Isnin, 1 November 2010

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Rakyat Batu Sapi Tertindas Sekian Lama

Posted: 01 Nov 2010 07:21 PM PDT

Beberapa hari berkampung di Batu Sapi, nyata sekali mengesankan. Program disusun oleh Jentera Pilihanraya saban waktu untuk menemui rakyat Batu Sapi tanpa lelah.

Hal yang amat memprihatinkan adalah tahap kemiskinan ketara di kalangan ribuan keluarga di Batu Sapi dan kawasan sekitar Sandakan.
Hasil balak dan royalti minyak mencecah berbilion ringgit. Namun di Kampung Gas, Kampung Bukara, Kampung Forest, Pulau Singa yang kami lawati mempamerkan kehidukan merempat yang sungguh menyayat hati.
Semalam kami singgah di pasar BDC – luar biasa daif. Peniaga kecil Muslim mencari nafkah hidup tanpa sebarang prasarana dan pembelaan.
Pemimpin Umno yang sering melalak sebagai jaguh pembela Melayu perlu membeliak mata menyaksikan penganiayaan masyarakat yang dipinggirkan olih pemimpin mereka sendiri.
Kami sekadar menjelaskan dan mendoakan agar rakyat insaf dengan menolak keangkuhan dan rasuah BN.

Sdr Ansari Abdullah diharap akan mendapat dukungan rakyat agar suara mereka akan dikumandangkan di Parlimen dan di seluruh negara.

ANWAR IBRAHIM

Rakyat, KEADILAN Dan Anwar

Posted: 01 Nov 2010 09:15 AM PDT

Oleh Nik Nazmi

Walaupun saya cenderung menyokong pembangkang sebelum Reformasi, apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998, saya pada mulanya keliru tentang apa yang berlaku dan signifikannya kepada rakyat Malaysia.

Tetapi selepas Gerakan Reformasi memuncak, saya sedar gerakan ini bukan mengenai kes Anwar semata-mata, tetapi suatu kebangkitan rakyat yang selari dengan zamannya.

Apabila saya mula terlibat membantu KEADILAN menerusi Unit Pendidikan Politik-Institut Kajian Dasar sekitar 2001, saya menyedari bahawa KEADILAN lah parti masa depan Malaysia: sebuah gerakan pelbagai kaum yang progresif dan memartabatkan ketuanan Rakyat. Sebab itu saya memilih menyertai KEADILAN.

Perjuangan KEADILAN berasaskan 17 perkara dasar yang menjadi asas matlamat dan perjuangan parti.

Ramai ahli nujum yang mengatakan KEADILAN akan gulung tikar selepas Pilihan Raya Umum 2004 yang meninggalkan KEADILAN hanya kerusi tunggal Permatang Pauh. Apabila Anwar dibebaskan dari penjara pada tahun tersebut, ramai anggap sudah tiada gunanya KEADILAN wujud kerana ikonnya sudah bebas.

Tetapi mereka tersilap. Setahun kemudian di Kongres KEADILAN pertama yang saya hadiri di Kuala Lumpur, usul Agenda Ekonomi Malaysia diluluskan oleh Kongres. Anwar mula bercakap mengenai menggantikan Dasar Ekonomi Baru dengan pendekatan yang menekankan merit dan tindakan afirmatif berdasarkan keperluan.

Waktu itu semua kata tindakan itu gila. Tetapi Anwar menjelajah seluruh Malaysia mempertahankan pendirian tersebut. Selepas Pilihan Raya Umum 2008 yang menyaksikan KEADILAN muncul parti pelbagai kaum paling berjaya dalam sejarah negara, tiba-tiba pendirian tersebut menjadi arus perdana. Mana tidaknya, UMNO yang dahulu menuduh Anwar pengkhianat Melayu pun bersetuju dengan pandangan tersebut.

Pada Pilihan Raya Umum 2008 KEADILAN masuk ke gelanggang Pilihan Raya dengan 5 Janji Anwar yang mewakili manifesto komprehensif tentang agenda parti sekiranya menang di Putrajaya.

Tahun 2010 KEADILAN bersama-sama PAS dan DAP telah menggagaskan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang bersejarah.

Kini KEADILAN sekali lagi mempelopori sejarah politik negara dengan konsep satu anggota satu undi.

Justeru untuk menuduh KEADILAN taksub pada Anwar adalah tuduhan yang tidak berasas sama sekali. Reformis yang mengasaskan parti ini bangkit bukan kerana Anwar sebagai individu, tetapi kerana nilai-nilai yang diwakilinya.

Meninggalkan kes Anwar hanya pada pasukan guamnya

Rosmah Pemangku PM?

Posted: 01 Nov 2010 05:48 AM PDT

Dari Harakah

Tindakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mewakili Perdana Menteri dalam majlis yang tidak boleh disertainya menimbulkan pelbagai persoalan kini apakah beliau adalah pemangku perdana menteri.

“Saya keliru. Jika PM tidak sihat, bukankah sepatutnya timbalan perdana menteri yang mewakili beliau dan kerajaan, dan bukan Rosmah? Atau dia (Rosmah) pemangku PM,” kata Malik Imtiaz Sharwa seorang peguam terkenal dalam twitternya.

Semalam, Rosmah telah berucap mewakili PM di Karnival Deepavali 1Malaysia di Litle India dekat Brickfield.

Dalam majlis itu, Najib melalui teks ucapan yang dibacakan oleh isterinya berjanji akan membantu orang India di negara ini.

Najib telah didapati mempunyai tanda-tanda awal sakit chicken pox dan diminta berehat oleh doktor.

Menurut penasihat medianya, Datuk Seri Jalaludin Bahaudin, Najib juga diingatkan supaya mengelakkan dirinya daripada menghadiri semua majlis rasmi berikutan rawatan perubatan selepas terdapat simptom penyakit cacar itu.

Katanya, presiden Umno itu mula merasa kurang sihat dan kemudian didapati ada ruam panas, sakit otot dan sendi pada hari terakhir Sidang Kemuncak Asean ke-17 dan berkaitan di Hanoi, Vietnam selama tiga hari.

“Setibanya di Subang (Selangor) hari ini, beliau menunjukkan ada tanda-tanda awal menghidapi penyakit cacar dan dengan segera mendapat rawatan. Oleh kerana ubat diberikan awal, Perdana Menteri menunjukkan respon yang baik,” katanya sambil menambah doktor peribadi Najib menasihatkan Perdana Menteri berehat di kediaman dan mengelak daripada menghadiri semua majlis awam dan rasmi.

“Perdana Menteri memohon maaf atas segala kesulitan,” kata Jalaludin.

Belanja Tanpa Kelulusan Bukti UMNO BN Khianat Amanah Rakyat

Posted: 31 Oct 2010 08:29 PM PDT

Oleh Mohd Rahidi Hassan

SELURUH pemimpin Umno-Barisan Nasional yang dipimpin Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak sepatutnya bersedia berundur dari tampuk kuasa dengan seberapa segera.

Sudah terbukti mereka tidak mampu memerintah dan menguruskan hasil mahsul negara dengan baik.

Dalam Laporan Audit 2009 yang dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC) di Parlimen, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang mencatatkan bahawa, Kerajaan Persekutuan telah terlebih belanja RM4.83 bilion tahun lalu.

Ini merupakan defisit kedua tertinggi selepas tersasar bajet operasi RM5.7 bilion pada tahun sebelum itu.

“Ini menunjukkan masih terdapat kelemahan dan perancangan kewangan dan pengurusan,” Laporan Ketua Audit dipetik.

Lebih tegas Ambrin menegur Kerajaan Umno-BN, dengan memberi penekanan bahawa bahawa perbelanjaan sepatutnya hanya dilakukan selepas mendapat kelulusan.

Apabila Ketua Audit mencatatkan teguran sebegini, bermakna wujud secara berleluasa tindakan pihak-pihak tertentu membuat perbelanjaan tanpa mendapat kelulusan, sehingga ia menyumbang kepada lebih belanja, yang boleh menjejaskan pentadbiran ekonomi negara.

Ini sebenarnya suatu perkara besar dalam aspek pemerintahan. Iaitu pihak eksekutif (kerajaan) tidak harus membelanjakan wang milik negara dan rakyat sesuka hati.

Dalam Laporan Audit juga didedahkan mendedahkan ada 11 agensi kerajaan, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Perkhidmatan Awam dan 10 kementerian telah berbelanja melebihi bajet operasi mereka sehingga sebanyak RM3.61 bilion.

Ketua Audit Negara mendapati 15 kementerian dan agensi terlebih berbelanja RM3.74 bilion bagi 42 projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

Senarai teratas adalah Kementerian Pertahanan yang terlebih belanja RM2.03 bilion untuk tiga projek, diikuti oleh Kementerian Pelajaran ((RM927 juta untuk empat projek) dan Jabatan Perbendaharaan (RM547 juta untuk dua projek).

Sementara itu, hutang tertunggak oleh kerajaan-kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan pula terkumpul sebanyak RM4.6 bilion atau 13.3 peratus melebihi jumlah RM4.08 bilion yang dicatatkan pada 2008.

Selangor adalah pemiutang terbesar (RM829.86 juta – dicatat semasa BN berkuasa), diikuti Johor (RM809.89 juta), Kedah (RM706.68 juta), Pahang (RM565.08 juta) dan Negri Sembilan (RM504.50 juta).

Jumlah hutang tertunggak itu terus meningkat meskipun RM204.27 juta dalam pembekalan perjanjian air kepada lapan negeri telah diserap oleh Kerajaan Persekutuan.

Bagi badan berkanun, Perbadanan Aset Keretapi (RM1.02 bilion) adalah pemiutang terbesar manakala Perwaja Terengganu Sdn Bhd menduduki senarai syarikat dengan hutang terbesar (RM1.8 bilion).

Hakikatnya, pendedahan Ketua Audit Negara ini merupakan suatu pembongkaran salah laku dan ketirisan pengurusan yang amat serius dilakukan oleh Kerajaan Umno-BN.

Daripada bukti-bukti ini, jelas menunjukkan bahawa mereka yang sering mendabik dada kononnya berjasa besar membangunkan negara, sebenarnya adalah pemimpin yang sangat lemah dan tidak berkualiti.

Jelas Umno-BN sudah tidak mampu menguruskan wang negara, mereka begitu boros dan tidak tahu menjimatkan wang rakyat.

Fenomena ini berlaku kerana pemimpin-pemimpin Umno-BN yang ada pada hari ini, hanya mementingkan diri sendiri lebih daripada rakyat jelata keseluruhannya.

Tiada jalan terbaik untuk mengembalikan negara ke landasan yang betul, melainkan dengan menumbangkan Umno-BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Harapan Baru Rakyat Sabah Bermula Di Batu Sapi

Posted: 31 Oct 2010 08:11 PM PDT

Dari Suara Keadilan

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jika kemenangan calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat di Sibu, Sarawak boleh dianggap sebagai kejutan kepada ‘kubu besi’ Barisan Nasional tersebut, kemampuan pengundi Batu Sapi memartabatkan calon KEADILAN ke Parlimen 4 November akan menjadi pukulan kepada Umno-BN.

Berucap dihadapan lebih 1,000 penduduk Batu Sapi di Sanbay Hotel dekat sini petang tadi dalam majlis Debat Perdana anjuran Pakatan Rakyat, Anwar menegaskan kemenangan di kawasan parlimen P185 akan menghantar mesej yang amat jelas bahawa pengundi Sabah dan
Sarawak bersama-sama rakyat Semenanjung menolak sepenuhnya kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mewakili Umno-BN.

“Kita perlu ingat pada pilihan raya umum 2008 pengundi Semenanjung telah menolak Umno-BN dan undi popular yang Pakatan Rakyat perolehi ialah 51 peratus. BN hanya menang disebabkan undi Sabah dan Sarawak, sebab itu mereka label simpanan tetap.

“Pilihan raya Batu Sapi adalah rahmat Tuhan kepada rakyat Sabah, satu peluang kepada pengundi membuat gegaran di Parlimen, membawa isu-isu yang tidak mungkin diperjuangkan oleh wakil BN mahupun Sapp,” tegas Anwar.

Beliau membidas sikap Umno-BN yang tidak pernah mahu memikirkan masalah rakyat terutamanya di Batu Sapi.

“Apa yang ada dalam Bajet 2011 yang mengutamakan penduduk Batu Sapi. Yang difikirkan oleh Najib ialah mahu mendirikan menara 100 tingkat dan mengkayakan kroni mereka. Balak berpuluh bilion diambil tapi jambatan kecil usang di Kampung Gas untuk kegunaan rakyat miskin pun tidak terjaga. Tak guna punya kerajaan,” bidas Anwar sambil disahut dengan laungan Reformasi oleh yang hadir.

Anwar yang juga Ketua Oposisi berkata Pakatan Rakyat sekarang mampu berdepan dengan rakyat dengan pelbagai bukti dasar yang dilaksanakan oleh negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat di Selangor, Pulau Pinang, Kedah serta Kelantan.

“Di Pulau Pinang semasa BN memerintah belanjawan sentiasa defisit tetapi dua setengah tahun sahaja Pakatan Rakyat memerintah rizab kerajaan negeri mencecah lebih RM1 bilion.

“Di Kedah pula selepas enam memerintah, rakyat menikmati pengurangan cukai sebanyak 30 peratus di kawasan bandar dan 70 peratus di luar bandar. Di Selangor rakyat bukan sahaja nikmati air percuma tapi skim khairiat kematian sebanyak RN2,500, untuk pelajar universiti RM1,00- dan macam-macam lagi,” jelas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Anwar mengajak rakyat Sabah membuat perubahan yang selama ini menjadi impian mereka dengan bersama-sama lakarkan laluan ke Putrajaya bagi mengubah senario politik perkauman dan kronisme yang menjadi budaya Umno-BN sejak 50 tahun.

Tiada ulasan: