Salam 2 all.
Saya tertarik dengan cerpen bertajuk "
Layskar Jihad" yang ditulis oleh sahabat saya Fudzail Mohd. Nor yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian hari ini. Ianya berkisar tentang kisah perjuangan di Gaza. Saya rasa cerita ini wajar dibaca sebagai satu pengajaran dan iktibar khususnya bagi bangsa Melayu beragama Islam.
Kebetulan semalam team "
Viva Falastin" dari Malaysia yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan "
LifeLine 5" gabungan 340 sukarelawan seluruh dunia membawa 137 kontena bantuan kemanusiaan berjaya memasuki Gaza, Falastin.
Saya dan saudara Fudzail juga kebetulan baru sahaja berada dibumi yang diberkati Gaza semasa kempen "
Ramadhan di Gaza" baru-baru ini. Saya boleh merasai kegembiraan yang dilalui oleh para sukarelawan Viva Falastin yang berada di bumi Gaza bersama umat Falastin. Dan saya boleh bayang wajah-wajah ceria anak Falastian yang menyambut kedatangan konvoi tersebut. Insyallah jika tiada aral saya akan kembali ke Gaza selepas sidang Parlimen berakhir 15.12.2010 jika keadaan mengizinkan insyallah.
Diwaktu yang sama, bagi yang berminat membaca sendiri cerpen "Lasykar Syuhada", sila layari laman web www.fudzail.blogspot.com. Ada tawaran menarik bagi sesiapa yang membeli buku cerita "
Trilogi Aoteroa" termasuk tiket penerbangan pergi-balik ke New Zealand, I-Pad dan banyak lagi. Buat pengetahuan, buku "
Trilogi Aoteroa" akan dilancarkan secara rasmi oleh YAB Dato' Sri Najib, Perdana Menteri Malaysia pada hari Selasa 02.11.2010 @ 3pm di Parlimen Malaysia. Jangan tak beli yop!
Adios amigos.
Zulkifli Bin Noordin
Sabtu
14 ZulQaedah 1431
22 Okt 2010
###########################
LASYKAR JIHAD
Fudzail Md. Nor
Berita Harian Sabtu 23 Oktober 2010
(1)
KEEMPAT-EMPAT mereka bernafas kelegaan sebaik memboloskan diri dari terowong sepanjang 640 meter. Salah satu dari lebih 800 terowong di sempadan Rafah dan Gaza, terowong yang memisahkan dua dunia. Dalamnya empat meter, lebar satu meter, tinggi mencecah dua meter, cukup-cukup untuk memuatkan seorang demi seorang. Berjalan dalam kegelapan. Meraba-raba, terkadang, teraba punggung orang di depan. Berjalan perlahan, bernafas dalam kekurangan oksigen. Dalam dada berdebaran.
Apa sahaja boleh terjadi, termasuk pengeboman daripada serangan udara tentera Israel.
Datuk Ariffin terduduk dalam bangsal, mencari oksigen, meraba mencari rokok, tetapi teringat sudah berada pada bulan Ramadan. Ketiga-tiga yang lain, Datuk Rusdi, Datuk Mushil dan Datuk Imran sama terduduk di atas pasir. Awal subuh dan suhu masih rendah memberi kenyamanan dalam debaran jantung yang terus kencang.
"Fasa pertama misi sudah selesai!"
Mereka mengangguk. Menyeludup masuk ke Gaza mempunyai risiko besar. Tetapi destinasi itu bukan kebetulan. Mereka tahu dan tidak peduli. Semuanya sudah dirancang dengan teliti, sudah bersedia dengan apa saja kemungkinan. Tiada jalan kembali.
Datuk Ariffin bangkit melihat keluar bangsal, memastikan tiada kelibat pihak penguatkuasa Palestin, apalagi tentera dan perisik Israel yang menjejak. Mata liar mencari petunjuk seperti yang telah dirancang. Ternampak sebuah kereta kuning cair parkir dalam 30 meter.
"Kenderaan yang ditempah sudah menanti!"
Mereka bergegas mengambil beg, berlari anak ke kereta.
"Kata laluan!" Pemandu berkumis, berkaca mata hitam bertanya.
"Angelina Jolie!"
Pemandu mengangguk sambil mata merenung wajah keempat mereka yang cuba kelihatan tenang. Cuba untuk menjadi macho dan hebat.
(2)
PERJALANAN dari Rafa ke bandar Gaza melalui kawasan kem pelarian yang kelihatan tidak teratur dengan bangunan seperti tidak siap. Keempat Datuk dengan satu misi bersama itu menatap pemandangan dengan penuh perhatian. Seperti dalam mimpi pula untuk berada di bumi bersejarah yang selama ini hanya diketahui dari media, buku-buku dan cerita-cerita.
"Ini bukan sahaja bumi anbia, tetapi juga bumi Musyrikin!"
Yasir, pemandu yang fasih berbahasa Inggeris itu menjadi pemandu pelancong yang baik.
"Kalau tiada orang jahat, tiada diturunkan nabi-nabi!"
Yasir menyambung cerita. Dari sejarah ribuan tahun ke situasi semasa. Seperti sahaja berada dalam dokumentari National Geoghrapic. Seketika, setelah berlegar di kawasan perumahan dan kedai-kedai, mereka menghampiri sempadan Israel.
"Tengok seberang tembok, di sana Israel, tanah kami yang dirampas sejak tahun 1948! Setiap hari melihat tanah yang dirampas, setiap hari yang tidak memudarkan semangat untuk kembali ke tanah kelahiran!"
Suara Yasir mendesir bersama-sama angin Mediterranean berhembusan. Suara yang melontar dendam dan keazaman. Wajahnya serius.
Datuk Ariffin, Datuk Imran, Datuk Rusdi dan Datuk Mushil mengangguk dengan wajah-wajah yang gusar. Kehadiran mereka ke bumi Gaza di bulan Ramadan bukan lagi satu mimpi, mereka benar-benar bernafas di ruang magis. Ruang yang membawa harapan berbunga dari satu misi kudus.
"Berapa lama kalian mahu berada di Gaza?" Yasir bertanya.
"Paling lama dalam dua minggu!" Jawab Datuk Mushil.
"Tidak menyambut Syawal di sini?"
"Kalau ada rezeki, mahu juga!" Datuk Imran pula menjawab.
"OK. Setelah tiba dan rehat di hotel, saya boleh bawa keliling Gaza, melihat kem-kem pelarian dan kita berbuka puasa di salah sebuah masjid dalam kem pelarian!"
Yasir mengatur jadual aktiviti, sesuatu yang tidak termasuk dalam pembayaran, tetapi cukup melegakan empat Datuk yang membawa pakaian cukup-cukup untuk seminggu.
(3)
MELIHAT kesan-kesan perang dan serangan rejim zionis yang ganas memang menginsafkan empat Datuk. Ada kalanya air mata mereka bergenangan melihat keadaan dhaif di khemah pelarian dan apabila bertemu dengan mereka yang cacat akibat serangan bom. Apalagi bertemu kanak-kanak pelarian yang kelihatan terbiar walau ceria dan berkumpul setiap kali melihat kedatangan mereka, 'pelawat' dari Malaysia, sebuah negara yang menjadi sebutan ramai kerana banyak membantu dan menyokong perjuangan rakyat Palestin sejak lama.
Sebaik solat Tarawih, mereka bersantai di kawasan pantai yang mula dipenuhi ramai warga Palestin. Meriah dengan manusia mengunjungi gerai makan yang menawarkan shisha dan tayangan filem percuma.
"Ada lebih 150 masjid yang musnah akibat pengeboman, manakala 300 yang lain rosak!"
Datuk Rusdi mengulang maklumat yang diterima. Sebagai seorang yang pernah menjadi pegawai kerajaan menjaga wang zakat dan masjid, dia mengira-ngira jumlah kos yang diperlukan untuk membina semula atau membaiki masjid-masjid tersebut. Sememangnya dia tahu wang zakat yang dikutip olehnya selama ini tidak semuanya sampai kepada yang berhak, malahan ada ketirisan dan digunakan untuk urusan lain, termasuk penyelewengan dalam bentuk hiburan seperti lawatan sambil belajar atas nama urusan rasmi. Walhal, tidak lebih untuk melancong secara percuma. Kekadang pelbagai perancangan dan tindakan dibuat atas nama agama pun tidak lebih sekadar menutup pelbagai kelemahan dan kepincangan di kalangan pegawai.
"Masjid di Gaza ini semuanya ada kelas tahfiz, sudah puluhan ribu hafiz yang lahir. Nampaknya dalam keadaan seperti penjara ini, warga Palestin di Gaza tetap bersemangat untuk meneruskan perjuangan, bersedia untuk kembali ke tanah yang dirampas!"
Sambung Datuk Mushil sambil matanya sesekali meninjau wanita-wanita Palestin yang lalu lalang. Tidak dapat mengelak untuk mengagumi kecantikan mereka, apalagi buat seorang yang selama ini ada banyak skandal sebagai ketua pengarah sebuah stesen TV. Dikelilingi artis-artis glamor yang mahukan publisiti dan kemewahan hidup tanpa bekerja keras. Datuk Mushil selalu mengambil kesempatan tanpa mengira dosa pahala. Asalkan bahagia dan seronok melapah seorang demi seorang artis wanita, terutama yang baru mahu berkecimpung dalam dunia hiburan dengan impian ke persada sebagai penghibur popular, selain kalau-kalau bernasib baik disambar para Datuk yang mahu melengkapkan kuota poligami.
"Kamu perasan selama dua hari di sini, sudah keliling Gaza, kita belum bertemu seorang pun peminta sedekah. Walhal, majoriti hidup di bawah paras kemiskinan!"
Datuk Ariffin mencelah. Sebagai seorang ahli politik yang sekian lama hidup mewah di bawah kuasa politik yang mana matlamat menghalalkan cara, dia cukup arif dengan sikap ahli politik yang lebih kurang sahaja sikap, sebagai peminta sedekah, kalau tidak sebagai pencuri dan perompak wang rakyat. Malah kekadang ada kebenarannya yang ahli politik sama taraf dengan pelacur, sesuatu yang tidak dinafikan oleh Datuk Ariffin yang telah menggadai bukan sahaja maruah diri, malah bangsanya sendiri dengan bisnes atas angin dan ali baba. Menidakkan hak majoriti kerana dia termasuk golongan elit yang berkuasa.
"Betullah! Malah ada yang apabila kita mahu beri wang, menolak dan minta masukkan dalam tabung, untuk dikongsi bersama!" Datuk Imran melepaskan kata-kata sambil melihat jauh ke arah kerlipan lampu kapal-kapal. Sebagai seorang penyanyi rock veteran yang bukan sahaja glamor, pernah menjadi idola anak muda malahan hidup dalam berfoya-foya, Datuk Imran selalu mencari publisiti murahan dengan konsert amal dan aktiviti seperti berbuka puasa bersama anak-anak yatim. Semuanya sandiwara, apalagi pihak media terus memberatkan hiburan dengan menjadikan artis sebagai bahan pelaris, walhal, kebanyakan artis seperti Datuk Imran yang mendapat anugerah Datuk kerana jasa mencemarkan budaya dengan budaya rock dan hippie, tidak lebih sekadar gimik.
Hidup dalam kemungkaran, solat tidak tentu hala dan mabuk-mabuk. Lebih banyak membawa keburukan kepada masyarakat yang menjadikan hiburan sebagai pelengkap kehidupan setelah muak, jelak, mual dan benci dengan gelagat, suasana politik dan ahli politik yang tidak berhabisan berebut kuasa. Jatuh menjatuh dan fitnah menfitnah sesama sendiri terutama kalau dalam sidang Parlimen yang boleh menjadi sarkis dan zoo.
Maka dalam kemeriahan malam Ramadan di Gaza menyelubungi suasana, tetapi tidak pada keempat Datuk yang kelihatan serba kekeliruan. Masih dalam ketidakpastian walau sebelum ini bertekad dengan satu misi. Sanggup masuk secara haram ke Gaza kerana tidak mahu menunggu lama untuk visa dikeluarkan oleh pihak berkuasa Mesir.
Misi yang diharapkan boleh mengubah satu destini dan destinasi kehidupan, setelah puluhan tahun bernafas dalam dosa, noda, pembohongan dan hipokrasi. Misi yang lahir dari satu sesi karaoke di pusat perjudian atas gunung setelah melihat dengan mata sendiri, seorang Tan Sri bertaraf bilionair mati sakit jantung di atas dada telanjang seorang GRO dari negeri China.
(4)
"KAMU tahu, abang saya adalah seorang syuhada. Dia menjadi pengebom berani mati yang berjaya membunuh 15 orang askar Zionis laknatullah di bandar Jericho!"
Keempat-empat Datuk segera tersedar mendengar cerita Yasir walau cukup mengantuk. Perjalanan selepas Zuhur ke kawasan khemah pelarian terbesar dan paling padat di dunia, Al-Jabaliah memang cukup menyeksakan kerana mata terpaksa dibuka luas. Tersengguk bersama cerita Yasir yang tiba-tiba terasa menyegarkan.
"Kamu tahu ini juga bermakna, saya boleh menjadi ahli syurga kerana setiap syuhada boleh memilih 70 orang untuk bersamanya ke dalam syurga!"
Mendengar perkataan syuhada dan ahli syurga menambahkan tarikan. Semua orang mahu masuk syurga walau ramai yang mencorakkan neraka dalam kehidupan seharian.
"Sebab itukah kamu memandu berbahaya," Tanya Datuk Ariffin yang sejak lama mahu menegur cara Yasir memandu. Ciluk sana, ciluk sini. Kadangkala laju tidak bertempat dan memotong ikut suka hati, walau Yasir bukan pemandu unik di Gaza, sedikit sebanyak mencemaskan.
Yasir ketawa.
"Ya! Saya ada lesen ke jannah!"
"Tetapi kami belum ada, kamu boleh mati syahid, masuk jannah, kami boleh mati katak di Gaza ini dengan cara kamu memandu!"
Ujar Datuk Rusdi diikuti ketawa beramai-ramai. Teringat jumlah mereka yang mati nahas jalan raya terus meningkat di tanah air, biarpun kenderaan semakin canggih dan jalan raya semakin banyak.
"Bukankah kamu berempat datang ke Gaza ini untuk mati syahid?"
Tanya Yasir kembali, setelah lima hari, Yasir sudah seperti lama mengenali empat orang Melayu awal lima puluhan yang juga sudah tidak segan silu bercerita latar belakang masing-masing.
Membongkar satu misi untuk mati syahid kerana yakin taubat mereka sukar untuk diterima. Walau berkali ke umrah dan haji, masih terasa terlalu banyak dosa dan noda untuk dihapuskan. Terlalu banyak menganiaya orang. Menipu, menyeleweng, berzina, memberi dan menerima rasuah, hantar santau, malah merogol dan merancang pembunuhan kerana persaingan dan dendam. Taraf kejahatan melampau yang menyebabkan keempat-empat mereka yang pernah bergelar golongan elit Melayu Baru itu bertekad untuk menyusup ke Gaza, berdepan dengan rejim Zionis dan kalau bernasib baik, mati syahid. Terus ke syurga tanpa hisab. Boleh bawa 70 orang lain sama-sama ke syurga.
"Kamu ahli politik bukan?" Tanya Yasir kepada Datuk Ariffin yang mengangguk.
"Di bumi Palestin ini pun ramai ahli politik yang korup. Sebab itu kami memilih parti Hamas walau dianggap teroris kerana sudah muak, jelak dan benci dengan pemimpin Fatah berpuluh tahun memungkiri janji dan amanah. Sebab itu saya cakap di sini bukan sahaja bumi anbiya, malahan bumi Musyrikin. Sebab itu orang Palestin berterusan dizalimi, dilanyak Yahudi kerana pemimpin kami ada yang sudah dibeli, korup dan mementingkan perut semata-mata. Perjuangan keramat membebaskan Palestin hanya sandiwara semata-mata. Apalagi dunia Arab yang bersetongkol dengan Israel dan Amerika!"
Tersentuh hati Datuk Ariffin yang memang selama ini sekadar proksi kepada ahli-ahli perniagaan yang menggunakan beliau untuk manipulasi kontrak. Kekayaan yang dikumpul di bawah dasar politik kronisme. Berguni-guni, malahan kadang berlori-lori wang tunai yang disimpan hasil rasuah dan penyelewengan. Hidup mewah tetapi seperti bangkai kerana makan minum duit haram.
"Kamu bayangkan nanti, berapa ramai yang kamu mesti minta maaf setelah menyalahgunakan, menyelewengkan duit rakyat, duit zakat, duit derma, seperti ramai ahli politik Palestin yang mengagihkan sesama sendiri sewaktu berkuasa dan menidakkan hak-hak kami, terutama anak-anak yatim, anak-anak pejuang yang syahid dan anak-anak yang terus dalam kemiskinan walhal hasil negara dari dana derma cukup menampung perbelanjaan untuk menanggung mereka!"
Yasir terus melepaskan apa yang selama itu terbuku dalam diri, apalagi setelah mengetahui niat dan tujuan misi empat orang Melayu bertaraf Datuk di bulan Ramadan ke Gaza, tanah genting sekangkang kera yang tidak putus dengan konflik dan terus mengorbankan jiwa para syuhada hampir setiap hari.
"Di kawasan Jabaliyah ini selalu ada tentera Israel menyusup masuk untuk membunuh mereka yang dianggap teroris. Kamu tahulah, dikalangan kami pun ramai pengintip upahan Israel yang cari makan dengan beri maklumat, kekadang maklumat salah kerana dendam dan dengki!"
Yasir memberhentikan kereta menghala ke kawasan lapang. Diperbukitan adalah sempadan Israel. Ada tembok dinding sedang dibina.
"Nampak kereta kebal, kereta pacuan empat roda yang mengawasi sempadan?"
Keempat-empat Datuk memandang dan mengangguk. Berdebaran, begitu hampir dengan sempadan Israel yang memungkinkan apa sahaja. Tentera Israel boleh bertindak mengikut keputusan mereka kerana 'keselamatan negara Israel' lebih penting daripada segalanya.
"Dahulu kawasan ini dipenuhi dengan pokok-pokok kurma, pihak Israel musnahkan semua dan kini menjadi kawasan lapang untuk memudahkan mereka membolos masuk. Semua kilang yang pernah memenuhi kawasan ini dibom dan diratakan, meranapkan terus ekonomi Gaza!"
Suasana menjadi hening. Hembusan bayu menerojah minda yang diselaputi bayang-bayang.
"Kalian mahu mati syahid bukan?"
Tanya Yasir. Separuh serius, separuh berjenaka.
"Nampak kereta kebal Israel itu sedang mara ke sini?"
Terpaku keempat-empat Datuk. Debaran jantung membawa gelombang ke wajah.
"Bersedia untuk melontar dengan batu-batu seperti yang kami, terutama anak-anak kami lakukan, kalian baling sebaik kereta kebal itu masuk ke kawasan Palestin!"
Yasir memberi arahan, setelah lama berteori dengan pelbagai strategi, hari ke enam Ramadan yang cerah itu boleh merealisasikan satu misi empat Datuk Melayu sebagai Laskar Syuhada, ribuan kilometer dari tanah air dan keluarga yang sudah diwariskan harta dan wang jutaan ringgit dalam ASB, Tabung Haji, akaun bank Islam, yang semuanya dari hasil tidak halal.
Kalau mereka mati syahid, bukan sahaja ke syurga malah semuanya menjadi halal, begitulah fatwa yang mereka sama-sama rumuskan di malam terakhir berkaraoke sebelum Ramadan. Fatwa yang menjadi pegangan sebagai sandaran ke syurga. Fatwa yang membawa mereka ke genting Gaza.
Seketika dalam pandangan menerpa ke arah kereta kebal Israel yang seakan laju menghampiri, imej-imej kehidupan lima dekad mereka seakan terlontar ke layar yang memerangkap perasaan. Wajah-wajah mereka yang pernah dianiaya, dirasuah, difitnah, di jadikan kambing hitam mengejek-ngejek ke seluruh ruang.
Suara-suara menuntut keadilan dan hak-hak mereka yang telah disalahgunakan berdengung, bergema, memekik-mekik ke seluruh pendengaran.
Tiba-tiba Datuk Ariffin terasa mual oleh perut memulas, Datuk Mushil pula berpinar oleh kecepatan jantung mengepam udara, Datuk Rusdi basah berpeluh-peluh kepanasan dan Datuk Imran seakan mahu terkencing. Segala-galanya begitu real sekali, tidak lagi sureal atau dalam sebuah mimpi. Sesaat yang mengerikan, mereka kini berdepan dengan tentera paling canggih dan kejam di dunia dan serentak, mereka yang lengkap berbaju raya Melayu dengan samping songket, secara spontan keluar dari kereta, berlari selaju mungkin untuk berpatah, menyusup keluar Gaza, ke terowong nun 50 kilometer di Rafah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan