Khamis, 25 November 2010

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Selangor Prihatin Bantu Rakyat Miskin

Posted: 25 Nov 2010 01:19 AM PST

SHAH ALAM, 25 Nov – Kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mendakwa kerajaan negeri Selangor tidak prihatin membantu rakyat miskin adalah tidak tepat  tegas Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr A. Xavier Jayakumar.

Menurut Dr Xavier kerajaan negeri turut menyalurkan peruntukan kewangan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Selangor setiap tahun untuk membiayai gaji dan emolumen kakitangan. Kerajaan negeri juga turut menyalurkan peruntukan bagi program bantuan, iaitu bantuan am, bantuan latihan aperantis dan bantuan bencana.

"Peruntukan yang diberikan adalah tidak kurang daripada RM10 juta setiap tahun dan kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM6 juta pada tahun 2009, dan RM7 juta pada tahun ini menjadikan jumlah peruntukan yang disalurkan adalah hampir RM20 juta setiap tahun," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.

"Pada tahun 2010 seramai 32,377 orang telah menerima bantuan kerajaan negeri dan peruntukan itu sebanyak RM39,726,507.45 telah dibelanjakan," jelas Dr Xavier.

"Selain melaksanakan program-program pembasmian kemiskinan sedia ada, kerajaan negeri turut melancarkan program mikrokredit kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah dengan peruntukan yang dibajetkan adalah sebanyak RM70 juta," katanya.

Jelas Dr Xavier lagi kerajaan negeri dan anak syarikat kerajaan negeri serta Lembaga Zakat  Selangor tidak terlepas pandang dan sentiasa prihatin untuk membantu golongan miskin di negeri Selangor.

"Justeru, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan bantuan dan bersedia untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk agensi Kerajaan Persekutuan bagi memastikan agenda menangani kemiskinan dapat dilaksanakan dengan jayanya,"
katanya.

Tiada ulasan: