kata Tze Tzin.

Malah Tze Tzin turut menggesa Zahrain segera bertaubat dan kembali menjalankan tanggungjawab beliau yang telah ditinggalkan selama ini.

" Zahrain harus bertaubat. Kalau beliau betul-betul memperjuangkan hak Melayu, mengapa pula lompat parti akibat tidak dapat kontrak? Sedangkan ramai lagi rakyat yang susah di kawasan Parlimen Bayan Baru. Apakah program dan khidmat yang beliau lakukan kepada rakyat sejak menjadi ahli Parlimen? Rakyat Bayan Baru sudah tertanya-tanya di mana Zahrain sekarang. Mereka asyik Nampak beliau di Amerika bersama Najib, tetapi tidak pula nampak di kawasan mereka," ujar Tze Tzin lagi.

Sumber: TVSNEWS

Menteri Besar Ajak Rakyat Pertahan Hak Dapat Harga Air Lebih Murah

Posted: 01 Dec 2010 12:18 AM PST

syabassgprSHAH ALAM 1 Dis - Rakyat Selangor tanpa mengira kaum dan usia perlu bangkit untuk mempertahankan hak mereka daripada terus dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu yang mendapat keuntungan melampau hasil dasar penswastaan perkhidmatan air yang tidak menguntungkan rakyat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata rakyat perlu melakukan anjakan paradigma dengan menolak apa saja tindakan atau keputusan yang merugikan mereka.

Sehubungan itu, Menteri Besar mengajak rakyat Selangor dan Lembah Klang tanpa mengira ideologi politik yang mahu mempertahankan hak mereka untuk mendapat air lebih murah dan perkhidmatan cekap supaya bersama-sama menyertai Kerajaan Negeri menghantar memorandum kepada Yang DiPertuan Agong pada 5 Disember ini.

"Kita perlu berubah dan bijak membuat penilaian jika tindakan yang dibuat Kerajaan pemerintah hanya menguntungkan kronik dan membebankan rakyat biasa.

"Rakyat perlu menyokong usaha kerajaan Selangor mengambil alih perkhidmatan air dari Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) supaya kebajikan serta kepentingan rakyat terus terpelihara dan tidak teraniaya," kata Abdul Khalid ketika menyampaikan taklimat mengenai usaha kerajaan Selangor mengambil alih perkhidmatan air dari Syabas kepada kira-kira 500 Nazir dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid seluruh Selangor di sini semalam.

Turut menyampaikan taklimat, Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga Ahli Panel Penilai Air, Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengarah Penerangan Negeri, Dr Badrulamin Bahron.

Kerajaan Negeri menganjurkan Kempen Kembalikan Air Kepada Rakyat untuk menyedarkan rakyat Selangor dan Lembah Klang terhadap usaha-usaha Kerajaan Negeri mengambil alih industri air dari syarikat konsesi supaya perkhidmatan bekalan air lebih efisien dan tarif air lebih rendah.

Kemuncak kepada kempen ini ialah perhimpunan beramai-ramai di Masjid Negara sehingga ke Istana Negara pada Ahad, 5 Disember 2010 untuk menyerahkan memorandum.


Sumber: Selangorkini

Tiada ulasan: