Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA |
- SPRM digesa siasat dakwaan penyelewengan Felcra
- Anwar sedia undur jika desakan dari Pakatan Rakyat
- Permohonan Zunar, Mkini didengar 10 Mac
- 300 ribu Rela undi pos untuk tawan Selangor?
- Bukan Melayu Kurang Patriotik : Zahid Hamidi
- Kes Pisau Lipat 20 Sen Ditangguh Ke 9 Mac
- Mustaffa Beri JPP Tempoh 48 Jam Hentikan Pemilihan 2010
- Hishammuddin Berdalih Tak Mahu Jawab Isu Mata Lebam
- Nazri Hina Kit Siang, Tarik Balik Kenyataan
- Pemuda PAS Desak Hishammuddin Lipat Ganda Usaha Selesai Kes Orang Hilang
SPRM digesa siasat dakwaan penyelewengan Felcra Posted: 09 Nov 2010 12:11 AM PST PUTRAJAYA, 9 Nov: Satu laporan dakwaan penyelewengan Felcra dalam perlaksanaan Projek Pembangunan Pulau Bangi, Sabah diserah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Laporan diserahkan Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman di pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya hari ini. "Kita menggesa SPRM menubuhkan special Task Force untuk siasat projek ini. "Ianya bukan sahaja melibatkan kos besar, tapi penyelewengan menteri dan pengurusan kanan Felcra," katanya yang juga Pengerusi Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak). Beliau mendakwa, Projek Agropolitan Pulau Bangi yang dibangunkan pada 2006 dengan kos RM167 juta, untuk penanaman getah di atas tanah seluas 2000 ekar dibuat tanpa kajian awal sehingga merugikan wang rakyat. Projek tersebut dilancarkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Badawi dengan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ketika itu, Datuk Seri Aziz Shamsuddin. Ianya termasuk faktor cuaca panas 7 hingga 8 bulan setahun di pulau tersebut, kadar kemasinan tanah yang tinggi dan ombak besar yang berisiko merosakkan tanaman. Selain itu, Lembaga Getah Sabah juga didakwa menolak syor menanam getah tersebut, manakala anak syarikat SEDC Sabah juga menolak syor untuk penanaman kelapa sawit namun tidak dipedulikan Felcra. "Kerajaan mesti membuat perisytiharan rasmi tentang status projek tersebut agar wang rakyat tidak dibazirkan sesuka hati," katanya lagi. Selain itu, Felcra juga didakwa membazirkan sejumlah RM40 juta untuk membina Empangan Air dan RM25 juta untuk membina 100 buah rumah peserta sedangkan tiada apa-apa hasil selepas 3 tahun projek itu berjalan. Malah terdapat juga dakwaan bahawa kontrak membina empangan tersebut dibuat secara runding terus. Sehingga kini katanya, kemajuan tanaman getah tersebut hanya statik, dan Felcra juga telah membayar gaji bulanan kepada peserta antara RM 18 hingga RM20 bermula 2007. Beliau juga mahu kebenaran, sama ada benar sejumlah RM200 juta telah diperuntukkan untuk projek tersebut untuk 2008, 2009 dan 2010. "Kita juga mahu siasatan menyeluruh dibuat terhadap mereka yang bertanggungjawab dan mengheret mereka ke muka pengadilan," katanya sambil menunjukkan senarai nama mereka yang didakwa terlibat. Sumber: Harakah Daily | ||
Anwar sedia undur jika desakan dari Pakatan Rakyat Posted: 09 Nov 2010 12:09 AM PST Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap bidasan terbuka oleh Datuk Zaid Ibrahim, yang menggesanya supaya berundur sebagai ketua umum PKR mungkin ada kaitan dengan 'kempen bersepadu' untuk mencemarkan nama baiknya sebagai ketua pembangkang. "Itu pendapat peribadinya (Zaid). Jika ada konsensus daripada kepimpinan yang saya harus berundur saya akan patuhinya tetapi saya tidak pernah mendengar perkara seumpama itu," kata Anwar apabila diminta mengulas bidasan Zaid pada sidang medianya hari ini. Bercakap kepada wartawan di lobi parlimen, petang ini, Anwar berkata beliau tidak akan melayan lagi karenah Zaid yang dalam kemarahan ketika ini. Beliau juga mempersoalkan kesangsian masa yang digunakan untuk menyerang dirinya dan naib presiden PKR Azmin Ali. "Seperti yang diketahui terdapat kempen bersepadu di Utusan (Malaysia) menggunakan bekas mufti Perlis, Mohd Asri Zainal Abidin dan lidah pengarang akhbar itu tuntut saya letak jawatan. "Saya tidak tahu ini sebahagian daripada kempen itu. Saya tidak tahu tetapi memang ada usaha bersepadu untuk singkirkan Anwar." Katanya, jika ada desakan daripada Pakatan Rakyat menuntut beliau mengundurkan diri, beliau mungkin mempertimbangkannya. Namun, Anwar berkata beliau tidak akan melayan serangan daripada luar parti dan mereka yang tidak dapat menerima kekalahan. Utusan baru-baru ini menyiarkan artikel yang memetik Mohd Asri menggesa Anwar dan semua pemimpin "dinosaur" PKR supaya meninggalkan gelanggang politik. Semalam, Zaid membuat kejutan dengan mengumumkan bahawa beliau menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden PKR dan meletakkan semua jawatannya dalam parti. Sumber: Malaysiakini | ||
Permohonan Zunar, Mkini didengar 10 Mac Posted: 08 Nov 2010 11:50 PM PST Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (bahagian rayuan dan kuasa khas) menetapkan 10 Mac tahun depan untuk mendengar permohonan berasingan semakan kehakiman oleh Zunar dan Malaysiakini. Permohonan itu untuk mencabar tindakan kementerian dalam negeri mengharamkan dua buku kartun politik - '1Funny Malaysia' dan 'Perak Darul Kartun '. Bulan lalu, Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh telah memberikan kebenaran kepada Zunar, yang nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque dan Malaysiakini, untuk mencabar pengharaman tersebut. Plantif mendakwa bahawa pengharaman tersebut adalah tidak sah dan melanggar hak kebebasan bersuara sebagaimana yang dijamin oleh perlembagaan persekutuan. Mereka juga mendakwa bahawa pengharaman tersebut melanggar peraturan keadilan semula jadi dan tidak dilakukan secara wajar, kerana tiada alasan diberikan berkaitan tindakan tersebut. Permohonan itu bertujuan untuk membatalkan pengharaman ke atas kedua-dua buku itu dan bayaran kos kerugian dan kerosakan kerana tidak dapat menjual buku-buku tersebut. Buku-buku tersebut diharamkan pada 24 Jun di mana kementerian mendakwa ia tidak sesuai dan menjejaskan ketenteraman awam, dan boleh menimbulkan kebencian dan kemarahan masyarakat terhadap pemimpin negara. Sumber: Malaysiakini | ||
300 ribu Rela undi pos untuk tawan Selangor? Posted: 08 Nov 2010 11:48 PM PST KUALA LUMPUR, 9 Nov: PAS mengharapkan supaya penambahan anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) seramai 300,000 di Selangor pada tahun 2011 tidak mempunyai agenda politik Umno BN untuk menawan negeri itu melalui taktik undi pos. Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad mengharapkan sasaran pertambahan mendadak anggota Rela di Selangor tidak menjadi tiket untuk mereka didaftar sebagai pengundi pos dalam pillihan raya umum akan datang. PAS, tegasnya memang meragui kewibawaan undi pos dalam setiap kali pilihan raya kerana ia adalah simpanan tetap BN. "Sudah lama PAS menuntut undi pos dihapuskan kerana kita mempunyai bukti daripada bekas anggota tentera yang bertugas selama ini tidak tahu siapa yang undi kertas mereka," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. Justeru, ujarnya pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu telus dan jangan menjadi tali barut BN ketika mengendalikan urusan pilihan raya. Baru-baru ini, tambahnya rakyat telah dikejutkan tindakan SPR berhubung kumpulan pengundi 'hilang layak undi awam' yang berjumlah 18,493 orang dalam Rang Daftar Pemilih Suku Ketiga 2010. Dan lebih mencurigakan, katanya jumlah tiga negeri paling ramai pengundi "hilang layak undi awam" ialah Kelantan (3,187), Kedah (2,876) dan Perak (2,007). Menurutnya, PAS menganggap itu adalah tindakan untuk mengepung supaya tembok Umno BN tidak runtuh dan diserbu oleh Paktan Rakyat di negara ini. Justeru, beliau mengharapkan supaya semua jentera pilihan raya di semua peringkat sentiasa mengambil berat mengenai daftar pemilih dan memerhatikan senario tersebut. "PAS mengharapkan jentera PAS dan Pakatan Rakyat di Selangor perlu serius menanggani perkara ini. Modus operandi untuk tawan Terengganu 2004 dahulu dengan menambah pengundi sedang berjalan di Selangor. "BN terlalu mengidam Selangor, berbanding negeri-negeri lain, kerana Selangor lubuk emas dan balang oksigen Umno," ujarnya. Sumber: Harakah Daily | ||
Bukan Melayu Kurang Patriotik : Zahid Hamidi Posted: 08 Nov 2010 11:40 PM PST KUALA LUMPUR 9 NOV : Kurang semangat patriotisme antara punca masyarakat Cina dan India tidak terlibat dalam bidang ketenteraan di negara ini. Perkara ini dilontarkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat semasa sesi soal jawab berhubung soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Setiu, Mohd Jidin Shafee berhubung perangkaan rekrut terbaru tentera sejak dua tahun kebelakangan ini dan pecahan jumlah itu mengikut bangsa. Beliau dalam soalannya juga ingin tahu punca atau sebab di sebalik kekurangan bangsa-bangsa tertentu menganggotai Angkatan Tentera Malaysia. Zahid berkata 9,054 pegawai dan anggota lain-lain pangkat diserapkan ke ATM sejak dua tahun lalu, berbanding 14,749 yang direkrut pada 2006 hingga 2008. Sepanjang 2008 hingga 2009, seramai 8,151 orang atau 90 peratus adalah berbangsa Melayu, 26 orang atau 0.29 peratus adalah Cina, 82 orang atau 0.91 peratus India manakala 795 atau 8.8 peratus adalah bangsa-bangsa lain termasuk kalangan bumiputera dari Sabah dan Sarawak. "Kementerian mendapati pembabitan bukan Melayu, khususnya di kalangan masyarakat Cina dan India di bawah tahap yang memuaskan. "Ia juga berkemungkinan dipengaruhi oleh faktor-faktor lain seperti takut disiplin ketenteraan yang ketat, gaji yang rendah berbanding swasta atau tiada galakan daripada keluarga," kata Zahid. Katanya lagi, ia juga mungkin disebabkan kekurangan sokongan daripada masyarakat berkenaan sendiri ataupun tanggapan negatif terhadap ATM. Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran yang bangun membuat bantahan menurut Peraturan Mesyuarat 36(10)(c). Kulasegaran dalam hujahnya menuntut Zahid memohon maaf berhubung kenyataannya bahawa bukan Melayu kurang semangat patrotik punca mereka kurang minat menganggotai angkatan tentera. Oleh kerana Zahid telah meninggalkan Dewan Rakyat ketika itu, Kulasegaran melabelkan menteri itu sebagai 'pengecut' meskipun sebelum itu telah dimaklumkan supaya terus berada di parlimen. Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kemudiannya menegur Kulasegaran agar tidak mengeluarkan kata-kata yang dianggap tidak sesuai, iaitu perkataan "pengecut". Sumber: TVSNEWS | ||
Kes Pisau Lipat 20 Sen Ditangguh Ke 9 Mac Posted: 08 Nov 2010 11:37 PM PST KUALA KUBU BHARU 9 NOV : Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini menangguhkan perbicaraan kes pisau lipat 20 sen terhadap Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Fariz Musa dan empat anggota AMK sehingga 9 Mac tahun depan. Fariz menerusi laman sosial 'Facebook'nya memberitahu mahkamah ditangguhkan lagi berikutan saksi pendakwaraya tidak dapat hadir. Sebelum itu, Hakim Zuraidah Zakaria pada 28 Julai lepas, menangguhkan kes dan menetapkan hari ini bagi meneruskan perbicaraan. Penangguhan ketika itu dibuat selepas hakim mendapati ketiadaan kertas penyiasatan (IP) daripada pihak pendakwa raya. Fariz dan empat anggota AMK ditahan 21 April lalu ketika kempen pilihahnraya kecil Hulu Selangor atas dakwaan di bawah Akta Kanun Keseksaan Seksyen 426, kerana memiliki senjata berbahaya dan bahan letupan. Mereka dituduh memiliki beberapa keping pisau lipat yang dipercayai digunakan untuk menurunkan kain rentang Barisan Nasional yang dianggap perbuatan provokasi semasa kempen PRK Hulu Selangor. Sumber: TVSNEWS | ||
Mustaffa Beri JPP Tempoh 48 Jam Hentikan Pemilihan 2010 Posted: 08 Nov 2010 11:36 PM PST SHAH ALAM 9 Nov - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Mustaffa Kamil Ayub yang bertanding jawatan Timbalan Presiden akan menyerahkan memorandum bagi mendesak pembatalan dan penjalanan semula pemilihan kepimpinan pusat 2010 kepada Presiden KEADILAN dan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP). Antara lain memorandum itu mempersoalkan tentang sistem dan perjalanan pemilihan secara telus yang diperkenalkan pada tahun ini yang kini didakwa amat jauh menyimpang daripada apa yang diharapkan oleh perwakilan yang meluluskan pindaan Perlembagaan parti dalam Kongres Khas pada bulan Jun 2009. "Pemilihan Kepimpinan pusat Keadilan sedang berlangsung sejak 28 Oktober 2010. Sehingga kini terdapat 162 aduan atas kepincangan yang akan menjejaskan integriti dan kredibiliti JPP. "Kegagalan utama JPP ialah dalam mempertahankan prinsip pemilihan yang bersih, bebas dan adil (clean, free and fair election). Integriti JPP amat dipersoalkan sehingga terdapat lebih 162 aduan yang diantara lain berkenaan tindakan-tindakan ahli-ahli JPP dan pengawas-pengawas pemilihan yang bertindak memihak, berat sebelah malah terlibat dalam penipuan undi," kata Mustaffa dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Ipoh hari ini. Mustaffa memberi kata dua bahawa sekiranya JPP gagal mengisytiharkan pemberhentian Pemilihan 2010 dalam tempoh 48 jam dari masa penerimaan memorandum tersebut beliau bercadang mengambil tindakan yang lebih tegas demi mempertahankan prinsip keadilan. "Saya percaya calon-calon yang bertanding memang bersedia untuk membuktikan parti kita sebagai parti yang bersih, integriti dan demokratik untuk semua rakyat Malaysia," tegas beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Perak. Sumber: Suara Keadilan | ||
Hishammuddin Berdalih Tak Mahu Jawab Isu Mata Lebam Posted: 08 Nov 2010 11:34 PM PST KUALA LUMPUR 9 Nov - Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang membidas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein apabila beliau enggan menjawab isu berhubung kes "Mata Lebam" yang dibuat melalui pendedahan surat terbuka Datuk Mat Zain Ibrahim, bekas pegawai kanan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang meminta Menteri membuka semula kertas siasatan. Kit Siang yang bangkit ketika Menteri mengakhiri hujah pergulungan perbahasan kementeriannya berkata isu tersebut adalah berkait dengan kewibawaan PDRM yang membabitkan pegawai tertinggi dalam badan itu. Hishammuddin ketika membalas hujah tersebut berkata perkara itu tidak dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Ipoh Timur dalam perbahasan sebelum ini. Katanya, melalui maklumat yang diterima, tidak ada butiran berhubung isu berkenaan di dalam perbahasan.Kit Siang yang tidak berpuas hati mempersoalkan mengapa pegawai yang diarahkan kementerian tersebut tidak membuat catitan berhubung isu yang beliau telah bangkitkan semasa perbahasan Bajet 2011, minggu lalu. Hishammuddin kemudiannya memberikan alasan kononnya atas faktor kekurangan masa untuk berbahas dan akan memberikan jawapan secara bertulis berhubung soalan yang dibangkitkan itu. Sumber: Suara Keadilan | ||
Nazri Hina Kit Siang, Tarik Balik Kenyataan Posted: 08 Nov 2010 11:32 PM PST KUALA LUMPUR 9 Nov - Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menarik balik ucapannya yang mencemuh Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang berhubung dakwaan beliau mengeluarkan kata-kata 'Umno kafir' dalam ceramah semasa kempen di dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Galas. Sumber: Suara Keadilan | ||
Pemuda PAS Desak Hishammuddin Lipat Ganda Usaha Selesai Kes Orang Hilang Posted: 08 Nov 2010 11:28 PM PST KUALA LUMPUR 9 Nov - Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mendesak Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein agar pihak polis lebih agresif menyelesaikan kes orang hilang yang telah mencapai tahap yang membimbangkan. Ketua DPPP, Nasrudin Hassan At Tantawi berkata statistik menunjukkan jumlah keseluruhan orang hilang di negara ini dari tahun 2007 hingga 2010 adalah seramai 7,312. Katanya, daripada jumlah itu, seramai 3,653 orang telah ditemui manakala bakinya sejumlah 3,479 masih belum ditemui. "Meskipun daripada jumlah yang ditemui tersebut lebih 95 peratus daripadanya dijumpai masih hidup, namun jumlah yang masih gagal ditemui menjadi titik persoalan yang besar. "DPPP mendapati antara faktor utama kes kehilangan orang ini adalah disebabkan oleh masalah institusi kekeluargaan, masalah perhubungan di kalangan remaja, penculikan dan kelemahan pengawasan serta penyelesaian daripada PDRM," kata Nasrudin di lobi Parlimen semalam setelah memnyerahkan memorandum kepada Menteri berhubung perkara tersebut. Memorandum tersebut mengandungi empat tuntutan dan cadangan tindakan yang mana salah satunya adalah mendesak pihak polis segera menubuhkan task force khas yang merangkumi beberapa agensi kerajaan seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Ikatan Relawan Masyarakat (Rela) termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, institusi media, parti-parti politik dan sukarelawan. "Penubuhan task force ini adalah sebagai satu komitmen bersama untuk terus menggerakkan usaha mencari orang-orang yang masih lagi belum dijumpai. "Ia juga sewajarnya dapat mewujudkan satu pelan bertindak bersama dalam tempoh masa tertentu bagi memastikan ia mencapai matlamat yang disasarkan secara efisyen dan efektif," kata Nasrudin. DPPP juga mendesak kerajaan agar dapat menjalankan satu kajian yang komprehensif untuk mengenal pasti faktor dan motif kes orang hilang yang terlalu banyak berlaku dalam negara kerana ia dikhuatiri ada kena mengena dengan kes penculikan, pembunuhan dan pemerdagangan orang yang sedang aktif bergerak di negara ini. Selain itu, Nasrudin berkata, DPPP turut menggesa kerajaan dan pihak polis meningkatkan mutu perkhidmatan terbaik agar kes-kes yang masih belum dapat diselesaikan boleh ditangani dengan lebih cepat dan berkesan. "Berdasarkan kepada penguatkuasaan undang-undang, pihak kerajaan diharapkan agar dapat mengkaji semula beberapa peruntukan sekiranya ia melibatkan isu-isu jenayah seperti penculikan atau pemerdagangan manusia. Ini bagi memastikan hukuman yang setimpal dapat dikenakan ke atas mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya. Dalam pada itu, DPPP akan melancarkan kempen besar-besaran di seluruh negara untuk menyebarkan maklumat dan memberikan kesedaran kepada masyarakat berhubung kes ini sebagai medium pengesanan yang efektif dan sistematik. "Antara bahan kempen yang akan dilakukan seperti penerbitan bahan bercetak, pembinaan laman web dan pemantauan berkala di kawasan-kawasan panas yang telah dikenal pasti," katanya. DPPP juga katanya akan menubuhkan Pusat Aduan Rakyat bagi memudahkan medium pengantara dan melicinkan sistem penyampaian maklumat selain menjalinkan kerjasama di antara Jabatan Amal DPPP dan PDRM. Sumber: Suara Keadilan |
You are subscribed to email updates from Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan