Suara Sri Andalas |
Mahkamah Sahkan Penyelewengan SYABAS Posted: 21 Nov 2010 12:30 AM PST SHAH ALAM, 21 Nov - Mahkamah Tinggi Shah Alam mengesahkan adanya penyelewengan yang serius dalam operasi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas). Persuruhjaya Kehakiman, Hadhariah Syed Ismail berkata demikian selepas meneliti laporan Ketua Audit Negara ke atas Syabas, dan perjanjian konsesi yang dimeterai Kerajaan Selangor dan Persekutuan. Hadhariah dalam rumusannya menegaskan, rakyat bakal menerima kejutan sekiranya mereka menatap kandungan dua dokumen itu. Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, memetik kehakiman Hadhariah bertarikh Jun tahun ini, di taklimat air anjuran Panel Penilaian Air Kerajaan Negeri Selangor di Majlis Bandaraya Petaling Jaya(MBPJ), semalam. "Pendedahan perjanjian konsesi ini dan laporan audit akan mengundang kritikan terhadap kerajaan," kata Charles memetik kehakiman mahkamah. Charles menjelaskan, pihak mahkamah mengakui bahawa usaha syarikat konsesi menaikkan tarif air dibuat sewenang-wenangnya, bahkan mahkamah turut membidas tindakan Kerajaan Persekutuan menguatkuasakan Akta Rahsia Rasmi bagi menutup penyelewengan ini. "Konsesi menaikkan tarif air secara sewenang-wenangnya, dan penguatkuasaan Akta Rahsia Rasmi bukan saja tidak menepati matlamat akta itu, tetapi juga bercanggah dengan prinsip 'good governance'," kata Charles memetik kehakiman itu lagi. "Kepentingan rakyat seharusnya diutamakan," tambah beliau disambut dengan tepukan gemuruh hadirin. Gabungan Membantah Penswastaan Air memfailkan permohonan meminta laporan audit dan perjanjian konsesi yang dimeterai Syabas dan Kerajaan Selangor pada 15 Disember 2004 diisytiharkan bukan sulit tetapi dokumen awam. Gabungan ini terdiri daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia dan 13 badan bukan kerajaan (NGO)yang mewakili pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Mereka berhujah, laporan audit Syabas yang menjadi asas yang mendasari keputusan Kerajaan Pusat menaikkan tarif air sebanyak 15 peratus di Lembah Klang pada 14 Oktober 2006, harus dibuka kepada pemantauan umum. Permohonan gabungan pengguna ini bagaimanapun ditolak Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi pada 4 Disember tahun yang sama atas alasan laporan audit dan perjanjian konsesi tersebut adalah sulit dan rahsia kerajaan Malaysia. "Bahkan Kerajaan Persekutuan berjanji untuk memberi pampasan kepada Syabas sekiranya konsesi itu gagal mencapai KPI yang ditetapkan," kata Charles. Sumber: Selangorkini |
Penswastaan Air Sekadar Menguntungkan Kroni Posted: 21 Nov 2010 12:00 AM PST SHAH ALAM, 21 Nov – Agenda penswastaan nasional yang menyeluruh melatari lanskap ekonomi negara pada penghujung 1980-an dan 1990-an. Meskipun industri air telah diswastakan dengan jayanya di beberapa negara, namun faktor kejayaan ini tidak kelihatan di Malaysia. Di Selangor misalannya, segmen industri air yang paling menguntungkan diagih-agihkan kepada individu-individu terpilih, manakala segmen yang paling merugikan ditanggung oleh kerajaan negeri. Sebelum penswastaan, Jabatan Bekalan Air Selangor (JBAS) membawa pulangan antara RM50 juta hingga RM80 juta setahun kepada Perbendaharaan Negeri, meskipun ia menjana keuntungan pada kadar tarif yang murah pada 1997, pentadbiran Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan untuk menswastakan industri air negeri bagi meningkatkan kecekapan. "Barisan Nasional melakukan sesuatu yang dramatik, mereka menswastakan bahagian yang paling menguntungkan kepada Puncak Niaga," kata Charles. Segmen pembekalan air yang merugikan dikorporatkan kepada Pengurusan Air Selangor Bhd atau Puas pada tahun 2002. "Secara asasnya, Barisan Nasional menswastakan keuntungan, menyerahkan keuntungan kepada syarikat, manakala bahagian yang tidak menguntungkan diuruskan oleh kerajaan negeri," kata Charles. Namun Puas tidak mempunyai kapasiti menjana keuntungan, seraya menyebabkan ia menanggung hutang setinggi RM2 bilion ringgit. Usaha Puas dan pasaran modal untuk menyelamatkan hutang pengurusan itu bagaimanapun dihalang Kerajaan Umno-BN. "Kerajaan tidak melindungi institusinya sendiri. Kita harus ingat bahawa Puas telah pun menemui bank, yang bersetuju untuk menyelamatkan pengurusan itu. "Apa yang berlaku, kerajaan halang langkah itu, dan menyerahkan bahagian Puas kepada Syabas. Kerajaan turut memberi RM2.09 bilion kepada Syabas," tambahnya. Sumber: Selangorkini |
You are subscribed to email updates from Suara Sri Andalas To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan