Isnin, 22 November 2010

www.telokkemang.blogspot.com/

www.telokkemang.blogspot.com/


Jawapan Kepada Jawab Lisan

Posted: 21 Nov 2010 08:36 PM PST

Tarikh : 10 November 2010

Soalan

Y.B Dato' Kamarul Baharin Bin Abbas (Telok Kemang) minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan:

a) alasan perancangan projek lebuh raya Central Spine Expressway dari Seremban-Karak-Gua Musang-Kota Bharu dibatalkan pembinaannya; dan
b) apakah kerajaan mempunyai perancangan untuk menaik taraf laluan yang sedia ada

Jawapan

Tuan Yang Di-Pertua;

Kerajaan tidak pernah berhasrat membatalkan perlaksanaan Projek Pelebaran Jalan Persekutuan Central Spine, sebaliknya projek berprofil tinggi ini sedang dibina secara berperingkat-peringkat oleh Kerajaan bagi tujuan merancakkan pembangunan infrastruktur di Wilayah Pembangunan pantai Timur (ECER)

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, skop Projek Pelebaran Jalan persekutuan Central Spine ini ialah menaik taraf Jalan Persekutuan 8 (FT08) dan sebahagian Jalan Persekutuan 9 (FT09) sepanjang 390 kilometer bermula dari Kuala Krai, Kelantan ke Simpang Pelangi Pahang sepanjang 390 kilometer kepada 2 lorong 2 hala berdasarkan piawaian JKR R5. Skop projek ini turut melibatkan pembinaan jalan pintas dibandar-bandar tertentu dan pembinaan lorong khas memotong di setiap 5 kilometer laluan. Pembinaan projek ini telah dibahagikan kepada 6 pakej, iaitu seperti berikut:

1) Pakej 1: Kuala Krai ke Jambatan Sg. Lakit, Kelantan;
2) Pakej 2: Jambatan Sg. Lakit ke Gua Musang, Kelantan;
3) Pakej 3: Gua Musang, Kelantan ke Kg. Relong, Pahang;
4) Pakej 4: Kg. Relong ke Raub, Pahang;
5) Pakej 5: Raub ke Bentong, Pahang; dan
6) Pakej 6: Bentong ke Simpang Pelangi, Pahang.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada masa kini Pakej 3, iaitu dari Gua Musang, Kelantan ke Kg. Relong, Pahang sedang dalam peringkat pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2012 manakala pakej-pakej lain sedang dalam peringkat reka bentuk dan akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10), tertakluk kepada peruntukan yang diluluskan oleh Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Sekian, terima kasih

*petikan dari Berita Harian

Pahang tolak projek baik pulih jalan hubungkan Seremban-Gua Musang


2010/09/01

KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang hari ini menolak projek untuk membaik pulih jalan raya yang menghubungkan Seremban, Negeri Sembilan ke Gua Musang, Kelantan selepas Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Jabatan Kerja Raya hanya memperakukan untuk membaiki kawasan yang berlaku kemalangan sahaja.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata pendirian Exco kerajaan negeri hari ini ialah bahawa tidak perlu dilakukan sebarang pembaikan di jalan berkenaan sehingga ekonomi kembali pulih.
Mengikut perancangan awal, jalan berkenaan yang menghubungkan Seremban ke Gua Musang melalui laluan Simpang Pelangai, Bentong, Karak, Kuala Lipis, bakal dinaikkan taraf kepada empat lorong dengan membabitkan kos sebanyak RM3.7 bilion.
"Telah banyak perbincangan dilakukan sebelum ini dan berdasarkan perancangan sepatutnya dahulu jalan empat lorong kemudian dikurangkan kepada dua lorong dengan kos RM1.3 billion,"

"Dan keputusan terakhir, hanya untuk memperbaiki jalan terpilih iaitu tempat-tempat yang dipercayai mempunyai risiko tinggi punca berlaku kemalangan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri Pahang di sini, hari ini.

"Oleh sebab perakuan ini dibuat oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Jabatan Kerja Raya iaitu hanya baiki kawasan yang berlaku kemalangan saja, maka reaksi kerajaan negeri Pahang ialah saya cadangkan tak perlu buat apa-apa hingga ekonomi pulih.

"Walau apapun, keputusan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak), kita akur, tetapi pada EPU dan JKR, tak payah buat apa-apa, pesan pada orang balik Kelantan (cuti Aidilfitri nanti) hati-hati..," katanya dengan nada sinis.
Projek melebarkan jalan berkenaan adalah sebahagian daripada projek Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang dilancarkan Perdana Menteri sebelum ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 30 Oktober 2007.

Adnan yang kesal dengan keputusan itu berkata apa yang perlu dilakukan cuma jalan terbabit ditambah papan tanda amaran di sepanjang kawasan berisiko kemalangan. - BERNAMA

Tiada ulasan: