Sabtu, 6 November 2010

www.telokkemang.blogspot.com/

www.telokkemang.blogspot.com/


Petikan Perbahasan Bajet 2011 Di Parlimen Pada 27hb Oktober

Posted: 06 Nov 2010 03:28 AM PDT

Dato' Kamarul Baharin Abbas [Telok Kemang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya mulakan dengan menyebut bahawa bajet ialah satu perkara yang kemuncak yang ditunggu-tunggu oleh rakyat dan tidak kurangnya pada tahun ini, saya dimaklumkan bahawa sejumlah lebih kurang 10 juta rakyat telah mendengar atau menonton televisyen dan radio untuk mengetahui apakah bajet tahun ini akan memberi harapan terhadap mereka pada tahun 2011.

Pendapat umum berbeza-beza tetapi yang nyata adalah mereka kurang puas hati dengan apa yang dibentangkan oleh kerajaan. Banyak persoalan yang timbul dalam bajet kali ini dan secara ringkasnya saya rujuk kepada carta dalam bajet ini yang menyebut di antara lain, pendapatan kerajaan akan datangnya daripada pinjaman dan penggunaan asset kerajaan.

Memanglah pinjaman ini tahun demi tahun menjadi sumber pendapatan kerajaan dan tidak kurangnya pada tahun ini pinjaman dan penggunaan asset kerajaan yang mana kebanyakannya ialah pinjaman yang berjumlah lebih daripada RM46 bilion dan ini secara langsung meningkatkan hutang kerajaan sampai kepada lebih kurang RM400 bilion. Dalam masa yang sama dalam perbelanjaan pembangunan.

Perbelanjaan ada peruntukan sebanyak lebih daripada RM18 bilion mengenai dengan bayaran khidmat hutang. Bermakna kita tidak mampu membayar hutang dan meminjam lebih daripada yang kita mampu untuk membayar. Jadi ini tidak mencerminkan satu usaha kerajaan untuk menentukan supaya hutang kerajaan itu dikawal dan kita meminjam mengikut kemampuan kita untuk membayarnya.

Dalam hal ini, saya ingin rujuk kepada cara kita membelanjakan dana negara. Kita pernah dengar dalam Dewan ini di mana perbelanjaan lebih daripada RM2 bilion yang tidak dapat dijelaskan. Ini yang disebutkan sebagai angka ketirisan dana kerajaan. Dalam masa yang sama juga kita membelanjakan kewangan dan beberapa projek yang dilaksanakan tidak mengikut peruntukan yang dibenarkan, sering berlaku pertambahan kos, penambahan variation orders dan juga tambahan tambahan yang tidak munasabah yang meningkatkan harga kos projek itu yang kadang-kadang melibatkan lebih daripada 50%. Ini satu tanda bahawa kita tidak boleh mengawal, tidak mengamalkan good governance dan accountability. Ini melibatkan pertambahan yang sia-sia yang perlu dicari oleh kerajaan yang boleh digunakan untuk projek-projek yang lain – projek projek yang terbengkalai.

Umpamanya projek-projek seperti yang disebutkan dalam Laporan Ketua Audit Negara. Umpamanya, saya sebut Politeknik Muadzam Shah di Pahang – RM295 juta yang sekarang ini hanya siap 87%. Projek ini dimulakan pada 2003. Ini tahun yang kelapan dan projek ini masih lagi tidak siap. Untuk menyiapkannya, sudah pasti pertambahan pada perbelanjaan dan kos pada projek. Satu lagi, umpamanya Kompleks Bridget Kem Skudai, Johor Bahru – RM256 juta yang sudah lebih sepuluh tahun dan tahun ini kemajuannya hanya 18.3%. Akan tetapi apa yang lebih merunsingkan ialah tanah itu sudah dicagarkan kepada bank dan kita tidak mampu menarik bon pelaksanaannya yang sebanyak lebih kurang RM13 juta dan juga bon tanah yang sebanyak RM256 juta kerana tempoh bon itu sudah tamat. Jadi di sini kehilangan lebih kurang RM300 juta dan projek hanya siap 18.3%.

Banyak lagi boleh disebut dalam pelaksanaan projek-projek yang tidak siap. Umpamanya soalan saya dalam Parlimen tempoh hari berkenaan Projek Lebuh raya Seremban-Port Dickson-Linggi yang mana walaupun sudah empat hingga lima kali dilanjutkan, masih lagi tidak siap. Sudah enam tahun dan sekarang ini kontraktor projek itu telah ditamatkan dan akan ditawarkan semula kepada kontraktor baru yang sudah semestinya akan meningkatkan kos pada projek yang berkenaan.

Tuan Yang di-Pertua, disebut juga dalam bajet ini mengenai dengan private sector investment yang melibatkan RM86 bilion. Saya curiga bagaimana kerajaan boleh memberi angka mengenai dengan private sector investment melainkan ia melibatkan perbelanjaan yang dianggarkan oleh syarikat-syarikat GLC. Bagi saya, GLC bukanlah sumber ataupun diklasifikasikan sebagai private sector investment.

Pada hemat saya, ini ialah termasuk dalam perbelanjaan yang akan dilakukan oleh kerajaan. Ini kerana selalunya dan sering dilakukan. Mengikut pengalaman kita bahawa projek GLC yang besar-besar akan mendapat jaminan daripada kerajaan apabila mereka mengeluarkan bon untuk melaksanakan projek-projek ini.

Projek seperti PKFZ misalnya – ini bon telah dikeluarkan. Projek Syarikat Perumahan Negara – apabila mahu pinjaman, dikeluarkan bon sehingga RM10 bilion dan perlu dibayar dan bon ini dijamin oleh kerajaan. Kita tahu kemampuan SPN tidak boleh membayar bon ini dan akhirnya kerajaan yang menanggungnya. Syarikat Prasarana Negara mengeluarkan bon RM10 bilion juga dan ini dengan jaminan kerajaan. Kita dimaklumkan mengenai dengan pelaburan PNB dan ini melibatkan wang pelabur-pelabur iaitu orang awam termasuk kita semua. Wang ini dilaburkan dalam sektor-sektor seperti yang disebutkan. Di antara lain, disebutkan juga bahawa portfolio KWSP akan meningkat daripada 7% kepada 20% untuk pelaburan luar negara. Saya tidak mahu panjang lebar mengenai pelaburan ini. Pelaburan PNB mengenai dengan RM5 bilion menara 100 tingkat itu sudah banyak diperkatakan.

Apa yang saya mohon dan cadangkan ialah supaya kerajaan mewajibkan syarikat-syarikat berkanun yang melibatkan pelaburan orang ramai perlu mengisytiharkan keuntungan atau pulangan yang akan didapati daripada pelaburanpelaburan ini dan juga memberi jaminan kepada pelabur kalau seandainya dividen dalam KWSP 6% atau 7%. Dengan pelaburan ini, maka KWSP boleh menjamin bahawa dividen ini akan mendapat peningkatan sekurang-kurangnya 1% atau 2%. Ini seperti apa yang dilakukan oleh Bursa Saham Malaysia ataupun pasaran saham – Securities Commission yang memerlukan public listed company (PLC) mengisytiharkan pelaburan dan memberi anggaran keuntungan atau pulangan. Maka dengan itu, saya mohon supaya diwajibkan badan-badan berkanun yang melibatkan kewangan rakyat ini untuk membuat pengisytiharan dan memberi jaminan mengenai pulangan-pulangan.

Saya juga ingin menyentuh mengenai dengan beberapa pampasan dan ini mengakibatkan aliran tunai kerajaan akan tergugat dan perlu kerajaan mengambil peruntukan daripada sektor-sektor yang lain untuk membayar pampasan-pampasan mengenai projek-projek yang pada mulanya dirancang dan pada akhirnya dibatalkan. Kita juga menyebut mengenai dengan pelaburan nuklear. Kelmarin ada pengumuman mengenai dengan rancangan untuk mengadakan reaktor nuklear pada tahun 2014 yang dijangka akan siap pada tahun 2021. Saya ingin maklumkan di dalam laporan IEA bahawa tidak boleh reactor nuklear ini dioperasi secara komersial sebelum 15 tahun. Maknanya, jangka masa untuk membuat satu reaktor ini akan mengambil masa 15 tahun. Dalam masa yang sama, saya juga menyebut mengenai dengan keperluan kita untuk memikirkan pelaburan dalam perlombongan uranium. Ini keperluan loji nuklear. Jadi...

Tuan Hee Loy Sian [Petaling Jaya Selatan]: Saya hendak bertanya Yang Berhormat Telok Kemang. Saya difahamkan dengan cerita loji nuklear yang pertama tapaknya akan diadakan di Port Dickson. So, saya hendak bertanya sama ada ini berita yang betul atau tidak. So, sebagai Ahli Parlimen di Telok Kemang, boleh terima atau tidak rakyat di sana, bagi menerima satu loji nuklear yang pertama kalau dibuat di Port Dickson?

Seorang Ahli: [Menyampuk]

Dato' Kamarul Baharin Abbas [Telok Kemang]: Saya juga ada membaca mengenai dengan perkara ini dan belum dapat pasti bahawa ia akan diletakkan di Port Dickson. Akan tetapi, saya juga dimaklumkan melalui beberapa risalah bahawa seandainya diadakan di Port Dickson, saya mengalu-alukan pembinaannya kerana sudah dijamin keselamatannya asalkan ia mengikuti spesifikasi-spesifikasi yang ditentukan oleh IEAE. Setakat ini di seluruh dunia, kita juga dimaklumkan bahawa ada 400 nuclear reactors seluruh dunia. Lebih kurang 376,000 megawatt iaitu 13% ataupun 14% keperluan tenaga elektrik dunia sekarang. Jadi, memang itu satu tindakan yang baik sekiranya kita mempunyai perancangan kerana ini telah menjadi satu usaha yang dilakukan oleh negeri China, India dan negara-negara yang lain. Jadi, pelaburan mengenai uranium tadi, perlombongan uranium – ini tidak ada di semua negara melainkan beberapa Negara seperti Kazakhstan, Namibia, Australia dan saya mencadangkan supaya kita fikirkan Petronas misalnya ataupun Khazanah Nasional memperuntukkan untuk melabur kerana negara seperti Kazakhstan atau Namibia menjemput negara-negara luar atau sesiapa yang mempunyai minat untuk membeli saham dalam perlombongan uranium. Inilah satu bahan yang perlu dalam projek nuklear.

Jadi, pendek kata Tuan Yang di-Pertua, kita perlu melihat bajet ini umpama perancangan negara untuk melihat supaya matlamat kita yang sekarang ini seharusnya meliputi semua kaum. Apa yang disebutkan sering dalam bajet ini hanya meliputi kebanyakannya ialah projek-projek yang besar-besar dan tidak langsung melibatkan ataupun diperjelaskan apakah projek-projek yang besar-besar ini memberikan manfaat kepada orang ramai. Ini kerana kebanyakan rakyat kita masih lagi di desa.

Umpamanya, kita dalam ucapannya menyebut mengenai dengan untuk meningkatkan kemajuan industri. Akan tetapi dalam masa yang sama, ia industry pertanian diturunkan peruntukannya. Tiga tahun atau empat tahun dahulu, melebihi RM10 bilion. Sekarang ini hanya RM3.8 bilion. Bermakna tidak ada keutamaan kita memberi pada industri pertanian untuk membangun. Kalau kita lihat negara-negara yang lain, Korea, Taiwan, Thailand yang mempunyai keseimbangan antara industri pertanian dan juga industri berat. Jelas sekarang ini mereka lebih maju daripada kita. Jadi, kita harus kembali pada asas pembangunan yang memberikan keseimbangan yang membangunkan, yang akan memberikan manfaat pada yang di bandar dan di desa.

Jadi, Tuan Yang di-Pertua, hanya setakat ini. Kesimpulannya ialah kita masih menumpukan kepada good governance, akauntabiliti, kita mesti kawal ketirisan, kita tingkatkan produktiviti kita supaya jangan beberapa bulan lagi kita datang di sini untuk memohon Parlimen meluluskan tambahan pada bajet kerana untuk menampung perkara yang tidak diambil kira ataupun perkara-perkara yang perlu dipertingkatkan perbelanjaan kosnya supaya projek itu akan siap selagi sikap kita menganggap bahawa asalkan setiap saat itu minyak itu mengalir bahawa kita tidak mempunyai masalah kerana kita mempunyai wang tunai. As long as there is flow of oil, we think that we will not be affected by short falling cash flow. Jadi, sikap ini yang melemahkan kita dan tidak memberikan kita semangat untuk memikirkan soal yang lain untuk mendapatkan dana hasil daripada pertumbuhan daripada projek-projek yang kita laksanakan. Sekian, terima kasih.

Tiada ulasan: